Nas Alkitab : Markus 2 : 1 – 12; Lukas 5 : 17 – 26
Ayat Bacaan : 1 Timotius 1 : 14
Objektif Pengajaran dan Pembelajaran :
- Mengetahui bahawa lelaki lumpuh disembuhkan kerana iman dirinya sendiri dan keempat-empat rakannya.
- Rela belajar menjadi anak-anak Tuhan : Hendaklah beriman dan berkasih sayang.
Ayat Hafalan :
Malah kasih karunia Tuhan kita itu telah dikaruniakan dengan limpahnya kepadaku dengan iman dan kasih dalam Kristus Yesus (1Tim 1 : 14)
Persediaan Prapengajaran dan Pembelajaran :
- Sediakan satu kotak besar (kotak kosong susu segar pun boleh). Gunakan kertas berwarna membalutnya menjadi bentuk rumah, buat lubang besar pada penutup kotak (seperti bumbung). Potong bahagian depan supaya adik-adik dapat melihat bahagian dalam.
- Sediakan dua batang penyepit dan serpihan kain (atau kertas kalender), gambar bumbung runcing dan bumbung rata.
- Membuat boneka kertas.
Doa :
Dalam nama Tuhan Yesus berdoa. Syukur kepada Tuhan, Engkaulah yang membuatkan kami selamat dan sukacita. Kiranya Tuhan untuk membantu kami, agar kami tidak lupa untuk berdoa ketika kami sakit, dan mendoakan kawan kami ketika mereka sakit. Haleluya. Amin.
Isi Pelajaran :
Adik-adik yang pernah bermain di atas bumbung, sila angkat tangan. Turunkan tangan. Sesetengah bumbung rumah adalah tajam, adik-adik tidak boleh naik ke atas dan bermain di situ. Hanya pekerja yang membaiki bumbung sahaja boleh naik. Manakala sesetengah bumbung rumah adalah rata, ia dikelilingi dengan pagar atau dinding, supaya orang dapat bermain atau menjemur kain. Atap rumah orang Yahudi juga berbentuk rata dan tangga dibina untuk mereka menaiki bumbung. (Tunjukkan gambar.)
Orang Lumpuh yang Kasihan
Pada suatu hari, Tuhan Yesus datang ke Kapernaum untuk menyampaikan firman kepada semua orang. Di situ, terdapat seorang pesakit yang sangat kasihan. Dia tidak dapat menggerakkan seluruh tubuhnya, iaitu seorang lumpuh. Sepanjang hari dia hanya berbaring di tempat tidur dan melihat siling rumah sahaja. Makanpun perlu disuap oleh orang lain. Tidak ada doktor di dunia ini yang dapat menyembuhkannya. Rakan orang lumpuh itu berkata: “Alangkah baiknya jika Tuhan Yesus dapat menyembuhkan orang yang kasihan ini.”
Rakan yang Berkasih Sayang
Oleh itu, semua orang bekerjasama untuk mengangkat orang lumpuh berserta tempat tidur dan selimutnya, hei yo! hei yo! untuk mencari Tuhan Yesus. Akan tetapi begitu ramai sekali orang di ruangan itu yang mendengarkan firman dan memohon penyembuhan daripada Tuhan Yesus. Terlalu ramai sehinggakan mereka tidak dapat membawanya masuk melalui pintu untuk berjumpa dengan Tuhan Yesus, akan tetapi mereka tidak boleh tidak mempedulikan rakan lumpuh mereka itu, jadi apa yang harus mereka lakukan?
Mereka berfikir dan berfikir, akhirnya berjaya mencari satu cara yang baik (Tunjukkan kotak besar yang telah disediakan, bukakan penutup kotak yang membawa maksud bumbung dibuka). Mereka mengangkat pesakit yang kasihan itu bersama tempat tidurnya ke atas bumbung dimana tempat Tuhan Yesus menyampaikan firman dan menyembuhkan pesakit, kemudian membongkar bumbung dengan berhati-hati. Selepas itu, dengan perlahan-lahan mereka menurunkan pesakit dari lubang bumbung tersebut. Semua orang di dalam rumah itu mengangkat kepala, seolah-olah mereka tidak mempercayai mata mereka. Semua orang menghulurkan tangan untuk menyambut pesakit itu. (Gunakan dua penyepit sebagai tandu, letakkan boneka di atasnya dan letakkan tandu dan anak patung di lubang yang dibuka di atas kotak.)
Pesakit Boleh Berjalan
Apabila Tuhan Yesus melihat pesakit yang kasihan ini bersama rakan-rakannya yang sungguh beriman, tidak takut menghadapi kesukaran untuk membongkar bumbung, menurunkan pesakit dari lubang bumbung untuk memohon Tuhan Yesus menyembuhkannya, lalu Tuhan Yesus berkata kepada pesakit dengan ramah: “Kepadamu Kukatakan, bangunlah, angkatlah tempat tidurmu dan pulang ke rumahmu!”
Pesakit Yang Patuh dan Beriman
Pesakit ini sangat beriman. Setelah dia mendengar kata-kata Tuhan Yesus, dia terus melompat bangun, segera mengangkat tempat tidurnya dan pulang ke rumah. Dia sambil berjalan sambil memuji Tuhan. Orang-orang dalam rumah tersebut melihat tanda mujizat ini lalu semua orang memuji Tuhan dengan penuh sukacita.
Syukur kepada Tuhan, sudah lama lelaki lumpuh yang kasihan ini tidak dapat berdiri dan berjalan. Namun kini dia dapat berjalan. Adik-adik cuba fikirkan, adakah orang lumpuh itu berasa gembira? Sudah tentu dia gembira! Kerana dia bukan sahaja dapat berjalan tetapi juga boleh keluar untuk mencari wang. Jadi dia tidak perlu lagi menyusahkan orang lain menyara dan menyuapnya makan lagi.
Mengapakah Tuhan Yesus mempunyai kuasa sebesar ini untuk menyembuhkan penyakit ini? Kerana dia adalah Tuhan yang berkuasa. Mengapakah orang lumpuh itu dapat berjalan? Kerana dia dan empat rakannya sangat beriman, mereka percaya bahawa Tuhan pasti akan menyembuhkannya. Rakannya bukan hanya beriman tetapi juga sangat berkasih sayang. Jika tanpa pertolongan sahabatnya, bolehkah pesakit ini berjalan dengan sendirinya ke hadapan Tuhan Yesus? Tentu tidak boleh. Rakan-rakan orang lumpuh itu tidak takut akan kesukaran, mengangkat orang lumpuh ke atas bumbung, kemudian membuka bumbung atap dan orang lumpuh itu dihantar kepada Tuhan Yesus, oleh itu Tuhan Yesus menyembuhkan penyakit orang lumpuh.
Harus Mempunyai Iman dan Kasih
Adik-adik, ketika kamu sakit, adakah kamu berdoa kepada Tuhan untuk menyembuhkan penyakit? Diminta adik ______ memberitahu kita bagaimana dia disembuhkan oleh Tuhan semasa dia jatuh sakit. (Baik penyakit adik sendiri mahupun ahli keluarga yang disembuhkan, anda boleh memintanya untuk ceritakan, disusuli guru memberikan dorongan kepada semua orang). 1 Timotius fasal 1 ayat 14 memberitahu kita bahawa rahmat Tuhan Yesus akan karuniakan kepada kita iman dan kasih di dalam hati kita. Marilah sekarang kita membuka kitab suci dan membaca bersama-sama.
Kita merupakan anak-anak yang dikasihi Tuhan. Asalkan kita memohon daripada Tuhan dengan penuh iman dan kasih, tidak kira guru, adik-adik, saudara atau rakan kita, masing-masing boleh berdoa kepada Tuhan dan memohon penyembuhan daripada Tuhan. Sekiranya orang lain sakit, kita juga boleh mendorongnya untuk mempercayai Tuhan Yesus. Kita juga dapat menjadi seperti empat teman orang lumpuh itu, menolong mereka yang bermasalah fizikal atau mendoakan mereka. Dengan melakukan hal ini, kita ialah orang yang berkasih sayang, Tuhan pasti akan memperingati kasih kita dan memberkati kita.
Sesi Aktiviti :
- Nama aktiviti: Story solitaire (sambung cerita)
- Matlamat aktiviti: Untuk memupuk kemampuan berfikir dan kreativiti kanak-kanak
- Isi kandungan aktiviti:
- Guru mula menceritakan plot, misalnya: “Setelah Tuhan Yesus datang ke Kapernaum untuk menyampaikan firman, terdapat seorang lumpuh yang sangat kasihan, terbaring di tempat tidur sepanjang hari….”
- Biarkan adik-adik teruskan cerita, seorang satu perenggan, hingga ke hujung cerita.
- Perkara yang perlu diberi perhatian:
- Buat pertama kalinya, mulakan dengan isi pelajaran kelas ibadah bab ini. Sekiranya masa mengizinkan, boleh tukar topik lain. Contohnya, pada suatu malam ada sesuatu yang terang dan putih, berbentuk seperti pinggan tiba-tiba muncul di langit…
- Jika adik-adik kelas darjah rendah kurang kemahiran bercerita, guru diminta memberikan peringatan dan penambahbaikan.