Mesej Untuk Guru :
Kepada guru yang dikasihi, kehidupan Simson adalah seperti gambaran terhadap orang Israel, iaitu suatu bangsa yang dipilih oleh Tuhan yang tidak dapat menjaga kekudusan. Mereka sering terjerumus ke dalam perzinahan dengan menyembah berhala dan akhirnya menempuh jalan kebinasaan! Walaupun Simson telah mengorbankan nyawanya dan melaksanakan amanat Tuhan, tetapi dia hidup dengan melampiaskan hawa nafsu, tidak mengikuti ketetapan dan suka akan wanita. Ini merupakan sebab-sebab tragedi kehidupannya. Selepas kita mengkaji Simson dengan teliti, kita akan mendapati bahawa dia hanya memegang salah satu daripada tiga hukum orang Nazir, iaitu tidak mendekati mayat, menjauhkan diri daripada anggur dan minuman yang memabukkan, dan tidak mencukur rambutnya. Oleh itu, walaupun dia mempunyai karunia yang istimewa dalam kalangan orang biasa, di mana dia memiliki kekuatan sehingga dapat mengoyakkan seekor singa. Tetapi, kekuatannya dari segi moral tidak mampu menyelamatkannya daripada jerat wanita…… kita memang perlu berjaga-jaga!
Nas Alkitab : Hakim-Hakim fasal 13-14
Objektif Pengajaran dan Pembelajaran :
- Dapat mengetahui bahawa kekuatan Simson merupakan karunia daripada Tuhan.
- Dapat mengetahui kesalahan yang dilakukan oleh Simson.
Ayat Hafalan :
Kerana Engkaulah yang menyelamatkan bangsa yang tertindas. (Mazmur 18:28)
Persediaan Prapengajaran dan Pembelajaran :
- Gambar (Gambar yang berkaitan disediakan oleh guru.)
- Gambar atau mainan seekor singa.
Doa :
Dalam nama Tuhan Yesus berdoa. Bapa syurga yang pengasih, ibu bapa kami telah membawa kami untuk menerima baptisan sejak kecil lagi, supaya kami dapat menjadi domba kecil-Mu, dan Iblis juga tidak dapat mencelakakan kami. Kami juga tidak boleh berdosa lagi. Kami akan mempersembahkan seumur hidup kami kepada-Mu! Haleluya. Amin.
Isi Pelajaran:
Pendahuluan
Adik-adik, dalam bab yang sebelum ini cikgu telah menceritakan bahawa orang Israel tidak mendengar firman Tuhan dengan menyembah dewa palsu di tanah Kanaan. Oleh itu, Tuhan benar sangat murka dan membiarkan musuh datang untuk membuli mereka. Apabila orang Israel menderita, mereka pun bertobat dan memohon bantuan daripada Tuhan, maka Tuhan akan mengutus seorang hakim untuk memimpin umat menewaskan musuh. Dalam bab yang sebelum ini, siapakah hakim yang kita ceritakan itu? (Gideon) Okey! Akhirnya, berapakah jumlah perajurit yang dipilih oleh Gideon untuk pergi berperang? (300 orang) Sangat baik. Masihkah kamu ingat bagaimana mereka minum air? (Menghirup dengan membawa tangannya ke mulutnya) Tambahan pula, apakah yang sedang mereka jerit apabila mereka meniup sangkakala dan memegang obor untuk menewaskan musuh? (Pedang demi TUHAN dan demi Gideon).
Kamu semua sangat pandai! Okey! Hari ini, kita akan menceritakan seorang hakim yang lain. Mari! Ikut cikgu baca tulisan yang tertulis di papan hitam. (Guru akan menggunakan jari untuk menunjuk semasa membaca) Betul! Simson.
Khabar Baik
Bagi setiap kanak-kanak, sejak mereka masih kecil sehingga menjadi besar, ibu bapa akan membawa mereka pergi gunting rambut selepas suatu jangka masa. Betul atau tidak? Maka kanak-kanak bagi orang Israel juga sama! Adakah kamu tahu? Terdapat seorang kanak-kanak yang bernama Simson. Rambutnya tidak pernah digunting sejak dia dilahirkan. Mengapakah dia tidak menggunting rambutnya? Perhatikan cerita pada hari ini!
Rupa-rupanya, umat Israel tidak mendengar firman Tuhan lagi. Oleh itu, Tuhan telah menghantar orang Filistin untuk membuli mereka. Di antara orang Israel, terdapat sepasang suami isteri yang sudah lama berkahwin tetapi mereka tidak mempunyai anak. Oleh itu, mereka sangat menginginkan seorang anak! Pada suatu hari, malaikat TUHAN telah menampakkan diri kepada isteri itu dan berkata, “Kamu akan melahirkan seorang anak lelaki. Oleh itu janganlah kamu minum minuman yang memabukkan, dan jangan makan makanan yang tidak tahir. Selepas bayi itu dilahirkan, jangan kamu cukur rambutnya. Anak itu haruslah diberikan kepada Tuhan. Selepas dia dewasa, dia akan menyelamatkan umat Israel dengan menewaskan orang Filistin.”
Simson Dilahirkan
Kemudian, isteri itu benar-benar melahirkan seorang anak lelaki. Maka menurut perintah Tuhan, mereka menamakan anak mereka Simson, iaitu Simson yang akan melakukan banyak perkara bagi Tuhan selepas dia membesar. Ibu bapa Simson sangat mengasihi dan mencintainya. Mereka juga taat kepada perintah Tuhan dengan tidak menggunting rambutnya. Kemudian Simson sudah menjadi dewasa dan rambutnya sangat panjang. Tambahan pula, dia juga sangat kuat, sama seperti seorang yang gagah perkasa, kuat dan berani. Walaupun Simson sangat kuat dan hal ini merupakan kelebihannya, tetapi sayang sekali, dia merupakan seorang yang tidak taat kepada perintah Tuhan.
Simson Mengoyakkan Singa
Pada suatu hari, Simson melalui sebuah kebun anggur dan dia terserempak dengan seekor singa yang besar dan garang. Simson tidak membawa pedang atau panah dengannya. Apakah yang dapat dilakukannya? Simson yang berani itu langsung tidak takut. Pada masa itu, Tuhan telah mengaruniakan Simson kekuatan yang besar. Simson dengan segera menghulurkan kedua-dua belah tangannya, memegang singa itu dan mengoyakkannya dengan kekuatannya. Shh! Shh! Dengan bunyi itu, singa itu telah dikoyakkan. Selepas beberapa hari, Simson datang kembali kepada singa yang telah mati itu. Dia mendapati bahawa terdapat sekumpulan lebah di sana dan juga terdapat madu. Maka dia telah mengambil sedikit madu dan memakannya sambil berjalan. Dia juga membawa madu itu pulang untuk diberikan kepada ibu bapanya. (Dia juga tidak memberitahu ibu bapanya madu itu diambil dari mana). Adik-adik, Simson telah dipersembahkan kepada Tuhan, dan mengikut ketetapan Tuhan, dia tidak boleh menyentuh mayat yang mati, tetapi dia telah mengambil madu dari mayat singa itu untuk dimakan. Nampaknya, dia tidak memegang perintah Tuhan dengan sesungguhnya.
Simson Mengemukakan Teka-teki
Pada suatu hari, Simson suka akan seorang perempuan Filistin. Maka dia ingin menjadikan perempuan itu sebagai isterinya. Tetapi, ibu bapanya tidak membenarkan Simson berkahwin dengan orang kafir yang tidak percaya kepada Tuhan benar. Walau bagaimanapun, Simson masih ingin mengahwini perempuan itu. Simson yang tidak taat itu tidak menghiraukan betapa sedihnya ibu bapanya dan berkahwin dengan perempuan Filistin itu. Semasa upacara perkahwinan, Simson telah mengemukakan teka-teki kepada orang Filistin. Kata Simson, jika terdapat seseorang yang mampu menekanya, maka dia akan menghadiahkan sehelai pakaian kepada orang itu. Akhirnya, tidak ada seorang Filistin pun yang mampu menjawabnya. Maka mereka menyuruh isteri Simson untuk mendapatkan jawapan daripadanya. Isteri Simson pergi menangis dan merayu-rayu kepada Simson atas permintaan kawan-kawannya. Isteri Simson asyik memaksa Simson supaya memberitahukan jawapan kepadanya, sehingga Simson terpaksa memberitahu jawapan itu kepadanya. Pada masa itu, orang Filistin berjaya menjawab teka-teki itu, dan Simson terpaksa menghadiahkan pakaian yang telah dijanjikannya. Dia telah merampas pakaian orang Filistin yang lain untuk dihadiahkan kepada mereka. Tetapi, selepas hal meneka teka-teki ini, Simson sangat marah dan telah membiarkan isterinya di rumah bapa mertuanya. Dia sendiri pula balik ke rumah ibu bapanya. Adik-adik, adakah kamu berasa bahawa Simson itu sangat pelik? Dia sendiri yang rela memberitahukan jawapan teka-teki itu kepada isterinya. Kemudian, dia merampas pakaian orang lain untuk dihadiahkan kepada orang Filistin. Akhirnya, dia sendiri yang naik angin lalu pulang. Sebenarnya, segala peristiwa ini telah dilihat oleh Tuhan dengan jelas sekali di syurga. Tuhan telah melihat kelakuan Simson yang jahat itu. Maka Tuhan akan menggunakan kelakuannya yang jahat itu untuk menggenapkan rancangan-Nya untuk menyelamatkan orang Israel daripada tangan orang Filistin.
Kesimpulan
Adik-adik, Simson memiliki kekuatan yang luar biasa, iaitu kekuatan yang dikaruniakan oleh Tuhan kepadanya untuk membantu orang Israel menghadapi orang Filistin. Jadi sekarang, marilah kita lihat kawan yang duduk di sisi kamu. Baik! Lihat lagi kawan lain yang di sebelah kamu. Adakah mereka mempunyai muka yang sama? Okey! Tidak sama. Setiap kita mempunyai wajah yang berbeza. Perkara yang kamu suka lakukan juga berbeza. Apakah yang kamu suka buat? (Selepas bertanya kepada 5 atau 6 orang murid, barulah cikgu berkata). Kita semua mempunyai keistimewaan masing-masing. Ada orang yang pandai melukis, ada orang yang pandai menyanyi, ada orang yang pandai berbicara, ada orang yang pandai bermain bola dan juga ada orang yang pandai menyapu lantai. Wah! Setiap orang berbeza. Hal ini demikian kerana Tuhan suka jika kita saling membantu. Oleh itu, Tuhan telah membuat kita masing-masing mempunyai keistimewaan yang berlainan. Kamu adalah kanak-kanak yang disukai oleh Tuhan Yesus. Tidak kira di rumah, di sekolah, atau di dalam kelas, kamu haruslah berusaha menjadi seorang budak yang paling pandai membantu orang lain. Minggu depan, sesuatu perkara yang serius dan besar telah berlaku pada Simson — Kekuatannya telah hilang. Aduh! Mengapakah hal demikian berlaku? Adakah cara untuk mengembalikan kekuatannya? Minggu depan, mari kita sama-sama membantunya mencari jalan penyelesaian.