Nas Alkitab : I Raja-raja Fasal 1-5
Ayat Bacaan : I Korintus 3: 16 -17
Objektif Pengajaran dan Pembelajaran:
- Salomo dikaruniakan hikmat dan kebijaksanaan oleh Tuhan, dan membina Bait Suci untuk Tuhan.
- Menjadi seorang anak yang bersukacita: Tahu mendekati Tuhan, memelihara kesucian tubuh (bait Tuhan).
Ayat Hafalan :
Bait Allah adalah kudus dan bait Allah itu ialah kamu. (I Kor 3:17)
Persediaan Prapengajaran dan Pembelajaran :
Pelan Bait Suci zaman purba.
Doa :
Dalam nama Tuhan Yesus berdoa. Terima kasih kepada Tuhan Yesus kerana memberi gereja yang cantik kepada kami, biarlah kami mendengar pengajaran-Mu, menyanyi kidung, dan berdoa di dalam gereja. Kami akan menjaga gereja dengan baik, dan sentiasa menjaga kebersihan gereja, sebab kami tahu ini adalah rumah-Mu. Haleluya. Amin.
Isi Pelajaran:
Demi bersyukur kepada Tuhan atas pertolongan dan penjagaan-Nya, Daud telah mengarang banyak kidung untuk memuji Tuhan. Mazmur yang pernah kita baca (tunjukkan Alkitab) adalah mazmur raja Daud yang ditulis dengan sangat baik untuk memuji dan bersyukur kepada Tuhan.. Jika adik-adik ada masa, bolehlah membacanya sendiri.
Apabila raja Daud sudah tua, Tuhan menyuruh Salomo menjadi raja. Mari! Adik-adik ikut guru baca sekali: Salomo. (Bercakap sambil menuliskannya pada papan tulis, tekankan sebutannya).
Tuhan menampakkan Diri Kepada Raja Salomo
Raja Salomo sangat menghormati dan mengasihi Tuhan, dia juga menuruti perkataan ayahnya Daud, dan berusaha menjadi seorang raja yang baik. Oleh itu, Tuhan yang di syurga sangat suka kepadanya. Pada suatu malam, sewaktu raja Salomo sedang tidur, dia bermimpi Tuhan bertanya kepadanya: “Apakah yang engkau inginkan daripada-Ku?” Adik-adik, sila pejamkan mata kamu, cuba fikirkan, apakah perkara yang diharapkan oleh raja Salomo agar diberikan oleh Tuhan?
Tuhan Mengaruniakan Hikmat Kepada Raja Salomo
Baik! Adik-adik, sila buka mata kamu dan melihat guru. Beritahulah guru, pada pendapat kamu, apakah yang diminta oleh Salomo daripada Tuhan? (Biar kanak-kanak mengemukakan pendapat) Adik-adik telah menjawab dengan baik. Raja Salomo berkata kepada Tuhan: “Tuhan yang pengasih! Berikanlah kepadaku hikmat dan kebijaksanaan, supaya aku menjadi seorang raja yang baik, dan boleh melakukan banyak perkara untuk orang Israel.”
Apabila mendengar perkataan raja Salomo, Tuhan sangat gembira dan berkata: “Salomo, engkau tidak memohon Aku memberikan engkau kekayaan dan umur yang sangat panjang, lebih-lebih lagi engkau tidak memohon supaya musuhmu dibinasakan. Engkau cuma memohon Aku supaya memberimu hikmat dan kebijaksanaan untuk menjadi seorang raja yang baik. Ya! Aku sangat berkenan. Engkau akan mendapat hikmat dan kebijaksanaan seperti yang engkau pohonkan. Engkau akan menjadi raja yang paling bijak di dunia. Selain itu, Aku juga akan memberikan engkau banyak wang. Ramai orang akan menghormati engkau dan engkau akan hidup sampai usia yang sangat tua.”
Selepas raja Salomo bangun dari tidur, barulah dia sedar bahawa dia telah bermimpi. Dengan cepat sekali, dia pergi ke depan tabut perjanjian Tuhan untuk berdoa dan mengucap syukur. Adik-adik, adakah kamu masih ingat, apakah yang tersimpan di dalam tabut perjanjian? Ada ……(tongkat) Harun, ada…(manna) yang Tuhan berikan kepada orang Israel ketika mereka mengembara di luar, ada dua…(loh batu) sepuluh hukum yang diukir oleh Tuhan sendiri. (Jika kanak-kanak terlupa, diminta guru memberi petunjuk dengan isyarat tangan)
Ratu Syeba Bertemu Dengan Raja Salomo
Tuhan memberi raja Salomo hikmat yang besar, maka raja Salomo menjadi raja yang paling bijak di dunia. Orang-orang di merata tempat di dunia tahu bahawa raja Salomo berhikmat, jadi mereka datang dari jauh untuk mendengar kata-kata raja Salomo yang berhikmat.
Terdapat seorang ratu Syeba mendengar orang lain berkata bahawa raja Salomo adalah raja yang paling berhikmat di dunia. Maka dia pun mengemukakan banyak soalan yang sangat susah kepada raja Salomo. Semua soalan itu dapat dijawab oleh raja Salomo. Ratu Syeba mengangkat ibu jarinya dan berkata: “Bagus! Bagus!” Ratu Syeba melihat lagi istana raja Salomo dan makanan yang enak di atas meja. Dia pun memuji Tuhan di syurga dan raja Salomo, lalu dia memberi banyak hadiah yang baik kepada raja Salomo! Raja Salomo bersyukur kepada Tuhan. Dia adalah raja yang paling berhikmat dan raja yang paling kaya di dunia. Siapakah yang memberikan semuanya ini? (Biar kanak-kanak mengemukakan pendapat).
Ya! Ini adalah pemberian dari Tuhan di syurga. Raja Salomo tahu semua ini adalah pemberian Tuhan. Oleh itu dia selalu berfikir: Tuhan sangat mengasihiku, maka aku harus melakukan sesuatu untuk Tuhan. Dia teringat semasa ayahnya Daud masih hidup, banyak emas dan perak telah ditinggalkan untuk membina Bait Suci. Maka raja Salomo bertekad membina sebuah Bait Suci yang paling besar dan paling cantik untuk Tuhan, supaya rakyat selalu datang ke Bait Suci untuk menyembah Tuhan dan berdoa kepada Tuhan.
Bersedia Membina Bait Suci
Raja Salomo berfikir, di manakah Bait Suci harus dibina? Apakah bentuk Bait Suci? Adakah berbentuk bulat? (Lukis satu bulatan di papan hitam) Atau berbentuk segi empat? (Lukis satu segi empat di papan hitam). Raja Salomo yang penuh hikmat mengeluarkan emas, perak, tembaga, besi, bahan-bahan kayu dan sebagainya yang ditinggalkan oleh ayahnya Daud. Dia melihat dan mengira, sebab pembinaan sebuah Bait Suci yang besar dan cantik memerlukan sangat banyak bahan dan wang!
Raja Salomo telah mengupah ramai orang yang kuat pergi ke gunung untuk mencari batu besar yang cantik. Mereka memotong batu-batu besar menjadi bentuk kiub, dan mengangkutnya ke tapak pembinaan Bait Suci. Sekarang, bahan-bahan pembinaan Bait Suci telah disediakan. Maka raja Salomo pun memulakan kerja-kerja pembinaan Bait Suci.
Pembinaan Bait Suci
Raja Salomo telah menggunakan masa tujuh tahun untuk membina sebuah Bait Suci yang paling besar dan paling cantik untuk Tuhan. Dinding dan tiang di dalam Bait Suci adalah dibuat daripada emas. Meja dan kerusi dibuat daripada kayu yang terbaik. Bait Suci Tuhan yang dibina oleh raja Salomo terlalu cantik. Entah berapa kali lipat cantiknya berbanding dengan gambar di dalam tangan guru! Apabila Bait Suci telah siap dibina, para imam mengangkat Tabut Perjanjian Tuhan untuk dimasukkan dan diletakkan di dalam Bait Suci. Terang kemuliaan Tuhan telah memenuhi Bait Suci. Raja Salomo dan umat Israel menyanyi kidung, berdoa, sambil bersyukur dan memuji Tuhan yang di syurga dengan sukacita.
Bait Tuhan Adalah Kudus
Adik-adik, apabila kita datang ke gereja untuk berkebaktian, bagaimanakah kita berjalan? (Biar kanak-kanak mengemukakan pendapat). Betul! Mesti berjalan dengan perlahan-lahan, kerana Bait Suci adalah rumah Tuhan. Gereja sekarang ini juga adalah rumah Tuhan. Bagaimanakah kita menjaganya? (Biar kanak-kanak mengemukakan pendapat). Betul! Tidak boleh kuatkan suara semasa bercakap, tidak boleh berlari ke sana ke sini dan tidak boleh membuang sampah ataupun kulit buah-buahan dengan sembarangan. Gereja adalah tempat kita menyembah Tuhan. Kita patut menjaganya dengan baik. Minta adik-adik buka Alkitab I Korintus fasal 3 ayat 16, 17, ikut guru baca dua kali.
Dua ayat Alkitab ini memberitahu kita, tubuh kita juga adalah bait Tuhan, dan Roh Tuhan diam di dalam kita. Oleh sebab tubuh kita adalah bait Tuhan, maka haruslah kita sentiasa memelihara kekudusan. Jadi, apakah yang harus kita buat? (Gunakan isyarat tangan yang berikut, biar kanak-kanak memberi pendapat). Mulut kita harus….(menyanyi) untuk memuji Tuhan, harus mengucapkan kata-kata syukur, tidak boleh…. (memarahi orang); tangan kita harus ….(berdoa), menolong guru untuk….(buat kerja), tidak boleh.… (memukul orang). Adik-adik sangat bijak, kita tahu bahawa tubuh kita adalah bait Tuhan, maka haruslah kita sentiasa memelihara kekudusan dan menjadi seorang anak yang baik.