BAB 1 : PUTERA DALAM BAIT TUHAN

Nas Kitab : II Raja-Raja 11 ; II Tawarikh 22-23

 

Objektif Pengajaran dan Pembelajaran :

  1. Mengetahui bahawa putera Yoas menjadi raja kerana ada pertolongan Tuhan.
  2. Dapat melakukan apa yang benar di mata Tuhan.
    1. Dapat menyebut satu atau dua perkara yang dikenankan Tuhan.

 

Ayat Hafalan :

Melakukan apa yang benar di mata Tuhan, Allah mu. (Ul 13: 18)

 

Persediaan Prapengajaran dan Pembelajaran :

  1. Gambar pengajaran-pembelajaran
  2. Kad tulisan

 

Doa :

Dalam nama Tuhan Yesus berdoa. Tuhan Yesus yang dikasihi, Engkau senantiasa memperhatikan apa yang kami lakukan. Apakah yang kami lakukan itu baik atau tidak? Engkau juga sentiasa melindungi kami, ketika kami menemui bahaya. Engkau menghulurkan tangan-Mu yang berkuasa dan menyelamatkan kami. Maka, kami harus berdoa setiap hari, menyanyi untuk memuji dan bersyukur kepadaMu. Haleluya. Amin.

 

Isi Pelajaran :

(Tunjukkan gambar 1-1)

Adik-adik, cuba lihat bagaimana dengan keluarga ini?  Raja, ratu dan anak-anak mereka. Lelaki adalah putera, perempuan adalah puteri. Rumah kediaman mereka digelar apa? Istana. Itulah rumah yang paling besar dan cantik di seluruh negara. Di dalam istana itu  ada ramai tentera pengawal yang melindungi mereka dan pembantu rumah yang melayani mereka. Apakah putera-puteri hidup gembira di istana?  Hari ini cikgu akan menceritakan seorang  putera yang tidak tinggal di istana.

 

Ratu Berebut Takhta

Pada zaman dahulu, adanya seorang raja bernama Yoram dari negara Yehuda. Dia telah memperisterikan anak perempuan raja Ahab (seorang raja yang sangat jahat di negara Israel) sebagai ratu. Maka dia dipengaruhi oleh ratu jahat ini sehingga melakukan banyak perkara yang tidak baik dan tidak takut akan Tuhan. Kemudian Tuhan membuatnya jatuh sakit lalu meninggal dunia.  Lalu Ahazia, anak lelakinya menjadi raja baharu. Namun dia juga dipengaruhi oleh ibunya (ratu jahat) di mana dia juga tidak menghormati Tuhan. Pada suatu kali ketika dia berada di luar, dia telah mati dibunuh. Pada masa itu, ibunya (iaitu anak perempuan Raja Ahab yang jahat) sangat jahat. Ketika mendengar berita buruk tentang kematian anaknya, dia bukan sahaja tidak sedih, tetapi sebaliknya berfikir: “Sekarang saya boleh menjadi raja perempuan!” Dia  menyuruh beberapa tentera pengawal membunuh semua putera secara senyap-senyap.

Pada masa itu, Raja Ahazia mempunyai seorang adik perempuan. Dia mengetahui rancangan jahat (konspirasi) yang dahsyat ini lalu memanggil pengasuh di rumahnya membawa putera bayi lelaki yang paling bongsu melarikan diri dari pintu belakang tanpa diketahui oleh siapapun. Sungguh kasihan sekali!  Selain daripada bayi kecil itu, semua putera telah mati dibunuh.  Nenek jahat bagi putera kecil ini kemudian menjadi raja perempuan. Dia sangat garang dan jahat! Jika ada seseorang mengingkarinya, maka orang itu akan dibunuh. Semua orang menjadi  takut tetapi tidak ada seorang pun yang berani melawannya.

 

Makcik Yang Baik Hati

Putera kecil yang diselamatkan oleh puteri dan pengasuh  ini bernama “Yoas” (Tunjukkan kad (1) kanak-kanak membaca 2 kali). Puteri yang menyelamatkan putera kecil ini ialah adik perempuan bagi bapa Yoas. Adik perempuan bapa digelar apa? Mak cik.  Jadi suami bagi mak cik digelar apa? Pak cik.  Pak cik putera kecil Yoas ini adalah seorang imam. (Kanak-kanak ulang sekali “imam”).  Cuba fikirkan, apakah pekerjaan seorang imam? Ketika  kita mendengar cerita tentang Samuel, cikgu pernah menjelaskannya. (Kanak-kanak menyuarakan pendapat). “Ya!” Pada zaman dahulu, orang yang tinggal di dalam Bait Tuhan yang dikhususkan untuk mempersembahkan korban dan penyembahan Tuhan  digelar sebagai imam. Bait Tuhan pada zaman dahulu adalah sama dengan gereja pada hari ini. Namun  ada tempat-tempat tertentu yang hanya boleh dimasuki imam. Ini adalah ketetapan yang ditentukan Tuhan sejak zaman dahulu. Ini berlainan dengan keadaan sekarang di mana kita boleh masuk dan menjenguk ke setiap kawasan di dalam gereja.

Puteri dan pengasuh melindungi Yoas, putera kecil ini melarikan diri. Mereka “Lari! dan Lari!” Adik-adik, cuba kamu fikirkan, ke manakah tempat yang paling selamat untuk bersembunyi? Bersembunyi di dalam Bait Tuhan adalah yang paling selamat. Ini disebabkan raja perempuan yang jahat itu tidak akan pergi ke Bait Tuhan. Dia tidak takut akan Tuhan. Demikianlah puteri menyembunyikan Yoas, putera kecil itu di dalam rumah pak ciknya. Walaupun putera kecil ini tidak mempunyai ibu bapa kandungnya, namun dia sangat sihat dan bahagia kerana disayangi pak cik dan mak ciknya sama seperti disayangi ibu bapanya. Di dalam Bait Tuhan, setiap hari dia menyanyi puji-pujian, berdoa menyembah Tuhan, belajar membaca Alkitab dan belajar banyak di Bait Tuhan . Dia juga bertanggungjawab mengurus kerja di Bait Tuhan.

Putera kecil Yoas sangat bijak, baik dalam pelajaran dan dalam pengendalian sesuatu hal. Dia menguasai apa dipelajarinya. Demikianlah enam tahun berlalu. Adik-adik, cuba kamu hitung,   berapakah usia putera kecil sekarang? (Tujuh tahun). Siapa yang sebaya dengan putera kecil ini? Sila angkat tangan. Baik! Adik-adik yang tidak mengangkat tangan bermaksud lebih dewasa daripada putera. Walaupun umur putera Yoas ini kecil, tetapi dia memahami lebih banyak daripada orang lain. Pak ciknya dan mak ciknya berunding : “Sekarang semua rakyat hidup menderita. Mereka tidak cukup makan dan tidak cukup pakaian. Yoas pula  semakin memahami sesuatu perkara. Kita seharusnya mencari ikhtiar untuk menghalau raja perempuan yang jahat itu!”  Maka, pak ciknya  berunding dengan beberapa pembesar yang mencintai negara secara senyap-senyap. Kemudian dia mengumumkan kepada semua: “Putera kecil Yoas tidak dibunuh, sekarang sudah berusia tujuh tahun.” Semua orang berasa sangat gembira selepas mendengarkannya! Mereka mulai membuat persiapan menyambut pekerjaan raja kecil ini. Tentu sekali kerja ini dirahsiakan. Tidak ada seorang pun yang  memberitahukan  hal ini  kepada raja perempuan. Oleh itu dia langsung tidak mengetahuinya.

 

Menyambut Raja Kecil Kembali Ke Istana
Hari yang paling menggembirakan telah tiba. Semua pengawal tentera negara, pembesar dan seluruh rakyat berpakaian kemas dan berkumpul di depan Bait Tuhan. Pengawal tentera memakai pakaian seragam yang kemas sambil mengambil tombak dan perisai, berbaris dengan teratur, memenuhi pelataran depan Bait Tuhan. Ini adalah sama seperti upacara perbarisan semasa hari kemerdekaan. Ianya sangat meriah! Rakyat hanya  boleh berdesak-desakan di tepi jalan dan menyaksikannya dari jauh.

Apabila upacara dimulakan, imam memimpin semua orang mempersembahkan doa, memohon Tuhan memberkati dan melindungi raja kecil ini. Kemudian dalam nama Tuhan meletakkan mahkota di atas kepala putera Yoas yang kecil, membantunya memakai jubah raja dan tangan berpegang tongkat kekuasaan yang diperbuat daripada emas. Ketika dia melambaikan tangan dan bersalam dengan rakyat, semua rakyat berasa sangat gembira dan bersorak: “Kekallah hidup Raja Yehuda! Kekallah hidup Raja Yoas!”

 

Kesudahan Raja Perempuan Yang Jahat

Pada masa itu, raja perempuan yang jahat masih berada di istana. Tiba-tiba dia mendengar sorakan, paluan gendang dan tiupan nafiri. Lalu dia pergi ke Bait Tuhan. Aduhai! Ada seorang raja kecil memakai mahkota raja.  Ramai orang mengikuti di belakangnya. Mereka berada di Bait Tuhan.

Raja perempuan akhirnya memahami apa yang sedang berlaku. Rupa-rupanya seluruh rakyat tidak menyukainya. Dia terpaksa lari keluar dari Bait Tuhan. Namun sebaik sahaja dia keluar dari istana, dia  dibunuh  oleh sekumpulan orang yang marah kepadanya dengan pedang. Raja perempuan telah mati dan semua berasa sangat gembira! Mengapa? Dialah yang memerintahkan pembunuhan anak dan cucunya sendiri. Pada masa yang sama, dia telah melakukan banyak kejahatan dan akhirnya Tuhan menghukumnya.

Raja kecil Yoas baru berusia tujuh tahun. Walaupun dia sangat bijak, tetapi masih kecil lagi. Maka, dia dibantu oleh pak ciknya dan beberapa orang pembesar untuk  mengendalikan hal ehwal negara. Sudah tentu, raja kecil ini sentiasa memimpin semua berdoa dan  beribadah kepada Tuhan.

 

Melakukan Apa Yang Benar Di Mata Tuhan

Menurut catatan kitab suci: Ulangan 13:18, Yoas “melakukan apa yang benar di mata Tuhan” dalam Bait Tuhan. Marilah kita membacanya bersama.

Ini menunjukkan bahawa apa yang dilakukan Yoas adalah dipandang baik oleh Tuhan. Tuhan  berkenan kepadanya, mengaruniakan kebijaksanaan dan mencurahkan berkat yang berkelimpahan kepadanya. Dengan demikian dia mengetahui pentingnya mengupah orang yang baik  untuk mengendalikan hal ehwal  negara biarpun dia ini masih dalam usia yang muda.

Adik-adik sekalian, perbuatan yang bagaimanakah yang boleh dikatakan sebagai “melakukan apa yang baik di mata Tuhan?” (Kanak-kanak suarakan).

Peraturan berikut boleh digunakan di gereja-gereja tempatan. Boleh ditambah atau dikurangkan. Ia bergantung kepada kelakuan kanak-kanak gereja tempatan.

 

  1. Harus bersikap soleh semasa di aula gereja.
    1. Tidak membuat bising dan tidak mengeluarkan suara-suara yang aneh.
    2. Tidak berlari ke sana atau ke sini, tidak menginjak meja dan kerusi atau alas lutut dan sebagainya.
    3. Tidak bermain peralatan-peralatan ini dengan sesuka hati: Papan tulis, piano, kad-kad pengajaran dan peralatan pengajaran yang lain.
  2. Bersikap ramah dan bersopan santun.
    1. Sentiasa mengekalkan hati yang bersukacita, senyum selalu.
    2. Memberi salam kepada orang lain secara spontan : “Haleluya”, “Salam sejahtera” dan sebagainya.
  3. Memberi persembahan wang. Memberi persembahan dengan sukarela.
  4. Mempersembahkan kedua-dua tangan. Mengemas dan membersihkan aula gereja secara spontan.

Guru akan melekatkan gambarajah ini dalam kelas. Kanak-kanak juga harus mengingatinya. Ingatlah dan lakukannya pada bila-bila masa. Semoga Tuhan Yesus mencurahkan berkat kepada kita semua seperti mana Tuhan mencurahkan berkat kepada Raja Yoas.

 

Sesi Aktiviti :

  1. Nama aktiviti : Cuba kira
  2. Objektif aktiviti :
    1. Berfikir dan refleksi diri semasa menjawab soalan.
    2. Belajar bersikap jujur terhadap diri sendiri.
  3. Isi kandungan aktiviti:
    1. Sebelum mengedarkan latihan, kanak-kanak diingatkan supaya bersikap jujur.
    2. Agar kanak-kanak dapat refleksi diri semasa menyiapkan latihan.
    3. Akhir sekali mendorong kanak-kanak agar ingat baik-baik kerja suci yang boleh dilakukan sendiri atau kerja suci yang rela dilakukan. Kemudian perlahan-lahan mengejar kemajuan dalam hal ini.

Adik-adik sekalian, jawab soalan yang berikut secara jujur, dan kira berapa () yang anda perolehi.

  1. Ketika saya bertemu dengan guru, penatua, diaken di gereja

(     ) Saya tidak berani menyebut : “Haleluya”.

(     ) Saya memberi senyuman kepada mereka.

(     ) Setiap kali saya akan bertanya khabar dan bersalam dengan mereka.

  1. Ketika saya di dalam aula gereja

(     ) Saya berjalan perlahan-lahan.

(     ) Saya menginjak alas lutut semasa berkebaktian.

(     ) Kadang-kala saya bercakap dengan suara yang kuat.

(     ) Saya tidak mengeluarkan sedikit suara pun.

  1. Ketika di kelas

(     ) Saya tidak mengambil barang guru dengan sewenang-wenangnya untuk dimain.

(    ) Kadang-kala saya menconteng papan tulis.

(    ) Saya suka bermain piano dengan sesuka hati.

Saya akan berusaha menjadi seorang anak yang baik. Ayat Alkitab : (Ul 13:18)