Mesej Untuk Guru:
Kepada guru yang dikasihi, bab ini terus menceritakan kisah Yunus. Ini juga merupakan suatu peristiwa yang amat menarik dan membangkitkan renungan kita. Yunus adalah segelintir kecil nabi yang melayan Tuhan benar seperti sahabat. Emosi dan sikapnya di hadapan Tuhan lurus dan terus terang. Perkataan dan perbuatannya juga amat lucu. Gelaran nabi yang “berani” memang sesuai baginya. Namun begitu, kita telah nampak reaksi Tuhan terhadapnya adalah begitu damai, sabar, dan penuh kasih. Kita juga dapat melihat dan mengalami hubungan intim sebegini daripada Daud. Daud berani berbantah dengan Tuhan, berani meminta ganjaran daripada Tuhan, berani meratap dan bersungut terhadap Tuhan. Bahkan Tuhan juga sentiasa membalasnya, memberinya masa, dan membelanya. Justeru, kita sering berkata ingin Tuhan menjadi “sahabat karib” kita, bukankah ia sama seperti hubungan rapat sebegini? Kita bukannya hendak belajar sikap Yunus yang bersewenang-wenang. Sebaliknya, kita perlu memahami bahawa kita boleh mengadu kepada sahabat kita, berkongsi kesukacitaan bersama sahabat, berdebat dengan sahabat, memberi segalanya demi sahabat, kita boleh melakukan perkara yang sama terhadap Tuhan. Bukan hanya memperlihatkan hati dan sikap yang baik kepada Tuhan, kita juga perlu berterus terang dengan Tuhan tentang fikiran jahat kita. Bukan hanya berkelakuan baik dan murni di dalam gereja, tetapi hati serta mulut kita harus seiras tidak kira masa dan tempat. Dengan ini, kita dapat memahami bahawa Tuhan tetap mengasihi kita tidak kira kita baik atau tidak. Ini merupakan kasih karunia-Nya yang benar dan tidak berubah sejak purbakala, kerana “Tuhan Ialah Kasih”. Semoga kita benar-benar menjadikan Tuhan sebagai sahabat karib kita, agar kita menikmati kasih Tuhan bersama dengan Hana, supaya kanak-kanak memahami kasih Tuhan yang tiada batasan sejak kecil.
Nas Alkitab: Yunus fasal 4
Objektif Pengajaran dan Pembelajaran:
Memahami bahawa kasih Tuhan tiada batasan dan boleh mendekati Tuhan.
Ayat Hafalan:
Tuhan berlimpah kasih setia. (Mazmur 103:8)
Persediaan Prapengajaran dan Pembelajaran:
Patung, ulat, sepohon pokok, beg kecil, barang kegunaan harian dan lain-lain.
Doa:
Dalam nama Tuhan Yesus berdoa: Tuhan Yesus yang dikasihi, Engkau suka kami bersembang dengan-Mu, memberitahu perkara yang gembira, perkara yang marah, perkara yang sedih, dan perkara yang tidak difahami kepada-Mu, serta suka agar kami menjadi sahabat baik dengan-Mu. Saya juga suka mempunyai sahabat yang begitu agung seperti-Mu. Syukur kepada Tuhan, Amin.
Isi Pelajaran:
Pendahuluan
Adik-adik, pada minggu lalu, seorang yang tidak mendengar firman Tuhan telah ditelan oleh ikan besar ke dalam perut. Siapakah dia? Ya! Nabi Yunus. Cuba kamu lihat, Yunus ialah seorang nabi, namun dia masih berani tidak mendengar firman Tuhan, dia bersembunyi dan tidak pergi memberitakan amaran! Apakah amaran tersebut? (Kanak-kanak menjawab) Betul! Iaitu amaran tentang Tuhan akan memusnahkan kota Niniwe. Namun demikian, mengapakah Yunus tidak ingin pergi menyebarkan amaran? (Beri kanak-kanak menjawab) Betul! Kerana penduduk kota Niniwe sangat jahat, jadi Yunus tidak harap mereka diselamatkan. Jika ada seorang kanak-kanak sering memukul kamu, merampas mainan kamu, adakah kamu harap cikgu menghukumnya? (Biar kanak-kanak menjawab) Pemikiran Yunus sama dengan adik-adik, pemikiran cikgu juga sama dengan adik-adik, tetapi Tuhan berbeza. Tuhan mengampuni penduduk kota Niniwe dan tidak menghapuskan mereka. Marilah kita teruskan cerita!
Yunus Marah Kepada Tuhan
Tuhan melihat penduduk kota Niniwe tidak lagi berbuat jahat, serta mula menyembah Tuhan benar, bahkan raja juga bertaubat, Tuhan sungguh gembira! Namun ada seorang yang tidak gembira, siapakah dia? Betul! Nabi Yunus. Dia tahu bahawa tidak berguna baginya untuk melarikan diri, Tuhan telah menemukannya, jadi dia harus pergi memberitakan amaran. Akan tetapi, dia masih berharap agar kota Niniwe yang dibencinya dimusnahkan oleh Tuhan kerana mereka banyak berbuat jahat, semuanya harus mati. Kini, dia marah kepada Tuhan kerana dia tahu Tuhan tidak memusnahkan kota Niniwe.
Yunus Tinggal Di Atas Bukit
Dia berdoa dengan suara lantang, dia tunjuk perasaan terhadap Tuhan dan berkata: “Ya Tuhan! Engkau berfirman ingin memusnahkan kota Niniwe, kini bagaimanakah boleh tidak memusnahkannya? Aku tahu Engkau Tuhan yang berlimpah kasih setia, Tuhan yang tidak murka sesuka hati. Aku memang tahu inilah kesudahannya, jadi aku tidak pergi menyebarkan amaran, kerana akhirnya Engkau pasti tidak akan menghapuskan mereka! Namun Engkau mencari aku, inginkan aku menyebarkan amaran. Baiklah! Sekarang aku sudah siap memberitakan amaran, aku sangka Engkau akan membinasakan mereka seperti yang difirmankan, tetapi Engkau tidak membinasakan mereka pula. Memandangkan demikian, lebih baik aku mati.” Setelah Tuhan mendengar, Dia berfirman kepada Yunus: “Yunus! Layakkah engkau marah?” Tetapi Yunus tidak mendengar, dia berlari balik ke rumah dan memasukkan baju, selimut, bantal, tuala, serta makanan ke dalam sebuah beg besar. Kemudian, dia menggalas begnya di sebelah bahu, dan menggalas khemahnya di sebelah bahu lagi…… Adik-adik, apakah yang ingin dilakukan Yunus? Lari dari rumah? (Biar kanak-kanak menjawab) Bukan! Dia mahu tinggal di atas bukit! Dia mahu pergi ke bukit yang dapat melihat kota Niniwe dan berkhemah di sana. Dia hanya akan berpuas hati jika melihat kota Niniwe dimusnahkan oleh Tuhan!
Tuhan Membuat Pohon Jarak Bertumbuh Besar
Selepas Yunus sampai ke bukit dan siap memasang khemah, dia duduk di bawah pondok (guru melipat tangan di hadapan dada, membuat muka merajuk) dan melihat kota Niniwe dari sana, dia sangat ingin melihat kota Niniwe dimusnahkan. Sinar matahari memancar ke atas Yunus, sebatang pohon pun tiada, panasnya! Yunus duduk di bukit yang botak itu seorang diri, dia semakin panas dan semakin dahaga. Ketika dia hampir tidak dapat bertahan, tiba-tiba tumbuh sepohon pokok di sebelahnya. Pokok ini dipanggil “Pohon jarak”. Mari baca sama-sama “Pohon Jarak”. Pohon jarak ini tumbuh dengan pantas, semakin bertumbuh tinggi, ia tumbuh sepanjang khemah Yunus (guru menggunakan jari telunjuk dan jari tengah, berjalan sepanjang bahu sendiri), pokok itu merayap dan terus merayap! Dalam masa sekejap sahaja ia merayap melepasi kepala Yunus, dan merayap ke atas khemah, kemudian tumbuh banyak daun, sehingga seluruh khemah Yunus terlindung. Wah! Ada teduhan pohon, dinginnya! Yunus amat gembira! Dia duduk di bawah pondok dingin dan tidur dengan selesa.
Ulat Menggerek Pohon Jarak
Pada keesokan pagi, sebelum Yunus bangun dari tidur, Tuhan menentukan seekor ulat merayap ke atas pohon itu. “Krup krap krup krap” ia menggerek pohon jarak itu, tidak lama kemudian pohon jarak itu pun mati. Yunus sedar dari tidur dan meregangkan badan, hairannya! Mengapakah teduhan pohon telah hilang? Sekali dilihat! Barulah dia perasan pohon jarak itu telah layu. Dia tiada jalan lain selain duduk berjemur di bawah matahari. Tuhan menentukan lagi angin timur yang panas terik bertiup, sehingga cahaya matahari lebih panas daripada sebelumnya, dan menyinari kepala Yunus. Wah! Kepala Yunus hampir berasap. Yunus pening kerana kepanasan, lalu dia marah kepada Tuhan kerana menjadikan pohon jarak layu, maka dia berdoa (dengan suara lemah): “Ya Tuhan! Engkau biarkanlah aku mati!” Tuhan berfirman kepada Yunus: “Engkau marah kerana pohon jarak ini, betulkah perbuatan ini?” Yunus berkata dengan nyaring: “Selayaknyalah aku marah sampai mati!” Tuhan berfirman kepada Yunus dengan kasih setia: “Yunus! Engkau sayang kepada pohon jarak itu, yang tidak engkau tumbuhkan, kota yang besar itu, yang berpenduduk lebih dari seratus dua puluh ribu orang, yang semuanya tak tahu membezakan tangan kanan dari tangan kiri? (Tanya kanak-kanak sama ada tahu membezakan tangan kiri dan kanan) Bahkan ada lagi banyak ternakan yang comel! Bagaimanakah tidak Aku akan sayang kepada mereka?”
Kesimpulan
Adik-adik, bukankah Yunus ini sangat bersewenang-wenang? Sama seperti budak-budak yang asyik menginginkan mainan, menangis dan berteriak, bahkan masih merasakan dirinya betul! Namun Tuhan tidak terus memukul Yunus walaupun dia asyik membising. Tuhan menggunakan pohon jarak untuk berfirman kepada Yunus, seperti seorang bapa yang pengasih, lemah lembut dan panjang sabar, sedikit marah pun tiada. Bukankah Tuhan itu sangat baik? Ya! Kita harus mengingati cerita ini, ketika kita melakukan kesalahan secara tidak sengaja, haruslah berlutut dan berdoa di hadapan Tuhan, meminta maaf kepada Tuhan. Tuhan pasti akan memaafkan kita, kerana Tuhanlah Bapa Syurga yang pengasih.