BAB 1 : PENYERAHAN SEPULUH HUKUM DI ATAS GUNUNG SINAI

Mesej Untuk Guru :

Kepada guru yang dikasihi, isi kandungan utama bagi penggal ketiga tertumpu kepada bahagian kedua Kitab Keluaran, iaitu semasa umat Israel berdosa kerana membuat anak lembu emas di bawah Gunung Sinai, Tuhan mengumumkan sepuluh hukum, sehingga kepada dua belas orang pengintai yang mengintai Tanah Kanaan di Kitab Bilangan, umat Israel dihukum Tuhan kerana bersungut-sungut, selepas 40 tahun, apabila umat Israel menyeberangi sungai Yordan di Kitab Yosua, serta menyerang kota Yerikho dan kota Ai, dan juga termasuklah nabi Bileam yang tamak, Gideon di Kitab Hakim-Hakim, Simson yang kuat perkasa, pengajaran di Kitab Rut dan lain-lain.

Walaupun terdapat banyak watak dan jalan cerita yang kompleks, tetapi ia hanya tertumpu kepada satu pengajaran yang jelas – iaitu ketidaktaatan seseorang akan diajar oleh Tuhan yang adil. Contohnya, pengintai-pengintai yang jahat, Bileam, Akhan, Simson dan sebagainya. Sebaliknya, siapa yang beriman kepada Tuhan akan disertai dengan bantuan  dalam bentuk tanda mukjizat, serta menerima kasih yang berkelimpahan! Dalam Bab 1, marilah guru-guru renungkan penerangan Alkitab mengenai pernyataan Tuhan di Gunung Sinai, dan penegasan Tuhan terhadap manusia untuk memegang sepuluh hukum. Bab ini telah banyak menunjukkan kejahilan umat Israel dalam dosa-dosa mereka membelakangi Tuhan.

 

Nas Alkitab : Keluaran fasal 19-33

 

Objektif Pengajaran dan Pembelajaran :

  1. Mendidik kanak-kanak kecil memahami bahawa Tuhan adalah api yang menghanguskan, dan Tuhan yang cemburu.
  2. Mendidik kanak-kanak kecil supaya takut akan Tuhan.

 

Ayat Hafalan :

Jangan ada padamu allah lain di hadapan-Ku. (Keluaran 20:3)

 

Persediaan Prapengajaran dan Pembelajaran :

Gambar (Gambar yang berkaitan disediakan oleh guru.)

Doa :

Dalam nama Tuhan Yesus berdoa. Bapa syurga yang pengasih. Engkau telah menciptakan segala sesuatu, dan mengaruniakan nyawa kepada kami. Kami sudi beribadah dan memuji-Mu. Kami akan memegang hukum yang Engkau tetapkan bagi kami dengan sebaik-baiknya. Semoga Tuhan membantu. Haleluya. Amin.

 

Isi Pelajaran :

Pendahuluan

Adik-adik, jika kamu melakukan kesalahan untuk kali yang pertama, apakah tindakan ibu bapa kamu? (Kanak-kanak berikan komen)Jika kita melakukan perkara yang kita sedia maklum adalah salah, apakah tindakan yang akan diambil oleh ibu bapa? (Kanak-kanak berikan komen) Cikgu ingin bertanya, pernahkah kamu melihat orang kafir (orang yang tidak menyembah kepada Tuhan benar) sedang menyembah berhala? (Minta kanak-kanak berikan komen), Marilah kita renungkan, adakah Tuhan sangat tidak gembira apabila orang kafir menyembah berhala? Jikalau pemercaya yang sudah percaya kepada Tuhan pergi menyembah berhala, apakah tindakan Tuhan benar? Hari ini kita akan ceritakan umat pilihan Tuhan – iaitu cerita orang Isreal menyembah berhala. Selain itu, pernahkah kamu dengar tentang “sepuluh hukum” ? Adakah kamu tahu “sepuluh hukum” ini datang dari mana?

 

Musa Naik ke Gunung

Orang Israel telah meninggalkan Mesir, dan berjalan selama 3 bulan baru mereka sampai ke padang gurun yang terletak di bawah Gunung Sinai. Maka orang Israel telah mendirikan khemah dan berehat di sana. Pada suatu hari, Tuhan Allah yang benar akan turun di atas Gunung Sinai, dan pada masa itu terdapat kilat dan guruh yang mengguntur, serta banyak awan di atas gunung, seluruh Gunung Sinai sedang berasap. Berlakulah gempa bumi yang hebat dan terdapat bunyi sangkakala yang sambung-menyambung, sehinggakan orang Israel sangat takut dan gemetar. Tuhan benar telah turun dalam perapian, sungguh menakutkan! (Tujuan Tuhan benar turun adalah supaya bangsa takut akan-Nya (Keluaran 20:20) Tuhan Allah benar berfirman: “Musa, naik ke atas gunung dan datanglah kepada-Ku. Aku ingin memberikan loh-loh batu yang dituliskan sepuluh hukum kepadamu, supaya kamu boleh mengajar bangsa. Tetapi imam-imam dan umat yang lain tidak boleh naik ke atas gunung!” Maka Musa naik ke gunung, dan membiarkan umat Israel menunggu di kaki gunung. Hari demi hari, mereka telah lama menunggu, hairan sekali! Mengapa Musa membiarkan kami menunggu begitu lama? Selepas orang Israel meninggalkan Mesir, adakah mereka telah melihat banyak tanda mukjizat? (Kanak-kanak berikan komen) Sepatutnya mereka  lebih mengenali Tuhan dan lebih taat kepada kata-kata Tuhan. Tetapi, orang Israel sangat lemah, kali ini mereka bukan bersungut-sungut kepada Tuhan bahawa mereka tiada makanan untuk makan dan tiada air untuk minum, sebaliknya mereka telah melakukan dosa besar yang menakutkan iaitu menyembah berhala!

 

Umat dan Harun Membuat Lembu Emas dan Menyembah Lembu Emas

Orang Israel lupa akan tanda mukjizat yang dilakukan oleh Tuhan dalam kalangan  mereka, maka mereka mulai bising dan berteriak-teriak, dan berkata kepada Harun: “Mari, buatlah untuk kami allah, yang akan berjalan di depan kami untuk memimpin jalan, sebab kami tidak tahu apa yang telah terjadi dengan Musa. Dia tidak kembali, maka kami tidak ingin menunggu dia lagi.” Tidak disangka-sangka Harun yang kebingungan itu juga mendengar kata-kata bangsa itu. Semua orang menanggalkan anting-anting emas yang ada pada telinga dan badan mereka, lalu dilebur dengan api dan dipahat menjadi seekor lembu emas. Umat Israel berkata: “Ini barulah tuhan yang menuntun kita keluar dari tanah Mesir, marilah kita bersama-sama menyembah lembu emas ini!” Maka orang Israel makan sambil minum, serta menyanyi dengan suara yang nyaring dan menari-nari untuk meraikan hal ini. Mereka mulai menyembah lembu emas dan lupa akan Tuhan yang menuntun mereka keluar dari tanah Mesir. Hal ini memang tidak sepatutnya dilakukan.

 

Tuhan Allah Benar Murka

Adakah Tuhan Allah Benar tahu tentang hal umat Israel menyembah lembu emas? (Sudah tentu tahu). Tuhan Allah Benar berfirman kepada Musa di gunung Sinai: “Pergilah, turunlah, sebab umat Israel tidak mendengar kata. Mereka telah membuat seekor anak lembu emas dan menyembahnya. Aku akan membangkitkan murka-Ku terhadap mereka dan membinasakan mereka.” Adik-adik, Tuhan Allah Benar sangat marah. Apa yang boleh dilakukan?

 

Musa Memohon Bagi Umat dan Menegur Mereka

Musa yang mengasihi umat Israel sangat sedih selepas mendengarnya, tetapi dia tahu bahawa Tuhan adalah Allah yang penuh kasih, maka dia memohon kepada Tuhan dengan bersungguh-sungguh sambil mencucurkan air mata, supaya Tuhan mengampuni dosa besar yang dilakukan umat ini, dan memohon agar umat yang terus memimpin mereka menuju ke Tanah Kanaan. Akhirnya, Tuhan tidak membinasakan umat Israel kerana permohonan Musa yang begitu sungguh-sungguh ini.

Musa Turun Dari Gunung Untuk Menegur Umat

Musa turun dari gunung sambil membawa dua loh batu di tangannya. Kedua-dua loh batu itu mempunyai tulisan pada kedua-dua permukaannya. Tulisan itu merupakan kesepuluh firman yang ditulis dengan jari Tuhan di atas kedua-dua loh batu itu. Adik-adik, adakah kamu dapat menulis perkataan dengan jari kamu di atas batu? Cikgu tak mampu berbuat demikian, adakah kamu mampu? Ya, tiada orang yang dapat melakukannya, hanya Tuhan yang dapat berbuat demikian! Waktu itu Musa berjalan sehingga ke kaki gunung dan melihat umat sedang menari, menyanyi serta bersuka ria. Kemudian apabila dia melihat lembu emas itu, hatinya menjadi sangat marah! Dia berfikir, bagaimana umat Israel boleh pergi menyembah lembu emas? Mereka telah bersalah terhadap Tuhan. Semakin Musa berfikir, semakin dia naik marah, sehingga dia memecahkan dua loh batu itu. Musa ingin umat segera membakarkan lembu emas itu dengan api dan digiling sampai halus, kemudian ditaburkan ke atas air. Dia juga telah memanggil Harun dan memarahinya. Selepas itu Musa menegur umat dengan tegas supaya mereka bertaubat.

 

Tuhan Menciptakan Loh Batu Sekali Lagi

Setelah Tuhan Allah yang benar mendengar kata-kata Musa dan pertaubatan umat-Nya, Dia pun mengampuni mereka. Maka Tuhan telah menuliskan dua loh batu lagi supaya umat tahu untuk mematuhinya. Adik-adik, adakah kamu tahu apakah itu kesepuluh firman? Ia merupakan hal yang Tuhan ingin kita patuhi. Oleh itu, orang yang dapat memegang kesepuluh firman merupakan anak yang taat dan dikasihi oleh Tuhan. Kesepuluh firman yang kita pegang sekarang merupakan kesepuluh firman yang diumumkan oleh Tuhan di atas gunung Sinai, yang ditulis oleh Tuhan sendiri di atas loh batu, dan ia tidak akan berubah buat selama-lamanya.

Apabila sampai di kelas darjah rendah, cikgu akan mengajar kamu keseluruhan kesepuluh firman, tetapi sekarang di kelas tadika, kita hanya perlu ingat dua hukum sahaja. Yang pertama ialah: “Jangan ada padamu allah lain di hadapan-Ku.” Kedua ialah: ”Jangan membuat bagimu patung.” (Guru boleh menggalakkan kanak-kanak di kelas tadika atas untuk menghafal hukum pertama dan kedua.)

 

Kesimpulan

Adik-adik, jangan sesekali menyembah berhala! Walaupun usia kita masih muda, tetapi kita pasti dapat menjadi seorang kanak-kanak yang taat, tidak boleh makan makanan yang telah disembah dan tidak boleh makan darah. Janganlah kita mencontohi orang Israel yang tidak taat dan membangkitkan murka Tuhan benar. Pada minggu depan kita akan belajar bagaimana orang Israel telah melakukan satu perkara yang sangat jahat dan membangkitkan murka Tuhan sehinggakan ramai orang dihukum. Jadi apakah perkara yang menimbulkan kebencian Tuhan? Minggu depan cikgu akan ceritakannya kepada kamu.