BAB 10: ANAK PEREMPUAN KECIL YANG BERANI BERSAKSI
Mesej Untuk Guru:
Kepada guru yang dikasihi, inilah bab yang sangat menarik mengenai seorang panglima, penyakit kusta, mandi, tujuh kali, penyakit kusta pun hilang! Daripada permulaan sehingga ke akhir cerita, ianya penuh dengan ketegangan dramatik dan tanda mukjizat yang misteri. Pada hari ini, fokus kita ialah anak perempuan kecil yang mengucapkan satu ayat sahaja. Penerangan Alkitab adalah ringkas dan tepat, walaupun bukan seperti sebuah kamera yang dapat menangkap keadaan yang sebenar. Tetapi jika kita menelitinya, kita akan menyedari bahawa peristiwa yang tercatat dalam Alkitab ialah satu mukjizat yang hebat. Sama seperti anak perempuan ini, walaupun hanya melakukan suatu perbuatan yang kecil dan satu perkataan yang ringkas, namun ia membawa pengertian yang mendalam. Yang pertama, satu perkataannya telah menunjukkan keberaniannya. Yang kedua, satu perkataannya menunjukkan imannya. Yang ketiga, satu perkataannya telah menunjukkan kasih dan setianya kepada Tuhan. Demi penyembuhan tuannya, dia berani bersaksi kepada isteri tuannya, dia tidak pernah berfikir adakah dia akan dibunuh jika tuannya tidak sembuh? Hanya dengan perkataannya yang yakin “Alangkah baiknya tuanku pergi berjumpa dengan nabi Samaria, pasti penyakit kustanya akan disembuhkan”. Inilah sifat yang harus kita pelajari. Semoga kita mempunyai keghairahan dan keprihatinan yang sedemikian. “Alangkah” baiknya jika segenap manusia duniawi datang merasai kemanisan anugerah Tuhan serta percaya bahawa Tuhan “pasti dapat memberi” kedamaian dan kesukacitaan kepada mereka.
Nas Alkitab: 2 Raja-raja 5:1-14
Objektif Pengajaran dan Pembelajaran:
Kesaksian seorang anak perempuan kecil yang berani telah menyebabkan penyakit panglima Naaman disembuhkan.
Ayat Hafalan:
Jangan seorang pun menganggap engkau rendah kerana muda. (1 Timotius 4:12)
Persediaan Prapengajaran dan Pembelajaran:
Patung, kertas pelekat bulat berwarna putih, cecair dan besin.
Doa:
Dalam nama Tuhan Yesus berdoa. Bapa syurga yang dikasihi, mohon Engkau memberi iman kepadaku supaya berani bersaksi kepada orang lain. Biarlah semua orang mengenali Engkau dan mendapat pertolongan. Mohon juga Engkau memberi aku prestasi yang baik, menjadi sahabat kepada ramai orang dan dapat memuliakan nama-Mu. Haleluya, Amin.
Isi Pelajaran:
Pendahuluan
Adik-adik, sila angkat tangan bagi mereka yang tahu berdoa untuk memohon iman. Ya, turunkan tangan. Sila angkat tangan bagi mereka yang tahu berdoa untuk memohon kasih. Sangat baik! Turunkan tangan. Sangat baik adik-adik sekalian. Tuhan paling suka akan doa kita yang sedemikian. Patutlah anda semua mendengar kata-kata guru dan saling mengasihi. Guru berasa sangat gembira. (Jika keadaan kelas kurang memuaskan, boleh mengambil kesempatan ini meminta semua orang berdoa bersama untuk mengubah tabiat yang buruk). Ada sesiapa yang masih ingat cerita guru pada minggu yang lalu ? (Biarkan murid-murid yang memberi pendapat). Nabi Elisa menolong perempuan Sunem yang baik hati untuk berdoa memohon seorang anak. Perempuan itu benar-benar mendapat anak. Tetapi kemudian anak lelakinya tiba-tiba mati, Elisa membantunya berdoa lagi dan anak itu “ Ah Choo, Ah Choo” (Biarkan kanak-kanak membuat aksi bersin 7 kali) lalu hidup semula. Sungguh hebat sekali! Hari ini guru mahu bercerita tentang seorang anak perempuan kecil yang berani bersaksi dan telah menyelamatkan seorang panglima besar. Adakah adik-adik ingin dengar?
Saksian Seorang Anak Perempuan Israel
Tahukah kamu apakah itu panglima besar ? Panglima besar ialah orang yang memimpin askar-askar yang ramai untuk keluar berperang dan sama maksudnya dengan seorang yang berpangkat jeneral. Di negara Haran, terdapat seorang panglima besar yang bernama Naaman. Panglima Naaman sangat hebat dan selalu menang dalam peperangan. Oleh itu semua orang sangat menghormatinya serta takut akannya. Di rumah panglima Naaman, terdapat seorang anak perempuan kecil yang diambil dari negara Israel sewaktu peperangan untuk dijadikan hamba isteri panglima Naaman. Adik kecil ini sangat taat bekerja untuk isteri panglima. Panglima Naaman ialah seorang pahlawan yang sangat berani, tetapi dia telah menghidap menyakit kusta yang sangat mengerikan. Di permukaan kulitnya muncul borok seperti ini (menggunakan kertas bulat berwarna putih melekat di atas tubuh patung atau tuangkan cecair ke atas tubuh dan muka) Wah! Borok ini berbau, gatal dan sakit serta sangat menjijikan. Panglima Naaman telah berjumpa dengan banyak doktor dan banyak ubat telah disapu juga, namun penyakitnya tidak dapat disembuhkan. Maka, adik kecil ini pun berkata kepada isteri panglima Naaman , “Puan, di negara Israel kami, ada seorang nabi yang sangat berkuasa. Dia boleh mengubati penyakit. Saya berharap panglima cepat-cepat pergi berjumpa dengannya untuk mendapat penyembuhan.
Nabi Elisa
Isteri Naaman memberitahukan hal ini kepada Naaman. Lalu Naaman melaporkannya kepada raja. Raja sangat gembira selepas mendengarnya kerana panglima Naaman telah banyak mencapai kemenangan dalam peperangan dan baginda sangat berkenan dengan Naaman. Oleh itu, Raja Aram telah menulis sepucuk surat dan menyediakan banyak hadiah yang akan dibawa ke negara Israel untuk mencari nabi Elisa. Lalu, Naaman serta hamba-hambanya menaiki kereta kuda dan sampailah ke pintu rumah nabi Elisa. Mereka mengetuk pintu dan menunggu setengah hari, barulah keluar seorang hamba. Dengan suara yang kuat, panglima Naaman berkata “Aku ialah Naaman, panglima besar negara Aram, Elisa ada di rumahkah?” Naaman menyangka Elisa akan keluar dan menjemputnya masuk ke dalam rumah dengan hormat, kemudian Elisa akan menumpangkan tangan ke atas kulitnya supaya penyakit kustanya disembuhkan. Tetapi nabi Elisa langsung tidak keluar untuk menyambutnya. Dia hanya mengutus seorang hamba keluar dan berkata kepadanya “Engkau pergilah ke sungai Yordan dan mandi sebanyak 7 kali, maka penyakitmu akan sembuh”. Adik-adik, cuba kamu teka, adakah panglima Naaman akan melakukan seperti apa yang disuruh nabi Elisa?” (Minta murid-murid pilih. Sila angkat tangan bagi murid yang merasakan Naaman akan berbuat seperti yang disuruh. Sila angkat tangan bagi yang merasakan dia tidak akan berbuat sedemikian).
Naaman Marah
Baik, marilah kita lihat apakah reaksi panglima Naaman. Selepas mendengarnya. Panglima Naaman sangatlah marah dan mulai meninggikan suaranya. “Sungai di negara Aram kami, lebih baik daripada sungai Yordan. Kalau mahu mandi di sungai, baik aku mandi di sana, kenapa pula harus datang dari jauh dan mandi di sini? Apalah ertinya?” Lalu dia pergi dengan perasaan marah. Pada waktu ini datanglah seorang hamba panglima Naaman yang setia. Dia berkata dengan berani, “Panglima, tolong dengarlah perkataanku. Jika nabi ingin tuan berbuat sesuatu yang sukar yang boleh menyembuhkan penyakitmu, adakah tuan tidak melakukannya? Hari ini tuan perlu mandi di sungai sahaja. Pergilah! Cubalah!” Selepas mendengar kata-kata hamba tersebut, maka redalah kemarahan panglima Naaman dan berkata, “Baiklah, marilah kita pergi mandi di sungai Yordan”. Mereka pun pergi ke sungai Yordan.
Penyakit Kusta Sembuh
Naaman menanggalkan jubahnya lalu berjalan menuju ke sungai. Dia menenggelamkan tubuhnya ke dalam sungai dan mandi. (Keluarkan basin dan patung yang telah dilekat dengan bintik-bintik putih. Biarlah murid-murid menghitung bersama-sama (rendamkan patung ke dalam basin). Kali pertama, (angkat patung dan lihat) Adakah penyakit kusta sudah sembuh? Belum. Kali kedua, sudah sembuh? Belum. Kali ketiga masih belum sembuh. Kali keempat pun belum sembuh. Kali kelima sudah sembuh? Belum. Kali keenam? (Rendamkan patung ke dalam air dan jangan bergerak). Adik-adik, kali keenam sudah, cuba kamu berfikir penyakit panglima Naaman sudah sembuh atau belum? (Biar murid-murid mengemukakan pendapat, kemudian keluarkan patung dan lihat) Masih belum sembuh. Jadi bagaimana? (Guru tundukkan kepala seolah-olah sangat muram). Murid-murid yang aktif akan berkata, “Mandi sekali lagi.” (Guru tidak bersuara, cuma senyum dengan mengangguk kepala) Hanya tinggal sekali lagi. Adakah penyakit panglima menjadi sembuh? Jika tidak sembuh, bagaimana pula? Takut? (Rendamkan patung ke dalam air semula, tanggalkan kertas pelekat dan buat nada suara yang panjang) ka..li…ke..tujuh.., keluarlah panglima Naaman daripada air. Dengan cemas hamba melihatnya (keluarkan patung dari air) Wah! Wah! Adik-adik, dengan suara yang nyaring hamba berkata “ Panglima, penyakitmu sudah sembuh. Penyakitmu sembuh sepenuhnya!” Panglima Naaman melihat tubuhnya. Memang betul! Alangkah cantik dan bersih cerah kulitnya! Mereka sungguh gembira dan bersukacita.
Kesimpulan
Cuba adik-adik fikir, jika tanpa kesaksian adik perempuan yang berani itu, adakah panglima Naaman tahu untuk pergi mencari nabi dan mendapat penyembuhan? (Sudah tentu tidak tahu). Sekarang ini masih terdapat ramai kanak-kanak yang belum lagi mengenali Tuhan di syurga, tidak pernah mendengar cerita tentang Tuhan yang mencipta alam semesta dan juga tidak tahu bahawa Tuhan amat mengasihi kita. Sekiranya mereka menghadapi masalah, mereka pasti tidak tahu berdoa untuk meminta pertolongan daripada Tuhan. Mereka akan pergi mencari doktor untuk mendapatkan rawatan dan makan ubat ketika jatuh sakit. Tetapi apabila doktor tidak dapat membantu mereka, bagaimana pula? (Biar murid-murid berfikir dan memberi pendapat). Mereka ini sungguh kasihan, adik-adik. Adakah kamu rela membantu mereka? (Rela). Beranikah kamu bersaksi tentang keagungan Tuhan? (Biar murid-murid memberi pendapat). Adik-adik yang dapat membuat kesaksian tentang Tuhan sungguh berani. Bagi adik-adik yang tidak dapat bersaksi bagaimana? (Biar murid-murid memberi pendapat dahulu). Ya, mesti berdoa meminta bantuan daripada Tuhan supaya kita dapat memberi kesaksian tentang Tuhan dengan berani. Pada minggu hadapan, panglima Naaman akan menghantar hadiah kepada nabi Elisa dengan gembiranya. Cuba kamu fikir, adakah nabi Elisa akan menerima hadiahnya ? (Minta kanak-kanak pilih). Baiklah, kita akan lihat pada minggu hadapan, siapakah di antara adik-adik sekalian yang telah menjawab dengan betul.