Mesej Untuk Guru:
Kepada guru yang dikasihi, akhirnya kita telah masuk ke penggal terakhir. Secara keseluruhannya, penggal ini menceritakan kisah mengenai Yesus dan para rasul, bermula daripada Yesus memanggil Petrus, Andreas, Yakobus dan Yohanes untuk mengikuti-Nya. Melalui cerita ini, pelajaran ini juga akan menyampaikan konsep yang amat penting bagi umat Kristian, iaitu: “Menyerahkan seumur hidup ke dalam tangan Tuhan’’. Ramai orang yang hanya mengejar kejayaan dan mencari nilai kewujudan diri dalam seumur hidup mereka. Namun, yang menyedihkan adalah dalam zaman yang mengejar kejayaan pantas dan kesenangan ini, kita sering dikawal oleh pandangan dan penilaian orang lain. Kita menetapkan nilai duniawi pada diri sendiri sehingga kita perlu berjuang seumur hidup deminya. Semakin banyak yang kita harapkan, semakin banyak pula yang hilang. Kita berusaha untuk mengejar kegembiraan, namun kegembiraan sentiasa jauh selangkah daripada kita. Oleh itu, marilah! Marilah kita melihat wahyu melalui cerita yang disampaikan ini. Apabila manusia tidak lagi mempunyai kemampuan, Yesus datang. Dia meminta hanya sedikit bantuan daripada kita. Asalkan kita rela, kita akan memperoleh kasih karunia yang berlimpah-limpah dengan percuma. Seterusnya, Dia berkata: “Wahai, anak! Janganlah sibuk lagi. Marilah dan ikutlah Aku! Hanya Aku sahaja yang memiliki kelimpahan yang sejati.’’ Pada waktu itu, apakah jawapan kita? Ketika kita masih ragu-ragu, empat orang murid telah melepaskan semuanya untuk mengikuti Tuhan. Pada saat ini, lepaskanlah diri sendiri, harapan duniawi, kebendaan yang dimiliki, segala keuntungan serta kerugian, dan datanglah kepada Tuhan. Ya, datanglah kepada Tuhan. Tuhan mahu kita belajar untuk melepaskan pengharapan yang bukan milik-Nya, kekayaan yang bukan milik-Nya, keuntungan dan kekurangan yang bukan milik-Nya, dan hanya hidup untuk-Nya. Hal ini kerana Dia ingin memberitahu kita bahawa menjadi penjala manusia di dunia ini adalah lebih penting daripada menjadi penjala ikan! Semoga melalui cerita ini, kita dapat memahami harapan Yesus terhadap kita. Janganlah kita lupa untuk berkongsi dengan kanak-kanak apa yang telah kita peroleh.
Nas Alkitab: Matius 4:18-22; Lukas 5:1-11
Objektif Pengajaran dan Pembelajaran:
Tahu bahawa kita akan memperoleh berkat yang paling berkelimpahan dengan melepaskan segalanya dan mengikuti Tuhan.
Ayat Hafalan:
“Mari, ikutlah Aku, dan kamu akan Kujadikan penjala manusia.” (Matius 4:19)
Persediaan Prapengajaran dan Pembelajaran:
Mengumpul dan memaparkan gambar ikan atau gambar nelayan yang sedang membaiki jala ikan.
Doa:
Dalam nama Tuhan Yesus berdoa. Terima kasih Tuhan Yesus, kerana kami telah dibaptis dan mengenali Engkau. Engkau memberi kami barang-barang keperluan harian. Engkau menemukan kami dengan orang yang baik dan perkara yang baik. Kami mengasihi-Mu, dan kami juga mahu melakukan banyak kerja untuk-Mu. Haleluya. Amin.
Isi Pelajaran:
Pendahuluan
Adik-adik, sebelum ini cikgu pernah bercerita tentang seorang raja yang telah membuat peti persembahan supaya semua orang boleh memberi persembahan. Dia telah menggunakan wang persembahan untuk membaikpulih semula bait suci. Masihkah kamu ingat siapa orang ini? (Guru memberikan petunjuk). Ya! Dia ialah Yoas. Kita tahu betapa bahagianya dapat berkebaktian di dalam Bait Suci! Sama seperti kita yang dapat berkebaktian dan beribadah kepada Tuhan di dalam gereja pada hari ini. Tambahan pula, gereja pada hari ini berdekatan dengan rumah kita. Kita boleh pergi ke gereja setiap hari, bahkan kita boleh pergi ke gereja beberapa kali dalam sehari, amat dekat dan mudah. Begitu juga pada zaman Tuhan Yesus, cuma gereja mungkin tidak berhampiran dengan rumah mereka. Tetapi, untuk memberitakan Injil, Yesus perlu berkhotbah di merata-rata tempat. Adakalanya di kawasan yang lapang, adakalanya di atas bukit, adakalanya di rumah orang lain, dan adakalanya di kampung. Cerita hari ini adalah tentang Tuhan Yesus telah sampai di tepi pantai. Dia berjumpa dengan empat orang yang menangkap ikan (Tunjukkan gambar nelayan), iaitu empat orang “nelayan”. Marilah kita mendengar apakah peristiwa istimewa yang berlaku kepada mereka.
Dua Pasang Saudara Nelayan
Di kerajaan Israel, ada sebuah danau yang besar bernama danau Galilea. Di tepi danau itu ada dua pasang saudara. Pasangan yang pertama ialah Petrus dan Andreas dan pasangan yang kedua adalah Yakobus dan Yohanes. Mereka ialah kawan baik yang sering pergi ke laut bersama-sama untuk menangkap ikan.
Pada suatu hari, ketika hari menjelang gelap, sekali lagi mereka keluar bersama-sama untuk menangkap ikan. Adik-adik, tahukah kamu bagaimana caranya untuk menangkap ikan? Ya, dengan menggunakan jala ikan yang besar! Nelayan-nelayan sangat bijak. Mereka tahu di mana tempat yang ada banyak ikan pada waktu lewat malam. Mereka pun pergi ke tempat itu menggunakan perahu. Mereka akan menebarkan jala ke dalam laut, dan menarik semula jala itu selepas suatu jangka masa. Dengan demikian mereka akan dapat menangkap banyak ikan. Selepas perahu mereka mendarat di pantai, mereka akan menjual ikan-ikan di pasar, dan ibu-ibu pun boleh membeli ikan yang segar dan enak. Tetapi cerita pada hari ini berlainan pula. Keempat-empat nelayan ini telah menjala ikan semalaman, mereka langsung tidak tidur dan berasa sangat letih. Tetapi mereka tidak mendapat seekor ikan pun. Mereka berasa sangat sedih. Sehingga pada waktu pagi, mereka masih tidak dapat menangkap apa-apa. Mereka tidak mempunyai pilihan lain selain bertolak kembali ke pantai. Dengan tiada semangat mereka menarik jala ikan kembali ke pantai untuk dibersihkan.
Petrus Meminjamkan Perahu Kepada Yesus Untuk Berkhutbah
Pada waktu ini, mereka melihat ramai sekali orang yang sedang berpusu-pusu menuju ke arah mereka, bahkan berhimpit-himpit. Rupa-rupanya, orang ramai ini mengikuti Tuhan Yesus untuk mendengar firman yang disampaikan oleh Tuhan Yesus. Tetapi bagaimanakah Yesus dapat berkhotbah sekiranya dia dihimpit oleh orang ramai seperti ini? Mari kita lihat apa cara yang digunakan oleh Tuhan Yesus. Tuhan Yesus melihat perahu Petrus berada di tepi pantai, lalu berkata kepada Petrus: “Bolehkah engkau pinjamkan perahumu kepada-Ku sebentar? Dengan itu, Aku boleh duduk dan berkhutbah di atas perahu supaya lebih ramai orang dapat mendengarnya.” Rupa-rupanya, Yesus ingin menyampaikan firman di atas perahu! Walaupun tidak mendapat seekor ikan pun, namun perasaan Petrus tidak terganggu untuk menjawab dengan nada yang kasar: “Tidak! Siapakah Engkau ini? Aku tidak mahu pinjamkan perahuku kepada-Mu!” Dia segera mengangguk kepalanya dan membiarkan Tuhan Yesus duduk di atas perahunya, kemudian mendayung perahu jauh sedikit dari pantai. Dengan demikian Tuhan Yesus duduk di atas perahu, dan semua orang duduk di tepi pantai mendengarkan ajaran Yesus. Yesus menceritakan banyak ajaran yang baik kepada orang ramai. Setelah selesai mendengarkan ajaran-Nya, mereka semua pulang dengan gembira.
Dua Perahu Yang Penuh Dengan Ikan
Selepas orang ramai pulang ke rumah, Yesus memandang kepada Petrus yang baik hati dan berkata: “Bertolaklah ke tempat yang dalam dan tebarkanlah jala untuk menangkap ikan.” Petrus dan Andreas menjawab: “Guru, semalam-malaman kami menjala ikan tetapi kami tidak menangkap apa-apa pun. Tetapi sekiranya Engkau mahu kami pergi sekali lagi, kami akan mendengar perkataan-Mu dan pergi menebarkan jala lagi.” Mereka melakukan seperti apa yang telah dikatakan oleh Yesus. Mereka bertolak ke tempat yang paling dalam dan menebarkan jala ikan. Selepas suatu jangka masa, Petrus pun menarik jala ikan tersebut. Tetapi, eh? (Guru menunjukkan aksi menarik sesuatu dengan kuat tetapi tidak dapat mengangkatnya). Mengapakah jala tidak dapat ditarik ke atas? “Andreas, cepatlah datang menolong! Mungkinkah jala tersangkut pada sesuatu?” Adik-adik, mengapakah jala ikan menjadi berat dan tidak dapat ditarik ke atas? (Biarkan kanak-kanak memberikan pendapat). Ya, ini disebabkan mereka telah menangkap banyak sekali ikan! Mereka memanggil dengan suara yang kuat: “Yakobus! Yohanes! Cepatlah datang menolong kami!” Apabila Yakobus dan Yohanes yang berada di pantai mendengar panggilan itu, mereka pun segera bertolak dengan perahu mereka. Satu, dua, tiga, tarik! Tarik! Dengan bersusah payah mereka menarik jala ikan ke atas perahu. Wah, keempat-empat nelayan ini dikelilingi oleh banyak sekali ikan! Cuba teka berapa ekor ikan yang ada di atas perahu? (Biarkan kanak-kanak memberikan pendapat). Kedua-dua buah perahu telah dipenuhi dengan ikan sehingga perahu mereka hampir tenggelam.
Penjala Manusia
Sekembalinya Petrus ke tepi pantai, dia mengetahui bahawa orang yang bernama “Yesus” ini bukanlah orang biasa. Maka, dia segera pergi mendapatkan Yesus dan berterima kasih kepada-Nya. Yesus tersenyum dan berkata kepadanya: “Petrus, Andreas, mari, ikutlah Aku memberitakan Injil! Kamu akan Kujadikan penjala manusia.” Petrus dan Andreas pun segera menjawab: “Baiklah! Yesus, kami akan mengikuti Engkau.” Yesus berkata pula kepada Yakobus dan Yohanes: “Yakobus, Yohanes, mari, ikutlah Aku untuk memberitakan Injil juga!” Yakobus dan Yohanes menganggukkan kepala dan menjawab: “Baiklah! Kami akan pergi memberitahu ayah kami dan segera kembali.” Dengan itu, Petrus, Andreas, Yakobus, Yohanes tidak lagi bekerja sebagai nelayan. Mereka mengikuti Yesus menyebarkan injil di merata-rata tempat, membantu Yesus, menyembuhkan penyakit, mengusir roh-roh jahat, dan membuat ramai orang datang untuk percaya kepada Yesus, sama seperti yang pernah dikatakan oleh Yesus kepada mereka: “Kamu akan Ku jadikan penjala manusia.”
Kesimpulan
Petrus dan teman-temannya tidak lagi bekerja sebagai seorang nelayan, melainkan mereka ingin menjadi murid Yesus. Adik-adik, Yesus mengasihi kita, maka kita haruslah melakukan banyak pekerjaan untuk Yesus. Jikalau pada hari ini, Yesus bertanya pada kita (Pergi ke depan kanak-kanak dan bertanya kepada seorang demi seorang): “XX, mahukah engkau membantu-Ku?” (Kembali ke hadapan selepas bertanya kepada beberapa orang kanak-kanak). Wah, kamu semua sangat baik hati! Tetapi, untuk membantu Tuhan Yesus melakukan kerja, kamu harus menggunakan banyak masa, perlu melakukan banyak perkara, perlu banyak berpeluh dan perlu banyak berfikir. Amat susah! Adakah kamu mahu membantu? (Minta kanak-kanak yang mahu membantu angkat tangan, ucapkan terima kasih kepada mereka, dan minta mereka turunkan tangan). Cikgu mendapati bahawa kamu semua ialah adik-adik yang sangat bijak, kerana sekiranya kamu menolong Yesus melakukan kerja, maka kamu akan memperoleh hadiah yang paling banyak. Sama seperti Petrus dan teman-temannya. Mereka telah berusaha dan bekerja sepanjang malam tetapi tidak mendapat apa-apa. Namun begitu, oleh sebab Petrus telah meminjamkan perahunya kepada Yesus dan percaya kepada kata-kata-Nya, maka apabila dia menjala ikan pada waktu pagi, dia telah menjala banyak ikan sehingga memenuhi dua perahu dan hampir tenggelam. Cuba kamu lihat. Bukankah Tuhan Yesus sangat berkuasa dan sangat mengasihi kita? Oleh itu, apakah kerja yang dapat kita lakukan untuk membantu Tuhan Yesus? Ya, betul! Membantu cikgu mengemas kelas, membuang sampah, mengemas mainan, mengelap meja, menyanyi kidung memuji Tuhan, menceritakan kisah Tuhan Yesus kepada kawan-kawan kamu, mendoakan kawan-kawan kamu, menyebarkan risalah… Semua ini ialah usaha membantu Yesus! Memandangkan kamu semua ingin membantu Yesus, cikgu juga mahu berusaha melakukan kerja suci untuk Yesus. Dengan demikian, kita akan dapat pergi ke syurga bersama-sama dan menerima hadiah daripada Yesus! Pada minggu depan, cikgu akan menyampaikan kisah tentang Yesus membantu sepuluh orang, tetapi hanya seorang sahaja yang kembali dan berterima kasih kepada Yesus.