Nas Alkitab : Kisah Para Rasul 16 : 11 – 15, 40, Kejadian 18 : 1 – 10.
Objektif Pengajaran dan Pembelajaran :
- Ketahui bahawa Lidia takut akan Tuhan dan giat menyambut tetamu.
- Kenali para pekerja suci gereja, hormati dan hargai jerih payah mereka.
Ayat Hafalan :
Jangan kamu lupa memberi tumpangan kepada orang. (Ibrani 13 : 2)
Persediaan Prapengajaran dan Pembelajaran :
Gambar pengajaran dan pembelajaran. (Gambar yang berkaitan boleh disediakan oleh guru)
Doa :
Dalam nama Tuhan Yesus berdoa. Bapa syurga yang dikasihi, kami menghormati dan menyayangi-Mu. Ini kerana Engkau mengasihi kami. Kami harus giat untuk menyambut orang lain sama seperti Engkau mengasihi kami. Kami akan memimpin kawan-kawan kami yang belum percaya kepada-Mu supaya dapat mengenali-Mu. Kami juga harus mengambil berat terhadap penatua, diakon, pendeta dan penguasa gereja. Mohon Engkau membantu kami menjadi seorang anak yang baik dan penuh dengan kasih. Haleluya, amin!
Isi Pelajaran :
Shin Zhen seorang adik kelas darjah dua. Dia seorang anak yang baik tetapi pemalu. Pada suatu hari, ketika Shin Zhen membuat kerja rumah di ruang tamu, dia melihat ada tiga orang berjalan menuju ke rumahnya. Shin Zhen melihat dengan teliti, rupa-rupanya mereka adalah dua orang diakon dan seorang pendeta gereja. Dengan segera, dia memanggil ibunya keluar, tetapi dia pula naik ke tingkat atas untuk menyembunyikan diri kerana dia seorang yang pemalu. Dia tidak tahu apa yang harus dibuat ketika melihat tetamu datang, khususnya tetamu yang tidak rapat, maka dia terpaksa menyembunyikan dirinya.
Setelah suatu tempoh masa, diakon dan pendeta telah pergi selepas berbicara dengan ibu. Lalu ibu memanggil Shin Zhen turun ke bawah dan memberitahunya, jika tetamu datang ke rumah, haruslah jemput mereka masuk dan duduk, tuangkan air minum untuk mereka, dan harus melayani mereka dengan sebaik-baiknya. Terutamanya para pendeta, penatua, diakon dan penguasa gereja, mereka selalu berjerih payah bekerja demi Tuhan, kita seharusnya lebih menghargai dan menghormati mereka. Shin Zhen mendengar kata-kata ibu dan menganggukkan kepala. Ibu berkata: “Saya akan sampaikan cerita tentang seorang yang giat menyambut tetamu, dengar baik-baik ya!”
Lidia Penjual Kain Ungu
Ada satu tempat di Roma yang berdekatan dengan Asia, terdapat padang rumput yang sangat indah sekali. Di kawasan padang rumput yang indah ini, ada sebuah kota yang terkenal, iaitu kota Filipi (Tuliskan di papan tulis atau kertas) Kota ini berhampiran dengan laut, orang-orang yang tinggal di kota ini kebanyakannya menyembah berhala. Namun antara orang-orang yang menyembah berhala, terdapat seorang perempuan yang tinggal di kota Tiatira, yang bernama Lidia (Tunjukkan namanya, dan jemput murid-murid sebut sebanyak dua kali). Perempuan ini adalah seorang peniaga yang menjual kain ungu, kain ungu ini merupakan kain yang mahal dan hanya mampu dibeli oleh orang kaya.
Walaupun orang-orang di kota Filipi kebanyakannya menyembah berhala, namun Lidia adalah seorang yang percaya kepada Tuhan. Pada setiap hari Sabat, dia pasti pergi ke tepi sungai bersama dengan perempuan-perempuan lain untuk berdoa, berkebaktian dan menyembah Tuhan. (gambar 10 – 1)
Paulus Tiba Di Kota Filipi
Ketika itu, rasul Paulus sedang menyebarkan injil keselamatan Tuhan Yesus di merata tempat. Pada suatu malam, Paulus melihat suatu penglihatan: Ada seorang Makedonia berdiri di depannya, dia berseru kepada Paulus untuk pergi menolong mereka di sana. Makedonia adalah sebuah negara orang kafir, lalu Paulus membawa Silas dan Timotius pergi ke Makedonia untuk memberitakan injil kepada penduduk di sana. Tidak lama kemudian, tibalah mereka di kota Filipi di daerah Makedonia.
Paulus Memberitakan Injil Kepada Keluarga Lidia
Paulus dan rakan-rakannya telah tinggal di Filipi untuk beberapa hari, hinggalah pada hari Sabat, mereka keluar melalui pintu kota ke tepi sungai. Cuba kamu fikirkan, apakah yang akan dilihat oleh Paulus di tepi sungai? (Biarkan murid-murid menjawab, guru tidak perlu memberi komen) Mereka melihat ada sekumpulan perempuan yang sedang berkebaktian dan menyembah Tuhan. Antara mereka terdapat seorang perempuan yang bernama siapa? (Lidia)
Mereka juga duduk bersama, Paulus mulai menyampaikan firman keselamatan Tuhan Yesus kepada perempuan-perempuan itu. Mereka semua mendengar dengan penuh perhatian, terutamanya Lidia. Tuhan telah memilihnya, oleh itu dia mendengar perkataan Paulus dengan lebih teliti. Pada asalnya Lidia memang percaya kepada Tuhan yang Esa di syurga, sekarang dia juga percaya kepada injil yang disampaikan oleh Paulus, maka dia dan seisi keluarganya telah memberi diri dibaptis dan menjadi anak-anak Tuhan.
Lidia Menyambut Paulus Dengan Sukacita
Selepas dibaptiskan, Lidia berasa sangat gembira dan berkata kepada Paulus: “Sekarang saya telah dibaptis dan menjadi anak Tuhan. Saya ada satu permintaan yang kecil, saya berharap kamu dapat datang ke rumah saya untuk tinggal beberapa hari, bolehkah?” Pada mulanya, Paulus berasa segan untuk mengganggu keluarga Lidia, tetapi apabila melihat Lidia yang sangat giat dan ikhlas menjemput mereka ke rumahnya, maka mereka pun tinggal di situ selama beberapa hari. Selepas itu, mereka pergi lagi ke tempat lain untuk memberitakan injil. (Gambar 10 – 2)
Paulus Tinggal Di Rumah Lidia Setelah Keluar Dari Penjara
Kemudian, Paulus dan Silas telah menghalau roh jahat daripada seorang hamba perempuan, hal ini telah menyinggung perasaan orang, lalu dia ditangkap dan dipenjarakan. Tetapi Lidia tidak berasa takut, dia tetap menganggap Paulus sebagai rakan baiknya. Pada waktu tengah malam, Tuhan telah menyelamatkan Paulus dan Silas keluar dari penjara, lalu mereka terus pergi ke rumah Lidia. Ini kerana Lidia merupakan seorang pemercaya yang baik, penuh kasih dan giat menyambut tetamu.
Giat Untuk Menyambut Tetamu
Setelah ibu menghabiskan cerita ini, Shin Zhen yang pintar juga teringat pada masa dahulu, seorang guru juga pernah menceritakan seorang yang giat menyambut tetamu, dan tanpa disedari dia telah menyambut malaikat. Adik-adik, adakah kamu masih ingat siapakah orang itu?
Abraham Menyambut Tetamu
Pada suatu hari, cuaca sangat panas, Abraham berehat di pintu khemahnya. Tiba-tiba dia melihat ada tiga orang sedang menuju ke arahnya. Dia terus pergi menyambut mereka, dan membawakan sebasin air untuk mereka cuci kaki, kemudian membawa mereka untuk berehat di bawah pokok. Kerana cuaca sangat panas, Abraham berfikir: Tiga orang tetamu ini pasti penat dan lapar. Dengan segera dia menyuruh isterinya Sara membuatkan roti, menyuruh hambanya menyembelih seekor lembu yang besar dan gemuk, dia juga pergi mengambilkan dadih dan susu. Semua barang ini dihantarkan dengan segera kepada tetamu yang berehat di bawah pokok, dan menjemput mereka makan. Tiga orang tetamu ini berasa sangat gembira lalu makan.
Adik-adik, tahukah kamu siapakah tiga orang tetamu ini? (Murid-murid menjawab). Ya! Malaikat. Malaikat ini telah dilayani oleh Abraham dengan kasih, maka mereka ingin menghadiahkan sesuatu kepada Abraham, mereka hendak mengaruniakan Abraham seorang anak. Ketika Abraham berusia 100 tahun. Wah! Sangat tua, tetapi dia benar-benar mendapat seorang anak lelaki, dia menamai anaknya Ishak. Abraham seorang yang mempunyai kasih dan iman, oleh itu dia diberkati Tuhan.
Tidak Akan Bersembunyi Lagi
Selepas Shin Zhen mendengarkan cerita ibunya, dia teringat kisah Abraham yang pernah disampaikan oleh guru, dia berfikir: Jika melihat tetamu datang lagi, dia pasti melayani mereka dengan baik-baik, terutamanya para pendeta yang berjerih payah untuk memberitakan injil Tuhan. Para penatua, diakon, penguasa, dan guru-guru, merekalah yang sudi bekerja keras untuk Tuhan, saya seharusnya melayani mereka dengan baik. Ketika melihat mereka, saya harus bertegur sapa. Sejak itu, Shin Zhen membuat keputusan untuk tidak bersembunyi lagi di tingkat atas, tetapi harus mencontohi Lidia dan Abraham yang menyambut tetamu dengan kasih.
Sudi Menyambut Tetamu
Adik-adik, sila keluarkan Alkitab, mari kita rujuk Alkitab: (Roma 12: 13) sama-sama bacakan: “Bantulah dalam kekurangan orang-orang kudus dan usahakanlah dirimu untuk selalu memberikan tumpangan!” Ayat ini memberitahu kita: Jika terdapat saudara-saudari yang susah, kita haruslah membantu mereka; jika tetamu datang, haruslah menyambut mereka.
Mari kita rujuk lagi Alkitab: (Ibrani 13: 2) sama-sama bacakan: “Jangan kamu lupa memberi tumpangan kepada orang, sebab dengan berbuat demikian beberapa orang dengan tidak diketahuinya telah menjamu malaikat-malaikat.” Siapakah yang dikatakan telah menjamu malaikat-malaikat dengan tidak diketahuinya? (Abraham.) Ya, jika kita dapat menyambut tetamu dengan giat, Tuhan pasti akan memberkati kita.
Sesi Aktiviti :
- Nama Aktiviti : Kad Hari Bapa
- Objektif Aktiviti : Membuat kad Hari Bapa, untuk berterima kasih atas jerih payah ayah.
- Persediaan sebelum aktiviti: Buku kerja murid-murid, gunting, pen.
- Isi kandungan aktiviti:
- Koyakkan kad yang dilampirkan pada buku kerja murid-murid, kemudian lipatkan separuh.
- Murid-murid fikirkan kata-kata yang hendak dituliskan untuk ayah, kemudian tuliskan di dalam kad.
- Murid-murid bawa kad ini pulang untuk dihadiahkan kepada ayah.
- Perhatian: Jika terdapat murid-murid tidak mempunyai ayah, boleh tuliskan kepada guru atau orang yang dihormati.