Nas Alkitab : Mat 9 : 9 – 13; Mrk 2 : 13 – 17; Luk 5 : 27 – 32, 19 : 1 – 10
Objektif Pengajaran dan Pembelajaran :
- Ketahui bahawa Zakheus dan Matius adalah pemungut cukai yang mengakui kesalahan terhadap Tuhan dan menjadi teman baik Tuhan Yesus.
- Saya bersedia mengikuti Tuhan: (3) Dapat memberitahu satu perkara yang pernah Tuhan Yesus
Ayat Hafalan :
… supaya mereka bertobat kepada Allah dan percaya kepada Tuhan kita, Yesus Kristus. (Kis 20:21)
Persediaan Prapengajaran dan Pembelajaran :
Gambar (Gambar yang berkaitan boleh disediakan oleh guru.)
Doa :
Dalam nama Tuhan Yesus berdoa. Tuhan Yesus yang terhormat, terima kasih kerana mengasihi setiap kami. Kami memohon Tuhan Yesus untuk mengampuni kesalahan kami dan membantu kami untuk percaya dan bersandar kepada-Mu. Kami bertekad untuk meneladani-Mu, mengasihi manusia, menolong orang lain dan menjadi anak yang Engkau kasihi. Haleluya. Amin.
Cadangan Pengajaran :
Topik “Orang yang mempunyai keberanian untuk mengakui kesilapan mereka”. Terangkan kepada murid.
Isi Pelajaran :
Kisah Seorang Peninju
Di Scotland, pernah ada seorang lelaki yang pandai bertinju. Oleh kerana dia sangat kuat, dia sering membuli orang lain dan suka melakukan perkara-perkara yang tidak baik. Oleh itu semua orang sangat membencinya.
Pada suatu hari, dia mendengar ada orang menceritakan kisah Tuhan Yesus. Lalu dia berlari ke sana dengan penuh rasa ingin tahu. Dia mendengar bahawa Tuhan Yesus disalibkan di kayu salib dan menumpahkan darah-Nya untuk menyucikan dosa-dosa kita demi mengasihi dan menyelamatkan kita; agar kita dapat menjadi anak-anak yang baik dan dapat bersama-sama dengan Tuhan buat selama-lamanya. Dia sangat terharu, lalu bertaubat dengan seikhlasnya dan percaya kepada Tuhan Yesus. Setelah bertaubat, dia menjadi seorang yang baik dan seorang Kristian yang sangat giat. Setelah beberapa tahun, dia menjadi seorang penginjil yang sangat terkenal.
Pada suatu hari, ketika dia sedang berkhutbah, ada seorang memberinya sepucuk surat yang mencatatkan banyak hal buruk yang pernah dia lakukan pada masa lampau. Setelah membacanya, dia merasa sedih dan malu sehinggakan dia ingin melarikan diri dan tidak berani lagi berkhutbah. Namun kata-kata Tuhan menenangkannya. Dia dengan berani melangkah ke mimbar dan membaca kandungan surat itu. Dia mengakui bahawa dahulu dia adalah seorang yang berdosa dan Tuhan mengasihi dia serta menyelamatkannya dari apa yang telah dia lakukan sebelum ini. Kini dia percaya dan bersandar kepada Tuhan serta telah menerima kasih Tuhan. Dia tidak lagi merasa takut dan malu. Dia memberi kesaksian kepada semua orang tentang pengalamannya percaya kepada Tuhan. Pada malam itu, ramai orang membuat keputusan untuk percaya kepada Tuhan setelah mendengar kesaksiannya.
Zakheus Bertaubat Kepada Tuhan
Semasa kita belajar di kelas tadika, kita pernah mendengar kisah “Zakheus si pendek”. Bagaimanakah orangnya? (Jemput seorang adik untuk menceritakan kisah ini dan guru boleh bantu tambah mana yang perlu). Di kota Yeriko, ada seorang lelaki bernama Zakheus. Dia adalah seorang kepala pemungut cukai. Pemungut cukai mengumpulkan pajak cukai dari rakyat untuk negara. (Cukai adalah sejumlah wang yang dikutip oleh kerajaan daripada rakyat untuk melakukan pelbagai kerja pembinaan seperti sekolah, lebuh raya, dan lain-lain). Wang itu kemudiannya diserahkan kepada negara. Pada zaman dahulu, para pemungut cukai sering mengumpulkan lebih daripada rakyat dan menyimpan lebihan itu sebagai milik sendiri (tamak wang), jadi mereka sangat kaya.
Pada suatu hari, Zakheus mendengar bahawa Tuhan Yesus datang ke tempat dia tinggal. Dia ingin melihat Tuhan Yesus yang agung. Namun ada ramai orang dan Zakheus pula seorang yang bertubuh badan pendek dan kecil. Bagaimanakah dia dapat melihat Tuhan Yesus? Pada masa ini, dia melihat sebatang pokok yang besar di pinggir jalan dan Zakheus berfikir: Hebat! Sekiranya saya naik ke pokok itu, saya dapat melihat Tuhan Yesus dengan jelas. Oleh itu Zakheus dengan cepat memanjat pokok itu (Tunjukkan gambar) dan menanti ketibaan Yesus. Ketika Yesus sampai ke tempat itu, Dia melihat ke atas dan berkata: “Zakheus, segeralah turun, sebab hari ini Aku harus menumpang di rumahmu.”
Lalu Zakheus segera turun dan menerima Yesus dengan sukacita. Dia berkata kepada Tuhan Yesus: “Tuhan Yesus! Dahulunya saya seorang yang jahat dan biasa menipu wang orang. Sekarang saya ingin mengembalikan wang itu kepada mereka. Bermula pada hari ini, saya tidak akan berbuat jahat lagi.” Tuhan Yesus gembira mendengarnya dan berkata: “Baik! Aku suka orang yang berani mengakui kesilapan dan berhenti melakukan perkara yang tidak baik.” Zakheus sangat gembira kerana Tuhan Yesus mengampuni dia dan menjadi teman baiknya. Pada hari ini cikgu akan menceritakan satu kisah lain mengenai pemungut cukai.
Matius Pemungut Cukai
Pada suatu hari, Tuhan Yesus berjalan di Kapernaum, Dia melihat seorang duduk di rumah cukai memungut cukai. Nama lelaki ini adalah Levi dan dia mempunyai nama lain yang disebut Matius. Matius ini sama seperti Zakheus. Walaupun dia berpakaian cantik dan menikmati makanan yang lazat dan enak, namun dia tidak gembira. Ini disebabkan dia tidak mengumpulkan wang cukai berpandukan peraturan maka semua orang membencinya.
Matius ingin mempunyai kawan tetapi selain daripada para pemungut cukai seperti dia, siapa lagi yang mahu berkawan dengannya? Matius berfikir: “Apa gunanya memiliki begitu banyak wang! Tidak ada yang mengasihi saya. Saya rasa saya benar-benar seorang penjahat!”
Tuhan Yesus datang ke rumah cukainya. Yesus memandang Matius dan Matius pun mendonggakkan kepalanya kerana dia menyangka Yesus datang untuk membayar cukai. Ketika dia melihat Tuhan Yesus, dia mendapati bahawa orang ini berbeza dengan orang lain. Matanya penuh dengan kasih dan pengampunan. Tuhan Yesus berkata kepada Matius: “Matius, ikutlah Aku.” Matius menyedari bahawa dia adalah Tuhan Yesus. Dia sangat gembira! Matius mengemas rumah cukainya dan tidak lagi menjadi pemungut cukai yang dibenci orang. Dia mahu bertaubat dan percaya kepada Yesus serta menjadi murid Tuhan Yesus.
Matius Menyambut Tuhan Yesus
Pada malam itu, Matius mengadakan jamuan di rumahnya yang indah dan mengundang Tuhan Yesus serta banyak rakannya yang tidak mengenali Tuhan Yesus untuk makan. Semasa mereka makan, Matius memberitahu mereka: “Saya tidak akan menjadi pemungut cukai lagi. Saya akan mengikuti Tuhan Yesus.” Rakan-rakannya pasti terkejut dan akan bertanya: “Mengapa?” Matius memberitahu mereka: “Ini kerana Tuhan Yesus mengasihi saya. Saya ingin mengikuti Tuhan Yesus menjadi murid-Nya, belajar daripada Tuhan Yesus dan menjadi pembantu Tuhan Yesus yang baik.” Ketika rakan-rakannya mendengar ini, banyak juga yang bersedia mempercayai Tuhan Yesus seperti Matius.
Matius Menjadi Murid Tuhan Yesus
Sejak itu Matius menjadi murid Tuhan Yesus. Dia mengasihi Tuhan Yesus dan Tuhan Yesus juga mengasihi dia. Dia tidak lagi berbuat jahat dan berharap orang lain dapat mengakui kesalahan mereka dan percaya kepada Tuhan Yesus. Matius mengikuti Tuhan seumur hidupnya. Setelah Tuhan Yesus naik ke syurga, dia terus berkhotbah, bekerja dengan setia dan mendirikan gereja.
Dapat Memberitahu Satu Perkara Yang Tuhan Yesus Pernah Lakukan
Zakheus dan Matius adalah pemungut cukai. Setelah mereka percaya kepada Tuhan, mereka meninggalkan pekerjaan yang tidak disukai Tuhan. Zakheus mengembalikan wang yang diperas empat kali lipat sementara Matius pula bertekad untuk menjadi murid Tuhan Yesus dan memberitakan Injil untuk Tuhan.
Adik-adik, apa yang harus kita perbuat apabila kita melakukan sesuatu kesalahan yang tidak disengajakan? (Harus mengakui kesalahan). Adakah Tuhan Yesus suka kepada orang yang mengaku salah? (Suka). Adakah ibu dan ayah suka anak-anak yang tidak mengakui kesilapan? (Pasti tidak suka). Sekarang kita lihat lagi tentang seorang kanak-kanak bernama Xiao Ming. Dia adalah seorang anak yang jahat. Dia sering bertumbuk dengan orang lain , merampas mainan orang lain, menolak untuk menjatuhkan orang lain, mencuri barang dari rakan sekelas, malas dan tidak bekerja keras. Guru dan rakan sekelas tidak menyukainya.
Pada suatu hari, dia mencuri mangga daripada jirannya dan ditangkap oleh pak cik itu. Pak cik mahu serahkan Xiao Ming kepada polis. Xiao Ming sangat takut lalu meminta pak cik memaafkannya. Teka apa yang dilakukan pak cik? (Pak cik maafkan dia). Xiao Ming juga berubah menjadi seorang budak yang baik. Dia mula menolong orang, menyapu lantai … dan lain-lain. Sekarang, cikgu ingin meminta adik-adik untuk memberitahu semua orang apa yang telah dilakukan Tuhan Yesus di dunia ini. (Jemput seorang adik untuk bercakap, atau cikgu beri ulasan bab-bab penggal 4 dalam Kelas Rendah Tahun 1. Berikut adalah sebagai rujukan :-
- Hari yang bahagia – ketika Tuhan Yesus berusia 12 tahun, ibu bapanya membawanya ke Bait Suci. Dia mendengar dengan tenang dan berbicara dengan guru.
- Pergilah tanpa bimbang! – Pegawai istana mencari Tuhan Yesus untuk menyembuhkan anaknya. Penyakit anak pegawai ini disembuhkan kerana iman pegawai ini.
- (Gadis kecil) Bangun dan berdiri – Tuhan Yesus menyembuhkan (menyelamatkan) anak perempuan Yairus yang bertugas di rumah ibadat.
- Anak kecil yang tidak mementingkan diri sendiri – kisah lima roti dan dua ekor ikan.
- Bapa! Aku telah berdosa – anak yang hilang (perumpamaan oleh Tuhan Yesus).
- Bangun! Pulanglah dengan selamat! – Orang yang lumpuh itu sembuh kerana imannya dan kasih keempat-empat rakannya.
- Kisah orang Samaria yang baik – mengasihi dan menolong orang lain (perumpamaan oleh Tuhan Yesus).
- Tuhan Yesus menyucikan Bait Suci – Bait Suci adalah tempat untuk menyembah Tuhan, tetapi semasa Paskah, banyak peniaga jual beli di sana. Tuhan Yesus sangat marah dan Dia menyucikan Bait Suci sebanyak dua kali.