BAB 10: ABSALOM, PUTERA YANG JAHAT

Mesej Untuk Guru:

Guru yang dikasihi, Daud telah melakukan satu kesalahan yang besar dalam riwayat hidupnya. Iaitu dia telah menyebabkan kematian Uria, seorang yang taat bahkan merampas isterinya, Batsyeba. Kitab suci mencatatkan bahawa Tuhan sangat tidak berkenan terhadap perbuatannya itu. Walaupun Daud kemudiannya telah bertaubat dan Tuhan telah menjauhkan dosanya supaya dia tidak mati, tetapi pedang tidak akan menyingkir daripada keturunan Daud sampai selamanya dan malapetaka yang datang daripada kaum keluarganya sendiri akan menimpa ke atasnya. (2 Samuel 12:9-14)

Absalom, putera ketiga ialah anak kesayangan Daud. Kitab suci menggambarkan Absalom: tidak ada yang begitu banyak dipuji tiada bandingan kecantikkannya seperti Absalom, dari telapak kakinya sampai ujung kepalanya tidak ada cacat padanya. Namun, dia seorang anak durhaka yang bertindak terburu-buru mengikut hawa nafsu dan mempunyai niat terancang dalam hati yang sangat mendalam sehingga ingin memberontak serta merampas takhta ayahnya. Mulai 2 Samuel fasal 13 hingga fasal 18, kitab suci mencatatkan peristiwa mengenai Putera Absalom dan juga peristiwa yang menyedihkan yang dilalui oleh Daud sehingga perlu melarikan diri sekali lagi disebabkan oleh anaknya ingin mencabut nyawanya. Walaupun pada akhirnya Absalom telah meninggal dunia (sebab kematian adalah kerana rambutnya yang dibanggakan itu telah tersangkut pada dahan pohon), hati ayahnya tetap berasa sedih dengan berkata, “Anakku Absalom, anakku, anakku Absalom! Ah, kalau aku mati menggantikan engkau, Absalom, anakku, anakku!”

Bab ini lebih berat untuk disampaikan berbanding dengan kisah-kisah Daud sebelum ini. Dalam bab ini, tumpuan boleh diberikan kepada 2 isi utama:

Pertama adalah Daud masih sangat mengasihi Absalom, walaupun Absalom secara lahiriah cantik tetapi hatinya licik.

Kedua adalah mendorong adik-adik untuk hormat dan taat kepada ibu bapa.

 

Nas Alkitab: 2 Samuel fasal 13 – 19:3

 

Objektif Pengajaran dan Pembelajaran:

  1. Memahami bahawa Absalom, putera yang jahat mempunyai kesudahan yang menyedihkan disebabkan oleh perbuatannya yang jahat.
  2. Mengetahui bahawa  heendaklah hormat dan taat kepada ibu bapa dalam kehidupan seharian.

 

Ayat Hafalan:

Hormatilah ayahmu dan ibumu, supaya kamu berbahagia dan panjang umurmu di bumi. (Efesus 6:2-3)

 

Persediaan Prapengajaran dan Pembelajaran:

Gambar (Gambar yang berkaitan disediakan oleh guru.)

 

Doa:

Dalam nama Tuhan Yesus berdoa: Tuhan Bapa yang Maha Penyayang, kami bersyukur kepada-Mu kerana memberi kami sebuah keluarga yang bahagia. Ibu bapa sangat mengasihi dan menjaga saya. Saya akan mendengar kata-kata ibu bapa. Kiranya Engkau memberikan kesihatan dan kegembiraan kepada mereka dan membantu saya supaya dapat menjaga ibu bapa apabila saya dewasa nanti. Haleluya, amin!

 

Isi Pelajaran:

Pendahuluan

Adik-adik, pernahkah kamu melihat bagaimana ibu bapa taat kepada datuk dan nenek? (Minta adik-adik berikan pandangan) Mengapakah ibu bapa perlu taat kepada datuk dan nenek? (Kerana datuk dan neneklah yang telah menjaga mereka sejak mereka kecil lagi) Jika ibu bapa taat kepada datuk dan nenek dengan memasak makanan kegemaran mereka, membeli barangan yang mereka suka, membawa mereka pergi bersiar-siar, berbual-bual dengan mereka, berkebaktian bersama dengan mereka, datuk dan nenek pasti akan berasa sangat gembira dan Tuhan Yesus pasti akan memberkati seluruh keluarga.

Namun, jika ibu bapa terlalu sibuk sehingga tidak dapat menjaga datuk dan nenek ataupun menelefon mereka untuk berbual-bual, pastinya datuk dan nenek berasa sangat sunyi dan kasihan sekali. Oleh itu, adik-adik boleh juga mentaati datuk dan nenek mulai sekarang kerana Tuhan Yesus amat berkenan kepada adik-adik sedemikian!

Raja Daud juga telah melahirkan ramai anak laki-laki dan perempuan. Dia seorang ayah yang baik dan sangat mengasihi anak-anaknya. Di antara anak-anak Daud, terdapat seorang putera ketiga yang bernama Absalom. Kitab suci menyatakan bahawa Absalom merupakan seorang laki-laki yang begitu tampan di seluruh negara Israel. Tiada cacat cela dari telapak kakinya hingga hujung kepalanya, terutamanya rambutnya yang begitu lebat, tebal serta panjang. Absalom ialah seorang lelaki yang kacak. Jadi, hari ini kita akan menceritakan kisah tentang Putera Absalom yang tampan ini. Adakah dia seorang anak yang taat pada mulanya ataupun merupakan seorang putera jahat yang membuat Raja Daud sakit hati?

 

Absalom Membunuh Abangnya

Pada suatu kali, putera sulung (berlainan ibu dengan Absalom) telah membuli adik perempuan kesayangan Absalom sehingga adik perempuan Absalom itu menangis dengan sangat sedih! Oleh sebab itu, Absalom amat benci terhadap putera sulung itu. Setelah dua, dia menemukan peluang lalu membunuh putera sulung. Aduhai! Putera ketiga telah membunuh putera sulung. Adik-adik, adakah kamu saling mengasihi ataupun bertengkar dan bergaduh saja ketika berada di rumah bersama adik-beradik? Jikalau kamu saling bertengkar dan bergaduh sesama adik-beradik, sudah tentu ibu bapa akan berasa marah dan sedih. Daud yang kasihan, anak-anaknya saling membunuh, sebagai bapa, pasti hatinya sangat sedih! Absalom juga tahu bahawa dia telah melakukan kesalahan, maka dia tidak lagi berani pulang ke istana melainkan melarikan diri dan bersembunyi di tempat yang jauh.

Setelah tiga tahun berlalu, Daud mulai merindui Absalom. Oleh itu, dia mengutus orang untuk menjemput Absalom kembali ke Yerusalem, tetapi pada masa yang sama tidak membenarkan Absalom masuk ke istana mahupun berjumpa dengan dia.

Setelah dua tahun, barulah Daud berjumpa dengan Absalom, dengan itu hubungan antara ayah dan anak itupun berbaik semula!

 

Absalom Ingin Menjadi Raja

Absalom teringin sangat menjadi raja! Dalam fikiran hatinya, Alangkah baik dan megahnya jikalau aku dapat menjadi raja. Aku boleh memerintah atas seluruh rakyat dan menikmati banyak manfaat. Namun demikian, siapakah raja negara Israel pada waktu itu? (Daud) Absalom berfikir dalam hatinya, “Aku mahu menjadi raja secepat mungkin. Jadi, aku perlu menghalau Daud, bapaku terlebih dahulu!” Alangkah jahatnya pemikiran Absalom itu! Maka Absalom secara senyap telah mengumpulkan pengikut-pengikutnya dan sengaja melakukan perkara yang membuatkan umat Israel menyukainya. Setelah beberapa tahun berlalu, Absalom telah merekrut ramai orang dan bersiap sedia untuk menangkap Daud. Terdapat orang melaporkan perkara tersebut kepada Daud, katanya, “Absalom membawa banyak orang untuk menganiaya engkau!” Maka Daud pun melarikan diri bersama bersama beberapa orang tenteranya. Adik-adik, adakah Tuhan di syurga menyukai anak jahat ini yang mahu membunuh bapanya? Tentulah Tuhan tidak menyukainya. Tuhan telah melindungi Daud sehingga dia dapat melarikan diri dari istana dengan selamat.

 

Rambut Absalom Tersangkut

Daud membahagikan tenteranya kepada tiga kumpulan, masing-masing dipimpin oleh seorang pemimpin yang berani untuk bersiap sedia berperang dengan tentera-tentera Absalom. Walaupun Absalom berbuat jahat terhadapnya, dia tetap menyayangi Absalom kerana dia merupakan seorang ayah yang penyayang. Maka apabila tenteranya hendak pergi berperang, dia berulang kali berpesan kepada mereka, “Jangan bunuh Absalom. Ingat, jangan bunuh Absalom!”

Tuhan membantu tentera-tentera Daud memenangi peperangan itu. Ramai tentera Absalom telah terkorban dalam peperangan tersebut. Pada suatu hari, Absalom sedang menunggang seekor bagal melewati sebuah hutan. Rambutnya yang cantik itu diikatnya tinggi pada ketika itu. Alamak! Tiba-tiba diluar jangkaannya, tersangkutlah rambutnya pada dahan pohon itu, sehingga dia tergantung antara langit dan bumi, sedangkan bagal yang dikendaraninya berlari terus. Sehubungan itu, putera jahat itupun tergantung di atas pokok dan tidak dapat menurunkan dirinya ke tanah. Keadaannya pada ketika itu sama seperti adik-adik yang sedang berayun di atas buaian. Sudah tentu dia mengalami kesakitan yang amat sangat pada waktu itu kerana keadaan rambutnya itu.

 

Kematian Absalom

Tentera-tentera Daud masuk ke dalam hutan dan melihat Absalom tergantung di atas pokok. Mereka berasa marah dam lucu sekali. Namun demikian, tidak ada seorang pun yang berani membunuh Absalom. Mengapakah sedemikian? (Kerana Daud berulang kali berpesan kepada tenteranya, Jangan bunuh Absalom!) Walau bagaimanapun, ada seorang panglima bernama Yoab, hatinya berfikir, “Orang seperti ini, tidak mentaati ibu bapa, malahan telah membunuh abang sendiri. Mengapakah membiarkannya terus hidup?” Maka Yoab membunuh Absalom.

Ketika Daud mendengar khabar bahawa Absalom mati dibunuh, maka sedihlah ia. Dia menangis sambil berkata, “Anakku Absalom! Ah, kalau aku mati menggantikan engkau, anakku Absalom!” Setelah Absalom yang tidak taat itu mati, maka kembalilah Daud semula ke istananya di Yerusalem dan mengambil kedudukan semulanya sebagai raja.

 

Kesimpulan

Kasihan Daud. Anaknya begitu jahat. Sudah tentu Raja Daud tidak akan berasa gembira walaupun menjadi raja. Adik-adik, ibu bapa bersusah payah mencari wang untuk menyara hidup kita. Jika kita mendengar dan menuruti kata-kata mereka, ibu dan ayah akan berasa gembira, malahan lebih gembira daripada raja Daud. Adakah kamu ingin membuat ibu dan ayah kamu berasa gembira? Berdoalah dan mohonlah pertolongan daripada Tuhan supaya kita menjadi anak baik yang berpegang kepada firman.

Pada minggu depan, kita akan mempelajari kisah seorang anak Daud yang baik. Dialah yang telah menjadi raja selepas ayahnya. Anak baik ini bernama Salomo. Dialah raja ketiga orang Israel. Jangan kamu lupa datang pada minggu depan untuk mendengar cerita ini.