BAB 11 : CERITA TENTANG PENABURAN BENIH

Nas Alkitab : Matius 13 : 1 – 9; 19 – 23; Lukas 8 : 4 – 15

 

Objektif Pengajaran dan Pembelajaran :

  1. Mengetahui empat jenis tanah dalam perumpamaan tentang penabur dan mana satu jeniskah yang perlu kita teladani.
  2. Jadilah anak yang dikasihi Tuhan: (3) suka baca Alkitab.

 

Ayat Hafalan :

Dan sebagian jatuh di tanah yang baik lalu berbuah: ada yang seratus kali lipat, ada yang enam puluh kali lipat, ada yang tiga puluh kali lipat. (Matius 13 : 8)

 

Persediaan Prapengajaran dan Pembelajaran :

  1. Gambar pengajaran dan pembelajaran. (Gambar yang berkaitan boleh disediakan oleh guru.)
  2. Tunjukkan sebanyak mungkin jenis benih, seperti: kacang hijau, kacang merah, kacang soya, dll.

 

Doa :

Dalam nama Tuhan Yesus berdoa. Tuhan yang Maha Pengasih, kami bersyukur kepada-Mu setiap hari kerana Engkau mengasihi dan melindungi kami. Kami adakalanya malas dan lemah. Bantulah kami supaya kami senantiasa berdoa dan menumpukan perhatian untuk belajar firman kebenaran-Mu. Haleluya. Amin.

 

Isi Pelajaran :

Adik-adik, kamu lihat terdapat pelbagai jenis benih di sini. Bolehkah kamu namakannya? Jika kita menanamnya di dalam tanah, apa yang akan terjadi? (Bertunas dan tumbuh secara beransur-ansur). Pernahkah kamu melihat ayah atau ibu kamu menanam bunga atau pokok? Apa yang harus diperhatikan agar bunga dan pokok tumbuh dengan baik? (Jemput kanak-kanak jawab, seperti: tanah yang baik, sinaran matahari, siram air dan sebagainya).

Tuhan Yesus pernah menyampaikan cerita tentang  seorang petani yang menabur benih. Sekarang marilah  kita dengarkan kisah ini. Seorang petani menabur banyak benih di tanah. Cuba fikirkan, adakah benih-benih ini tumbuh dengan subur kelak? Pada awal pagi, petani membawa sebungkus benih ke ladang dan petani itu menaburkan benihnya di ladang sambil berjalan. Dengan tiupan angin, benih-benih melayang di udara. Ada yang melayang jauh, ada yang melayang dekat. Petani berharap mereka semua akan jatuh di tanah yang baik dan tumbuh dengan baik, bertunas dan berbuah.

 

Jatuh Di Pinggir Jalan

Namun, ada benih yang terbang ditiup angin lalu jatuh di tanah yang tidak baik. Mereka jatuh di pinggir jalan yang sering dilalui oleh manusia. Benih yang berada di tanah yang keras ini tidak dapat menyerap air yang mencukupi. Walaupun ia ingin masuk ke dalam tanah, tetapi tidak dapat. Pada siang hari, ada begitu ramai orang yang ulang alik berjalan di sana. Mereka tidak nampak benih dan memijaknya hingga hancur. Sebilangan benih yang bertuah tidak dipijak oleh manusia tetapi pada waktu petang apabila manusia berkurangan, datang pula burung kecil dan memakan semua benih sebagai makanan.

 

Jatuh Di Tanah Yang Berbatu-batu

Terdapat benih-benih yang terbang ditiup angin dan mereka ingin mencari tempat yang baik tetapi sayangnya mereka jatuh di tanah yang cetek. Mereka berasa sangat selesa dan selamat kerana mempunyai air yang mereka perlukan, tidak akan kering dan mereka tidak bimbang akan diinjak-injak manusia hingga mati. Tidak lama kemudian, tunas hijau kecil keluar dari tanah, dan daun muda menghulurkan tangan mereka untuk menikmati cahaya matahari. Kemudian untuk menyerap nutrien, akarnya memanjang ke kiri, kanan dan bawah tanah. Namun disebabkan mereka jatuh di tanah berbatu-batu yang cetek, akarnya yang memanjang ke dalam akan terhalang oleh batu-batu di bawah. Walaupun ia cuba masuk melalui celah-celah batu namun ia tidak  berjaya. Matahari pada waktu siang mengeringkan tanah yang cetek dengan cepat. Akibatnya tunas muda yang lemah ini akhirnya tidak dapat tumbuh dan batangnya secara perlahan-lahan tidak dapat tegak lagi kerana tidak ada air dan kering di bawah sinar matahari.

 

Jatuh Di Tengah Semak Duri

Petani berjalan melintasi ladang sambil menabur benih di udara. Benih-benih semuanya berharap dapat jatuh di tanah yang subur dan tumbuh tinggi dan subur. Namun benih-benih ini jatuh di tengah semak duri. Benih-benih ini bertunas dan tumbuh bersama semak duri di mana  berkongsi cahaya matahari dan air. Semak duri tumbuh dengan sangat cepat dan tidak lama kemudian, semak duri ini tumbuh dengan subur dan sihat. Ia  menyerap semua nutrisi di dalam tanah. Akibatnya, tunas yang baru tumbuh tidak dapat membesar dengan lancar dan tidak dapat sinaran matahari lagi. Mereka ingin keluar dari tanah tetapi tidak ada tempat untuk mereka membesar. Sedihnya benih baik yang jatuh di tengah semak duri ini terpaksa berjuang dengan semak duri. Namun benih-benih ini terperangkap lalu mati kerana semak duri tumbuh dengan lebih besar dan subur daripadanya.

 

Jatuh Di Tanah Yang Baik

Sebilangan benih jatuh di tanah yang baik. Benih ini tidur dalam tanah yang hangat dan lembap. Mereka menunggu setiap hari menikmati cahaya matahari yang hangat dan air hujan. Pucuk hijau kecil mula perlahan-lahan keluar dari tanah. Cabang-cabangnya tumbuh ke arah langit dan memanjangkan akarnya ke bawah tanah. Ini kerana tidak ada batu dan semak duri, pucuk ini cepat tumbuh menjadi tanaman hijau. Pada mulanya mereka  hanyalah benih kecil tetapi sekarang mereka tumbuh dan menghasilkan ratusan benih.

 

Suka Membaca Alkitab

Setelah Tuhan Yesus selesai menyampaikan kisah ini, Dia memberitahu murid-murid-Nya bahawa hati kita adalah sama seperti sebidang tanah. Firman Tuhan adalah seperti benih dan Tuhan Yesus adalah petani ini. Dalam kisah ini, Tuhan Yesus menggunakan empat jenis tanah untuk menggambarkan  suasana bagaimana kita mendengarkan firman Tuhan. Tanah hati setiap orang berbeza; ada orang datang ke gereja untuk kebaktian, mendengar ajaran pendeta, masuk telinga kanan tetapi keluar dari telinga kiri tanpa menanam benih kebenaran di dalam hati. Iblis makan firman Tuhan seperti burung makan benih.

Selain itu, ada juga orang suka mendengar firman Tuhan tetapi mereka enggan mempelajari Alkitab dengan baik dan menyimpan firman Tuhan di dalam hati mereka. Apabila ada orang menertawakannya atau menyinggung perasaannya, dia berkata : “Oh! Saya tidak lagi percaya kepada Yesus.” Anak benih itu mati sebaik sahaja terkena sinar matahari kerana akarnya tidak cukup dalam.

Ada pula mendengar firman Tuhan dan menyimpannya di dalam hati mereka. Walaupun dia mengasihi Yesus, dia juga menyukai perkara-perkara lain. Contohnya: menonton TV, bermain bola, membaca buku komik dan bermain permainan video. Akan tetapi hal-hal seperti membaca Alkitab, berdoa dan beribadah diketepikan. Ini adalah sama seperti tunas muda yang dihimpit oleh semak duri. Jadi tidak dapat tumbuh dengan baik. Dia tidak membaca Alkitab atau berdoa. Walaupun dia percaya kepada Yesus, imannya tidak teguh, tidak memahami firman Tuhan dengan sepenuhnya dan tidak memberitakan injil kepada orang lain.

Ada orang yang jenis hatinya adalah tanah yang baik. Mereka mengikuti Tuhan Yesus dengan giat, mendengar dan melakukan firman Tuhan. Mereka mengasihi Tuhan Yesus, saling mengasihi sesama sendiri dan  mampu memimpin ramai orang untuk mendengar Injil melalui teladan mereka yang baik. Mereka seperti benih baik yang jatuh di tanah yang baik, bertunas, tumbuh lalu berbunga dan berbuah.

Firman Tuhan Yesus: “Dan sebagian jatuh di tanah yang baik lalu berbuah: ada yang seratus kali lipat, ada yang enam puluh kali lipat, ada yang tiga puluh kali lipat.” Adik-adik, kamu mahu hati kamu menyerupai tanah jenis apa? Mengapa? (Sila jawab).