BAB 1 : ANAK KESAYANGAN AYAH

BAB 1 : ANAK KESAYANGAN AYAH

 

Nas Alkitab : Kejadian 37:1-17

Ayat Bacaan : Kejadian 37:13-14

 

Objektif Pengajaran dan Pembelajaran :

  1. Yusuf mendengar nasihat, maka disayangi ayahnya.
  2. Rela menjadi anak-anak Tuhan yang baik;  rela mendengar nasihat ibu bapa dan guru.

 

Ayat Hafalan :

Hormatilah ayahmu dan ibumu – inilah suatu perintah yang penting, seperti yang nyata dari janji ini, supaya kamu berbahagia dan panjang umurmu di bumi. (Efesus 6:2-3)

 

Persediaan Prapengajaran dan Pembelajaran :

    1. Satu anak patung yang berpakaian jubah berwarna-warni.
  1. Gambar matahari, bulan, dan sebelas bintang.
  2. Sebatang tongkat.
  3. Tiga batang penyepit diikat dengan gelang getah, sejumlah sebelas set (lebih baik jika ada jerami).

 

Doa :

Dalam nama Tuhan Yesus berdoa. Tuhan Yesus yang dikasihi, kami berterima kasih kepada-Mu kerana Engkau memberi kesihatan yang baik kepada bapa kami. Dengan demikian  kami dapat melalui kehidupan yang penuh damai sejahtera dan sukacita. Ya Tuhan, kami rela mendengar firman-Mu dan juga rela mentaati kata-kata ibu bapa dan guru-guru supaya kami dapat menerima berkat yang Engkau janjikan.  Kami akan berusaha belajar menjadi seorang anak yang baik, membawa lebih ramai orang menjadi anak-anak-Mu. Haleluya. Amin.

 

Isi Pelajaran :

Keluarga Yusuf

Adik-adik, siapa di antara kamu yang merupakan abang di rumah? Sila angkat tangan. Yang merupakan adik lelaki sila angkat tangan. Yang merupakan kakak sila angkat tangan. Yang merupakan adik perempuan sila angkat tangan. Baiklah, sila turunkan tangan. Setiap orang ada adik-beradik, adik-beradik makan bersama, main masak-masak bersama, nyanyi bersama, sungguh gembira! Ada seorang adik yang bernama Yusuf, dia mempunyai sepuluh orang abang dan seorang adik lelaki. Wah! Berapakah jumlah  kesemuanya? (Jumlahnya dua belas orang). Amboi, keluarga mereka sungguh meriah sekali! Ayah Yusuf ialah Yakub, dia sangat menyayangi mereka dan sentiasa bercerita untuk mereka, sama seperti kisah yang cikgu ceritakan “Tuhan mencipta langit dan bumi”,  “ Kapal besar yang ajaib” dan “Kisah Abraham yang lanjut usia dan Ishak.” Yusuf telah banyak kali mendengar kisah-kisah ini. Dengan itu, dia tahu bahawa Tuhan di syurga menjaga kita dan berharap kita semua mendengar nasihat ibu bapa dan menjadi anak yang baik.

 

Jubah Berwarna-warni Yusuf

Yusuf semakin bertumbuh besar, semasa dia mengikuti abang-abangnya membawa kambing domba pergi makan rumput, dia juga mencontohi aksi abang-abangnya, tangannya memegang sebatang tongkat yang kasar dan panjang (Tunjukkan tongkat). Adik-adik, mengapakah Yusuf memegang tongkat? Siapa yang tahu sila angkat tangan (Panggil nama beberapa kanak-kanak untuk memberi pendapat mereka). Ya, betul! Jikalau ada domba yang tidak mendengar arahan dan lari ke sana ke sini, Yusuf akan memimpin domba kembali dengan tongkatnya.  Di antara kedua belas adik-beradik, Yusuf adalah anak yang paling mendengar nasihat ayahnya. Ayahnya berpesan supaya jangan berbuat jahat, maka Yusuf tidak berani melakukan kejahatan. Ayahnya berkata tidak boleh memarahi orang, maka Yusuf tidak berani memarahi orang. Ayahnya berkata harus berdoa sebelum tidur, maka Yusuf akan ingat untuk berdoa setiap malam sebelum tidur.

Adik-adik, ingatlah untuk berdoa sebelum tidur setiap malam, sebab Tuhan Yesus di syurga paling suka mendengar kamu berdoa. Yusuf seorang anak yang mendengar cakap, oleh kerana itu ayahnya lebih mengasihinya dan telah membuat jubah yang sangat indah untuk Yusuf. Yusuf berasa sangat gembira! Fikirnya : “Aku akan menjadi anak yang lebih baik dan lebih mendengar cakap”. (Keluarkan anak patung). Adik-adik, cuba anda lihat adakah pakaian anak patung ini cantik?  Cikgu tahu, semasa kamu pakai baju baharu, tentu kamu berasa sangat gembira sambil memeluk ibu dan menciumnya serta berkata : “Terima kasih ibu!”

 

Mimpi Yusuf

Pada suatu malam, Yusuf telah bermimpi. Adik-adik, pernahkah kamu bermimpi pada waktu malam semasa kamu tidur? Ada adik yang bermimpi dirinya seperti burung yang berterbangan dengan gembira di langit. Ada adik yang bermimpi ibunya telah membuat satu kek yang besar dan dia makan dengan sangat gembira! Tetapi, Yusuf telah mendapat mimpi yang sangat menghairankan. Dia bermimpi tentang dia bersama dengan sepuluh orang abangnya sedang mengikat berkas-berkas gandum. (Guru bercerita sambil menyusun sepuluh ikat berkas gandum menjadi satu bulatan,  letakkan satu ikat berkas gandum di tengah-tengah bulatan) semua orang sangat sibuk mengikat berkas-berkas gandum. Tetapi, hanya berkas gandum Yusuf saja yang tegak berdiri, berkas-berkas abangnya semua mengelilingi dan sujud menyembah kepada berkas Yusuf (Bercerita sambil menolak berkas-berkas gandum jatuh menghala ke pusat bulatan). Selepas itu, Yusuf bermimpi lagi. Dia bermimpi tentang matahari, bulan dan sebelas bintang di langit sujud menyembah kepadanya. (Tunjukkan gambar). Adakah kamu berasa hairan?  Cikgu pun berasa hairan sekali! Mengapakah Yusuf mendapat mimpi yang sedemikian? Cikgu akan menyambung cerita  ini pada masa yang akan datang.

 

Rela Mendengar Cakap Ibu Bapa dan Guru

Adik-adik, adakah kamu ingin menjadi anak yang baik seperti Yusuf? Adakah anak yang baik perlu mendengar cakap ibu bapa dan guru?  Cikgu juga suka anak baik seperti Yusuf yang mendengar cakap ibu bapa dan guru. Menjadi seorang anak baik banyak sekali kebaikannya. Pertama, ibu bapa dan guru suka pada saya. Kedua, ada pakaian yang cantik, ada makanan yang enak. Ketiga, Em…(Suara dipanjangkan, beraksi seperti sedang berfikir) adik-adik, sila beritahu cikgu (Minta kanak-kanak berikan pendapat).
Baik! Pendapat adik-adik sangat baik, kamu tahu banyak kebaikan menjadi anak yang baik. Sekarang cikgu mahu mempersilakan adik-adik melaporkan apakah kata-kata yang ibu bapa dan guru minta kamu ingat.
Wah! Pandainya adik-adik, banyak yang kamu telah ingat. Tetapi jangan lupa seperkara, Tuhan Yesus sangat suka akan anak-anak baik yang mendengar cakap ibu bapa dan guru. Dia akan membawa anak yang baik pergi bermain di syurga. Adakah kamu ingin pergi bermain di syurga? Cikgu pun ingin sekali pergi (kedua-dua tapak tangan saling bersentuhan, menunjukkan ekspresi muka yang sangat mendambakan), jadi kita patut mendengar cakap ibu bapa dan guru, supaya Tuhan Yesus berasa gembira, ibu bapa berasa gembira, guru-guru berasa gembira, kawan-kawan berasa gembara, dan diri sendiri juga berasa gembira.  Mari, kita semua ketawa, hahaha…

 

Sesi Aktiviti :

  1. Nama aktiviti: Kata-kata Ibu
  2. Objektif aktiviti:
    1. Memberi inspirasi supaya adik-adik memikirkan perkara yang harus mereka lakukan.
    2. Menggalakkan adik-adik supaya mendengar cakap ibu bapa dan mengamalkannya dalam kehidupan harian mereka.
  3. Persediaan sebelum aktiviti:  Buku teks murid, pen
  4. Isi kandungan aktiviti:
    1. Pendahuluan:  Yusuf dikasihi oleh ayahnya kerana mendengar cakap.
    2. “Dalam kehidupan seharian kita, ibu juga banyak berkata-kata kepada kita, contohnya di rumah atau di sekolah…
    3. Dengan kesempatan ini, berikan bimbingan kepada mereka supaya memahami jerih payah dan kasih ibu, mendorong adik-adik supaya mendengar cakap ibu bapa dan menurutinya.
    4. Mendorong adik-adik supaya mereka tahu anak yang mendengar cakap dan taat adalah anak yang Tuhan berkenan dan Tuhan akan memberkati.