Mesej Untuk Guru :
Kepada guru yang dikasihi, adakah kita dapat bersandar kepada iman kita untuk memperoleh janji-janji yang Tuhan berikan kepada kita dalam Alkitab? Sebelum memperoleh berkat, halangan dan pengujian itu umpama orang Kanaan yang tinggi besar, dan kota-kota yang kukuh. Adakah matamu dapat melihat berkat Tuhan yang lebih indah dan lebih jauh itu? Adakah kita seperti Kaleb yang dapat mengucapkan: “Tidak! Kita akan maju dan menduduki negeri itu, sebab kita pasti akan mengalahkannya!” Pengintai-pengintai jahat yang tidak beriman telah meruntuhkan iman umat Israel yang lemah sehingga menyebabkan mereka bersungut-sungut kepada Tuhan. Akhirnya Tuhan telah menghukum mereka sehingga mereka terpaksa berjalan mengembara di padang gurun selama 40 tahun.
Tetapi Yosua dan Kaleb yang beriman pula berkata: “Jika TUHAN berkenan kepada kita, maka Ia akan membawa kita masuk ke negeri itu dan akan memberikannya kepada kita, suatu negeri yang berlimpah-limpah susu dan madunya… TUHAN menyertai kita, janganlah takut kepada mereka.” Kata-kata mereka yang beriman diingat oleh semua orang sehingga ke hari ini… Mari kita meneladani Yosua dan Kaleb, dan mewariskan kepercayaan yang kukuh terhadap Tuhan ini kepada anak-anak. Sebab, kita hanya dapat menerima berkat daripada Tuhan dengan bersandarkan iman.
Nas Alkitab : Bilangan fasal 13-14
Objektif Pengajaran dan Pembelajaran :
- Dapat mengetahui bahawa umat Israel terpaksa berjalan 40 tahun lagi disebabkan tidak beriman.
- Dapat mengucapkan nama pengintai-pengintai yang baik: Yosua dan Kaleb.
- Mengajar kanak-kanak bahawa apabila mereka menghadapi kesusahan, mereka dapat bersandar kepada Tuhan dengan berani dan beriman terhadap Tuhan.
Ayat Hafalan :
Tuhan menyertai kita; janganlah takut kepada mereka. (Bilangan 14:9)
Persediaan Prapengajaran dan Pembelajaran :
- Gambar (Gambar yang berkaitan disediakan oleh guru.)
- Gambar atau buah pohon ara, buah delima dan buah anggur.
- Boleh menggunakan belon ungu untuk dijadikan buah anggur dan ditambahkan dengan daun kertas serta dipasangkan atas tongkat panjang supaya anak-anak dapat memainkan peranan pengintai yang sedang memikul anggur.
Doa :
Dalam nama Tuhan Yesus berdoa. Kami bersyukur kepada-Mu kerana menjaga kami supaya kami datang ke gereja dengan selamat. Kami akan mempelajari firman-Mu. Walaupun kami masih kecil, tetapi kami sangat berani, dengan bersandar kepada-Mu, kami dapat mengalahkan segala musuh dan diperkenankan oleh-Mu. Haleluya. Amin.
Isi Pelajaran :
Pendahuluan
Adik-adik, adakah kamu masih ingat selepas Musa membawa umat Israel meninggalkan tanah Mesir, ke manakah mereka akan pergi? (Tanah Kanaan) Adakah kamu tahu tanah Kanaan itu tempat yang bagaimana? Guru membuka Alkitab dan membaca ayat suci: ”Aku mengetahui penderitaan mereka. Sebab itu Aku telah turun untuk melepaskan mereka dari tangan orang Mesir dan menuntun mereka keluar dari negeri itu ke suatu negeri yang baik dan luas, suatu negeri yang berlimpah-limpah susu dan madunya.” (Keluaran 3:7-8) Wah! Tanah yang berlimpah-limpah susu dan madunya? Apakah tempat ini? Ini bermaksud tanah ini merupakan tanah yang subur, ada air hujan yang mencukupi, dan tumbuhan yang ditanam tumbuh dengan subur dan sihat. Jika tinggal di sini, bukan sahaja pemandangannya indah, ia juga dapat menghasilkan banyak makanan supaya orang yang tinggal di sana tidak akan lapar. Tuhan ingin mengaruniakan tanah yang baik ini, iaitu tanah Kanaan, kepada umat Israel. Ini merupakan hadiah yang terbaik bagi mereka. Adik-adik, jika kamu merupakan umat Israel pada masa itu, adakah kamu ingin berpindah dengan segera untuk menetap di sana?
Menghantar 12 Orang Pengintai
Musa dan umat Israel berjalan sehingga ke padang gurun Paran, Tuhan benar memerintahkan Musa untuk memilih 12 orang yang berani dari kalangan orang Israel untuk pergi melihat keadaan di tanah Kanaan. Jika kamu ingin berpindah rumah, adakah kamu akan pergi melihat persekitaran di sekeliling rumah baharu kamu? Musa berkata kepada 12 orang pengintai itu: “Pergilah dan melihatlah bagaimana keadaan tanah Kanaan, apakah bangsa yang tinggal di sana kuat atau lemah? Adakah tanah itu mempunyai banyak pokok? Bawalah sedikit hasil negeri itu, maka kita dapat memahami keadaan negeri itu.”
12 orang pengintai bertolak dengan penuh keberanian. Setibanya mereka di tanah Kanaan, mereka mendapati bahawa tanah yang dikaruniakan Tuhan kepada mereka itu sememangnya suatu tempat yang sangat baik dan indah. Tetapi, orang yang tinggal di sana sangat tinggi dan kuat. Mereka merupakan keturunan kepada orang raksasa (Iaitu orang gergasi yang bertubuh badan besar dan tinggi). 12 orang pengintai itu telah menebang setangkai anggur. Wah! Beratnya! Segugus anggur itu sangat besar sehingga satu orang dewasa pun tidak mampu mengangkatnya. Sebaliknya dua orang perlu memikulnya dengan menggunakan sebatang kayu! Adik-adik, bagi hasil buah anggur di tempat kita, kita hanya perlu menggunakan dua tangan untuk mengangkatnya, (Berikan kanak-kanak melihat saiz buah anggur tempatan ) tetapi anggur di tanah Kanaan begitu besar, ( anggur yang saiznya sebesar belon). Nampaknya tanah Kanaan memang suatu tempat yang sangat baik, mungkin satu orang hanya perlu makan beberapa biji anggur sahaja pun jadi kenyang sudah! 12 orang pengintai itu juga membawa pulang beberapa buah delima dan buah ara yang besar dan sedap untuk ditunjukkan kepada umat Israel.
Pengintai Jahat dan Pengintai Baik
Selepas 40 hari, 12 orang pengintai telah pulang. Umat Israel mengelilingi mereka dan bertanya: “Cepatlah beritahu kami! Tanah Kanaan yang dikaruniakan Tuhan kepada kita itu baik atau tidak?” Dalam kalangan 12 orang pengintai terdapat 10 orang pengintai jahat yang tidak beriman. Mereka berkata: “Tanah Kanaan memang suatu tempat yang indah! Mari kamu lihat, buahnya tumbuh dengan besar dan cantik, tetapi… (Berucap dengan nada yang takut) orang di sana tinggi dan kuat, umpama gergasi, dan kami seperti seekor belalang kecil jika dibandingkan dengan mereka. Jadi, mereka begitu kuat sekali, manakala kita yang rendah, kecil dan lemah ini tidak berupaya untuk berperang dengan mereka. Hai!” Adik-adik, jika kamu merupakan umat Israel pada masa itu, apabila kamu mendengar kata-kata putus asa daripada si pengintai yang jahat, adakah kamu akan berasa takut? (Sila berikan pandangan)
Apabila umat Israel mendengarnya, mereka segera hilang iman terhadap Tuhan.
Mereka meraung dan berteriakan: “Mengapakah TUHAN ingin membawa kita ke tempat sedemikian?” “Lebih baik kita mati di tanah Mesir!” “Apa kata kita balik ke tanah Mesir!”
Dalam kalangan 12 orang pengintai itu terdapat 2 orang pengintai yang baik, nama mereka ialah Yosua dan Kaleb (Kanak-kanak mari kita baca sekali, sila ingat nama mereka). Mereka berdua yang penuh iman terhadap Tuhan segera menghiburkan umat dan berkata: “Jangan kamu lupa bahawa kita boleh bersandar kepada Tuhan kita yang agung, sekarang marilah kita pergi menyerang tanah Kanaan dan Tuhan pasti akan memberikan tanah Kanaan kepada kita. Kita langsung tidak perlu takut akan tubuh badan mereka yang besar kerana TUHAN menyertai kita!”
Musa Membantu Doa bagi Umat Israel
Tetapi orang Israel yang tidak beriman tidak ingin percaya kepada kata-kata Yosua dan Kaleb. Lebih-lebih lagi, semua orang ingin memukul mereka dengan batu. Mereka memang sungguh jahat sekali. Pada masa ini, tampaklah terang kemuliaan Tuhan Allah benar, Tuhan benar berfirman dalam kemurkaan-Nya kepada Musa: “Umat Israel ini sampai sekarang masih tidak percaya kepada Aku. Walaupun Aku pernah melakukan banyak tanda mukjizat bagi mereka, tetapi mereka masih tidak taat. Oleh itu, Aku akan menyebabkan mereka jatuh sakit sehingga mereka tidak dapat bangun kembali.”
Apabila Musa mendengarnya, dia sangat cemas! Dia segera berdoa bagi orang Israel dan memohon supaya Tuhan jangan murka serta mengampuni umat Israel sekali lagi. Akhirnya, Tuhan telah mengampuni orang Israel, tetapi Tuhan masih menghukum 10 orang pengintai jahat yang tidak beriman itu, sehingga mereka sakit dan meninggal dunia. Hanya Yosua dan Kaleb dibenarkan masuk ke tanah Kanaan. Tambahan pula, orang Israel yang berumur 20 tahun ke atas yang bersungut-sungut tidak dibenarkan masuk ke tanah Kanaan. Anak-anak mereka harus berjalan 40 tahun lagi di padang gurun baru dapat masuk ke tanah Kanaan.
Kesimpulan
Adik-adik, rupa-rupanya orang Israel yang akan masuk tanah Kanaan tidak lama lagi itu, tidak dapat masuk ke tanah Kanaan kerana mereka tidak beriman terhadap Tuhan, percaya kepada kata-kata pengintai yang jahat, penakut serta bersungut-sungut kepada Tuhan. Akibatnya mereka telah dihukum Tuhan dan tidak dapat masuk ke dalam tanah Kanaan. Memang sayang sekali!
Cerita ini memberitahu kita, kita haruslah berani percaya kepada setiap firman Tuhan, kerana kasih karunia yang akan Tuhan berikan kepada kita itu sangat banyak. Kita haruslah meneladani Yosua dan Kaleb yang berani percaya dan bersandar kepada Tuhan. Iman yang besar akan menerima kasih karunia yang besar, iman yang kecil pula akan menerima kasih karunia yang sedikit, dan orang yang tidak beriman tidak akan menerima kasih karunia. Adik-adik! Kamu boleh memiliki iman yang besar walaupun usia kamu masih kecil! (Guru diminta mencari satu kesaksian mengenai seorang kanak-kanak yang mempunyai iman yang besar untuk dijadikan perkongsian bersama).
Minggu depan, cikgu akan menyampaikan suatu cerita mengenai seekor keledai yang boleh bercakap, memang sangat seronok sekali! Oleh itu, kamu harus datang ke gereja tepat pada masanya!