Mesej Untuk Guru:
Guru yang dikasihi, dalam kisah kali ini, pertemuan Paulus dan Silas telah sekali lagi menunjukkan hati yang mengasihi Tuhan begitu membara daripada para rasul. Walaupun penuh dengan duri dan bahaya, dipukul dengan kayu dan dipenjarakan, namun mulut mereka dapat menghasilkan buah pujian, sama seperti dengan keadaan sewaktu Yusuf dijual. Apakah sebenarnya kuasa yang membuat seseorang berasa tenang dan tenteram walaupun mengalami kesengsaraan yang melampau? Adakah tekad dirinya? Adakah kesabarannya yang murni? Ataupun kasih? Benar. Ia adalah kasih daripada Tuhan terhadap manusia. Manusia selalunya akan bersandar kepada kebijaksanaan diri sendiri semasa dilatih. Namun, kasih karunia Tuhan akan nyata semasa manusia berada di jalan buntu. Alkitab mencatatkan, “Sekalipun aku berjalan dalam lembah kekelaman, aku tidak takut bahaya, sebab Engkau besertaku; gada-Mu dan tongkat-Mu, itulah yang menghibur aku.” Kita hanya perlu percaya bahawa ada kehendak Tuhan yang indah di sebalik segala hal dan hanya berkata digenapilah kehendak Tuhan. Inilah dorongan kita bersama.
Nas Alkitab: Kisah Para Rasul 16:16-40
Objektif Pengajaran dan Pembelajaran:
Mengetahui bahawa adanya kehendak Tuhan yang indah dalam segala hal.
Ayat Hafalan:
Percayalah kepada Tuhan Yesus Kristus dan engkau akan selamat, engkau dan seisi rumahmu. (Kisah Para Rasul 16:31)
Persediaan Prapengajaran dan Pembelajaran:
Kidung rohani, gari tangan, belenggu kaki. (Rujuk bahagian aktiviti bersama)
Doa:
Dalam nama Tuhan Yesus berdoa. Tuhan Yesus yang pengasih, kami bersyukur kepada Engkau yang membenarkan kami berbicara dengan-Mu melalui doa kerana kami tahu bahawa Engkau pasti sedang mendengar doa kami. Ya, Tuhan Yesus! Kadang-kala kami akan berasa takut, kadang kala hati berasa sangat cemas sehingga kami tidak tahu apa yang harus dilakukan. Mohon Tuhan Yesus membuat kami tidak lupa untuk menyanyi kidung dan berdoa ketika dalam keadaan bahaya. Kami juga memohon agar Tuhan membantu kami dan menambahkan iman kami. Haleluya. Amin.
Isi Pelajaran:
Pendahuluan
Adik-adik, pada minggu yang lalu telah diceritakan kisah tentang Saulus yang pergi ke Damsyik untuk menangkap mereka yang percaya kepada Yesus. Akhirnya, apakah yang telah berlaku dalam perjalanannya? Ya. Tuhan Yesus menyinarinya dengan cahaya yang terang dan berbicara kepadanya. Kemudian. matanya tidak dapat melihat. Bagaimanakah matanya disembuhkan? Oh! Tuhan Yesus telah memanggil Ananias untuk membantu doa untuknya barulah menjadi sembuh. Selepas percaya kepada Yesus, Saulus yang juga dikenali sebagai Paulus, dengan berani memberitakan Injil dan bersaksi demi Tuhan. Bukan setakat itu sahaja. Hari ini, cikgu akan bercerita tentang bagaimana pekerja-pekerja yang dipilih oleh Yesus mengasihi Tuhan Yesus.
Paulus Menyembuhkan Hamba Perempuan Yang Dirasuki Iblis
Paulus dan seorang lagi teman yang mengasihi Tuhan iaitu Silas pergi bersama-sama ke segala tempat. Mereka memberitakan Injil dengan berani demi Tuhan dan berkata dengan suara yang lantang kepada orang ramai : “Tuhan Yesus mengasihi kita”. Pada suatu hari, semasa Paulus dan Silas hendak pulang selepas menyelesaikan pekerjaan mereka, datanglah seorang hamba perempuan. Hamba perempuan ini seperti pengantara roh di dalam tokong. Oleh sebab dia dirasuki Iblis, dia bercakap dengan sembarangan dan tidak terkawal. Ini menyebabkan dia sering berasa sedih sekali. Apabila hamba perempuan ini melihat Paulus dan Silas, diapun mengikuti mereka dari belakang dan tidak berhenti berbuat bising. Paulus berpaling ke belakang lalu menyembuhkannya dalam nama Tuhan Yesus, maka sembuhlah penyakit hamba perempuan ini. Akan tetapi, celakalah Paulus dan Silas, Tahukah kamu mengapa? Rupa-rupanya, tuan kepada hamba perempuan ini bergantung dengan kata-kata sembarangan hamba perempuan ini untuk menipu wang orang lain. Sekarang hamba perempuan ini telah sembuh, menyebabkan dia tidak lagi dapat mencari keuntungan. Dengan marah dia pergi menangkap Paulus dan Silas lalu membawa mereka ke pejabat pihak berkuasa iaitu balai polis pada masa sekarang.
Paulus Dan Silas Ditangkap
Tuan kepada hamba perempuan itu tidak berhenti-henti memburuk-burukkan Paulus dan Silas. Pegawai yang mendengarnya tanpa bertanya dengan teliti terus menanggalkan pakaian Paulus dan Silas lalu memukul mereka dengan kayu. Selepas dipukul, mereka dikurung di dalam penjara yang basah dan gelap di ruangan bawah tanah. Pegawai itu juga berpesan kepada kepala penjara untuk menjaga mereka dengan teliti dan tidak boleh membiarkan mereka melarikan diri. Kepala penjara pun mengikat kedua-dua kaki mereka dan mengikat mereka pada dinding dengan rantai yang berat supaya mereka tidak dapat melarikan diri. Sekarang, mari kita cuba lakonkan keadaan Paulus dan Silas. Kita semua ialah banduan. (Guru mengambil gari tangan dan belenggu kaki untuk dikenakan kepada setiap murid). Adik-adik, Paulus dan Silas membantu orang, tetapi sekarang telah menjadi banduan. Adakah Tuhan Yesus mengetahuinya? Ya! Tuhan Yesus mengetahui semuanya, bahkan ada maksud Tuhan yang ajaib di sebaliknya! Mari kita segera mendengar tentangnya.
Gempa Bumi Pada Tengah Malam, Semua Pintu Penjara Terbuka
Paulus dan Silas menderita kesakitan kerana dipukul, malah diikat di dalam penjara. Tahukah kamu apa yang dilakukan mereka di dalam penjara? Adakah mereka menangis? Atau saling memarahi dan berkata, “Kamulah penyebabnya! Buat apa kamu sembuhkan hamba perempuan itu? Sekarang kita pula dipenjarakan.” Jika kamu yang berada dalam keadaan mereka, apakah yang kamu akan lakukan? (Murid-murid mengemukakan jawapan mereka) Mari kita lihat apa yang dibuat oleh Paulus dan Silas di dalam penjara. Mereka tidak bergaduh ataupun menangis. Mereka berdoa dan menyanyikan puji-pujian kepada Tuhan. Mereka langsung tidak berasa takut. Pada tengah malam itu, ketika malam sudah larut, Paulus dan Silas masih lagi berdoa dan menyanyikan puji-pujian kepada Tuhan.
Oleh sebab kidung pujian yang dinyanyikan mereka sungguh merdu, maka semua orang yang dikurung di dalam penjara tidak dapat tidur melainkan dengan diam-diam mendengarkan mereka berdua menyanyikan puji-pujian. Tiba-tiba seluruh penjara mulai bergoyang. Banyak barang jatuh dari atas. Orang yang berdiri tersungkur ke tanah. Adik-adik, apakah yang telah berlaku? Ya! Gempa bumi yang hebat! Pintu yang pada asalnya telah tertutup dan terkunci telah terbuka oleh gempa bumi. Semua belenggu pada tubuh Paulus dan Silas juga terputus. Wah, sekarang mereka bebas untuk melarikan diri.
Seisi Rumah Kepala Penjara Percaya Tuhan
Kepala penjara yang asalnya telah tidur dikejutkan dengan gempa bumi yang berlaku. Ketika dia melihat semua pintu penjara terbuka, dia menjadi sangat takut. Dia berfikir, “Habislah! Semua banduan tentu sudah melarikan diri, termasuklah orang terpenting, iaitu Paulus dan Silas. Macam mana ini? Saya pasti akan ditangkap dan dihukum esok, bahkan akan dipukul sampai mati! Ah, lebih baik saya mati terlebih dahulu sebelum ditangkap oleh mereka.” Lalu dia mengeluarkan pisau dan ketika dia hendak menikam dirinya sendiri, dia mendengar seseorang berkata, “Jangan celakakan dirimu, sebab kami semuanya masih ada di sini!” Kepala penjara sangat terkejut mendengar kata-kata tersebut! Mana ada banduan yang tidak melarikan diri selepas belenggu mereka dan pintu terbuka?
Oleh itu, sudah tentu Paulus dan Silas ini ialah orang yang baik. Dengan segera dia membawa lampu dan berlari ke arah penjara dalam tempat Paulus dan Silas berada. Dia berlutut di hadapan Paulus dan Silas lalu bertanya kepada mereka, “Tuan-tuan, apakah yang harus saya lakukan supaya saya selamat?” Paulus berkata, “Percayalah kepada Tuhan Yesus, maka engkau dan seisi keluargamu akan selamat.” Setelah mendengarnya, kepala penjara segera membawa Paulus dan Silas yang telah cedera untuk menyapu ubat. Dia juga membawa mereka pulang ke rumahnya untuk makan bersama-sama. Paulus dan Silas menyampaikan perihal Tuhan Yesus Kristus kepada seisi rumah kepala penjara. Mereka semua pun dibaptis dan percaya kepada Tuhan Yesus. Mereka berasa sangat gembira.
Paulus Dan Silas Dilepaskan Dari Penjara
Paulus dan Silas terus berada di sana sampai hari siang. Pegawai-pegawai yang menangkap mereka tahu bahawa Paulus dan Silas merupakan orang yang baik, malahan merupakan orang yang berpengetahuan dan dihormati oleh orang ramai. Mereka berasa takut lalu berfikir, “Habislah! Kami telah memukul kedua-dua orang ini dengan teruk, bahkan memenjarakan mereka. Perbuatan kami ini salah.” Oleh itu, pegawai-pegawai ini sendiri telah pergi ke penjara, melepaskan Paulus dan Silas, memohon maaf daripada mereka. Begitulah Paulus dan Silas telah memperoleh kebebasan. Kemudian, mereka pergi lagi ke tempat lain untuk memberitakan Injil Tuhan Yesus kepada semua orang.
Kesimpulan
Adik-adik, adakah cerita hari ini sangat menarik? Maukah kamu belajar keberanian Paulus dan Silas? Mereka membantu orang lain tetapi tidak mendapat balasan yang baik, malahan ditangkap dan dimasukkan ke dalam penjara. Tetapi ketika mereka di penjara, mereka masih dapat memuji Tuhan dan berdoa kepada Tuhan dengan berani! Hal ini kerana mereka percaya bahawa Tuhan mengetahui segala-galanya. Akibat daripada mereka dipenjarakan, Tuhan telah menyatakan “gempa bumi hebat” yang ajaib, sehingga seisi keluarga kepala penjara percaya kepada Tuhan. Oleh itu, Tuhan kita ialah Tuhan yang pengasih. Tidak kira apa yang berlaku, kita haruslah ingat untuk berdoa kepada Tuhan Yesus dan memuji Tuhan dengan bibir kita Dengan cara ini, Tuhan yang tidak kelihatan akan menghulurkan tangan ajaib untuk membantu kita! Baiklah, kisah Paulus setakat ini sahaja. Minggu hadapan cikgu akan menguji kamu sama ada kamu masih ingat cerita-cerita yang cikgu sampaikan sebelum ini atau tidak!