Ayat Alkitab : Filemon 1 : 1 – 25 ; Kolose 4 : 9
Objektif Pengajaran dan Pembelajaran :
- Mengetahui Paulus menolong Onesimus yang bertaubat, dan permintaan Paulus terhadap Filemon mengenai Onesimus.
- Saling melayani dengan rumah, saling mengasihi tanpa membezakan kedudukan, saling mengampuni.
Ayat Hafalan :
Tetapi hendaklah kamu ramah seorang terhadap yang lain, penuh kasih mesra dan saling mengampuni (Efesus 4:32).
Persediaan Prapengajaran dan Pembelajaran :
Gambar pengajaran dan pembelajaran (Gambar yang berkaitan boleh disediakan oleh guru)
Doa :
Dalam nama Tuhan Yesus berdoa. Tuhan Yesus yang dikasihi, terima kasih kerana Engkau telah memilih kami. Kami sudi saling mengasihi, tidak membuli orang lain, tidak bergaduh dengan orang lain, dan menjadi seorang yang pengasih. Haleluya, amin!
Isi Pelajaran :
Pada minggu yang lalu, tajuk yang kita pelajari ialah “Suami Isteri Teladan – Akwila dan Priskila”. Ada sepasang suami isteri yang giat untuk membantu Paulus, siapakah nama mereka? (Kanak-kanak menjawab.) Apakah perkerjaan mereka? (Membuat khemah.) Betul, mereka membuat khemah sambil mengikuti Paulus untuk memberitakan injil. Tuhan Yesus juga inginkan setiap keluarga kita sama seperti Akwila dan Priskila, dapat sehati melakukan kerja suci untuk Tuhan. Jika ada orang yang masih belum percaya kepada Tuhan, apakah yang harus kita lakukan? (Jemput kanak-kanak menjawab dahulu, guru buat penambahan kemudian: Bantu doa untuk mereka, mohon Tuhan gerakkan hati mereka agar percaya kepada Tuhan dan giat melakukan kerja suci untuk Tuhan.)
Hari ini, kisah yang akan kita dengar adalah tentang seorang tuan rumah dan seorang hamba. Hamba ini bernama “Onesimus”. Adik-adik cuba sebut nama ini dua kali. Onesimus ialah seorang hamba. Tahukah adik-adik apakah itu hamba?
Pada zaman empayar Roma, hamba dianggap sama seperti suatu benda ataupun seekor binatang yang sentiasa dijual beli. Mereka bekerja untuk tuan, namun tidak pernah dilayan seperti seorang manusia. Tuan rumah mempunyai hak sepenuhnya untuk menguasai mereka. Tuan boleh memukul mereka dengan sesuka hati, ataupun membunuh mereka, dan hamba tidak boleh menentang. Mereka langsung tidak berhak untuk memiliki kebebasan dan kehidupan. Onesimus ialah seorang hamba bagi seorang tuan yang bernama Filemon. Dia sebenarnya bukan seorang hamba yang taat kerana dia telah melarikan diri daripada tuannya Filemon. Dia bukan sahaja tidak melakukan kerja tuannya dengan baik, malah telah mencuri harta benda tuannya lalu melarikan diri.
Onesimus ialah seorang hamba. Adakah dia boleh keluar dengan sesuka hati? (Tidak boleh). Dia seharusnya tinggal bersama tuannya dan melakukan segala kerja untuk tuannya. Jika dia ditangkap oleh tuannya, kemungkinan besar dia akan dipukul atau dibunuh.
Tuan kepada Onesimus ialah Filemon, seorang kaya yang tinggal di Kolose. Dia pernah mendengar injil yang diberitakan oleh Paulus. Oleh itu, dia telah percaya kepada Tuhan. Dia juga telah menjadi kawan Paulus. Rumahnya sangat besar dan digunakan sebagai gereja. Demikianlah kita dapat melihat bahawa dia ialah seorang umat Kristian yang pengasih dan giat.
Onesimus Bertaubat Dan Percaya Kepada Tuhan
Setelah Onesimus melarikan diri dari tuannya Filemon, dia telah meninggalkan Kolose dan pergi ke ibukota iaitu Roma. Mungkin dia berfikir, jika melarikan diri ke Roma yang jauh, tempat itu sangat jauh dari rumah tuannya, dan tidak mudah dicari oleh tuannya. Tambahan pula, Roma ialah kota yang besar dan terdapat ramai orang, maka mudah untuk menyembunyikan diri dan tempat ini paling selamat.
Pada suatu hari, Onesimus mendapat berita bahawa Paulus telah dikurung di suatu tempat dan tidak dapat keluar, tetapi orang lain dibenarkan untuk melawatnya. Onesimus pernah mendengar injil yang diberitakan oleh Paulus ketika di rumah tuannya. Oleh itu, dia ingin pergi untuk melawat Paulus. Setelah dia tiba di tempat Paulus, dia mendengar firman yang disampaikan oleh Paulus sambil menjaga Paulus dan bekerja untuk Paulus. Paulus semakin menyukai Onesimus kerana Onesimus telah bertaubat sepenuhnya dan percaya kepada Yesus. Paulus tidak menganggap dia sebagai seorang hamba, tetapi sebagai seorang saudara.
Walaupun Onesimus pernah melakukan kesalahan, mencuri harta benda tuannya, melarikan diri dan tidak bekerja untuk tuannya, namun selepas dibimbing oleh Paulus, dia sudah faham akan kesalahannya, dan sudi untuk bertaubat. Perkara yang paling penting ialah Onesimus mahu kembali ke rumah tuannya. Dia berani menghadapi ancaman nyawa untuk berjumpa dengan tuannya, dan dia akan membayar segala hutang kepada tuannya dengan sedaya upaya.
Paulus Menulis Surat Kepada Filemon
Dengan itu, Paulus mengambil pen dan menulis surat kepada teman sekerjanya, iaitu sahabatnya, Filemon, demi membela Onesimus. Surat ini tertulis: “Engkau seorang yang sangat pengasih dan juga beriman, semua orang juga tahu tentang kasihmu kepada orang lain. Dengan bersandar kepada Kristus, saya beritahu kepadamu bagaimana cara untuk menguruskan hal Onesimus. Dia ialah orang yang saya perolehi melalui pemberitaan injil ketika saya dikurung tanpa kebebasan. Pada masa dahulu, dia tidak mendatangkan kebaikan kepadamu, tetapi sekarang dia mendatangkan kebaikan kepada engkau mahupun aku. Sekarang saya telah menyuruh dia kembali kepadamu. Dialah orang yang kukasihi (Orang yang paling disukai). Pada mulanya saya mahu dia tinggal di sini untuk menjagai saya, tetapi saya tidak pasti sama ada engkau sudi, maka saya tidak berbuat demikian.
Dia telah meninggalkan kamu pada masa lalu, mungkin kerana Tuhan membiarkan dia melarikan diri, kemudian dia bertaubat selepas mendengar injil. Pada masa kelak, dia pasti menjadi hambamu yang baik untuk selamanya. Sebenarnya, dia sekarang bukan lagi seorang hamba, malah dia merupakan saudara kita yang dikasihi. Semoga kamu menerima dia demi aku, biarlah dia menjadi sahabat kamu sama seperti saya. Jika dia berhutang apa-apa kepadamu, saya akan menanggung semuanya itu, dan saya pasti akan membayarnya. Saya percaya engkau akan menggembirakan saya dan menuruti segala yang saya katakan.” Setelah Paulus menulis surat ini, dia meminta seorang yang bernama Tikhikus untuk membawa surat ini dan menemani Onesimus kembali ke Kolose.
Harus Bertaubat Jika Melakukan Kesalahan
Adik-adik, adakah sesiapa antara kamu mempunyai pengalaman seperti Onesimus, yang pernah mencuri barang atau mencuri wang orang lain? Terdapat juga adik-adik yang tidak mencuri, tetapi mereka meniru ketika peperiksaan. Tidak kira mencuri atau meniru, ini merupakan perbuatan yang tidak jujur. Adik-adik, adakah Tuhan suka kepada adik-adik yang tidak jujur? Pasti tidak. Memandangkan Tuhan tidak suka kepada adik-adik yang tidak jujur, adakah Tuhan akan mendengarkan doa adik-adik seperti ini?
Adakah Tuhan suka kepada orang yang berbohong? (Tidak suka) Adakah adik-adik pernah berbohong? Contohnya: Tidak menyiapkan kerja rumah, tetapi mengatakan tertinggal di rumah, atau keputusan peperiksaan tidak baik, tetapi berbohong bahawa kertas peperiksaan telah hilang. Tidak kira berbohong, mencuri, menipu…dan lain-lain, semuanya perkara yang tidak dikenan Tuhan, malah tidak disukai oleh orang lain. Janganlah kita melakukannya, dan janganlah berkawan dengan orang sedemikian. Jika kamu mempunyai kawan seperti ini, haruslah menasihatinya untuk bertaubat. Jika dia tidak sudi bertaubat, haruslah kita menjauhkan diri daripadanya, janganlah dipengaruhi oleh perbuatannya yang tidak baik.
Jika kamu pernah melakukan kesalahan ini, sekarang kamu harus segera bertaubat kepada Tuhan, memohon Tuhan mengampuni kesalahan kamu, dan bertekad tidak mengulangi kesalahan yang sama lagi, maka Tuhan pasti memaafkan kamu dan memberkatimu.
Memaafkan Kesalahan Orang Lain
Adik-adik, pernahkah kamu dibuli oleh kawan-kawan? Apakah yang harus kamu lakukan? Tidak berkawan dan tidak bercakap dengan dia lagi? Atau maafkannya dengan cepat dan berbaik semula dengannya? (Silakan adik-adik mengemukakan pendapat.)
Jika orang lain memukul kamu, adakah kamu memukul orang itu juga? Atau memberitahu guru bahawa dia memukul kamu? Jika ada orang memukul kamu, kita harus bertanya, mengapakah dia memukul kita? Cuba fikirkan, adakah kita telah berbuat salah? Jika ada, kita sendiri harus pergi berbaik semula dengannya. Tetapi jika kita tidak bersalah, haruslah menasihatinya dan memaafkannya. Jika dia mengubah perbuatannya, kita harus berbaik dengannya. Jika dia tidak berubah, barulah kita memberitahu guru dan meminta guru untuk menasihatinya.
Saling Mengasihi Tanpa Membezakan Kedudukan
Walaupun kedudukan Onesimus adalah seorang hamba, namun selepas percaya kepada Tuhan, Paulus memanggilnya sebagai saudara dan melayaninya seperti orang lain.
Di gereja, terdapat saudara-saudari yang berasal dari keluarga yang kaya, setiap hari memakai pakaian dan kasut yang cantik dan bersih, barang-barang yang digunakan baik-baik belaka. Namun ada juga saudara-saudari dari keluarga yang miskin, pakaian yang dipakai kurang baik, barang-barang yang digunakan juga murah. Sewaktu melihat adik-adik yang berpakaian cantik, mereka adalah saudara-saudari kita. Sewaktu melihat adik-adik yang miskin, mereka pun saudara-saudari kita juga. Janganlah hanya berkawan dengan mereka yang kaya, dan tidak berkawan dengan mereka yang miskin. Ini perkara yang tidak adil!
Tuhan Yesus paling menyayangi orang yang kasihan, Dia juga menghendaki kita supaya menjagai orang yang miskin. Seperti kitab Amsal yang memberitahu kita: Orang kaya mahupun orang miskin diciptakan Tuhan, supaya kita dapat saling membantu. Orang kaya menyumbangkan kasih kepada orang miskin, orang miskin menerima bantuan daripada orang kaya.
Alkitab juga memberitahu kita: Janganlah kita memandang muka. Jika ada seorang masuk ke dalam kumpulanmu dengan memakai cincin emas dan berpakaian indah, kemudian ada seorang yang miskin datang dengan pakaian yang kotor, maka kita memandang berat orang yang berpakaian indah dan menjemput dia duduk di tempat yang baik; tetapi berkata kepada orang miskin itu, berdirilah di sana, atau tidak memberikannya tempat duduk yang baik. Jika demikian, perbuatan ini adalah pilih kasih, pilih kasih adalah suatu dosa. Oleh sebab Tuhan itu adil, maka kita harus melayani seseorang dengan adil. Janganlah kita melayani seseorang dengan baik hanya kerana dia lebih kaya atau elok rupanya. Janganlah kita memandang rendah kepada orang yang miskin atau tidak elok rupanya. Kita semua ialah anak-anak Tuhan, Tuhan mengasihi setiap orang, maka kita haruslah mengasihi setiap saudara-saudari.
Sesi Aktiviti :
- Nama Aktiviti : Anggota-anggota Tubuh Kristus
- Objektif Aktiviti : Mengenali para pekerja suci gereja dan bidang kerja mereka, memupuk semangat rela mempersembahkan diri dan bekerja untuk Tuhan.
- Persediaan sebelum aktiviti: Terlebih dahulu menjemput penatua, diakon, penguasa, pekerja suci lain atau guru. Jika tidak dapat menjemput mereka, boleh menggunakan gambar mereka.
- Isi kandungan aktiviti:
- Memberi pengenalan ringkas terhadap pekerja-pekerja suci gereja, seperti: Penatua, diakon, tiga orang (atau enam orang AJK, guru, penjaga gereja… dan lain-lain).
- Memperkenalkan pelbagai bidang kerja yang dilakukan; jika pekerja yang dijemput menghadirkan diri, persilakan mereka untuk memperkenalkan bidang kerjanya sendiri.
- Selepas membuat pengenalan, jemput pekerja suci tersebut beredar terlebih dahulu.
- Mendorong adik-adik supaya belajar dengan rajin dan mempersiapkan diri untuk digunakan oleh Tuhan.