BAB 1 : HANYALAH SEHELAI JUBAH BERWARNA-WARNI

BAB 1 : HANYALAH SEHELAI JUBAH BERWARNA-WARNI

 

Mesej Untuk Guru : 

Kepada guru yang dikasihi, antara tokoh-tokoh pada zaman Perjanjian Lama, pengalaman Yusuf adalah yang paling istimewa, dipenuhi unsur dramatik, dan sangat menarik. Bab ini bermula dengan kisah Yusuf. Bermula dengan peranannya dalam keluarga, hal ini disebabkan ayahnya pilih kasih terhadapnya, seterusnya mencetuskan dendam dari abang-abangnya. Demikianlah, Yusuf yang baru berusia tujuh belas tahun, beransur menjadi wira yang menyelamatkan seluruh bangsa Israel dari kebuluran. Ini adalah sesuatu yang di luar jangkaan manusia. Perjalanan yang dialami oleh Yusuf adalah sangat sukar sepanjang proses ini, namun semua ini merupakan aturan Tuhan yang sangat ajaib, membuatkan kita teringin memuji-Nya.

 

Nas Alkitab : Kejadian 37: 1 – 28

 

Objektif Pengajaran dan Pembelajaran : 

Memahami bagaimana hidup bergaul sesama adik-beradik.

 

Ayat Hafalan : 

Alangkah baiknya dan indahnya, apabila saudara-saudara diam bersama dengan rukun! (Mazmur 133:1)

 

Persediaan Prapengajaran dan Pembelajaran :

Gambar (Gambar yang berkaitan disediakan oleh guru.)

 

Doa : 

Haleluya, dalam nama Tuhan Yesus berdoa. Bapa Syurga yang dikasihi, terima kasih kerana mengizinkan kami datang ke gereja dengan selamat, untuk beribadah kepada Engkau bersama dengan kawan-kawan. Kami juga mohon Tuhan membantu guru supaya dapat menyampaikan kata-kata yang memuliakan Tuhan, membantu kawan-kawan supaya menjadi anak-anak Tuhan Yesus yang baik, syukur kepada Tuhan, Amin!

 

Isi Pelajaran:

Pendahuluan

Adik-adik, adakah anda masih ingat akan Yakub? Iaitu Yakub yang telah merampas hak kesulungan abangnya. Walaupun dia mendapat berkat ayahnya dengan cara yang tidak baik, dia terpaksa meninggalkan rumah dan tinggal di rumah pak ciknya, Laban, kerana takut dibunuh oleh abangnya, Esau. Dia dibuli oleh pakciknya selama 20 tahun. Akhirnya, dia memberanikan diri untuk pulang dan mengakui kesalahannya terhadap abangnya, lalu abangnya juga memaafkannya. Dengan itu, barulah Yakub dan seisi keluarganya mula tinggal di Tanah Kanaan dan menjalani kehidupan yang tenang. Setelah Yakub menipu abangnya, dia tahu bahawa dia telah melakukan kesalahan besar dan dia tidak berani berbohong lagi. Dia telah menjalani kehidupan yang bersandar kepada Tuhan, di samping itu Tuhan juga menolongnya, sehingga anggota keluarganya menjadi semakin ramai, begitu juga dengan harta, lembu dan dombanya menjadi semakin banyak. Hari ini, marilah kita mengenali anak-anak lelaki Yakub. Bagaimanakah sikap mereka?

 

Keluarga Yusuf

Wah, adik-adik, Yakub mempunyai seramai dua belas orang anak lelaki (boleh memimpin murid-murid menghitung bersama)! Ibu Yusuf, Rahel meninggal dunia setelah melahirkan adiknya, Benyamin. Anaknya yang kesebelas (jari menunjuk kepada Yusuf) adalah pintar dan baik hati sejak kecil, dan dia sangat menyayangi adik lelakinya, Benyamin. Walaupun dia tidak mempunyai ibu, tetapi dia sangat mengasihi Tuhan dan mendengar cakap ayahnya. Setiap kali apabila Yusuf mendapati sepuluh orang abangnya melakukan kejahatan, dia akan melaporkan kepada ayahnya, kerana dia berharap agar abang-abangnya jangan melakukan kejahatan, melainkan mendengar cakap ayah dan menjadi anak-anak Tuhan yang baik. Justeru, abang-abangnya membenci adik mereka yang suka melapor ini. Anak yang kesebelas ini bernama “Yusuf”. Mari, semua orang menyebut “Yusuf” bersama dengan cikgu.

 

Jubah Yusuf Yang Berwarna-warni

Ketika Yusuf berusia tujuh belas tahun, ayah yang menyayanginya, Yakub, telah membuat sehelai jubah berwarna-warni yang sangat indah untuk Yusuf. Yusuf memakai jubah yang cantik itu dan berasa sangat gembira! Tetapi sepuluh orang abang Yusuf berasa tidak senang hati kerana mereka tidak menyukai Yusuf dari awal lagi. Tambahan pula Yusuf sekarang memiliki jubah yang cantik, tetapi mereka tidak. Hal ini menyebabkan semua abangnya terasa sangat marah dan cemburu. 

Adik-adik sekalian, siapakah yang paling menyukai kemarahan dan cemburu seperti ini? Betul, iblis paling menyukainya! Pemikiran jahat ini tinggal di dalam hati abang-abangnya. Mereka semakin tidak menyukai adik mereka. Tahukah anda? Abang-abang ini masih berusaha mencari jalan untuk mencederakan Yusuf, adik mereka. Lihatlah, pemikiran jahat di dalam hati adalah seperti benih kecil, contohnya sering marah atau cemburu (iaitu ketika anda melihat prestasi baik orang lain atau orang lain mempunyai benda yang baik tetapi anda tidak memilikinya, lalu anda membenci orang itu), benih kecil ini akan bertumbuh besar dengan perlahan-lahan sehingga akhirnya menjadi pokok yang besar. Akibatnya akan menjadi amat menakutkan.

 

Yusuf Melawat Abangnya Dengan Berani 

Keluarga Yakub mempunyai banyak kambing domba, abang-abangnya bertanggungjawab untuk menggembala kambing domba itu makan rumput setiap hari. Pada suatu hari, abang-abangnya telah membawa kambing domba itu ke tempat yang jauh untuk makan rumput dan belum lagi pulang ke rumah berhari-hari lamanya. Yakub sangat merindui mereka, jadi dia memanggil Yusuf dan berkata: “Yusuf, lihatlah bagaimana keadaan abang-abangmu. Mereka telah menggembala kawanan kambing domba banyak hari dan belum kembali lagi. Adakah mereka selamat? Adakah kambing domba itu berkelakuan baik? Selepas berjumpa dengan mereka, kembalilah dan laporkan kepada ayah, boleh?” Sebaik sahaja Yusuf mendengar apa yang dikatakan oleh ayahnya Yakub, dia segera berkata, “Baik ayah, aku akan pergi segera.” 

Adik-adik sekalian, tahukah anda? Untuk sampai ke tempat di mana abang-abangnya menggembala kambing domba, dia perlu menempuh perjalanan yang sangat jauh, melalui padang gurun (tempat yang tidak didiami manusia) yang sunyi dan mempunyai binatang buas. Kamu rasa Yusuf takut? Yusuf berdoa dengan beriman. Dia percaya bahawa Tuhan pasti akan melindungi dan menyertainya. Setelah berdoa, dia mengenakan jubah indah yang diberikan oleh ayahnya lalu berangkat.

 

Yusuf Dijual

Yusuf berjalan jauh, melalui padang gurun yang menakutkan, bahkan tersesat dan akhirnya menemui abang-abangnya. Dia melihat abang-abangnya dari jauh lalu berlari menemukan mereka dengan gembira tetapi mereka tidak suka melihat Yusuf. Jadi mereka sepakat untuk mencelakakan Yusuf. Mereka menanggalkan jubah indahnya, menangkap dan melemparnya ke dalam sumur yang dalam. Kemudian, sekumpulan pedagang kebetulan melalui kawasan tersebut, lalu mereka menjual Yusuf kepada pedagang itu. Selepas itu, mereka mengoyakkan jubah Yusuf dan mencelupkannya ke dalam darah binatang, ini menyebabkan ayah mereka menyangka bahawa Yusuf telah dimakan oleh binatang buas lalu bersedih untuk satu tempoh yang panjang. Bagaimanakah dengan Yusuf yang kasihan itu? Dia dibawa oleh orang-orang itu ke negara Mesir yang sangat jauh dan dijualkan kepada seorang yang bernama Potifar. Potifar adalah seorang pegawai tinggi di Mesir. Yusuf bertugas sebagai hamba di rumahnya dan berkhidmat untuk seisi keluarga tuannya.

 

Kesimpulan 

Adik-adik, hari ini kita telah mendengar cerita tentang Yusuf. Apakah pendapat anda? (Adik-adik bebas memberikan pendapat). Cuba fikirkan mengapa ayah memberi Yusuf jubah yang indah? Selain daripada disebabkan menyayangi dia, dia pasti ada menunjukkan prestasi yang baik di rumah, bukan? Cuba kamu lihat, apabila ayah meminta dia seorang diri pergi menjenguk abang-abangnya tanpa ditemani, dia perlu menempuh perjalanan yang jauh dan berbahaya, namun dia segera bersetuju dan tidak menolak permintaan ayahnya. Adik-adik, adakah anda sama seperti Yusuf? (Biarkan adik-adik menjawab). 

Sekarang marilah kita berfikir lagi, mengapakah abang-abang Yusuf ingin mencederakan dan menjualnya kepada orang lain? Jika kita sama seperti abang-abang Yusuf, hati yang dipenuhi dengan sikap pemarah dan kuat cemburu, mustahil kasih dan sukacita dapat masuk ke dalam hati. Fikirkanlah: Betapa ngerinya wajah orang yang tidak mempunyai kasih dan tidak bersukacita! Kadang-kadang kita akan bertengkar dengan abang, kakak dan adik kita, tetapi kita mesti tahu bahawa semua orang disayangi oleh ibu bapa dan Tuhan kita, jadi kita mesti saling mengasihi dan hidup bahagia bersama-sama, tahu? Minggu depan, Yusuf bekerja di rumah Potifar, dan sesuatu yang menakutkan telah berlaku. Apakah yang berlaku? Bagaimanakah Yusuf menanganinya? Marilah kita sama-sama membantu Yusuf mencari jalan penyelesaian pada minggu depan, boleh?