Mesej Untuk Guru:
Guru yang dikasihi, Bab 11 dan 12 menerangkan secara ringkas tentang pekerja yang dipandang berat dan digunakan oleh Tuhan – kisah Paulus. Seorang yang berjuang untuk Firman Tuhan dan mengembara ke seluruh pulau Mediterranean, rupa-rupanya Paulus pernah menjadi penganiaya yang menggerunkan murid-murid Yesus. Perubahan ini sukar untuk difahami oleh sesetengah orang. Paulus ialah seorang Roma yang fasih akan kitab Hukum Taurat dan juga pelbagai pengetahuan. Pada waktu muda, dia berusaha mempelajari pelbagai ilmu pengetahuan dan dia menggunakan sepenuh ilmunya untuk pemberitaan Injil. Prestasinya menjadi teladan dalam kerja penggembalaan kita pada masa ini. Oleh itu, pada hari ini, tidak kira guru yang masih sedang belajar atau sebagai tulang belakang gereja, kita haruslah meneladani Paulus: sentiasa mencipta peluang belajar bagi diri sendiri, mengumpul kekuatan untuk bekerja bagi Tuhan selangkah demi selangkah sehingga pada akhirnya kita dapat berkata seperti Paulus, “Aku telah mengakhiri pertandingan yang baik…… Sekarang telah tersedia bagiku mahkota kebenaran yang akan dikaruniakan kepadaku oleh Tuhan.” Berusahalah, guru-guru sekalian!
Nas Alkitab: Kisah Para Rasul 9:1-18
Objektif Pengajaran dan Pembelajaran:
Mengetahui bahawa Tuhan memilih orang sesuai dengan kehendak-Nya.
Ayat Hafalan:
Bukan kamu yang memilih Aku, tetapi Akulah yang memilih kamu. (Yohanes 15:16)
Persediaan Prapengajaran dan Pembelajaran:
Tali pengakap.
Doa:
Dalam nama Tuhan Yesus berdoa. Syukur kepada Bapa syurga yang pengasih, yang memberikan berlimpah-limpah kasih karunia sehingga kami dapat datang ke gereja untuk beribadah kepada-Mu. Sekarang, dengan bersandarkan nama-Mu, cikgu akan menyampaikan kata-kata yang membangun dan membantu orang kerana Firman dalam Alkitab adalah pelita bagi kaki kami dan terang bagi jalan kami. Kami juga ingin menjadi seperti Paulus yang memberitahu orang lain bahawa Engkaulah Pencipta langit dan bumi, Tuhan agung yang berkuasa atas seluruh bumi. Dengan soleh kami berdoa kepada-Mu sebelum kebaktian. Mohon Tuhan memimpin. Haleluya. Amin.
Isi Pelajaran:
Pendahuluan
Adik-adik, pada minggu lalu, cikgu telah bercerita tentang murid Tuhan Yesus, iaitu Petrus. Dengan bersandar kepada nama Tuhan Yesus, dia telah melakukan satu perkara yang mengharukan penduduk kota Yope sehingga ramai orang yang percaya kepada Tuhan Yesus. Siapakah yang tahu apa yang terjadi ketika itu? (kanak-kanak mengemukakan jawapan) Ya! Bagus sekali! Ada seorang ibu yang bernama Dorkas. Dia melihat ramai orang yang memerlukan bantuan di kota Yope. Oleh itu, dia telah membuat pakaian percuma bagi mereka dan membelikan mereka makanan. Dorkas yang baik hati telah dihidupkan kembali dari kematian. Hal ini telah membuat ramai orang tahu bahawa Tuhan Yesus adalah Tuhan yang agung lalu percaya kepada Yesus. Ketika murid-murid Yesus berusaha membantu dan menyembuhkan orang sakit dalam nama Yesus, terdapat pula sebahagian orang yang bersungguh-sungguh ingin menangkap mereka yang percaya kepada Yesus, memukul mereka dengan teruk dan memasukkan mereka ke dalam penjara. Salah seorang daripada mereka ialah “Saulus”.
Saulus Yang Menganiayai Jemaat
Saulus merupakan seorang yang sangat berpengetahuan. Seisi keluarganya merupakan orang-orang yang sangat dihormati oleh orang ramai. Saulus mengetahui banyak perkara mengenai Tuhan Yesus, tetapi dia tidak percaya bahawa Yesus adalah Tuhan. Oleh itu, asal Saulus mempunyai masa lapang, maka tanpa mengira mereka itu lelaki, perempuan, orang tua ataupun kanak-kanak, dia akan menyusahkan orang yang percaya kepada Yesus. Asal sahaja mereka percaya kepada Yesus, tidak kira di gereja atau di rumah, dia akan menangkap (boleh menggunakan tali pengakap untuk membuat demonstrasi) dan memenjarakan mereka semua. Jika ada orang yang mati sedemikian rupa, dia akan berasa sangat gembira! Oleh itu, sebaik sahaja mereka yang percaya kepada Yesus mendengar ‘Saulus datang!’, dengan ketakutan sekali mereka akan segera bersembunyi.
Dalam Perjalanan Ke Damsyik
Pada suatu hari, Saulus dan temannya hendak ke kota Damsyik untuk menangkap orang yang percaya kepada Yesus. Ketika mereka sedang berjalan, tiba-tiba ada pancaran cahaya yang sangat terang memancar dari langit, menerangi Saulus. Saulus pun segera rebah ke tanah. Dia sangat ketakutan. Pada saat itu, ada suara yang berkata kepadanya: “Saulus! Saulus! Mengapakah engkau menganiayai Aku?” Saulus tidak dapat melihat sesiapa tetapi mendengar suara. Dia tidak tahu siapa yang sedang berbicara kepadanya. Saulus pun bertanya, “Siapakah Engkau, Tuhan?” Suara itu berkata, “Akulah Yesus yang kau aniaya itu. Bangunlah dan pergilah ke kota. Ada orang akan memberitahumu perkara yang Aku ingin engkau lakukan.” Saulus pun berdiri lalu membuka matanya. Malangnya, matanya tidak dapat melihat apa-apa. Oleh itu, dia terpaksa membiarkan temannya memegang tangannya dan terus menuju ke kota.
Pertaubatan Saulus
Selepas menemui perkara aneh ini, tiga hari lamanya Saulus tidak dapat melihat. Dia tidak makan atau minum. Dia hanya duduk termenung. Dia teringat akan orang-orang yang percaya Yesus yang telah dianiayainya. Dia teringat akan cahaya terang yang memancar dari langit. Dia teringat akan suara yang berbicara kepadanya, yang rupa-rupanya adalah Yesus yang telah dianiayainya. Dia juga teringat akan dirinya yang telah menjadi buta. Dia teringat akan dirinya yang dahulu telah melakukan banyak perbuatan yang jahat lalu dia berasa sangat sedih. Dengan senyap-senyap, dia berdoa memohon Tuhan Yesus mengampuninya.
Ananias Pergi Menemui Saulus
Di kota Damsyik, ada seorang yang percaya kepada Tuhan Yesus bernama Ananias. Tuhan Yesus menyuruhnya pergi ke tempat Saulus. Dengan cemas Ananias bertanya, “Tuhan ingin saya pergi mencari Saulus?” Ananias berkata dengan takut sekali, “Tuhan! Saya telah mendengar khabar bahawa Saulus ialah seorang yang jahat. Dia khususnya menangkap orang-orang yang percaya kepada Yesus, orang-orang yang mengasihi-Mu.” Tuhan Yesus berkata: “Janganlah takut, Ananias. Pergilah mencari dia sesuai dengan apa yang Kukatakan kepadamu. Dia ialah orang yang Kupilih. Dia akan memberitakan Injil di hadapan raja dan ramai orang demi-Ku.” Ananias taat pada perkataan Tuhan Yesus lalu pergi ke tempat tinggal Saulus. Setelah Ananias masuk ke rumahnya, dia meletakkan tangan ke atas tubuh Saulus dan berkata, “Saulus, saudaraku. Yang telah menampakkan diri kepadamu dalam perjalananmu ialah Tuhan Yesus. Dia telah menyuruh aku datang kepadamu supaya engkau dapat melihat lagi dan dipenuhi Roh Kudus.” Selesai sahaja kata-kata itu, seolah-olah selaput seperti sisik ikan gugur dari matanya. Wah, matanya dapat melihat semula! Dia sangat gembira! Tuhan Yesus membuatnya dapat melihat semula.
Saulus Dibaptis
Saulus telah percaya pada Yesus dan juga telah menerima baptisan. Sejak itu, dia memberitakan Injil bagi Tuhan Yesus dengan sangat berani dan giat. Orang-orang yang mendengar hal itu berasa sangat terkejut dan berkata, “Eh, bukankah orang ini selalu menangkap orang yang percaya kepada Yesus? Bukankah dia ke sini untuk menangkap mereka yang percaya kepada Yesus? Mengapakah dia mahu orang percaya kepada Yesus pula sekarang? Adik-adik, siapakah yang telah mengubah Saulus? (biar murid-murid mengemukakan jawapan) Ya! Tuhan Yesus. Sejak Saulus percaya kepada Tuhan Yesus, dia tidak lagi menggunakan nama yang disebut oleh keluarganya, iaitu ‘Saulus’, melainkan menukarnya kepada nama lain, iaitu ‘Paulus’. Sesiapa yang pernah mendengarkan nama ini, sila angkat tangan. Ya! Baik sekali. Sewaktu kamu mengikuti kebaktian bersama-sama dengan orang dewasa, kamu harus memberi perhatian. Jika orang yang di mimbar menyampaikan firman tentang ‘Paulus’, maka selepas kebaktian, kita bolehlah berkata kepada mereka, “Saya juga pernah mendengar ceritanya!” Setelah pulang ke rumah nanti, cuba kamu ceritakan semula kepada orang dewasa cerita yang telah kamu dengar, boleh?
Kesimpulan
Adik-adik, cikgu ingin bertanya kepada kamu. Adakah kamu suka akan kawan yang suka memukul atau memarahi orang lain? Apakah pendapat kamu tentang mereka? (biar murid-murid mengemukakan jawapan) Bukankah mereka membuatkan kita berasa sangat tidak selesa? Seseorang yang kita tidak suka, sama seperti Paulus sebelum percaya kepada Yesus dahulu, semua orang yang melihatnya akan cepat-cepat melarikan diri. Namun belas kasihan Tuhan Yesus ingin membantunya dan memimpinnya supaya dia menjadi seperti kita, yang mendengar kata-kata Tuhan Yesus dan dilindungi oleh Tuhan Yesus. Oleh itu, tidak kira dengan siapapun, kita harus belajar untuk saling mengasihi. Sekiranya orang lain membuat kamu menjadi sangat marah, apakah yang harus dilakukan? Janganlah kita lupa bahawa Tuhan kita mampu melakukan segala sesuatu! “Berdoa” merupakan cara yang terbaik. Kita memohon Tuhan untuk membantu kita dan juga orang yang membuat kita menjadi marah supaya kita semua dapat menjadi anak-anak Tuhan yang baik. Jika kita selalu berbuat demikian, kelak ditanya oleh orang lain “Apakah agama yang kamu percaya?” Kamu pun boleh berkata dengan kuat, “Saya percaya kepada Tuhan Yesus!” Maka orang itu akan berkata, “Kamu sangat hebat!” Hal ini kerana diri kamu sedang bersinar demi Tuhan Yesus! Minggu depan kita akan teruskan cerita tentang prestasi Paulus setelah diubah oleh Tuhan Yesus. Kita jumpa lagi pada minggu depan!