BAB 12: RAJA SALOMO MEMBINA BAIT SUCI

Mesej Untuk Guru:

Guru yang dikasihi, perkara yang paling penting dalam kehidupan Raja Salomo ialah membina bait Tuhan dalam masa tujuh tahun. Projek yang besar, penggunaan bahan binaan yang mahal dan khusus, bersikap teliti semasa melaksanakan kerja dan kerelaan umat memberikan persembahan, semuanya itu dalam kitab suci tiada yang dapat menandinginya! Pembinaan bait suci bermula dengan janji Tuhan kepada Daud, ”Maka Aku akan membangkitkan keturunanmu yang kemudian, dan Aku akan mengokohkan kerajaannya, Dialah yang akan mendirikan rumah bagi nama-Ku.” (2 Samuel 7:12-13) Kerajaan Salomo makmur dan kuat serta lingkungan kerajaannya pun aman. Ia merupakan zaman keemasan untuk menumpukan perhatian pada pembinaan bait suci!

Fokus utama bab ini adalah untuk membolehkan adik-adik memahami bahawa kerja pembinaan bait suci adalah sejenis kerja yang baik, juga merupakan satu peluang, hendaklah berpegang pada peluang yang ada jika ingin membuat persembahan!

Fokus yang kedua pula ialah mengambil berat tentang keperluan gereja-gereja tempatan. Gereja kita memerlukan pelbagai bakat, berikanlah galakkan kepada adik-adik untuk belajar bersungguh-sungguh, memperlengkapkan diri sendiri agar digunakan Tuhan apabila mereka dewasa kelak!

Bagi guru, guru boleh membaca 1 Raja-raja fasal 11 mengenai kehidupan Raja Salomo pada usia tuanya. Gundik-gundiknya menyesatkan hatinya, sehingga dia mengikut allah-allah lain, tidak seperti Daud, ayahnya, yang sepenuh hati tunduk dan taat kepada Tuhan. Tuhan murka terhadap Salomo dan ingin mengambil kembali kerajaan daripadanya, sungguh sayang sekali! Dia tidak berjaga-jaga pada usia tuanya, tidak kira bagaimana pintarnya seseorang, jadikanlah ini sebagai peringatan.

 

Nas Alkitab: 1 Raja-raja fasal 5 – 8

 

Objektif Pengajaran dan Pembelajaran:

  1. Supaya adik-adik mengagumi kerja baik pembinaan bait suci.
  2. Menggalakkan adik-adik untuk belajar bersungguh-sungguh agar digunakan oleh Tuhan pada waktu dewasa kelak!

 

Ayat Hafalan:

Sebab bait Allah adalah kudus. (1 Korintus 3:17)

 

Persediaan Prapengajaran dan Pembelajaran:

Gambar-gambar gereja-gereja tempatan Gereja Yesus Benar. Barang kemas yang diperbuat daripada emas. Jemput seorang datuk atau nenek seiman untuk bercakap tentang situasi dan kesaksian persembahan yang mengharukan semasa gereja dibina.

 

Doa:

Dalam nama Tuhan Yesus berdoa: Bapa Syurga yang pengasih, kami bersyukur kepada-Mu. Engkau memberikan gereja yang indah kepada kami; gereja adalah tubuh-Mu, bait-Mu yang mulia! Kami suka berkebaktian, menyanyi kidung dan menyembah kepada-Mu di gereja. Kami juga akan memberikan banyak persembahan dan menjaga gereja kami. Haleluya, amin!

 

Isi Pelajaran:

Pendahuluan

(10-15 minit) Adik-adik, adakah kamu suka akan gereja kita? Adakah aula gereja sangat cantik? (Syukur, cantik sekali. Sekiranya tidak cantik, semua orang harus membersihkan dan menjaganya dengan baik supaya aula gereja cantik) Jadi, siapakah yang melukis pelan gereja? Siapakah pula yang membinanya? Di manakah datangnya wang untuk membina gereja? kita menjemput seorang datuk atau nenek untuk memberitahu kita keadaan ketika gereja sedang dibina.

(Jika tidak dapat jemput datuk atau nenek, guru boleh bertanya kepada diaken, penatua dan kemudiannya memberikan kesaksian kepada adik-adik.)

 

Daud Ingin Membina Bait  Suci Tetapi Tuhan Tidak Izinkan

Adik-adik, bapa Raja Salomo, yaitu Daud mempunyai satu hasrat; iaitu ingin membina bait suci yang paling cantik dan besar supaya tabut Tuhan boleh diletakkan di dalam bait itu, kerana tabut Tuhan selama ini disimpan di dalam Kemah Pertemuan. Daud berfikir: “Kemah Pertemuan seperti satu khemah besar. Semestinya khemah tersebut tidak secantik bait yang dibina daripada kayu, batu dan bahan lain.” Namun firman Tuhan: “Engkau tidak akan mendirikan rumah bagi nama-Ku. Keturunanmulah yang akan membina sebuah bait bagi nama-Ku. Sebab engkau ini seorang prajurit dan telah menumpahkan darah.”

Daud sangat mengasihi Tuhan. Walaupun Tuhan tidak mengizinkannya untuk membina bait suci, dia sudah mulai menyediakan bahan untuk pembinaan bait suci yang akan digunakan Salomo kelak. Banyak bahan binaan yang diperlukan untuk membina bait suci; contohnya emas, perak, tembaga, besi, kayu dan batu permata. Daud juga menggalakkan umat untuk mempersembahkan emas, perak, dan batu permata kepunyaan mereka. Wah, syukur! Umat sanggup memberikan persembahan! Bahan-bahan untuk membina bait suci itu sudah tersedia dan langkah seterusnya ialah menunggu Raja Salomo untuk membinanya.

 

Raja Salomo Bersiap Sedia Untuk Membina Bait Suci

Raja Salomo yang berhikmat berfikir: “Tuhan telah memberi saya hikmat dan kekayaan yang banyak; keamanan untuk bangsa Israel, tanpa musuh dan malapetaka, maka saya hendak melakukan sesuatu untuk membalas budi Tuhan. Oh, ya! Ayah saya, Daud meninggalkan banyak emas, perak, dan permata. Dia sangat ingin membina sebuah bait suci yang indah untuk Tuhan, tetapi Tuhan tidak mengizinkannya. Jadi, saya mesti membina sebuah bait suci bagi nama Tuhan yang agung.”

Raja Salomo mula mengumpulkan kayu aras dan kayu sanobar yang akan digunakan untuk membina bait suci. Sememangnya kayu ini adalah yang terbaik. Batu-batu berat dalam kuantiti yang banyak juga diperlukan untuk membina dasar bait suci. Bagaimana pula dengan pekerja? Raja Salomo memerlukan puluhan ribu tenaga buruh untuk mengangkut bahan, tukang binaan yang mahir dan mandur untuk mengawasi. Wah, semua ini bukan untuk membina sebuah rumah kecil sebaliknya untuk membina sebuah bait suci! Sebuah bait yang paling indah dan terbaik untuk dipersembahkan kepada Tuhan! Membina bait suci ialah hasrat seluruh bangsa Israel. Setiap orang memberikan persembahan dengan sepenuh hati. Mereka yang mempunyai wang akan mempersembahkan wang dan mereka yang bertenaga akan mempersembahkan tenaga!

 

Membina Bait Suci

Raja Salomo menggunakan masa tujuh tahun untuk membina bait suci. Adik-adik, berapakah umur kamu? Wah, dalam masa tujuh tahun, bayi yang baru dilahirkan telah membesar menjadi adik-adik darjah satu yang berumur tujuh tahun! Sememangnya bukan mudah untuk membina bait suci!

Guru akan membaca beberapa ayat daripada kitab suci yang menerangkan situasi pembinaan bait suci untuk kamu. Baca kitab suci dengan penuh hormat:

  1. (1 Raja-raja 6:1-4) Mohon guru terangkan panjang ‘hasta’.
  2. (1 Raja-raja 6:20-22) Wah, begitu banyak emas yang berkilau-kilauan yang  digunakan! (Guru menunjukkan perhiasan emas)
  3. (1 Raja-raja 9:23) Berapakah pekerja yang melaksanakan kerja itu? Banyak sekali. Ada umat Israel dan pemimpin-pemimpin umum yang mengepalai pekerjaan Salomo: lima ratus lima puluh orang yang memerintah rakyat untuk melakukan pekerjaan itu.

 

Bait Suci Siap Dibina

Bait suci siap dibina. Imam membawa tabut Tuhan dan meletakkannya di dalam bait suci. Kemuliaan Tuhan pun memenuhi bait suci itu. Wah, Tuhan menyukai bait suci yang dibina oleh Raja Salomo dan orang Israel bagi nama-Nya! Hal ini demikian kerana bait suci yang dibina oleh orang Israel itu dibina dengan kerelaan; dibina dengan hati dan wang yang sangat berharga. Raja Salomo berlutut di dalam bait suci dan berdoa kepada Tuhan dengan memohon agar Tuhan menjaga bait suci dan memberkati umat Israel!

 

Kesimpulan

Adik-adik, jika kamu adalah orang Israel pada masa itu, adakah kamu akan membantu membina bait suci? Adakah kamu akan mempersembahkan emas yang berharga? Sanggupkah kamu mengangkut balak dan batu yang berat? Sesungguhnya, kerja pembinaan bukan kerja yang senang. Tidak lari daripada berpeluh dan sakit tulang belakang. Siapa yang sanggup, sila angkat tangan.

Jika kita akan membina gereja yang lebih besar pada suatu hari nanti, semoga kita dapat mempersembahkan tenaga dan wang. Dalam sesi aktiviti nanti, kita akan membersihkan aula gereja dan mengelap meja dan kerusi yang ada di dalam kelas. Jika kita mengasihi rumah Tuhan, maka Tuhan akan memberkati kita!