BAB 2 : TAWANAN MENJADI PENGUASA
Mesej Untuk Guru :
Kepada guru yang dikasihi, lanjutan dari isi pelajaran sebelumnya, bermulalah pengalaman Yusuf yang luar biasa, dari seorang hamba → tawanan → menjadi penguasa. Ini adalah fokus pelajaran hari ini, dan dipercayai bahawa peristiwa yang diceritakan ini adalah sangat hidup dan menarik. Harap anda membaca ayat rujukan Kitab Suci ini dengan teliti, dan menyampaikan rancangan Tuhan yang ajaib ini kepada adik-adik dengan selengkapnya. Selain itu, jangan lupa mendorong adik-adik untuk belajar daripada Yusuf, iaitu patuh sepenuhnya dan tidak bersungut-sungut. Asalkan menunggu dengan sabar dan bersandar kepada Tuhan dengan sepenuhnya, barulah Tuhan dapat menyempurnakan kehendak-Nya yang indah.
Nas Alkitab : Kejadian 39-41
Objektif Pengajaran dan Pembelajaran :
Mengetahui bahawa segala sesuatu mempunyai kehendak Tuhan yang indah.
Ayat Hafalan :
Karena itu muliakanlah Allah dengan tubuhmu! (1 Korintus 6 :20)
Persediaan Prapengajaran dan Pembelajaran :
Gambar (Gambar yang berkaitan disediakan oleh guru.)
Doa :
Dalam nama Tuhan Yesus berdoa. Syukur atas pimpinan Tuhan Yesus, kami dapat datang ke gereja dengan gembira, dan mengikuti kelas kanak-kanak. Saya ingin menjadi anak yang Engkau suka, mendengar kata-kata ibu dan bapa di rumah dan belajar untuk saling mengasihi dengan abang, kakak dan adik-adik. Saya juga tahu bahawa Tuhan Yesus, Engkau mengasihi saya dan menyertai saya selama-lamanya, sama seperti Engkau mengasihi Yusuf. Saya akan sentiasa memuji dan mengucap syukur kepada Engkau. Haleluya. Amin!
Isi Pelajaran :
Pendahuluan
Adik-adik, siapa yang tidak dimarahi ibu bapa di rumah pada minggu ini, sila angkat tangan. Wah, ia bukan senang, kan? Berikan mereka tepukan tangan sebagai dorongan. Baiklah, dalam minggu ini, jika anda telah mengadu kepada ibu bapa anda, sila angkat tangan. Akibatnya, adakah orang yang kamu adu itu berasa sangat marah? Jadi adakah anda suka diadu oleh adik-beradik sendiri? (Biarkan adik-adik memberikan pendapat) Walaupun berniat baik, namun dapatkah aduan menjadikan orang lain berubah menjadi baik? (Tidak). Sama seperti Yusuf yang baik hati, kerana dia berharap agar abang-abangnya tidak berbuat jahat lalu dia membuat aduan, ini mengakibatkan abang-abangnya benci kepadanya, sehinggakan menjualnya dan kemudian menipu ayah mereka, Yakub, bahawa Yusuf telah dimakan oleh binatang liar. Hal ini amat menyedihkan hati ayahnya.
Oleh itu, jika anda mendapati bahawa seseorang telah melakukan sesuatu kesalahan, anda harus memberitahunya dengan berani, mengingatkannya, berdoa untuknya dan jangan lagi membuat aduan, supaya orang lain tidak akan membenci anda dan mereka juga akan mengucapkan terima kasih kepadamu. Betul tak? Seterusnya, kita akan melihat apa yang terjadi pada Yusuf di rumah Potifar, setelah dia dijual sebagai hamba oleh abang-abangnya.
Yusuf Dipenjarakan
Yusuf yang malang! Dia sangat merindui ayahnya dan teringin sekali pulang ke rumah. Tetapi perjalanannya terlalu jauh menyebabkan dia tidak dapat pulang. Jadi dia harus sering berdoa dan memohon Tuhan membantunya. Yusuf berkelakuan baik, pintar, tampan dan sopan. Tambahan pula dia percaya dan bersandar kepada Tuhan dan Tuhan menyertainya sehingga dia dapat melakukan kerja dengan cepat dan baik. Kerana Yusuf, Tuhan telah memberkati keluarga tuannya, Potifar dan menjadikan mereka lebih kaya. Potifar, tuannya sangat menyukainya, jadi dia menyerahkan semua perkara, besar mahupun kecil di rumah itu kepada Yusuf.
Pada suatu hari, isteri tuannya memanggil Yusuf untuk datang dan tidur bersamanya. Adik-adik, isteri tuannya merupakan isteri kepada Potifar, mana boleh tidur dengannya! Yusuf ingat akan perintah Tuhan dan kata-kata ayahnya: “Tidak boleh berbuat dosa.” Oleh itu dia tidak mendengarkan kata-kata isteri tuannya. Kemudian dia berkata kepada isteri tuannya, “Bagaimanakah mungkin aku melakukan kejahatan yang besar ini dan berbuat dosa terhadap Tuhan?” Ketika isteri tuannya mendengarnya, dia sangat marah sehingga dia berlari kepada Potifar dan memberitahu Potifar bahawa Yusuf membuli dia, oleh sebab itu Yusuf dipenjarakan oleh tuannya. Walaupun Yusuf dianiaya dan berasa sedih, tetapi dia percaya kepada Tuhan dengan sepenuh hati, berpegang pada firman Tuhan, tidak marah atau bersungut. Jadi Tuhan menjaga Yusuf dan menjadikannya orang yang paling disukai di penjara.
Mimpi Firaun
Pada suatu hari, Firaun telah mendapat dua mimpi. Dalam mimpinya, ternampak dari sungai keluar tujuh ekor lembu yang cantik dan gemuk badannya, kemudian datanglah juga tujuh ekor lembu yang hodoh dan kurus badannya. Tiba-tiba tujuh ekor lembu kurus tersebut telah memakan tujuh ekor lembu yang gemuk itu. Selepas itu, Firaun bermimpi lagi tentang satu tangkai yang mempunyai tujuh bulir gandum yang bernas dan baik dan kemudian tumbuh satu tangkai yang mempunyai tujuh bulir gandum yang kurus dan layu di sebelahnya. Tujuh bulir gandum yang kurus dan layu menelan tujuh bulir gandum yang bernas dan baik. Ketika Firaun terbangun dia berasa sangat gelisah kerana tiada orang yang tahu makna mimpi itu.
Ketika dia tahu bahawa Yusuf dapat menerangkan erti mimpi itu dengan pertolongan Tuhan yang benar, dia berasa sangat gembira. Dia segera meminta seseorang membawa Yusuf keluar dari penjara. Yusuf mengemaskan pakaian, rambut dan wajahnya lalu segera menghadap Firaun. Firaun berkata kepada Yusuf, “Aku telah bermimpi, dan tiada seorang pun yang dapat memberi penjelasan mimpi, tetapi dengar kata kamu dapat, adakah itu benar?” Yusuf berkata, “Sekali-kali bukan aku yang dapat memberi penjelasan mimpi itu, melainkan Tuhan yang Maha Mengetahui yang memberitakan kepadaku. Izinkan saya mengatakannya.”
Yusuf Menjadi Penguasa
Maka Yusuf memberitahu raja bahawa akan datang tujuh tahun kelimpahan di Tanah Mesir, iaitu semua tanaman yang ditanam oleh para petani akan tumbuh dengan lebih banyak dan lebih baik, jadi banyak gudang perlu dibina untuk menyimpan makanan-makanan ini. Tetapi selepas tujuh tahun berlalu, hujan tidak lagi diturunkan. Pada masa itu, tanaman tanah akan layu kerana tidak ada air. Sekiranya semua makanan di gudang habis dimakan pada waktu itu, orang di seluruh negara akan mati kelaparan.
Ketika Firaun mendengar hal ini, berkatalah Firaun kepada para pegawainya, “Mungkinkah kita mendapat orang seperti ini, seorang yang penuh dengan roh Tuhan? Kata Firaun kepada Yusuf: “Oleh kerana Tuhan menyertaimu, tidaklah ada orang yang lebih bijaksana dan berkebolehan daripada engkau. Oleh itu, aku serahkan semua perkara di Mesir kepadamu, supaya engaku dapat menguruskannya.” Maka Firaun Mesir menanggalkan cincin yang terukir nama Firaun dan memberikannya kepada Yusuf, lalu diberikannyalah banyak pakaian yang cantik dan kalung emas. Demikianlah Yusuf dilantik menjadi penguasa atas seluruh Tanah Mesir dan menolong Firaun menguruskan semua urusan negara itu. Orang-orang di seluruh negara harus patuh kepadanya! Sejak hari itu, Yusuf berusaha menjadi pembantu raja yang baik dan bertanggungjawab.
Kesimpulan
Adik-adik, cerita Yusuf hari ini sampai di sini. Dapatkah kita mencontohi Yusuf yang menyimpan kata-kata Tuhan di dalam hati kita, berusaha melakukan apa yang betul dan tidak melakukan perkara jahat? Dapatkah kita sama seperti Yusuf yang memberitahu dan meminta bantuan Tuhan tidak kira pada waktu gembira atau sedih? Cuba anda perhatikan, disebabkan oleh perbuatan baik Yusuf, maka Tuhan memberkati dan menghiburkannya. Tidak kira apa yang terjadi kepadanya, Tuhan tetap menyertainya, dari seorang hamba dia menjadi penguasa di Mesir, dari seorang yang biasa tiba-tiba menjadi penguasa yang paling dihormati dan berwibawa di negara tersebut. Bagaimana pula dengan abang-abangnya yang menjualkan Yusuf ke Mesir sebagai hamba? Apakah reaksi mereka sekiranya melihat adik lelaki mereka, Yusuf yang telah menjadi penguasa Mesir, dalam keadaan yang megah dan agung? Pada masa yang sama, jika Yusuf bertemu dengan abang-abangnya pada masa ini, bagaimanakah dia akan melayan mereka? Pada minggu depan, cikgu akan sambung menceritakan kisah Yusuf kepada kamu.