PRAKATA EDITOR
Sejak kelahiran anak sulung saya sehinggalah anak ketiga saya akan masuk ke tadika, saya sudah memasuki tahun kesepuluh sebagai ibu sepenuh masa. Jika saya ingin berkongsi pengalaman keibubapaan saya dalam sepuluh tahun yang lalu, di samping mengucapkan “Syukur kepada Tuhan”, “membina mezbah keluarga, supaya anak-anak dapat mengenali Tuhan dan mematuhi firman-Nya” boleh dikatakan sebagai nilai teras saya dalam menguruskan rumahtangga.
Saya tahu bahawa disebabkan kesibukan orang zaman moden, ibu bapa muda atau pertengahan baya berada dalam generasi sandwic, iaitu “mempunyai ibu bapa yang tua, dan anak-anak yang masih kecil”, dan kehidupan bekerja mereka juga berada dalam kesempitan. Bukan mudah untuk bertenang apabila anda pulang ke rumah dan mengumpulkan ahli keluarga anda untuk bersama-sama membaca firman Tuhan. Walaupun hati kita rela, namun tubuh tidak mampu melakukannya! Malah, “Dengan bertobat dan tinggal diam kamu akan diselamatkan, dalam tinggal tenang dan percaya terletak kekuatanmu.” (Yesaya 30:15) Semakin kita sibuk, semakin kita perlu menghadap Tuhan untuk mengecas semula bateri kita!
Disebabkan saya sering berkongsi pengalaman saya dengan saudara-saudari tentang mezbah keluarga dan interaksi saya dengan anak-anak saya, pengarah Toko Buku Filemon menjemput saya untuk mencatatkan pengalaman ini. Walaupun saya biasanya sudi untuk berkongsi, saya sebenarnya berasa gentar untuk menerbitkan buku. Pertama sekali, saya hanyalah seorang ibu biasa. Saya tidak mempunyai teori lain yang boleh dikongsikan selain daripada “Didiklah orang muda menurut jalan yang patut baginya, maka pada masa tuanyapun ia tidak akan menyimpang dari pada jalan itu.” (Amsal 22:6) Kedua, mezbah keluarga masih diteruskan dalam keluarga saya.Anak-anak saya masih belum mengalami zaman remaja yang menyusahkan. Adakah mereka mampu mengharungi gelombang dugaan dalam kehidupan kepercayaan mereka pada masa hadapan? Jika pada masa depan anak-anak itu hidup mengikut jalannya sendiri, bukankah ini akan memalukan Tuhan? Maka tugasan ini telah tergendala.
Sehingga Mei 2021, disebabkan penularan wabak COVID-19 di Taiwan, gereja pun terpaksa menghentikan perhimpunan. Isu mezbah keluarga sekali lagi dipandang serius, dan banyak gereja turut mengeluarkan pelbagai video dan sumber untuk membantu saudara-saudari membina mezbah keluarga. Sudah tiba masanya untuk saya berbincang sekali lagi bagaimana untuk meneruskan buku ini. Mungkin bukan diri saya yang menjadi pengarang, tetapi saya sanggup menemu bual ramai orang, mengumpulkan nas khutbah para gembala, serta pengalaman saudara-saudari dalam membina mezbah. Setiap kisah keluarga yang dikumpulkan adalah satu kesaksian dan boleh menggalakkan lebih banyak keluarga membina mezbah keluarga bersama-sama.
Syukur kepada Tuhan! Mula-mula, saya menemu bual pendeta Jian Mingrui. Dia sering berkongsi khutbah mezbah keluarga dan interaksi mesra antara ahli keluarga di FB peribadinya. Beliau juga merupakan pendeta unit bahan pengajaran audio-visual mezbah keluarga “Masa Di Bawah Bumbung” yang dipromosikan oleh Jabatan Penggembalaan Ibu Gereja. Beliau juga sangat menyokong penerbitan buku ini. Seorang lagi pendeta yang ditemu bual ialah pendeta Chen Enxi, kerana saya pernah mendengar dia berkongsi dalam khutbahnya bahawa dia pulang ke rumah setiap minggu untuk mengambil bahagian dalam mezbah keluarga. Selepas temu bual, saya mengetahui bahawa api mezbah keluarga ini sudah bermula daripada bapa pendeta Chen, iaitu penatua Chen Hengdao. Ia telah bernyala selama hampir setengah abad tanpa berhenti!
Di samping itu, saya juga sangat berterima kasih kepada Diaken Gao Chunlin kerana menerangkan dengan jelas secara terperinci pengalaman Gereja Shipai dan Gereja Tianmu dalam mempromosikan mezbah keluarga. Dia juga sudi berkongsi sumber audio-visual gereja dan teks blog pengalaman membaca Alkitabnya dengan para seiman. Semoga Tuhan mengingati saudara-saudari Gereja Shipai dan Gereja Tianmu atas dedikasi dan kasih sayang mereka dalam pelayanan ini.
Separuh kedua buku ini mengandungi pengalaman praktikal sebanyak hampir dua puluh mezbah keluarga. Ada yang menumpukan pada pengalaman pelaksanaan praktikal, sementara yang lain menumpukan pada perbuatan indah Tuhan di rumah mereka. Saya berharap kandungan ini dapat membantu keluarga yang teragak-agak untuk bergerak ke hadapan, dengan harapan yang indah bahawa—keluarga saya akan diberkati, kerana Tuhan Yesus menjadi Tuan keluarga saya.
Tajuk buku “Yesus Tiba Di Rumah” adalah permainan kata-kata. Sebutan “tiba di rumah” dalam bahasa Taiwan adalah serupa dengan perkataan “di sini”, “tī tsia”, yang bermaksud Yesus ada di sini. Dilihat dari makna “Tiba Di Rumah”, ia bermakna tiba di rumah anda. Yesus benar-benar ada di sini, sudah tiba di rumah anda, tetapi adakah anda bersedia untuk membuka pintu anda dan menjemput Yesus masuk?
Mulai sekarang, marilah kita menjemput Yesus masuk pintu bersama-sama, bukan sebagai tetamu, tetapi sebagai Tuan rumah kita. Menerusi firman Tuhan, suami isteri, ibu bapa dan anak-anak dapat saling mengasihi dan menghormati, kepercayaan dapat diwariskan dan dihidupkan semula dari keluarga kita sendiri. Semoga Tuhan memimpin dan memberkati setiap saudara dan saudari.
Wang Yijun