BAB 2: SINGA DAN ABDI ALLAH
Mesej Untuk Guru:
Guru yang dikasihi, dalam bab yang lepas kita telah membincangkan tentang seorang hamba Tuhan yang menyampaikan perintah Tuhan. Dia menyampaikan nubuat Tuhan dengan beraninya di hadapan Yerobeam. Malangnya, Yerobeam tidak meneliti perintah yang disampaikan daripada Tuhan. Sebaliknya dia disesatkan oleh kata-kata seorang nabi tua sehingga menyebabkannya kehilangan nyawa. Hal ini sungguh menyedihkan. Dalam bab ini, kita akan menggunakan peristiwa ini sebagai peringatan rohani kita terutamanya pada akhir zaman yang penuh dengan pelbagai aliran agama. Ini disebabkan semakin ramai ‘pastor’ yang muncul daripada aliran-aliran agama yang lain dan mengaku ada penglihatan juga. Mereka ini mahir menggunakan penglihatan untuk menarik orang ramai percaya kepada Tuhan. Sama seperti orang yang menilik nasib di tokong atau mencari jalan menghilangkan nasib buruk mereka. Seperti yang ditulis dalam Matius 24:11, “Banyak nabi palsu akan muncul dan menyesatkan banyak orang.” Justeru, jika kita tidak meneliti dan berjaga-jaga dengan segala “mukjizat” ini, maka kita akan sama seperti hamba Tuhan yang telah disesatkan oleh kata-kata nabi tua ini. Dengan mudah sahaja kita akan tersungkur dan terjatuh sehingga kehilangan nyawa rohani. Kita sememangnya perlu lebih berwaspada!
Nas Alkitab: 1 Raja-Raja 13:11 – fasal 14
Objektif Pengajaran dan Pembelajaran:
Tahu berpegang teguh kepada perintah Alkitab dan tidak percaya kepada khabar angin.
Ayat Hafalan:
Kuasailah dirimu dan jadilah tenang, supaya kamu dapat berdoa (1 Petrus 4:7)
Doa:
Dalam nama Tuhan Yesus berdoa. Bapa sorga yang dikasihi, Firman-Mu terdapat dalam Alkitab, juga terdapat dalam cerita yang cikgu sampaikan, maka aku akan tumpukan perhatian dalam kelas dan mengingati setiap pengajaran dengan jelas. Kerana jika aku mendengar Firman-Mu, maka Engkau akan menjagaku, serta memberkati aku. Syukur kepada Tuhan, Amin.
Isi Pelajaran:
Pendahuluan
Adik-adik, pada minggu yang lalu, cikgu telah menceritakan tentang seorang raja yang tidak mendengar perintah. Dia membuat lembu emas kemudian menipu umat Israel bahawa itulah tuhan yang memimpin mereka keluar dari Mesir. Raja itu menghulurkan tangannya dari atas mezbah terhadap hamba Tuhan lalu tangannya terus menjadi seperti dahan pohon yang keras dan kering sehingga tidak dapat ditarik kembali. Siapakah raja ini? Ya! Raja Yerobeam. Raja Yerobeam terlalu meninggikan diri maka Tuhan mengutus seorang hamba Tuhan untuk mengingatkan dia: Tuhan adalah Maha Kuasa! Pada hari ini, cikgu akan terus ceritakan mengenai hamba Tuhan ini. Cerita ini menarik sekali, mari dengar dengan teliti!
Perintah Tuhan
Raja Yerobeam berasa takut sekali kerana tangannya telah menjadi kering dan keras (guru menghulurkan tangan, tunjukkan keadaan seakan-akan tidak boleh bergerak). Lalu Raja Yerobeam meminta hamba Tuhan berdoa untuknya dan memohon Tuhan untuk mengampuninya supaya dia dipulihkan. Maka, setelah hamba Tuhan melihat raja sudah mengakui dosanya, dia pun berdoa untuknya dan tangan raja pun pulih seperti sedia kala (memutarkan tangan, membuka dan menghayunkan tangan). Apabila Raja Yerobeam melihat tangannya sudah sembuh, dia berasa gembira sekali lalu dia menjemput hamba Tuhan itu kembali ke istana untuk makan bersama-sama. Malah dia juga ingin memberikan hadiah kepada hamba Tuhan tersebut. Hamba Tuhan itu pun berkata : “Terima kasih Tuanku, tetapi aku tidak boleh pergi bersamamu kerana Tuhan berfirman kepadaku, jangan makan roti atau minum air di Betel, dan jangan kembali melalui jalan yang telah ditempuh itu.” Lalu hamba Tuhan pergi melalui jalan lain untuk kembali ke rumahnya.
Nabi Tua Yang Berbohong
Pada ketika itu, ada seorang nabi tua yang tinggal di Betel. Dia juga merupakan seorang yang bekerja untuk Tuhan dahulu. Pada suatu hari, anak nabi tua pulang ke rumah lalu menceritakan peristiwa mengenai hamba Tuhan yang menyampaikan perintah Tuhan kepada Raja Yerobeam serta peristiwa mengenai tangan raja yang sembuh daripada kekejangan. Setelah nabi tua itu mendengar, dia berasa hamba Tuhan ini memang berani sekali dan ingin menjadi kawannya. Maka dengan segera dia menunggang keledai untuk mengejar hamba Tuhan itu. Tuktak! tuktak! tuktak! (Bunyi tapak kaki keldai). Akhirnya nabi tua terjumpa hamba Tuhan itu sedang berehat di bawah sebuah pohon besar. Lalu dia pun mendekatinya dan menjemputnya untuk makan roti bersama di rumahnya. Tetapi hamba Tuhan menjawabnya: “Aku tidak dapat kembali bersama-sama engkau, kerana Tuhan memerintahkan aku, jangan makan roti dan minum air di Betel.” Namun tidak disangka, nabi tua ini telah berbohong kepada hamba Tuhan dengan berkata: “Aku pun seorang nabi juga seperti engkau, atas perintah Tuhan seorang malaikat berkata kepadaku untuk membawa engkau bersama-sama ke rumahku untuk makan roti dan minum air!”
Hamba Tuhan Tidak Mendengar Perintah Tuhan
Hamba Tuhan telah melupakan apa yang telah diperintahkan Tuhan. Dia juga tidak berdoa kepada Tuhan untuk bertanya adakah yang disampaikan nabi tua itu benar atau tidak. Dalam keadaan kabur dan keliru, dia mengikuti nabi tua itu kembali ke rumahnya untuk makan roti dan minum air. Sesudah makan, nabi tua pun menghantar hamba Tuhan kembali dengan menunggang keledai. Keledai yang ditunggang oleh hamba Tuhan bertembung dengan seekor singa. Tiba-tiba singa tersebut menyerang hamba Tuhan itu dan menerkamnya sehingga mati. Aduhai, sungguh menakutkan! Apa yang menghairankan ialah setelah hamba Tuhan dibunuh singa itu, ia tidak memakannya (singa menyerang dan menerkam seorang manusia kerana ia diserang atau lapar. Biasanya singa akan membunuh kemudian segera memakannya tanpa menunggu lama). Apa yang menghairankan lagi ialah singa itu tidak menerkam keledainya, sedangkan keledai itu berdiri di samping mayat hamba Tuhan sahaja (Guru menunjukkan aksi berdiri tegak). Keledai yang melihat hamba Tuhan mati diterkam singa tidak melarikan diri sebaliknya ia juga berdiri di samping mayat hamba Tuhan sama seperti singa itu. (Guru sekali lagi menunjukkan aksi berdiri tegak). Adik-adik, adakah kalian berasa hairan? Seolah-olah mereka sedang menunggu sesuatu! Apakah yang sedang mereka tunggu? Rupa-rupanya mereka berdiri di situ kerana hendak menunggu nabi tua untuk datang.
Kita teruskan cerita. Ketika itu, ada seorang yang lalu di situ dan melihat keadaan itu. Dia berasa hairan sekali! Maka dia kembali ke kota lalu berteriakan: “Marilah kamu lihat! Marilah kamu lihat!”. Lantaran daripada itu nabi tua pun terdengar mengenai kejadian tersebut. Ketika hal itu didengar oleh nabi tua itu, dia berasa cemas sekali lalu menunggang keledai ke tempat mayat hamba Tuhan itu untuk melihat keadaannya. Dari jauh lagi sudah kelihatan seekor singa sedang berdiri di situ (Guru menunjukkan aksi berdiri tegak) dan di sebelahnya juga kelihatan keledai yang sedang berdiri (Guru sekali lagi menunjukkan aksi berdiri tegak). Singa dan keledai hanya berdiri dan tidak melakukan apa-apa selain menjaga mayat hamba Tuhan tersebut. Nabi tua pun mendekati mayat itu. Dia berasa sangat sedih kerana berbohong sehingga menyebabkan kematian hamba Tuhan. Lalu, dia pun mengangkat mayat hamba Tuhan itu lalu meletakkan mayatnya di atas keledai serta membawanya kembali ke Betel untuk dikuburkan.
Kesimpulan
Adik-adik selesai sudah cerita kita akhirnya. Adik-adik, bukankah ini sangat menghairankan? Daripada pengajaran cerita ini, adakah kita boleh melupakan perintah Tuhan? Tidak! Tentu sekali tidak boleh. Ini disebabkan kita adalah anak domba Tuhan. Pada masa kelak kita juga akan menjadi pekerja Tuhan, sama seperti hamba Tuhan. Kita juga merupakan orang yang perlu bekerja bagi Tuhan. Oleh itu, kita haruslah ingat dengan jelas apa yang dikatakan oleh Tuhan dalam Alkitab iaitu jangan sesekali kita diperdaya oleh orang lain. Mereka ini sama seperti nabi tua itu dan berkata kepada kita: “Aku juga seorang Kristian. Percayalah kamu kepada aku! Tuhan yang menyuruh supaya kamu mengikuti aku!”
Jikalau kamu berhadapan dengan keadaan begini, adakah kamu akan percaya kepada mereka? (Biarkan kanak-kanak yang mengutarakan pendapat). Betul! Kita mesti renungkan dahulu, dan cuba bertanya kepada ibu bapa di rumah, atau buka Alkitab dan kaji dengan teliti. Jangan sesekali sama seperti hamba Tuhan tersebut yang melupakan perintah Tuhan sejurus mendengar kata-kata orang lain. Akhirnya dia dianiayai oleh nabi palsu. Minggu hadapan, cikgu akan berkongsi tentang dua mukjizat. Yang satu ialah burung gagak yang membawa makanan dan yang satu lagi ialah minyak dan tepung yang tidak akan habis. Kamu mesti datang ke kelas tepat pada masanya! Kita jumpa minggu depan!