Mesej Untuk Guru :
Kepada guru yang dikasihi, nabi Bileam dalam buku Bilangan merupakan tokoh klasik sebagai seorang manusia yang “tamak” dan “hati dibutakan oleh harta kekayaan”. Walaupun dia bertanya cara penyelesaian daripada Tuhan, tetapi sebenarnya hatinya sudah digodai oleh harta kekayaan. Tetapi Tuhan mempunyai cara-Nya yang istimewa dan tiada seorang pun yang dapat melepaskan diri daripada kehendak yang ditetapkan Tuhan. Dalam bab ini muncul seekor keledai yang tahu mengucapkan kata-kata manusia, serta perbualan antara Bileam dengan malaikat dan keledai. Cerita ini pasti akan meninggalkan kesan yang mendalam dalam ingatan adik-adik. Akar segala kejahatan ialah cinta wang. Seseorang tidak dapat mengabdi kepada Tuhan dan kepada Mamon. Mari kita merenungkan sekali lagi bersama-sama dengan adik-adik!
Nas Alkitab : Bilangan fasal 22-25
Objektif Pengajaran dan Pembelajaran :
- Mengetahui bahawa Bileam diajar oleh Tuhan kerana tamak.
- Mengetahui bahawa jika Tuhan berkenan, keledai juga dapat mengucapkan kata-kata manusia.
- Supaya kanak-kanak tahu bahawa mereka tidak boleh mengambil barang-barang yang tidak sepatutnya diambil.
Ayat Hafalan :
Jika hal itu jahat di mata-Mu, aku mau pulang. (Bilangan 22:34)
Persediaan Prapengajaran dan Pembelajaran :
- Gambar (Gambar yang berkaitan disediakan oleh guru.)
- Buku atau gambar yang memperkenalkan keledai.
- Barang-barang kemas yang berkilauan dalam kotak atau beg.
Doa :
Dalam nama Tuhan Yesus berdoa: Bapa syurga yang pengasih, kami tahu bahawa Engkau tidak berkenan kepada mulut yang berdusta. Engkau berkenan untuk kami mengucapkan kata-kata berkat, kata-kata yang Engkau suka mendengar dan kata-kata yang membantu orang lain. Kami sudi untuk menjadi seorang anak yang taat. Haleluya. Amin.
Isi Pelajaran :
Pendahuluan
Adik-adik masih ingat lagi tentang 12 orang pengintai dalam pelajaran yang lalu? Ada berapakah pengintai yang jahat dan berapakah pengintai yang baik? Siapakah nama pengintai- pengintai yang baik? Apakah berita buruk yang disampaikan oleh pengintip yang jahat dan apakah kesudahan mereka? (Pengintai yang jahat mengatakan bahawa orang yang tinggal di tanah Kanaan itu tinggi dan kuat. Oleh itu orang Israel tidak mungkin dapat mengalahkan mereka. Perbuatan mereka menyebabkan orang Israel kehilangan iman dan akibatnya mereka dihukum oleh Tuhan lalu mati.)
Apakah berita baik yang dibawa oleh pengintai yang baik dan apakah kesudahannya? (Pengintai yang baik menggalakkan orang Israel bersandar kepada Tuhan dengan berani. Tuhan memberkati mereka berdua untuk memasuki tanah Kanaan). Wah, adik-adik semua hebat-hebat belaka! Sekarang cikgu akan mula menyampaikan sebuah cerita yang menarik.
Mula-mula saya mahu bertanya kepada anda semua, adakah kamu memelihara haiwan peliharaan di rumah? Apakah bunyi yang dikeluarkan oleh haiwan-haiwan peliharaan ini? (Berikan komen). Pernahkah kamu melihat keldai? (Melihat gambar seekor keldai). Pernahkah kamu mendengar bunyi yang dikeluarkan oleh keldai? Pada hari ini kita akan mendengar cerita mengenai seekor keledai yang boleh mengucapkan kata-kata manusia. Adakah adik-adik percaya atau tidak? Siapakah yang membolehkan keldai ini mengucapkan kata-kata manusia?
Raja Moab Bertemu Dengan Bileam
Ada seorang nabi yang bernama Bileam, dia merupakan nabi bangsa lain. Dia adalah seperti ahli-ahli sihir bagi raja Firaun di Mesir: Kadang-kala, apabila dia memberkati seseorang, maka orang tersebut akan diberkati; Apabila dia mengutuk seseorang, maka orang itu akan dikutuk, sehingga musuh orang Israel, iaitu raja Moab, juga tahu akan nama Bileam. Pada suatu hari, raja Moab mengutus orang untuk mencari Bileam dan berkata: “Sila mengucapkan kata-kata buruk tentang orang Israel dan mengutuki mereka. Jika kamu sudi, aku akan mengaruniakan banyak wang dan hadiah bagi kamu.” (Guru sila bercerita sambil menunjukkan barang-barang kemas yang berkilauan) Setelah nabi Bileam melihat barang-barang kemas itu, matanya asyik menatap barang-barang kemas tersebut dan hatinya amat menyukainya! Maka dia bertanya kepada TUHAN dan berkata: “Bolehkah saya mengambil wang ini untuk mengutuk orang Israel?” TUHAN berfirman: ”Kamu-Tidak-Boleh (Sila tegaskannya) pergi mengutuk umat Israel, kerana mereka merupakan umat yang diberkati.” Bileam terpaksa pergi dan memberitahu pembesar raja Moab: “TUHAN tidak membenarkan saya pergi.” Tetapi raja Moab mengutus orang untuk membawa lebih banyak wang dan hadiah demi memohon Bileam supaya mengutuk umat Israel. (Guru boleh mengambil lebih banyak barang-barang kemas). Adik-adik, jikalau kamu adalah Bileam, adakah kamu amat mengingini harta itu? Akhirnya, selepas Bileam melihat harta yang begitu banyak, timbul perasaan tamak dalam hatinya. Dia berkata kepada pembesar: “Janganlah kamu balik dahulu, saya bertanya kepada TUHAN sekali lagi.” Bileam sangat mengharapkan TUHAN membenarkannya pergi!
Bileam Tiga Kali Dilarang
Tuhan benar melihat Bileam itu tamak, tentulah Dia sangat tidak gembira, tetapi Bileam telah mejadi keliru kerana dia ingin mendapatkan hadiah tersebut, maka Tuhan berfirman: “Memandangkan orang-orang itu sudah datang untuk menjemput kamu, bangunlah, pergilah bersama-sama dengan mereka. Tetapi kamu harus buat mengikut firman-Ku.” Pada keesokan pagi, Bileam dengan hati yang sukacita menunggang keledai (Tunjukkan gambar) dan bertolak bersama-sama dengan utusan-utusan raja. Tuhan benar sangat murka apabila melihat Bileam yang begitu tamak! Maka Tuhan telah mengutus seorang malaikat yang mengambil pedang dan berdiri di tengah jalan (Bileam tidak dapat melihatnya) untuk melarang Bileam melalui jalan itu. Keledai itu berjalan dan berjalan, tiba-tiba ia melihat malaikat yang mengambil pedang berdiri di hadapan, dia terus berlari masuk ke ladang. Bileam pun menghalau keledai itu kembali ke jalan yang sepatutnya dan meneruskan perjalanan. Semakin berjalan semakin sempit jalan itu, tetapi malaikat itu masih berdiri di tengah jalan. Kerana adanya malaikat tersebut, keledai itu tidak berani melintasnya dan terpaksa berjalan terus dengan mengeser tembok, dan ia telah terhimpit kaki Bileam pada tembok, sakitnya! Bileam sangat marah dan memukul keledai itu. Kemudian dia terus berjalan ke hadapan, semakin berjalan semakin sempit jalan itu. Akhirnya jalan itu sempit sehingga keledai itu tidak dapat berjalan melaluinya dan ia terpaksa berhenti lalu meniarap di atas jalan. Bileam sangat marah sekali dan dia memukul keledai itu dengan kuat.
Keledai Membuka Mulut dan Berkata-kata
Keledai itu kesakitan dipukul! Tuhan mengarahkan keledai itu untuk memberitahu Bileam: “Ya tuan, apakah kesalahanku terhadapmu? Mengapakah kamu begitu garang?” Pada waktu ini, barulah Tuhan membiarkan Bileam untuk melihat malaikat yang sedang memegang pedang dan berdiri di tengah jalan. Bileam terkejut dan segera melutut di atas tanah. Malaikat berfirman: “Jika bukan keledai itu yang menyelamatkan kamu, maka Aku telah membunuh kamu awal-awal lagi.” Bileam berkata: ”Aku telah berdosa, kerana aku tidak mengetahui bahawa Engkau ini berdiri di jalan menentang aku. Maka sekarang, jika Engkau tidak berkenan aku bertemu dengan raja, aku akan pulang rumah.” Malaikat berfirman: “Pergilah bersama-sama dengan orang-orang itu, tetapi apa yang Kuingin kamu katakan, kamu harus mengatakannya. Tidak boleh sembarangan berucap!”
Janganlah Tamak
Apabila Bileam menghadap raja, dia tidak berani berkata-kata dengan sesuka hati mengikut kehendaknya sendiri. Dia dengan taat memberkati orang Israel mengikut apa yang diperintahkan oleh Tuhan kepadanya. Dia telah memberkati orang Israel dengan banyak kata-kata yang baik. Maka raja Moab sangat murka! Raja itu berfirman kepada Bileam: “Hei! Aku mengarahkan kamu untuk mengutuk orang Israel, tetapi kamu telah memberkati mereka sebanyak tiga kali pula. Aku tidak akan menghadiahkan sebarang wang atau hadiah kepadamu.” Maka raja Moab pun menghalau nabi Bileam dari situ.
Kesimpulan
Adik-adik! Nabi Bileam itu pada mulanya adalah tamak. Dia hanya ingin mendapatkan wang dan hadiah daripada Raja Moab. Tetapi Tuhan benar tahu apa yang difikirkan olehnya, dan sengaja membuka mulut keledai dan mengutus malaikat yang membawa pedang untuk mengajarnya. Jadi apakah itu ketamakan? (Biar kanak-kanak memberi pendapat) Ya, ketamakan itu adalah keinginan untuk mendapatkan banyak barang orang lain. Jadi, jika ada orang yang ingin menghadiahkan kamu banyak mainan, banyak duit, dan akan membawa kamu bermain di taman permainan kanak-kanak, tetapi mereka ingin kamu mengikut mereka pergi menyembah berhala dan makan kuih darah babi, adakah kamu akan pergi? Kamu haruslah berfikir masak-masak! Minggu depan akan disampaikan peristiwa tentang satu tanda mujizat di mana aliran air sungai dihentikan. Adakah orang Israel berdepan dengan sebarang keberbahayaan sekali lagi? Kamu akan tahu sekiranya kamu hadir.