AMALAN KASIH
“Anak-anakku, marilah kita mengasihi bukan dengan perkataan atau dengan lidah, tetapi dengan perbuatan dan dalam kebenaran.” (1 Yoh 3:18).
Tuhan Yesus memberikan perintah baharu kepada kita: saling mengasihi. Sama seperti Dia telah mengasihi kita, demikian pula kita harus saling mengasihi. Oleh itu, amalan kasih adalah didasarkan pada kasih Kristus sebagai pendorong, piawaian dan model.
MENGATASI HALANGAN KASIH
Antonim bagi kasih bukanlah benci, tetapi sikap dingin / tidak peduli. Benci melibatkan emosi, dan sempadan antara benci dengan kasih hanyalah satu garis halus. Daripada kasih kepada benci, daripada benci kepada kasih, semua dalam satu pemikiran. Walau bagaimanapun, sikap dingin / tidak peduli adalah seperti hati yang mati yang menyebabkan manusia seolah-olah terjatuh ke laut dalam. Oleh itu, dalam amalan kasih, sikap dingin / tidak peduli harus terlebih dahulu dihangatkan dengan api sehingga berkobar. Apabila melihat seseorang terluka dan mengalirkan darah, hati kamu akan berasa sakit. Demikianlah permulaan kasih. Kembalikan perasaan itu terlebih dahulu.
Ketakutan menyebabkan manusia mengunci kasih. Kita berasa takut bahawa orang lain tidak menyukai kita kerana kelayakan kita tidak baik, penampilan, latar belakang keluarga, pendidikan, dan kemampuan kita tidak setanding. Jadi kita berasa takut dan tidak mempunyai kasih. Sebenarnya, kelayakan luaran akan berubah. Perkara yang paling penting adalah bahawa perwatakan dalaman merupakan sifat yang disukai oleh orang lain untuk jangka masa yang panjang. Kita juga berasa takut bahawa orang lain akan menyukai kita kerana kita mempunyai matlamat dan harapan yang tinggi. Lalat yang melekat pada madu memang menjengkelkan. Kita juga berasa takut untuk menyukai orang lain kerana dia tidak semestinya menerima kasih kita dan menyebabkan kita hilang muka. Sekiranya hubungan cinta antara lelaki dengan perempuan terputus, orang yang ditinggalkan biasanya akan berasa sangat sedih. Pada hakikatnya, orang yang seharusnya berasa tidak senang dan bersedih ialah orang yang mencadangkan perpisahan. Hal ini kerana dia telah mengalami kerugian yang lebih besar. Saya hanya kehilangan seseorang yang tidak lagi mencintai saya sementara dia pula telah kehilangan teman yang mencintainya hingga akhir.
Kita tidak dapat memperoleh sukacita sejati hanya dengan mementingkan ego sendiri. Secara lahiriahnya, nampaknya kita memperoleh banyak, tetapi hanya untuk jangka masa yang pendek. Relatifnya, harga yang harus dikorbankan juga tinggi. Keuntungan dan kerugian sukar untuk ditentukan dengan mudah. Sikap mementingkan diri menimbulkan perasaan jijik orang lain sehingga mereka menjaga jarak dengan kita. Pencapaian yang tidak dikongsi dengan orang lain hanyalah keseronokan (pleasure). Sebaliknya, kasih adalah tentang memberi, berkorban, dan mempersembahkan. Secara lahiriahnya, seseorang itu mengalami kerugian atau berkurangan. Namun hakikatnya, dia mendapat lebih banyak persahabatan. Proses memberi adalah sejenis kebahagiaan (happiness).
TUHAN ITU KASIH
Mengenali Tuhan bermaksud mengenali kasih. Ketika Tuhan menciptakan umat manusia pada awalnya, Dia mencipta menurut gambar-Nya. Idea paling awal Tuhan adalah untuk memanjangkan kasih-Nya.
Ketika Michelangelo ditanya tentang cara mengukir sesebuah karya, dia menjawab bahawa patung batu itu sudah ada di dalam batu marmar. Tuhan sendiri telah menciptakan Daud, Musa, dan lain-lain. Tindakan Michelangelo hanyalah membuang lapisan marmar tambahan yang membungkusi karya Tuhan.
Kita tidak perlu mencari kasih sejati di luar. Kasih ada di dalam Kristus dan di dalam hati kita. Biarlah Roh Kudus membuang lapisan-lapisan penghalang yang mengelilingi diri kita yang sebenarnya sama seperti batu marmar yang mengelilingi patung Michelangelo yang sempurna.
Kita adalah seperti gandar pada roda, semuanya terpancar daripada satu pusat. Jika melihat kita dari kedudukan di tepi roda, kita nampaknya adalah sangat terpisah dan saling tidak berkaitan. Tetapi jika melihat kita dari titik permulaan pusat, maka kita adalah satu tubuh. Sekiranya menyelami hati anda dan hati saya, anda akan melihat gambaran yang sama: di lubuk hati masing-masing, diri kita yang sebenarnya ialah kasih. Kasih menjadikan kita komuniti umat manusia.
Kita merupakan zarah cahaya matahari yang dipancarkan oleh matahari dan alunan gelombang yang dipacukan oleh laut. Kita tidak dapat terpisah antara satu sama lain. Kita semua adalah sebahagian daripada lautan kasih yang luas, tetapi tubuh daging yang terbatas telah memisahkan kita. Dalam komunikasi kasih, kita menjadi satu tubuh semula. Suami dan isteri merupakan pengalaman yang paling spesifik dan langsung. Mari kita merasainya bermula daripada hubungan kasih ini. Ternyata kita berada di dalam Tuhan, dan Tuhan di dalam kita.
Seperti yang dikatakan oleh Augustine, berat badan saya ialah kasih saya (my weight is my love).