BAB 11 : SUAMI ISTERI TELADAN – AKWILA DAN PRISKILA

Nas Alkitab : Kisah Para Rasul 18 : 1 – 3, 24 – 26; 1 Korintus 16 : 19

 

Objektif Pengajaran dan Pembelajaran :

  1. Ketahui bagaimana suami isteri Akwila bersaksi demi Tuhan dalam keluarga.
  2. Dapat berdoa untuk iman kepercayaan keluarga sendiri.

 

Ayat Hafalan :

Percayalah kepada Tuhan Yesus Kristus dan engkau akan selamat, engkau dan seisi rumahmu. (Kisah Para Rasul 16 : 31)

 

Doa :

Dalam nama Tuhan Yesus berdoa. Syukur kepada Tuhan Yesus kerana memberi kami keluarga yang harmoni sehingga kami dapat membesar dalam kasih dan perlindungan ayah dan ibu. Mohon Tuhan membantu kami supaya kami dapat mengerti kesopanan, mematuhi peraturan, menjadi seorang anak yang baik dan disukai ramai. Ya Tuhan, kami juga sudi memuliakan nama-Mu yang kudus dengan kelakuan yang baik. Haleluya, amin!

 

Isi Pelajaran :

Akwila dan Priskila adalah sepasang suami isteri, mereka merupakan orang Yahudi. Pada asalnya mereka tinggal di Roma, pekerjaan mereka adalah sebagai tukang khemah. Akan tetapi, raja Roma tiba-tiba menurunkan satu perintah bahawa semua orang Yahudi harus meninggalkan Roma, maka Akwila telah membawa isterinya Priskila ke Korintus.

Pada masa yang sama, rasul Paulus telah datang dari Atena dan tiba di Korintus untuk memberitakan injil. Paulus sampai di Korintus seorang diri, dia tidak mengenali sesiapa pun, dia ingin sekali mencari teman sebangsanya, maka dia pun pergi mencari di banyak tempat. Paulus mendengar bahawa di Korintus terdapat ramai orang Yahudi, hatinya berasa sangat gembira, segeralah dia pergi untuk mencari mereka, iaitu suami isteri Akwila dan Priskila.

 

Paulus Memimpin Suami Isteri Akwila

Paulus telah menemui Akwila dan isterinya, kerana mereka juga adalah orang Yahudi, tambahan pula, Paulus juga pernah belajar untuk membuat khemah, maka Paulus tinggal bersama mereka dan melakukan kerja membuat khemah untuk menyara kehidupan. (gambar 11 – 1) Paulus membuat khemah sambil memberitakan injil kepada mereka.

“Akwila, Priskila, adakah kamu tahu? Mesias yang dinubuatkan dalam Perjanjian Lama telah datang!”

“Encik Paulus, apakah yang engkau katakan? Juruselamat iaitu Mesias telah datang?”

“Ya, telah datang, Dia ialah Yesus orang Nazaret.”

“Selama ini, kami menanti-nantikan kedatangan Mesias untuk menyelamatkan negara kita. Kamu lihatlah, pada asalnya kami tinggal di Roma, tetapi sekejap saja kami telah dihalau oleh orang Roma. Negara kita telah dirampas oleh askar Roma, dan kami sering ditindas oleh mereka.”

“Sayang sekali, para pembesar orang Yahudi tidak kenal bahawa Dialah Mesias, dan telah menyerahkan Dia kepada askar Roma, dan Dia telah mati disalibkan.” Paulus berkata dengan sedih.

“Telah mati! Amat sayang sekali.” Akwila dan Priskila turut berasa sedih.

“Janganlah kamu sedih, walaupun Yesus telah mati disalibkan dan menumpahkan darahnya, tetapi tiga hari kemudian, Dia telah bangkit dari kematian.”

Akwila tidak faham lalu bertanya kepada Paulus: “Bagaimanakah kamu tahu Yesus telah dibangkitkan?”

“Pada mulanya, saya juga tidak percaya bahawa Yesus adalah Mesias, Juruselamat manusia. Saya juga tidak percaya bahawa dia bangkit dari kematian. Tetapi kemudian, mata saya sendiri telah melihat Yesus, iaitu di perjalanan ke Damsyik, Dia menerangi saya dengan cahaya yang kuat dan bercakap dengan saya. Pada waktu itulah saya memahami bahawa Yesus adalah Kristus, Dia benar-benar telah menang dan bangkit dari kematian, Dialah yang menjadi Juruselamat bagi umat manusia sejagat.”

Demikianlah Paulus menyampaikan kesaksian tentang Yesus di rumah. Pada hari Sabat, Paulus berkata kepada mereka: “Saya hendak pergi ke rumah ibadat orang Yahudi untuk memberitakan Yesus adalah Kristus, bolehkah kamu pergi bersama-sama saya?”

“Baiklah. Kita pergi bersama-sama. Sejak mendengar kesaksian yang engkau sampaikan, kami berasa sangat terharu. Kami sudi mengkaji dengan lebih mendalam!” Paulus memberitakan bahawa Yesus adalah Mesias di rumah ibadat orang Yahudi, dia menggunakan pengalaman dirinya sebagai kesaksian untuk membuktikan Yesus adalah Juruselamat yang telah dibangkitkan.

Selepas mendengar injil dan memahaminya, Akwila dan Priskila telah percaya kepada Yesus. Sejak hari itu, mereka berdoa dan membaca Alkitab bersama-sama setiap hari, mereka penuh dengan sukacita kerana percaya kepada Tuhan.

 

Rakan Sekerja Paulus Yang Baik

Paulus tinggal di Korintus selama satu tahun enam bulan, suami isteri Akwila telah menjadi rakan sekerja Paulus yang baik, mereka telah banyak menolong Paulus. Kemudian, Paulus hendak pergi ke Siria untuk memberitakan injil. Akwila segera berkata kepadanya: “Kami juga sudi pergi bersama-sama dengan kamu untuk memberitakan injil. Kami telah mengenali Tuhan Yesus. Kami juga harus memberitakan injil di merata-rata tempat.” Paulus sangat gembira selepas mendengarnya dan berkata: “Bagus sekali, dengan pertolongan daripada kamu, saya berasa lebih berkekuatan. Asalkan kamu sudi, saya mengalu-alukan kamu untuk pergi bersama-sama, kita boleh tetap tinggal bersama-sama dan membuat khemah bersama-sama.” Demikianlah suami isteri Akwila mengikuti Paulus ke Efesus.

 

Mendirikan Jemaat Dalam Keluarga

Setelah tiba di Efesus, Paulus memberitakan nama Tuhan Yesus di rumah-rumah ibadat. Akwila dan Priskila juga mencari peluang untuk memberitakan injil. Priskila khasnya memberitakan injil kepada perempuan-perempuan dan berdoa untuk mereka. Syukur kepada pimpinan Tuhan, ramai orang telah percaya kepada Tuhan.

Pada suatu hari, ada seorang Yahudi yang bernama Apolos telah sampai di Efesus. Orang ini sangat berpengetahuan dan pandai berbicara. Dia juga seorang yang giat melayani Tuhan. Dia pergi ke rumah ibadat untuk menerangkan Alkitab dan mengajar orang. Selepas Akwila dan Priskila mendengar kesaksiannya, mereka menjemput dia datang ke rumah, kerana dia hanya tahu tentang pembaptisan Yohanes.

“Encik Apolos, engkau baru tiba di Efesus seorang diri?”

“Ya. Saya baru saja datang dari Aleksandria ke sini. Kemudian saya ingin pergi ke Korintus.”

“Korintus! Sebelum ini, kami tinggal di Korintus, di sanalah kami mengenali Paulus, kami telah mengenali Tuhan Yesus kerana pimpinannya.”

“Encik Apolos, sudahkah kamu menerima baptisan Tuhan Yesus?”

“Tidak. Saya hanya tahu tentang baptisan Yohanes.”

“Baptisan Yohanes adalah supaya orang bertaubat sahaja. Haruslah menerima baptisan Tuhan Yesus, barulah dapat mengampuni dosa-dosa kita.”

Akwila dan Priskila telah menjelaskan firman keselamatan Yesus dengan lebih teliti. Mereka juga menulis surat pengenalan kepada saudara-saudari di Korintus agar mereka menyambut Apolos. Dengan kasih dan pertolongan daripada pasangan suami isteri ini, Apolos lebih mengenali Tuhan Yesus. Kemudiannya dia juga melakukan banyak kerja untuk Tuhan. (Tunjukkan gambar) Ramai orang telah percaya kepada Tuhan kerana pimpinan Akwila dan Priskila. Mereka berkumpul di rumah suami isteri Akwila untuk berdoa dan membaca Alkitab bersama-sama. Tidak lama kemudian, sebuah jemaat telah didirikan dalam keluarga mereka.

Jemaat yang dimaksudkan bukanlah tempat untuk beribadah, tetapi ditujukan kepada para jemaat kudus, iaitu kumpulan umat Kristian. Oleh itu, bukan sahaja umat Kristian yang beribadah di gereja digelar sebagai jemaat, umat Kristian dalam keluarga juga boleh digelar sebagai jemaat. Selepas itu, Paulus telah meninggalkan Efesus dan pergi ke tempat lain untuk memberitakan injil. Akwila dan Priskila masih tinggal di Efesus untuk meneruskan pemberitaan injil dan membimbing pemercaya. Tuhan bekerja bersama-sama dengan mereka, orang yang percaya kepada Tuhan semakin bertambah dari sehari ke sehari.

Akwila dan Priskila bukan sahaja merupakan rakan sekerja Paulus yang baik, mereka juga menjadi teladan yang terbaik bagi pemercaya. Mereka menyediakan rumah terbuka untuk memimpin lebih ramai orang percaya kepada Tuhan. Mereka bersama-sama menyembah Tuhan di rumah dan bersinar untuk Tuhan.

 

Dorongan

Keluarga yang memiliki kepercayaan merupakan keluarga yang bahagia; keluarga yang bahagia dapat menghangatkan hati orang.

Setelah Akwila dan Priskila percaya kepada Tuhan, kehidupan suami isteri ini sehati sejiwa, kepercayaan mereka sungguh harmoni, menghormati Tuhan dan mengasihi manusia, sudi untuk memberi persembahan, dan bersinar untuk Tuhan.

Semoga kita memohon Tuhan dalam doa kita, agar merahmati dan memberkati kita, supaya keluarga kita juga dapat menjadi sama seperti mereka, menghormati Kristus sebagai ketua rumah, setiap orang saling menghormati, hidup dalam keadaan harmoni dan bersukacita, sehati dalam iman kepercayaan, dan menghasilkan banyak buah yang baik untuk memuliakan Tuhan.

 

Sesi Aktiviti :

  1. Nama Aktiviti : Tuan Rumah Yang Kecil
  2. Objektif Aktiviti : Belajar untuk menyambut tetamu dengan kasih.
  3. Persediaan sebelum aktiviti:
    1. Beberapa cawan (untuk menyambut tetamu).
    2. Tempat: Kosongkan ruang di hadapan untuk latihan lakonan.
  4. Isi kandungan aktiviti:
    1. Menimbulkan motif: Bincangkan siapakah tetamu yang datang ke rumah, bagaimana untuk menyambutnya?
    2. Biarkan murid-murid membincangkan kesopanan yang harus ada ketika menyambut tetamu.
    3. Jemput beberapa orang murid keluar untuk berlakon sebagai tuan rumah dan tetamu, lakonkan proses melayani tetamu.
    4. Selepas lakonan, guru haruslah memberi bimbingan atau beri peluang kepada murid-murid lain untuk mengatakan cara-cara yang tepat.

(Persediaan sesi aktiviti minggu hadapan: Haruslah terlebih dahulu menjemput penatua, diakon, penguasa atau pekerja-pekerja lain di gereja… jika mereka tidak dapat hadir pada minggu hadapan, sila gunakan gambar sebagai pengganti.)