BAB 2 : HARUN, PEMIMPIN UMAT ISRAEL

Nas Alkitab : Bilangan fasal 17; Keluaran 4 : 10 – 17, 27 – 31, 7 : 1 – 2.

 

Objektif Pengajaran dan Pembelajaran :

  1. Tahu proses Tuhan memilih Harun.
  2. Faham bahawa setiap orang memiliki karunia yang berbeza, dapat menggunakan karunia sendiri untuk melayani Tuhan dan menghormati mereka yang menjadi pemimpin.

 

Ayat Hafalan :

Layanilah seorang akan yang lain, sesuai dengan karunia yang telah diperoleh tiap-tiap orang sebagai pengurus yang baik dari kasih karunia Allah. (1 Petrus 4: 10)

 

Cadangan Pengajaran dan Pembelajaran :

Guru menilai tahap murid untuk menambah atau mengurangkan ayat hafalan, atau bahagikan murid-murid kepada kumpulan lelaki dan perempuan, masing-masing menghafal separuh ayat saja.

 

Persediaan Prapengajaran dan Pembelajaran :

Gambar pengajaran dan pembelajaran . (Gambar yang berkaitan boleh disediakan oleh guru )

 

Doa :

Dalam nama Tuhan Yesus kami berdoa. Terima kasih Tuhan Yesus kerana Engkau memberikan kami masing-masing kelebihan yang berbeza supaya kami dapat mengerjakan tugas yang berlainan. Kiranya Tuhan menolong kami supaya dapat bekerjasama dengan orang lain dan melayani-Mu dengan sukacita. Haleluya, amin.

 

Isi Pelajaran :

Adik-adik, cuba kamu beritahu cikgu, siapakah nama pengantin perempuan cantik yang kita perkenalkan minggu lalu? (Ribka) Ya, bagus. Bagaimanakah Ribka menjadi pengantin bagi Ishak? (Abraham mengutus hamba tuanya ke negerinya untuk mencarikan isteri bagi Ishak) Mengapakah hamba tua memilih Ribka? (Hamba tua berdoa terlebih dahulu dan memohon kepada Tuhan supaya dia dapat memilih seorang dari kalangan anak gadis yang menimba air, gadis yang terpilih itu bukan sahaja memberinya air minum, dia juga menimba air untuk unta-untanya seperti yang diharapkannya. Benar-benar Tuhan telah menemukan hamba tua dengan Ribka dan dia melakukan seperti yang diharapkan oleh hamba tua, maka hamba tua memilih Ribka.)

Hari ini kita akan berkenalan dengan satu orang lagi. Orang ini ialah saudara Musa. Adakah adik-adik tahu siapa orang ini? (Minta anak-anak menjawab) Orang ini bernama Harun. Adik-adik sila sebut namanya dua kali. Usia Harun adalah tiga tahun lebih tua daripada Musa, maka dia ialah abang kepada Musa.

 

Musa Dan Harun Menghadap Firaun

Adik-adik, adakah kamu masih ingat cerita sewaktu Musa dilahirkan? (Minta kanak-kanak ceritakan sekali, kemudian guru membuat tambahan.) Ketika Musa dilahirkan, raja Mesir, Firaun, tidak senang hati kerana orang Israel terlalu banyak, maka dia mengarahkan bidan-bidan untuk membuang bayi-bayi lelaki orang Israel yang baru dilahirkan ke mana? (Dalam sungai) Betul. Tetapi ibu Musa tidak sampai hati melihat anaknya mati, maka ibunya memasukkan dia ke dalam peti pandan, lalu meletakkan peti itu di tengah-tengah teberau di tepi sungai. Kebetulan puteri Firaun datang untuk mandi di sungai, dia terdengar suara tangisan bayi, maka dia pun membawa Musa pulang ke istana dan membelanya sebagai anak sendiri.

Musa telah membesar di istana. Dia telah menerima pendidikan yang baik. Pada kemudian hari, Musa telah membunuh seorang Mesir demi menolong seorang Israel. Hal itu telah diketahui oleh Firaun dan Firaun mahu membunuhnya. Maka Musa meninggalkan Mesir dan melarikan diri ke padang gurun yang sangat jauh, dia menggembala domba di situ. Pada suatu hari, ketika Musa sedang menggembala domba di gunung Horeb, Tuhan memanggil Musa, dan menyuruhnya supaya kembali ke Mesir untuk menyelamatkan orang Israel keluar dari Mesir ke suatu tempat yang indah dan subur.

Apabila Musa mendengar Tuhan menyuruhnya untuk menghadap dan memohon kepada Firaun supaya membenarkan orang Israel keluar dari Mesir, dia pun berkata kepada Tuhan, “Ah, Tuhan, aku ini tidak pandai bicara, dahulu pun tidak dan sekarang pun tidak, pastinya Firaun tidak mahu mendengar kata-kataku.” Tuhan melihat Musa menolak berulang kali dengan mengatakan dirinya tidak pandai bicara, maka dengan murka Tuhan berfirman kepada Musa, “Bukankah engkau ada seorang saudara? Aku tahu dia pandai bicara. Engkau harus berbicara kepadanya dan menaruh perkataan itu ke dalam mulutnya, dan dia akan berbicara kepada bangsa itu bagimu.” Maka Musa pun pergi mencari Harun dan memberitahunya segala pesanan Tuhan dan tanda mukjizat yang akan dijadikan oleh Tuhan. Lalu mereka berdua mengumpulkan semua tua-tua Israel, Harun menyampaikan segala firman dan tanda-tanda mukjizat yang telah dipesankan Tuhan kepada Musa, lalu percayalah bangsa itu. Tetapi bagaimana dengan Firaun? Walau apapun Firaun tetap tidak mengizinkan orang Israel keluar dari Mesir.

Musa melihat bukan sahaja Firaun tidak mengizinkan mereka pergi, malahan Firaun menjadi marah. Maka Musa kembali kepada Tuhan dan berkata kepada Tuhan, “Orang Israel sendiri tidak mendengarkan aku yang tidak petah lidah, bagaimanakah mungkin Firaun mendengarkan aku?” Namun Tuhan tetap menyuruh Musa pergi, dan menyuruh Harun berbicara baginya. Akhirnya Musa melakukan apa yang diperintahkan Tuhan. Tuhan menyampaikan kata-kata-Nya melalui Musa, dan Harun kemudian menyampaikan kata-kata Musa, dan mereka memimpin umat Israel keluar dari Mesir.

 

Pemberontakan Korah

Musa dan Harun memimpin sekumpulan besar orang Israel. Adakah kamu tahu berapa jumlah mereka? Kitab Keluaran memberitahu kita, bilangan lelaki sahaja kira-kira 600 ribu orang. Jika ditambah perempuan dan kanak-kanak, jumlah mereka kira-kira 1 hingga 2 juta orang. Cuba kita bayangkan keadaan kumpulan besar ini berjalan di padang gurun. Orang yang berjalan di barisan hadapan langsung tidak dapat melihat orang yang berjalan di belakang. Bagaimana dengan makanan dan tempat tinggal mereka? Bagaimana kalau ada orang yang sakit? Apakah yang harus dilakukan jika ada yang bertengkar atau bergaduh di pertengahan jalan? Syukurlah Musa dan Harun adalah pemimpin yang bijaksana dan berkebolehan. Bukan sahaja mereka menjaga orang ramai, malah mereka menyampaikan perintah Tuhan kepada umat Israel.

Pada suatu hari, Korah dan beberapa orang bersepakat untuk menentang Musa dan Harun, dan berkata kepada mereka, “Sekarang cukuplah itu! Segenap umat adalah orang-orang kudus, mengapa kamu meninggi-ninggikan diri?” Ada pula yang berkata, “Engkau membawa kami keluar dari tanah Mesir yang subur untuk membiarkan kami mati di padang gurun, sehingga kamu mahu menjadi tuan atas kami.” Mereka semua bergilir-gilir menyalahkan Musa dan Harun. Apabila Tuhan melihat kedua mereka ditentang, Tuhan menampakkan kemuliaan-Nya dan menyuruh Musa dan Harun supaya berpisah dari bangsa itu. Ini kerana Tuhan mahu membinasakan mereka. Musa mendoakan mereka supaya Tuhan tidak membunuh mereka semua. Maka Tuhan menyuruh Musa bangkit dan berkata kepada umat itu supaya meninggalkan khemah yang didiami oleh Korah dan beberapa orang jahat itu.

Sebaik sahaja Musa selesai berkata, tanah mengangakan mulutnya dan menelan semua orang yang memberontak itu, serta keluarga dan harta benda mereka. Demikianlah mereka dan harta mereka binasa. Pada keesokan harinya, bersungut-sungutlah segenap umat Israel kepada Musa dan Harun, dengan mengatakan bahawa Musa dan Harun telah membunuh umat Tuhan. Apabila umat itu mula melawan mereka berdua, sekali lagi Tuhan menampakkan kemuliaan-Nya, lalu menghukum umat itu dengan tulah. Mujurlah Musa menyuruh Harun mengambil perbaraan dan memohon pengampunan dosa demi umat itu, maka berhentilah kematian di kalangan umat itu.

 

Tongkat Harun Bertunas Dan Berbunga 

Umat Israel tidak akur terhadap Musa dan Harun, maka Tuhan berfirman kepada Musa, “Katakanlah kepada orang Israel supaya setiap suku memberi satu tongkat dan tuliskan nama setiap pemimpin suku pada tongkat masing-masing, dan pada tongkat suku Lewi tuliskan nama Harun. Letakkan tongkat-tongkat ini di hadapan tabut hukum dimana engkau menyembah kepada Tuhan. Orang yang Aku pilih itu, tongkatnya pasti akan bertunas. Maka orang Israel tidak akan lagi bersungut-sungut kepada kamu.”

Pada keesokan hari, Musa masuk ke dalam kemah suci tempat letaknya tabut hukum. Tidak disangka bahawa tongkat Harun yang dari suku Lewi telah bertunas, menghasilkan kuntum, mengembangkan bunga dan berbuahkan buah badam. Musa mengambil tongkat Harun untuk dilihat semua orang. Setelah mereka melihatnya, setiap pemimpin pun mengambil balik tongkat masing-masing. Tuhan menyuruh Musa, “Kembalikan tongkat Harun di hadapan tabut hukum supaya ia menjadi satu tanda kepada orang yang memberontak. Dengan itu barulah mereka akan berhenti bersungut-sungut kepada-Ku.”

 

Kisah Tentang Jenny

Sekarang cikgu akan menceritakan satu kisah yang benar:

Ada seorang adik seiman yang bernama Jenny. Jenny sangat bijak, keputusan sekolahnya juga amat cemerlang. Tetapi setiap kali sewaktu pemilihan ketua kelas untuk penggal baharu di sekolah, dia tidak pernah terpilih. Oleh itu, dia sangat marah dan selalu menentang ketua kelasnya dengan sengaja.

Pada suatu kali, Jenny menghadiri kelas pendidikan agama di gereja. Dia mendengar cerita tentang Tuhan memilih Harun. Cikgu memberitahu adik-adik, “Setiap orang mempunyai karunia yang berbeza. Kita harus menggunakan kemahiran yang dikaruniakan oleh Tuhan kepada kita dengan baik untuk membantu orang lain. Contohnya, adik-adik yang berkeputusan cemerlang boleh membantu rakan-rakan dari segi kerja sekolah; adik-adik yang petah lidah boleh bersaksi demi Tuhan Yesus kepada rakan-rakan lain…”

Cikgu juga memberitahu adik-adik bahawa kita semua harus hormat dan taat kepada ketua dan penolong ketua kelas yang terpilih di sekolah. Setelah tamat kelas pendidikan agama, dalam perjalanannya balik ke rumah, Jenny berjalan sambil berfikir: Syukur kepada Tuhan, kerana Tuhan Yesus mengaruniakan saya hikmat dan kebijaksanaan, serta kepetahan lidah. Saya mahu membantu rakan sekolah dari segi kerja sekolah, saya juga mahu bersaksi kepada rakan-rakan tentang cerita Tuhan Yesus.

Sejak hari itu, Jenny tidak lagi menentang ketua kelasnya. Dia berasa sangat gembira setiap hari di sekolah, rakan-rakannya juga semakin menyukainya. Adik-adik, adakah kamu mahu menjadi seperti Jenny yang sekarang? Atau Jenny yang dahulu? Kiranya Tuhan Yesus membantu kita, supaya kita menjadi anak baik yang disukai ramai.

 

Sesi Aktiviti (1) :

  1. Nama Aktiviti: Sesi Doa
  2. Objektif Aktiviti: Memohon Tuhan memberikan karunia rohani.
  3. Persediaan Sebelum Aktiviti: Menghubungi penatua, diaken, pendeta atau guru pemimpin, memahami objektif sesi doa bab ini terlebih dahulu.
  4. Isi Kandungan Aktiviti:
    1. Nyanyi satu atau dua buah kidung untuk menyediakan hati yang tenang.
    2. Jelaskan objektif sesi doa dan berikan dorongan.
    3. Sehati berdoa. (Minta para pejabat kudus untuk menumpangkan tangan)

Perhatian : Jikalau sesi doa diadakan bersama kelas darjah atas, objektifnya harus dijelaskan secara berasingan.

 

Sesi Aktiviti (2) : (Bagi gereja yang tidak mengadakan sesi doa pada minggu ini boleh memilih aktiviti ini.)

  1. Nama Aktiviti: Beri Perhatian
  2. Objektif Aktiviti: Supaya kanak-kanak dapat saling mengenali dan mengamati ciri-ciri dan kelebihan antara satu sama lain, tidak iri hati terhadap orang lain, melainkan mengusahakan kemahiran diri sendiri.

 

Isi Kandungan Aktiviti :

  1. Guru meminta 2 atau 3 orang kanak-kanak tampil ke hadapan secara bergiliran. Minta kanak-kanak yang lain memerhatikan rambut, muka, pakaian, kasut dan barang-barang pada kanak-kanak yang berada di hadapan. Selepas satu minit, minta kanak-kanak itu bersembunyi.
  2. Guru bertanya soalan kepada kanak-kanak:
    1. Bagaimanakah corak ikatan rambut XX (nama anak yang bersembunyi)?
    2. Apakah corak pada pakaiannya? Apakah warna kasutnya?
    3. Bagaimanakah mata, hidung dan mulutnya? Rupa wajahnya?
    4. Apakah kemahiran XX?
    5. Apakah kelebihan XX?
  3. Minta anak yang bersembunyi kembali ke tempat asal.
  4. Cara ini boleh diteruskan untuk memperdalam pengenalan antara kanak-kanak.
  5. Tegaskan bahawa Tuhan menciptakan setiap manusia dengan tujuan-Nya sendiri; Tuhan memberi setiap kita ciri-ciri dan kemahiran masing-masing. Kita harus mengamati orang lain, jangan rasa iri hati terhadap orang lain, tetapi harus berusaha memperkembangkan kemahiran diri sendiri.

 

Perhatian :

Soalan yang ditanyakan guru kepada kanak-kanak boleh berdasarkan ciri-ciri setiap orang. Pastikan kelebihan kanak-kanak ditunjukkan, dan berikan dorongan.