BAB 2 : RAHSIA IBU

Nas  Alkitab : 1 Sam 1-3

Ayat Bacaan : Mrk 12:30-31

Objektif Pengajaran dan Pembelajaran :

  1. Hana dan anaknya Samuel diberkati Tuhan kerana persembahan yang saleh.
  2. Rela bekerja untuk Tuhan.
  3. Tahu mengasihi rumah Tuhan.

 

Ayat Hafalan :

Kasihilah Tuhan Allahmu, dengan segenap hatimu dan dengan segenap jiwamu dan dengan segenap akal budimu dan dengan segenap kekuatanmu. (Mrk 12:30)

 

Persediaan Prapengajaran dan Pembelajaran :

Gambar (Gambar berkaitan boleh disediakan oleh guru.)

 

Doa :

Dalam Nama Tuhan Yesus berdoa. Syukur kepada Tuhan Yesus kerana memberi saya seorang ibu yang baik, yang selalu mendoakan saya supaya saya dalam keadaan damai sejahtera dan bersukacita setiap hari. Saya juga ingin mencontohi ibu, selalu berdoa dan bersyukur kepada-Mu dan menjadi seorang anak baik yang disukai ramai. Haleluya, Amin.

 

Isi Pelajaran :

Hana Memohon Anak

Di negara Israel yang jauh, ada seorang ibu yang bernama Hana. Walaupun dia sudah lama berkahwin, tetapi dia tidak melahirkan anak. Dia teringat: Mengapa tidak memberitahu apa yang saya inginkan kepada Tuhan?

Pada suatu hari, Hana pergi ke bait suci, bait suci adalah tempat untuk menyembah Tuhan pada zaman dahulu, sama seperti gereja kita sekarang. Hana bersujud dengan hati yang sedih dan memberitahu apa yang diinginkan dalam hatinya kepada Tuhan. Setelah lama berdoa, ada seorang imam Eli yang bekerja bagi Tuhan di bait suci melihat Hana dan berkata kepadanya: “Hana, mengapakah engkau mabuk dan berkata-kata sembarangan di sini sedangkan hari masih siang?” Hana menjawab: “Aku tidak mabuk, cuma selalu ditertawakan oleh orang bahawa aku tidak melahirkan anak, maka dengan hati yang sedih aku datang ke Bait Suci untuk berdoa dan memohon Tuhan agar memberikan seorang anak kepadaku.” Setelah imam Eli mendengarnya, dia pun berkata kepada  Hana: “Pergilah dengan selamat, Tuhan pasti mendengar doamu.”

 

Kelahiran Samuel

Tidak lama kemudian, Hana telah melahirkan seorang anak yang montel. Dengan gembira sekali, ibu bapa menamainya “Samuel”, ertinya “aku telah memintanya daripada Tuhan”. Hana sangat menyayangi Samuel dan membuat banyak baju yang cantik untuk dipakai oleh Samuel. Hana selalu menyanyi bersama Samuel dan membimbing Samuel untuk berdoa serta memberitahu keinginan dalam hatinya kepada Tuhan. Hana dan Samuel menjalani kehidupan yang gembira setiap hari.

 

Mempersembahkan Samuel

Samuel semakin membesar, dia tidak lagi minum susu, dan sudah tahu bercakap dan berjalan. Hana menyediakan sedikit baju, keperluan harian dan hadiah, kemudian pergi bersama Samuel ke Bait Suci untuk menyembah dan bersyukur kepada Tuhan. Hana berkata kepada imam Eli: “Engkau masih ingat aku? Akulah perempuan yang datang ke Bait Suci untuk berdoa dan memberitahu keinginanku kepada Tuhan. Tuhan telah mendengar doaku dan anak inilah yang diberi-Nya kepadaku.

Dahulu aku pernah berkata kepada Tuhan bahawa anak ini akan dipersembahkan kepada Tuhan. Dia akan tinggal di Bait Suci dan bekerja untuk Tuhan. Sekarang saya telah membawa anak ini datang.” Kemudian Hana pun pulang ke rumah, manakala Samuel tinggal di Bait Suci untuk membantu imam Eli melakukan kerja suci. Setiap kali apabila Hana datang ke Bait Suci untuk menyembah Tuhan, dia pasti membawa makanan yang sedap dan pakaian yang cantik untuk Samuel. Hana sangat gembira kerana melihat anaknya Samuel telah menjadi pembantu imam Eli yang baik.

 

Samuel Bekerja Di Bait Suci

Cuba adik-adik fikirkan, apakah kerja yang boleh dilakukan Samuel? (Tuliskan pendapat adik-adik di papan tulis) Ya! Walaupun usia Samuel kecil, tetapi dia tahu melakukan banyak kerja dengan rajin dan gembira, jadi semua orang suka kepadanya.

 

Tuhan Yang Benar Memanggil Samuel

Pada suatu malam, setelah Samuel menutup pintu bait suci, dia berbaring di atas katil dan bersedia untuk tidur. Pada waktu itu, dia terdengar ada orang memanggil: “Samuel, Samuel!” Samuel menyangka imam Eli memanggilnya, lalu berlarilah dia kepadanya dan berkata: “Aku di sini, ada apa?” Jawab imam Eli: “Aku tidak memanggil kamu! Segeralah pergi tidur.” Selepas Samuel kembali ke katilnya, dia terdengar lagi suara yang memanggil: “Samuel, Samuel!”

Dia pun segera bangun dan berlari kepada imam Eli dan berkata: “Di sini aku, bukankah engkau yang memanggilku?” Kata imam Eli: “Tidak! Aku tidak memanggilmu, pergilah tidur!” Ah, sungguh menghairankan! Siapakah yang memanggil Samuel? Apabila Samuel hampir tertidur, dia sekali lagi terdengar suara yang memanggil: “Samuel, Samuel!” Samuel pun bangun dengan cepat dan berlari kepada imam Eli. Imam Eli berfikir, pastinya Tuhan di syurga yang telah memanggil Samuel, maka dia memberitahu Samuel: “Pergilah tidur, jika kamu terdengar suara yang memanggil kamu, katakanlah ‘Ya Tuhan! Aku di sini, berbicaralah!’” Samuel ingat akan pesanan imam Eli dan dia pun kembali ke katilnya lalu tidur.

 

Tuhan Yang Benar Berbicara Kepada Samuel

Apabila Samuel terdengar lagi suara yang memanggil: “Samuel, Samuel!” Dia menjawab: “Ya Tuhan! Aku disini, berbicaralah!” Tuhan memberitahu Samuel, disebabkan kedua orang anak imam Eli berbuat jahat tetapi Eli tidak mengajar mereka, maka Tuhan akan menghukum mereka. Samuel tidur sampai pagi lalu membuka pintu Bait Suci. Dia tidak berani memberitahu apa yang Tuhan katakan itu kepada imam Eli. Imam Eli menanya Samuel berulang kali, barulah Samuel memberitahu semuanya itu kepada imam Eli.

 

Samuel Menjadi Seorang Nabi

Samuel telah dewasa, dia sangat mengasihi Bait Suci dan suka bekerja untuk Tuhan. Sebab itulah Tuhan berkenan kepadanya, dan semua orang juga suka kepadanya. Jika ada apa-apa hal, Tuhan akan berfirman kepada Samuel dan dia akan menyampaikan firman Tuhan kepada orang Israel. Maka Samuel telah menjadi nabi orang Israel di mana dia menyampaikan firman Tuhan kepada semua orang Israel.

 

Tahu Untuk Mengasihi Rumah Tuhan

Adik-adik, tahukah kamu gereja adalah rumah siapa? (Biar kanak-kanak memberi pendapat, guru tidak memberi komen) Ya! Setiap orang ada rumahnya sendiri. Tempat tinggal ikan adalah di sungai, tempat tinggal burung adalah di atas pokok, rumah adik-adik paling meriah sebab ada ibu bapa yang tersayang, abang,  kakak dan adik-adik yang comel. Adakah kamu suka rumah sendiri? (Biar kanak-kanak mengemukakan pendapat).

Setiap adik sukakan rumah sendiri, apabila tamat waktu sekolah, kita akan cepat-cepat pulang ke rumah. Tidak kira ke mana kita pergi, kita tidak akan melupakannya, dan hati kita sentiasa merindui ibu bapa, abang, kakak atau adik-adik. Jika rumah kita kotor, kita akan mengemas dan membersihkannya, menampal gambar-gambar yang cantik pada dinding supaya rumah kita kelihatan indah. Mengapakah adik-adik menyayangi rumah sendiri? (Tulis pendapat kanak-kanak pada papan tulis). Sebab kita adalah ahli keluarga, oleh itu, kita selalu mengingati rumah kita dan ahli-ahli keluarga, prihatin terhadap hal-hal dalam rumah dan rela membuat kerja di rumah sendiri. Begitu juga, gereja adalah rumah Tuhan dan kita adalah anak-anak Tuhan. Injil Markus 12:30 memberitahu kita: (Sila buka Alkitab, semua murid membacanya). Guru berpendapat, jika kita mengasihi Tuhan dan gereja, maka kita harus : (Tuliskan yang berikut dan baca bersama)

  1. Sentiasa mengingati rumah Tuhan.
  2. Rindu kepada guru-guru dan adik-adik di gereja.
  3. Prihatin terhadap hal-hal gereja.
  4. Rela bekerja untuk gereja.
  5. Sentiasa mendoakan gereja.

(Perbincangan bersama: Bagaimana mencapai lima perkara di atas). Adik-adik, asalkan kita melakukannya dengan segenap kekuatan, kita pasti akan diberkati Tuhan sama seperti Samuel.

 

Sesi Aktiviti :

  1. Nama aktiviti: Rahsia kotak kecil.
  2. Objektif aktiviti: Mendorong adik-adik agar lebih mengenali isi kandungan cerita melalui aktiviti yang menarik.
  3. Persediaan sebelum aktiviti: Beberapa kotak kecil (buat sendiri mengikut jumlah soalan), kad soalan.
  4. Isi kandungan aktiviti:
    1. Paparkan soalan di papan tulis.
    2. Sembunyikan kotak kecil yang berisi jawapan di sekitar kawasan gereja, contoh: Semak bunga atau sudut dinding.
    3. Apabila kiraan masa bermula, adik-adik diminta mencari kotak kecil di luar kelas. Sesiapa yang menjumpainya perlu menuliskan jawapan di papan tulis di bawah soalan yang  berkenaan.
    4. Peserta yang menjawab dengan betul akan mendapat hadiah.
    5. Perhatian: Jika soalan tidak mencukupi, tambahkan isi kandungan dalam bab pertama. gambar lampiran: (Pelan untuk membuat kotak kecil)

Soalan :

  1. Siapakah ibu Samuel?
  2. Di manakah ibu Samuel berdoa?
  3. Untuk siapakah Samuel bekerja di bait suci?
  4. Apakah pekerjaan Samuel setelah dewasa?