Nas Alkitab : 2 Tawarikh Fasal 26
Objektif Pengajaran dan Pembelajaran :
- Mengetahui bahawa setelah Raja Uzia kuat dan berjaya, dia gagal kerana tinggi hati.
- Dapat melakukan apa yang benar di mata Tuhan: (3) Dapat mengatakan hal-hal yang tidak dikenan Tuhan.
Ayat Hafalan :
Tuhan mengajar orang yang dikasihiNya. (Ibr 12:6)
Persediaan Prapengajaran dan Pembelajaran :
- Kad tulisan
Doa :
Dalam nama Tuhan Yesus berdoa, Bapa syurrga yang Pengasih, Engkau mengasihi kami dan memelihara kami. Engkau ialah Tuhan yang adil. Engkau akan mengajar anak yang tidak mendengar perkataan-Mu. Engkau berharap dia bertaubat dan tidak melakukan kejahatan lagi. Kiranya Tuhan membantu kami, agar kami dapat mendengar perkataan-Mu, berjaga-jaga supaya tidak melakukan kejahatan, dengan bersungguh-sungguh melakukan hal-hal yang diperkenankan-Mu, untuk memuliakan nama-Mu yang kudus. Haleluya. Amin.
Isi Pelajaran :
Pada zaman dahulu, terdapat sejenis penyakit yang sangat menakutkan, iaitu penyakit kusta. Penyakit ini akan menular dan menjangkiti orang lain. Asal saja orang tersentuh pada benda-benda kepunyaan pesakit kusta, orang tersebut berkemungkinan akan dijangkiti penyakit itu. Orang yang berpenyakit kusta, jari tangan, jari kaki bahkan hidung dan telinga akan menjadi buruk dan akhirnya tidak wujud lagi. Maka, jika seseorang dijangkiti penyakit kusta, dia akan tinggal di hospital untuk seumur hidup dan tidak dapat pulang ke rumah buat selama-lamanya. Pada zaman dahulu, orang yang berpenyakit kusta ini lebih kasihan. Pada masa itu belum lagi ditemui ubat yang dapat mengubatinya. Maka, pesakit kusta itu terpaksa diusir, tinggal di tempat terbiar yang tidak ada orang tinggal dan hidup berkelana. Jika dijumpai orang lain, maka pesakit kusta itu akan dilempari dengan batu seperti mengusir anjing liar. Sememangnya sangat kasihan sekali.
Pada hari ini, guru akan menceritakan seorang raja yang berpenyakit kusta. Pada masa yang lalu, kita pernah mendengar tentang seorang anak kecil berumur tujuh tahun yang telah menjadi raja. Siapakah namanya? (Yoas) (Tunjukkan kad tulisan) Apakah raja kecil ini baik? Dia adalah seorang raja yang mengasihi Tuhan. Dia juga merupakan seorang raja yang pertama membuat peti persembahan. Dia memperbaiki Bait Suci yang sudah rosak dan usang, memimpin umat untuk menyembah Tuhan. Setelah Raja Yoas meninggal dunia, anaknya yang menggantikannya menjadi raja. Setelah raja tua, anaknya lagi yang menggantikannya menjadi raja. Raja ini bernama “Uzia”. (Tunjukkan kad tulisan). Adik-adik bacanya sebanyak 3 kali. Uzia merupakan cucu kepada Yoas. Dia adalah seorang raja yang bijak dan cekap. Dia belajar dari datuknya, Raja Yoas untuk bersungguh-sungguh menyembah Tuhan. “Melakukan apa yang benar di mata Tuhan.” (Tunjukkan kad tulisan). Adik-adik bacanya sebanyak 2 kali. Disebabkan dia mendengar perintah Tuhan, maka Tuhan membantunya dan memberkatinya.
Ketika Raja Uzia memimpin pasukan tenteranya untuk berperang dengan orang Filistin, Tuhan membantunya sehingga dia memperoleh kemenangan. Kemudian dia berperang lagi dengan negara lain dan setiap kali dia memperoleh kemenangan. Ini menyebabkan negara-negara yang berdekatan itu tidak berani menyerang negara Yehuda. Sebaliknya mereka bimbang negara Yehuda akan menyerang mereka. Oleh itu, mereka berebut mahu membawa hadiah yang bernilai untuk Raja Uzia sebagai tanda berbaik dengannya. Lama-kelamaan, kata-kata pujian “Uzia, Raja Yehuda yang gagah perkasa” telah tersebar sampai ke negara Mesir yang jauh.
Negara Yehuda sering menerima harta dalam bentuk emas dan perak yang dihadiahkan oleh negara-negara yang berdekatan. Maka, negaranya menjadi semakin kaya. Namun Raja Uzia tidak leka disebabkan hal ini. Dia menyuruh orang meninggikan dan menebalkan tembok kota Yerusalem iaitu tempat kediamannya, dan empat sudut tembok kota itu masing-masing didirikan sebuah menara peninjau yang tinggi. Demikian juga di tempat-tempat yang penting di padang gurun telah didirikan menara peninjau yang tinggi. Kemudian dia menyuruh askar-askar bergilir-gilir menjaga di menara, melihat sama ada terdapat musuh yang datang menyerang secara bersembunyi. Dia juga menyuruh orang membuat senjata yang baharu (pedang dan tombak). Ini menyebabkan pasukan tenteranya semakin besar dan kuat.
Dari segi yang lain, dia juga prihatin terhadap kehidupan umatnya. Dia memerintahkan supaya digali banyak sumur di padang gurun, untuk memelihara kambing domba dan lembu sapi, menanam padi, sayur-sayuran, dan buah-buahan, sehingga hasil tanaman di negaranya cukup untuk umatnya.
Semua orang makan dengan kenyang, ada pakaian yang mencukupi dan tidak takut ada orang yang menindas mereka. Oleh itu, mereka dapat hidup dengan aman dan sukacita. Ini adalah sama seperti kita pada hari ini, setiap di antara kita mempunyai makanan yang baik, pakaian yang baik serta tempat tinggal yang baik. Di televisyen sering memberitakan bahawa di negara Afrika, ada rakyat negaranya yang tidak mempunyai makanan. Tidak kira orang dewasa atau anak-anak kecil semuanya kurus kerana kelaparan. Bahkan ramai yang meninggal dunia. Memang kasihan sekali ! Raja Uzia sangat bijak kerana dia dapat memikirkan apa yang tidak dapat difikirkan oleh orang lain. Apakah sebabnya? Ini disebabkan dia menurut perkataan Tuhan, dan bersungguh-sungguh menyembah kepada Tuhan. Maka Tuhan dengan khususnya memberkatinya.
Tetapi, setelah semuanya berjalan lancar dan aman untuk tempoh masa yang lama, Raja Uzia secara perlahan-lahan melupakan ketetapan Tuhan. Apakah adik-adik masih ingat? Pada zaman dahulu, siapakah yang melakukan kerja mempersembahkan korban dan menyembah Tuhan di Bait Suci? (Tunjukkan kad tulisan). Sejak dahulu lagi, Tuhan telah menetapkan supaya kerja mempersembahkan korban dan menyembah Tuhan harus dipimpin oleh imam. Orang lain tidak dibenarkan untuk melakukannya termasuk raja juga tidak boleh melakukannya.
Kemungkinan orang yang memuji Raja Uzia itu terlalu banyak sehingga dia merasa dirinya sangat agung. Akibatnya dia pun menjadi tinggi hati. Pada suatu kali, seperti biasa dia bersama dengan orang-orang yang melindunginya masuk ke Bait Suci untuk menyembah Tuhan. Sebaik sahaja dia masuk ke Bait Suci, dia terus berjalan ke arah mezbah pembakaran ukupan. Lazimnya, hanya imam sahaja yang boleh masuk ke tempat itu. Disebabkan dia sering melihat imam melakukannya, maka dia berfikir : “Saya juga dapat melakukan kerja mempersembahkan korban.” Ketika dia mengambil bokor ukupan, Imam Besar melihatnya, lalu membawa lapan puluh imam mengelilingi Raja Uzia. Imam besar berkata : “Hai, raja, engkau tidak berhak melakukan kerja di dalam Bait Suci, sebab ini adalah kerja imam! Engkau tidak akan dikenankan Tuhan kerana hal ini. Sila keluar dari tempat mezbah pembakaran ukupan ini dengan segera!”
Raja Uzia menjadi marah setelah mendengarnya. Dia tidak menghiraukan nasihat Imam Besar. Disebabkan dia adalah raja, imam juga tidak berani memaksanya turun. Ketika imam-imam melihat raja akan membakar ukupan, tiba-tiba imam-imam melihat perubahan kulit di dahi raja Uzia. Dari luka sedikit beransur-ansur menjadi besar. Setiap imam terkejut sehingga mata terbeliak dan mulut ternganga melihat raja. Raja Uzia juga mendapati ada sesuatu yang tidak baik telah berlaku. Dia bergegas keluar dari Bait Suci dan pulang ke istana. Malang sekali! Raja Uzia yang sangat diberkati Tuhan, akhirnya telah mendapat penyakit kusta yang paling menakutkan di mana ia sering mengeluarkan nanah dan berbau. Mengapa hal ini berlaku ke atas dirinya? (Kanak-kanak menyuarakan pendapat).
Dia menjadi tinggi hati. Dia menyangka Tuhan mengasihinya, memberkatinya dan negara Yehuda pun menjadi kuat dan aman. Jika hanya sekadar melanggar hukum sekali tidak apa-apa! Sebenarnya Tuhan paling tidak suka kepada orang yang sengaja melakukan kesalahan di mana mereka tahu bahawa perkara itu tidak boleh dilakukan tetapi mahu juga melakukannya. Maka, raja Uzia menerima hukuman yang berat daripada Tuhan. Dia tidak dapat lagi menjadi raja! Anaknya yang menggantikannya untuk menjadi raja. Raja Uzia yang berpenyakit kusta ini terpaksa tinggal di istana lain. Selain daripada pengawal setia yang melayaninya, tidak ada lagi orang yang melihatnya sampai dia meninggal dunia di istana.
Adik-adik, Tuhan sememangnya mengasihi kita, tetapi dalam Kitab Ibrani 12:6 mengatakan: “Tuhan mengajar orang yang dikasihiNya.” (Tunjukkan kad tulisan). Adik-adik bacanya bersama-sama. (Baca sampai fasih). Maksud mengajar ialah apabila kita melakukan kesalahan, Dia akan mengajar kita sama seperti ibu bapa mengajar kita. Guru teringat pada masa dahulu, di gereja kita terdapat seorang murid kelas darjah rendah yang mendapat pengajaran daripada Tuhan.
Xiao Qiang Telah Bertaubat
Di kelas darjah rendah terdapat seorang adik kecil yang bernama Xiao Qiang. Dia sama seperti anda semua yang aktif dan suka bergerak. Dia tinggal berdekatan dengan gereja. Pada suatu petang hari Sabat, selepas kebaktian selesai, semua orang pun pulang ke rumah masing-masing. Pada masa itu, dia melihat seorang pak cik tua, iaitu penjaga gereja sedang menyapu di dalam aula gereja. Lalu tanpa disuruh dia segera membantu untuk menyapu juga. Ketika dia menyapu, dia melihat ada benda bulat yang berkilauan. Rupa-rupanya itu adalah wang sepuluh ringgit. Xiao Qiang berfikir kalau ada wang tentu dia dapat membeli makanan. Maka dia pun mengambil wang itu dan masukkan ke dalam poketnya. Setelah selesai menyapu, dia pun membeli aiskrim untuk dimakan dalam perjalanannya pulang ke rumah.
Pada malam itu juga, tiba-tiba Xiao Qiang sakit demam. Ibu bapanya menyangka dia cuma selsema, lalu berdoa dan membawanya berjumpa Doktor Fung untuk disuntik dan makan ubat. Pada keesokan hari, penyakit Xiao Qiang bukan sahaja tidak beransur pulih sebaliknya dia berasa lebih sakit. Badannya menjadi panas dan sejuk. Xiao Qiang berkata kepada ibunya: “Ibu, kerongkongku sangat sakit!” Ibu segera membawanya ke gereja, dan meminta pendeta untuk menumpangkan tangan dan mendoakannya. Penyakitnya masih belum sembuh walaupun sudah menjelang waktu malam. Ibu bapa sekali lagi mendoakannya. Kemudian mereka membawanya berjumpa pakar telinga, hidung dan kerongkong. Kerongkongnya dicuci dan diberi ubat untuk dua hari. Selepas itu mereka pun pulang ke rumah. Hairan sekali! Apabila sampai hari ketiga , keadaannya masih sama. Bapanya berfikir, mengikut pengalaman dulu, kalau sakit meminta pendeta tumpangkan tangan pasti akan sembuh. Tetapi kali ini sudah berjumpa doktor dua kali, mengapa masih tenat lagi?
Lalu bapa bertanya kepada Xiao Qiang : “Xiao Qiang, beritahu dengan bapa secara terus terang, apakah kamu telah membuat kesalahan pada hari Sabat? Contohnya, mengambil wang atau barang orang lain ?” Xiao Qiang berkata : “Tidak ada!” “Kalau tidak ada, mengapa setelah berdoa,, berjumpa doktor dan meminta pendeta menumpangkan tangan juga tidak berkesan?” Pada hari keempat, apabila ibu melihat keadaan Xiao Qiang masih tidak sembuh, maka pada waktu tengahari itu juga ibu membawanya ke doktor pakar telinga, hidung dan kerongkong. Selepas diperiksa, doktor berkata : “Hairan betul, mengapa menjadi lebih bengkak?”.
Setibanya di rumah, bapa bertanya lagi tetapi Xiao Qiang tetap menjawab “Tidak ada!” Bapa menjadi marah dan Xiao Qiang berasa takut, lalu berkata: “Ketika menyapu pada hari Sabat, saya terjumpa wang sepuluh ringgit dan saya mengambilnya untuk membeli aiskrim.” Bapa pun berkata: “Kalau demikian, tidak perlu lagi makan ubat. Sia-sia saja membayar beberapa ratus ringgit. Kamu sakit menderita, ibu bapa juga susah.” Ibu mengajar Xiao Qiang supaya berlutut dan berdoa memohon Tuhan Yesus mengampuninya. Xiao Qiang berasa sangat susah hati kerana wang sepuluh ringgit itu telah menyusahkan diri dan menyusahkan ibu bapa. Dia berlutut lalu berdoa bersungguh-sungguh sambil mengalirkan air mata. Tentu sekali ibu bapa juga menemaninya untuk berdoa. Setelah berdoa dan berdiri, sungguh hairan sekali! Xiao Qiang rasa kerongkongnya tidak lagi sakit dan demamnya telah surut. Dia telah faham bahawa “Tuhan mengajar orang yang dikasihiNya.” (Tunjukkan kad tulisan) Xiao Qiang bertekad untuk menjadi seorang anak baik yang diperkenankan oleh Tuhan Yesus.
Adik-adik, apakah perkara yang tidak berkenan kepada Tuhan Yesus dan Tuhan tidak mahu kita lakukan? (Biar kanak-kanak yang meluahkan pendapat, guru boleh tunjukkan kad tulisan seperti: 1.Tamak 2.Berbohong 3.Memarahi orang lain (mengucap kata-kata lucah) 4. Memukul orang lain (menindas adik) 5.Tidak mendengar cakap.
Kesemuanya ini adalah yang tidak dikenan oleh Tuhan Yesus. Janganlah sama sekali kita lakukannya. Pengajaran daripada Tuhan Yesus memang sangat menakutkan. Kita harus menjadi seorang anak yang baik supaya dikasihi oleh Tuhan Yesus untuk selama-lamanya.