BAB 10 : HADIAH YANG MENGEJUTKAN

Nas Alkitab :2 Samuel fasal 13-23.

Ayat Bacaan : Pengkhotbah 4:9-10.

Objektif Pengajaran dan Pembelajaran :

  1. Para pahlawan tidak menghiraukan kepenatan dan bahaya demi raja Daud yang dihormati.
  2. Menjadi seorang anak yang bersukacita: Boleh bekerjasama antara satu sama lain.

 

Ayat Hafalan :

Berdua lebih baik daripada seorang diri, kerana mereka menerima upah yang baik dalam jerih payah mereka. (Pkh 4:9)

 

Persediaan Prapengajaran dan Pembelajaran :

Gambar pengajaran.

 

Doa :

Dalam nama Tuhan Yesus berdoa. Tuhan Yesus yang dikasihi, terima kasih kepada Engkau kerana memberi kami sebuah keluarga yang hangat, memberi tubuh badan yang sihat kepada ibu bapa kami. Semoga saya menjadi seorang anak yang baik dan bijaksana. Semoga kami sekeluarga melayani Engkau dengan giat dan menjalani kehidupan yang gembira setiap hari. Haleluya. Amin.

 

Isi Pelajaran :

Daud adalah seorang raja, juga seorang pahlawan dan pengarang mazmur. Dia penuh dengan kasih, berhikmat dan takut akan Tuhan.

 

Absalom, Anak Yang Durhaka

Daud mempunyai ramai anak putera. Putera yang ketiga, Absalom, adalah yang paling tampan antara semua putera. Antara laki-laki dalam seluruh negara, tiada lagi yang setampan Absalom. Tetapi hati Absalom tidaklah cantik seperti rupanya pula!

Pada suatu kali, putera sulung membuli adik perempuan yang paling disayangi oleh Absalom. Apabila hal ini diketahui oleh Absalom, dia menjadi sangat marah lalu dia membunuh putera sulung. Adik-adik, adakah perbuatan Absalom ini betul? (Biar kanak-kanak mengemukakan pendapat). Ya! Adik-adik tahu bahawa perbuatan ini adalah tidak betul, jadi apakah perbuatan yang betul? Sila beritahu kepada guru (Biarkan kanak-kanak mengemukakan pendapat). Selepas Absalom melakukan perbuatan yang jahat ini, dia tidak berani bertemu dengan ayahnya Daud, maka dia pun melarikan diri ke luar negara yang jauh, dan dia tidak pulang ke rumah untuk masa yang sangat lama.

Walaupun Absalom bukan seorang anak yang baik, tetapi ayahnya Daud masih merindukannya dan berharap agar dia dapat pulang dengan segera. Selepas suatu jangka masa yang panjang, pulanglah Absalom kerana dia tahu bahawa ayah merinduinya. Walaupun ayahnya Daud sangat marah, tetapi dia tidak memukul atau memarahinya sebab ayahnya masih menyayangi Absalom. Raja Daud cuma tidak membenarkan Absalom pergi ke istana.

 

Pengkhianatan Absalom

Selepas Absalom pulang ke rumah, dia amat teringin menjadi raja. Maka dia memikirkan banyak cara untuk membunuh ayahnya Daud, tetapi Tuhan yang di syurga melindungi raja Daud sehingga dia selamat membawa pengikut-pengikutnya dan melarikan diri dari istana. Raja Daud telah membahagikan askar-askar dan kuda yang dibawanya kepada tiga pasukan. Kemudian dia mencari tiga orang yang paling berani untuk memimpin pasukan. Mereka bersedia untuk berperang dengan askar-askar Absalom. Raja Daud sangat menyayangi Absalom, maka dia berulang kali memberitahu pasukan askarnya supaya jangan membunuh Absalom ketika berperang.

 

Absalom Terperangkap Di Hutan

Semasa askar-askar raja Daud berperang dengan askar-askar Absalom. Tuhan telah membantu askar-askar raja Daud menang dalam peperangan sebaliknya askar-askar Absalom bukan sahaja kalah malah banyak yang terbunuh.

Semasa berperang, Absalom mengikat rambutnya yang cantik itu dengan tinggi. Apabila dia menunggang keledai melalui hutan yang penuh dengan pokok-pokok, rambutnya tersangkut pada ranting-ranting dan tidak dapat terlepas. Keledai yang ditunggangnya itu tidak menunggunya dan terus berlari ke depan. Maka Absalom tergantung di atas ranting pokok dan tidak dapat turun ke bawah. Adik-adik, sila angkat tanganmu dan tarik rambut sendiri dengan kuat, apakah perasaan kamu? Sakitnya! Rambut Absalom ditarik ranting pokok sama seperti kanak-kanak yang bermain buaian. Sakit sekali! Tetapi tiada orang yang datang untuk menyelamatkannya kerana pengikut-pengikutnya sudah mati atau melarikan diri.

 

Kematian Absalom

Kemudian, askar-askar raja Daud terlihat Absalom yang rambutnya tersangkut pada ranting dan berhayun-hayun di bawah pokok, mereka berasa marah dan lucu, tetapi tiada seorang pun berani membunuhnya. Mengapa? Adik-adik, sila beritahu jawapannya. (Biar kanak-kanak mengemukakan pendapat). Betul! Sebab raja Daud selalu melayani orang lain dengan kasih dan dia telah berulang kali memberitahu mereka supaya jangan membunuh Absalom. Kemudian ada seorang panglima berfikir: Apakah gunanya orang yang tidak menghormati ibu bapa dan abang-abang ini dibiarkan hidup? Maka dia pun membunuh Absalom. Apabila Raja Daud mengetahui bahawa Absalom telah mati, dia berkata dengan sedih dan menangis: Anakku Absalom! Aku sanggup mati menggantikan engkau! Selepas kematian Absalom yang derhaka, barulah raja Daud kembali ke istana dan terus menjadi raja.

 

Daud Ingin Minum Air Perigi

Tuhan telah memberi raja Daud kehidupan yang bersukacita dan damai sejahtera untuk bertahun-tahun lamanya. Kadangkala orang-orang Filistin datang untuk membuli umat Israel, tetapi semuanya ditewaskan oleh askar-askar raja Daud yang berani.

Pada suatu kali, apabila kacang merah di ladang telah matang, datanglah orang-orang Filistin untuk merampas barang-barang. Raja Daud sendiri mengarahkan pasukan untuk berperang. Walaupun orang-orang Filistin telah diusir, tetapi mereka tidak puas hati kerana belum mendapat kacang merah. Maka orang-orang Filistin tinggal berhampiran Betlehem iaitu kampung halaman raja Daud sewaktu kecil. Mereka enggan meninggalkan tempat itu dan masih membuli orang Israel yang tinggal di situ!

Betlehem adalah tempat tinggal raja Daud sewaktu kecil, adakah adik-adik masih ingat apakah yang dilakukan oleh Daud sewaktu kecil setiap hari? Ya! Selepas Daud pulang dari menggembala, dia akan menimba air dari perigi dekat pintu gerbang kota untuk diminum oleh domba-dombanya. Air perigi sejuk dan manis dan Daud selalu minum sampai puas. Sekarang khemah raja Daud tidak jauh dari Betlehem. Semasa dia teringat hal minum air perigi sewaktu kecil, maka dia teringin sangat untuk meminumnya lagi. Tetapi orang-orang Filistin tinggal di situ, raja Daud tidak sampai hati menyuruh askarnya membahayakan nyawa sendiri untuk menimba air dari perigi itu untuk diminumnya.

Dia mengeluh dengan perlahan lalu berkata: “Sewaktu aku kecil dulu, apabila pulang dari menggembala, aku akan pergi ke perigi dekat pintu gerbang Betlehem, dan aku akan minum air perigi yang sejuk dan manis itu dengan puas. Sekarang aku teringat hal ini dan teringin sangat untuk minum lagi!”

 

Tiga Orang Pahlawan Menimba Air Perigi

Terdapat tiga orang pahlawan yang sangat berani. Setelah mereka mendengar perkataan raja Daud, mereka bertiga berbincang secara rahasia tanpa memberitahu orang lain dan raja Daud. Mereka merancang untuk pergi menimba air dari perigi itu, agar dapat diminum oleh Raja Daud yang dihormati.

Pada waktu malam,semasa suasana sekeliling sunyi sepi, askar-askar Israel telah tidur dan orang-orang Filistin juga tertidur, maka tiga orang pahlawan ini meninggalkan kemah mereka dengan berhati-hati dan berlari melewati banyak jalan berbukit yang gelap dan berliku-liku. Mereka mengangkat tumit dan melalui kemah orang-orang Filistin selangkah demi selangkah sampailah ke perigi dekat pintu gerbang Betlehem. Mereka menimba air dengan pantas sekali dan mengisi botol yang dibawa sampai penuh. Apabila mereka kembali ke khemah sendiri, orang-orang Israel dan Filistin langsung tidak mengetahui bahawa mereka bertiga pernah curi-curi menimba air perigi yang ingin diminum oleh raja Daud!

 

Air Setebal Darah

Dengan gembiranya tiga orang pahlawan ini memberikan air perigi itu kepada raja Daud dan berkata: “Raja yang dihormati, inilah air perigi di tepi pintu gerbang Betlehem yang engkau ingin minum. Silakan minum!” Selepas raja Daud mendengarnya, dia hampir tidak percaya apa yang didengarnya. Apabila pahlawan menyerahkan botol air ke dalam tangan raja Daud, tangannya bergetar dan air matanya bergenang! Raja Daud sangat terharu! Tiga orang pahlawan ini terlalu berani dan setia sehingga tidak menghiraukan nyawa sendiri untuk mendapatkan air perigi. Air ini terlalu bernilai. Kata raja Daud: “Terima kasih kalian! Air ini berharga seperti darah kamu, macam mana aku dapat meminumnya? Aku mahu mempersembahkan air yang berharga ini kepada Tuhan.” Raja Daud langsung tidak meminum air tersebut kerana air ini diperoleh dari perigi dekat pintu gerbang Betlehem oleh tiga pahlawan yang tidak menghiraukan ancaman nyawa. Raja Daud telah mempersembahkan air itu kepada Tuhan untuk memperingati kasih dan kesetiaan tiga orang pahlawan itu.

 

Boleh Bekerjasama Antara Satu Sama Lain

Adik-adik, mengapakah tiga orang pahlawan itu tidak menghiraukan ancaman nyawa untuk mendapatkan air? (Biarkan kanak-kanak mengemukakan pendapat). Ya! Sebab mereka menghormati raja Daud, oleh itu mereka rela menolongnya dan bekerja untuknya. Tidak kira di rumah, di sekolah atau di gereja, kita hidup bersama dengan orang lain, maka haruslah kita belajar bekerjasama antara satu sama lain dan bantu-membantu. Sekarang marilah kita berbincang tentang: “Bagaimana kita bekerjasama antara satu sama lain”, dan menjadi seorang anak yang disukai ramai. Sila rujuk Alkitab: Pengkhotbah fasal 4 ayat 9 -10, ikut guru baca. Adik-adik telah membaca dengan baik sekali. Di sini cikgu akan paparkan beberapa keping gambar, adik-adik lihatlah dengan baik-baik, nanti guru akan menanya beberapa soalan. (Guru menyediakan gambar sendiri)

Gambar 4 : Harus bekerjasama dengan adik-beradik untuk melakukan kerja di rumah, bukan saja dapat menyiapkan kerja dengan cepat, malah ibu mempunyai masa untuk berehat.
Gambar 5 : Sanggup mematuhi pendapat majoriti, tahu bahawa orang lain lebih berkebolehan daripada diri kita dan harus belajar daripada mereka.
Gambar 6 : Tidak kira dalam permainan ataupun kerja pembersihan kelas, haruslah bekerjasama dengan rakan-rakan dan berusaha menyiapkannya.
Gambar 7 : Sewaktu orang lain ada kesusahan, saya harus membantunya dengan segenap kekuatan. Contohnya: Adik terjatuh, saya harus menolongnya bangun. Rakan sekolah tidak dapat mengangkat benda itu, saya akan menolongnya untuk angkat.
  1. Jika hanya ibu seorang yang melakukan semua kerja rumah, apakah yang akan berlaku kepada ibu? Jika semua orang tolong melakukannya, bukankah kerja dapat disiapkan dengan cepat?
  2. Jika kamu berkeras dengan pendapat sendiri dan tidak menerima pendapat orang lain, apakah akibatnya?
  3. Jika pergi mendaki gunung seorang diri, bagaimana kalau kita terjatuh dan cedera kerana tidak berhati-hati? Jika ada kawan-kawan yang pergi bersama, bagaimana pula keadaannya kalau kita terjatuh?

Apabila kita dapat bekerjasama dengan orang lain, bukan sahaja orang lain tahu bahawa kita adalah anak-anak yang percaya kepada Tuhan Yesus, anak yang baik, bersopan, dan suka menolong orang lain, malah diri kita juga akan memperoleh kesukacitaan kerana sanggup bekerjasama dengan orang lain. Adik-adik, adakah kamu ingin menjadi seorang malaikat kecil yang bersukacita?