BAB 1: RAJA YANG TIDAK MENDENGAR AJARAN

BAB 1: RAJA YANG TIDAK MENDENGAR AJARAN

Mesej Untuk Guru: 

Guru yang dikasihi, tiba lagi permulaan penggal yang baharu. Pada penggal yang lalu, kita telah menceritakan pelbagai peristiwa mengenai Raja Saul, Raja Daud, dan Raja Salomo. Pada penggal ini, kita akan menceritakan perbuatan mereka dan pengaruh perbuatan mereka terhadap generasi yang akan datang. Raja Salomo dan Raja Daud bertakhta selama 40 tahun lamanya, namun mereka mengalami kesudahan yang amat berlainan. Daud telah melakukan dosa yang besar dengan menganiaya Uria dan merampas isterinya Batsyeba, sehingga pedang tidak disingkir daripada keturunannya, dan kerabat diraja bertempur secara terbuka atau secara tersembunyi, serta peperangan yang tidak ada penghujungnya. Daud mengalami kesengsaraan kerana perkara-perkara tersebut dan menyesal seumur hidupnya. Namun demikian, Daud mengetahui bahawa rahmat Tuhan itu seluas lautan, maka dia merendahkan diri dan bertaubat. Dia juga tekun menguruskan negerinya dan mengasihi rakyatnya.

Oleh sebab perbuatan Daud, Tuhan tidak merampas kembali takhta Salomo dengan serta-merta walaupun pada waktu tuanya, Raja Salomo telah melakukan perzinahan dan menyembah kepada berhala. Tuhan hanya memecahkankan kerajaan Raja Salomo selepas dia meninggal dunia menjadi dua bahagian semasa pemerintahan anaknya, Raja Rehabeam. Ini merupakan permulaan pembahagian negeri Israel kepada dua bahagian iaitu kerajaan Selatan (Negeri Yehuda) dan kerajaan Utara (Negeri Israel). Hal ini juga merupakan permulaan tragedi bagi umat Israel. Kita mengeluh dalam kesedihan apabila kita melihat sejarah yang berulang  tentang kebebalan umat yang menyebabkan mereka memberontak terhadap Tuhan  sehingga mereka ditimpa malapetaka. Semoga hal ini dijadikan pengajaran dan peringatan kepada kita, terutamanya dalam keadaan dunia sekarang yang penuh dengan perubahan dan keganjilan. Segala sesuatu yang menyebabkan kita percaya dan bersandar kepada hal-hal ini melebihi daripada kita bersandar kepada Tuhan tanpa kita sedari , adalah musuh iman kepercayaan kita. Maka, kita haruslah sentiasa berwaspada, jangan sesekali terperdaya dan mengulangi kesilapan umat Israel.

 

Nas Alkitab: 1 Raja-Raja fasal 12 – 13:10

 

Objektif Pengajaran dan Pembelajaran:

Mengetahui perihal Yerobeam membuat anak lembu jantan emas, sujud menyembahnya dan tidak mendengar perintah Tuhan, hal ini menimbulkan kemurkaan Tuhan sehingga dia tidak diberkati Tuhan.

 

Ayat Hafalan: 

Jangan sujud menyembah kepada patung (Keluaran 20 :5)

 

Persediaan Prapengajaran dan Pembelajaran: 

Model atau patung seekor lembu.

 

Doa: 

Dalam nama Tuhan Yesus berdoa. Bapa Syurga yang dikasihi, terima kasih kerana Engkau telah menciptakan dunia yang sangat indah untuk kami. Engkau juga telah menciptakan kami. Engkau Tuhan yang Maha Agung, oleh itu kanak-kanak yang berhikmat juga akan tahu untuk menyembah-Mu. Saya ingin menjadi seorang anak yang berhikmat,  menyembah kepada-Mu untuk selama-lamanya dan tidak menyembah kepada berhala. Haleluya, Amin.

 

Isi Pelajaran:

Pendahuluan: 

Adik-adik, masih ingatkah Raja Salomo yang berhikmat? Siapakah yang boleh memberitahu cikgu apakah perkara bijak yang telah Raja Salomo  lakukan? (Biarkan adik-adik memberikan pendapat). Ya! Bagus! Ada dua orang ibu bertengkar kerana berebut seorang bayi. Mereka pun meminta pertolongan daripada Raja Salomo dan Raja Salomo berjaya mencari ibu kepada bayi itu (Boleh menceritakan dengan lebih jelas tentang peristiwa tersebut). Ada seorang Ratu negeri Syeba yang menguji Raja Salomo dengan banyak teka-teki, tetapi Raja Salomo dapat menjawab semua teka-teki tersebut. Lantaran daripada itu, dia telah mendapat hadiah yang banyak sekali. Mengapakah Raja Salomo begitu berhikmat? Betul! Kerana Raja Salomo meminta hikmat daripada Tuhan (hikmat bermaksud tahu untuk membezakan yang betul dan yang salah, dan yang baik serta yang jahat). Tuhan benar-benar mengaruniakan hikmat kepada Raja Salomo. Tapi sayangnya, pada waktu Raja Salomo sudah tua, dia terlupa akan pertolongan dan keagungan Tuhan di mana dia mengikuti isterinya menyembah kepada berhala. Tuhan berasa sangat sedih dan marah. Oleh itu selepas Raja Salomo meninggal dunia, Tuhan membahagikan negeri Israel kepada dua bahagian. Sebahagian diperintah oleh anak Raja Salomo sementara yang sebahagian lagi diperintah oleh raja yang baharu yang bernama Yerobeam. Ikut cikgu baca sekali “Yerobeam”.

 

Raja Baharu Yerobeam

Disebabkan anak Raja Salomo itu jahat, maka ramai orang yang suka ikut raja yang baharu iaitu Yerobeam. Setiap hari Yerobeam mengenakan pakaian yang indah dan tinggal di istana raja yang selesa. Walaupun begitu dia sangat tidak gembira, kerana dia takut orang Israel pergi ke negeri yang diperintah oleh anak Raja Solomo. “Ah! Tidak berapa lama lagi seluruh orang Israel akan pergi ke Yerusalem menyembah Tuhan. Bagaimana jika mereka semua  tinggal di sana, tidak ingin kembali  ke sini lagi? Aku mesti fikirkan satu cara yang baik supaya orang Israel terus tinggal di negeri aku, barulah negeriku boleh menjadi sangat kuat.” Maka dia terus berjalan mundar-mandir sambil memikirkan caranya. (Guru berjalan mundar-mandir, melakukan gerakan seperti orang yang tidak tenang).

 

Yerobeam Membuat Lembu Emas

“Ya! Ada caranya!” Yerobeam terfikir satu cara yang baik dan dia segera menyuruh tukang membuat dua ekor lembu emas dari emas yang berkilauan. Kemudian dia menghimpunkan semua orang Israel, dan dengan suara nyaring dia berkata kepada mereka : “Hai orang Israel, aku Yerobeam melihat kamu setiap tahun menyembah Tuhan di mana kamu perlu menempuh perjalanan yang sangat jauh ke Yerusalem. Aku berasa kamu terlalu penat, maka aku telah fikirkan satu cara yang baik untuk kamu. Mari! Lihatlah!” Yerobeam pun membuka kain yang menutupi lembu emas itu. Wah! Adik-adik, dua ekor lembu emas yang disinari matahari sedang berkilau-kilauan! Yerobeam seterusnya berkata: “Dua ekor anak lembu jantan emas yang kalian lihat ini adalah tuhan yang menuntun kalian keluar dari Mesir! Aku akan meletakkannya di sekitar rumah kamu pada hari ini, maka kelak kamu tidak perlu lagi bersusah payah untuk menempuh perjalanan yang begitu jauh ke Yerusalem untuk menyembah Tuhan.” Adik-adik, berani Yerobeam menipu umat dengan berkata lembu emas itu ialah Tuhan! Cuba kamu teka, adakah orang Israel percaya? (Biarkan kanak-kanak mengutarakan pendapat). Tidak disangka orang Israel ini telah ditipu oleh Yerobeam dan mereka semua telah menyembah lembu emas itu.

 

Tangan Yerobeam Menjadi Kejang

Aduhai! Adik-adik, Yerobeam telah menipu orang Israel. Perbuatan dia memang teruk sekali. Adakah Tuhan gembira? (Tidak gembira) Justeru, Tuhan tidak lagi menyukai Yerobeam. Pada suatu hari, Tuhan mengutus seorang hamba Tuhan (orang yang bekerja untuk Tuhan) pergi mencari Yerobeam. Ketika itu Yerobeam sedang berdiri di sebelah mezbah Tuhan dan dia ingin membuat persembahan. Hamba Tuhan berseru terhadap mezbah itu atas perintah Tuhan. Setelah Yerobeam mendengar, dia berasa sangat marah lalu menghulurkan tangannya dari atas mezbah serta berkata: “Tangkaplah dia!” (Guru menghulurkan tangan kanan dengan menuding jari ke hadapan). Adik-adik, sesuatu yang menghairankan telah terjadi. Tangan Yerobeam telah menjadi kejang di mana tangannya seperti ranting pokok yang keras dan tidak dapat ditarik kembali. (Guru menghulurkan tangan kanan dengan lurus, tangan kiri cuba untuk tarik kembali tangan kanan). Yerobeam sangat takut! Dengan segera dia mohon hamba Tuhan berdoa untuknya supaya Tuhan mengampuninya. Hamba Tuhan melihat bahawa Yerobeam telah mengakui kesalahannya, maka dia pun memohon Tuhan mengampuninya. Akhirnya, tangan Yerobeam boleh ditarik kembali secara perlahan-lahan sehingga dia pulih seperti sedia kala.

 

Jangan Membangkitkan Murka Tuhan

Namun demikian, Yerobeam kemudiannya masih tidak mendengar perintah Tuhan. Maka Tuhan membiarkan anak laki-lakinya meninggal kerana sakit, keluarganya juga mati dibunuh oleh musuh, dan dia juga tidak lagi menjadi raja. Adik-adik, cuba kamu lihat, Tuhan menjadikan Salomo sebagai raja, Tuhan juga menjadikan dia seorang yang paling berhikmat di dunia, tetapi dia melupakan Tuhan dan menyembah kepada berhala bersama dengan isterinya. Setelah tampuk pemerintahan diganti oleh raja lain, Yerobeam juga tidak mendengar perintah Tuhan. Malahan dia membuat lembu emas untuk menipu orang Israel. Akhirnya bagaimana? Semua ahli keluarganya mati dan tidak dapat menjadi raja lagi. Adik-adik, mengapakah mereka menjadi seperti ini? (Biarkan kanak-kanak mengutarakan pendapat). Ya! Disebabkan kesombongan / keangkuhan. Setelah mereka menjadi raja, mereka menjadi sombong dan mulai melupakan Tuhan.  Mereka tidak menjadi raja dengan baik. Maka kesudahan mereka sangat kesian sekali! Oleh itu, bolehkah kita menyembah berhala?

 

Kesimpulan

Sekarang cikgu akan membuat satu ujian, Adik XXX sila ke mari. Cuba berjalan ke arah cikgu; bagus; (berhenti sebentar, teruskan memberi arahan) anggukkan kepala; berjalan ke arah jendela; kembali lagi; kembali ke tempat duduk dan duduk. Baik sekali, seterusnya kita lihat adakah “dia” juga sebagus kamu? (Keluarkan model lembu, tepuk tepuk badan lembu, dan setelah mengeluarkan bunyi suara lembu, berkata lagi) “Lembu! Lembu! Berjalanlah ke arah cikgu!” (Berhenti sebentar) “Ah! Suaraku terlalu kecil. Dia tidak dapat dengar.” (Ulangi sekali lagi dengan suara yang nyaring) Hai! Adik-adik, mengapa lembu tidak mendengar arahanku?” (Biarkan kanak-kanak mengemukakan pendapat). Ya! Lembu kecil, kucing kecil, anjing kecil adalah binatang peliharaan kita. Apakah mereka dapat melindungi kita? Betul! Tentu sekali tidak dapat. (Keluarkan Alkitab). Di dalam Alkitab memberitahu kita: Hanyalah Tuhan yang menciptakan langit dan bumi. Oleh itu hanya Tuhan sahaja yang dapat melindungi kita. Kita hanya boleh menyembah Tuhan yang di syurga. Patung yang dibuat dan diukir oleh tangan manusia adalah patung berhala dan kita tidak boleh menyembahnya. Ada kalanya guru di sekolah akan membawa adik-adik ke tokong untuk bermain. Ketika kanak-kanak yang lain menyembah kepada patung berhala, bolehkah kita meniru  mereka dan menyembah patung berhala tersebut? (Tidak boleh). Adik-adik harus ingat : Tuhan tidak suka kepada orang yang menyembah berhala, maka kita sama sekali tidak boleh menyembah patung berhala. Minggu depan kita akan mempelajari satu cerita yang sangat menghairankan, iaitu singa menggigit orang sampai mati tetapi singa tersebut tidak memakan tubuh orang itu. Ia juga tidak beredar dari situ. Mengapakah demikian? Minggu depan adik-adik yang datang ke kelas akan mengetahuinya!