Mesej Untuk Guru:
Kepada guru yang dikasihi, bab ini merupakan lanjutan daripada bab yang lalu. Ia menyentuh peristiwa Yoas membaiki Bait Tuhan. Butir pentingnya adalah untuk memupuk konsep dan tabiat yang betul tentang memberi persembahan serta memahami bahawa “mengasihi gereja” adalah seperti “mengasihi Tuhan” dalam diri kanak-kanak. Sama seperti Salomo, Yoas juga telah menjadi raja selama 40 tahun. Ini bukan suatu perkara yang mudah. Tetapi sayang sekali, dia telah terjerumus dalam penyembahan berhala dan akhirnya menjadi seorang raja yang gagal.
Perkara yang paling menyakitkan hati adalah tindakan Yoas yang tidak teragak-agak untuk melempari saudaranya Zakharia dengan batu sampai mati apabila Zakharia menyampaikan amaran kepadanya. Yoas tidak peduli bahawa Zakharia adalah anak kepada Yoyada yang telah menyara dan membantunya kerana dia hanya ingin memenuhi kehendak pemimpin-pemimpin Yahudi sahaja.
Kasihan Zakharia, pada saat kematiannya dia berseru, “Semoga Tuhan melihatnya dan menuntut balas!” Sesungguhnya Tuhan telah menuntut balas bagi Zakharia. Tuhan menghukum Yoas melalui orang Aram sehinggakan pembesar-pembesar dan hamba-hamba yang menyokong Yoyada dapat membalas dendam. Hidup Yoas bermula daripada tragedi yang diakibatkan oleh ratu tua dan berakhir dalam tragedi yang dihasilkan oleh dirinya sendiri.
Melalui peristiwa Yoas, kita dapat lihat bahawa kejayaan hidup seseorang adalah disebabkan oleh penyertaan Tuhan. Jika seseorang meninggalkan Tuhan, itu adalah permulaan dosa dan musibah. Orang itu akan “menyiksa dirinya dengan berbagai-bagai duka”. Oleh itu, janganlah kita anggap “damai sejahtera” itu sesuatu yang wajar dan janganlah kita berasa bosan kerana hidup kita “damai sejahtera”. Kita harus tahu bahawa “damai sejahtera” adalah kebahagiaan yang terbesar, maka kita harus lebih lagi menghargainya. Jangan lupa mendorong anak-anak mengenai perkara ini.
Nas Alkitab: 2 Tawarikh fasal 24
Objektif Pengajaran dan Pembelajaran:
Dapat memberi persembahan dengan sukarela; menghargai harta benda di gereja.
Ayat Hafalan:
Sebab Allah mengasihi orang yang memberi dengan sukacita. (2 Korintus 9:7)
Persediaan Prapengajaran dan Pembelajaran:
- Puzzle
- Kumpul gambar gereja-gereja tempatan, dan tulis perkataan “Gereja Yesus Benar” di atas kertas.
Doa:
Dalam nama Tuhan Yesus berdoa. Tuhan Yesus yang dikasihi, kami berterima kasih kepada Engkau kerana memberikan kami gereja untuk berkebaktian, memberikan kami kelas yang selesa untuk belajar dan guru yang ramai untuk menjaga kami. Semua ini adalah persembahan kasih daripada semua orang. Kami juga mahu memberi persembahan dengan tulus ikhlas dan mengasihi gereja-Mu. Haleluya, Amin.
Isi Pelajaran:
Pendahuluan
Adik-adik, ibu bapa memberikan wang persembahan semasa kamu datang berkebaktian (keluarkan peti persembahan). Adakah kamu masukkan wang ke dalam peti persembahan? (Minta kanak-kanak yang belum memberi persembahan untuk mengeluarkan wang persembahan mereka. Bagi kanak-kanak yang tidak memberikan persembahan, ingatkan mereka apabila mereka sampai di rumah nanti, mereka perlu maklumkan dengan ibu bapa untuk bekalkan mereka dengan wang persembahan setiap kali mereka menghadiri kelas Pendidikan Agama kelak). Wah, semua adik-adik bagus sekali! Adakah kamu tahu kenapa kita mahu memberi persembahan? (Biar kanak-kanak menyuarakannya). Betul, untuk dipersembahkan kepada Tuhan. Ini disebabkan Tuhan melindungi kita dan mengasihi kita. Oleh itu kita mahu membina sebuah gereja untuk Tuhan supaya semua orang dapat datang menyembah kepada Tuhan. Selain daripada itu, orang yang tidak mengenali Tuhan mereka akan dapat mengenali Tuhan. Kita mengasihi Tuhan maka kita harus mengasihi gereja. Tetapi adakah kita perlukan wang untuk mengurus gereja dan memberitakan Injil? Ya, banyak wang yang diperlukan. Cuba kita lihat dalam kelas (sebutkan semua kelengkapan dalam kelas), semua benda ini perlu dibeli dengan wang. Adakah kita perlukan wang untuk pembaikan semasa ia rosak? Ya, kita perlukan wang juga. Pada hari Sabat kita makan di gereja. Adakah kita perlukan wang untuk membeli beras dan sayur-sayuran? Ya, kita perlukan wang juga. Ada juga buku-buku dalam gereja dan risalah untuk memberitakan Injil. Semuanya ini memerlukan wang untuk dicetak. Begitu banyak benda yang memerlukan wang. Dari manakah datangnya wang ini? Betul, iaitu persembahan kita semua. Tuhan mengasihi kita dan memberikan kepada kita rumah yang selesa, pakaian dan makanan untuk mengenyangkan kita pada setiap hari. Maka kita harus berterima kasih kepada Tuhan dan memberi persembahan dengan sukacita demi hal-hal gereja. Tapi adik-adik, adakah kamu tahu bagaimanakah peti persembahan ini wujud? Ada orang yang mencipta peti ini pada 2000 tahun yang lalu! (Tepuk peti persembahan). Siapakah yang menciptakannya? Marilah kita dengar cerita hari ini.
Raja Yang Mengambil Berat Terhadap Bait Tuhan
Minggu lalu cikgu telah menyampaikan cerita Yoas anak raja. Dia tidak dibunuh oleh ratu tua yang jahat kerana makcik dan pakciknya telah menyelamatkannya. Dia kemudiannya telah menjadi raja ketika dia berumur 7 tahun. Setelah Yoas menjadi raja, dia sering berdoa dan bersandar kepada Tuhan. Dia dapat mengendali negerinya dengan baik kerana dia dibantu oleh pakcik dan pembesar-pembesarnya. Pada suatu hari, tiba-tiba dia teringat akan Bait Suci yang sangat cantik dan selesa yang pernah dia diami dahulu. Dia teringat akan waktu di mana semua umat boleh menyembah kepada Tuhan dalam Bait Suci. Waktu itu begitu indah sekali! Tetapi sekarang Bait Suci telah dirosakkan oleh ratu tua jahat yang tidak menyembah kepada Tuhan. Malah dia mengambil benda-benda yang digunakan dalam penyembahan Tuhan untuk penyembahan berhala. Betapa teruknya dia! Yoas ingin sekali membaiki Bait Suci demi Tuhan supaya semua orang mempunyai Bait Suci untuk menyembah kepada Tuhan. Tetapi dia perlukan banyak wang untuk memperbaiki Bait Suci. Wang di dalam istana telah habis digunakan oleh ratu jahat. Apakah yang boleh dilakukan oleh Yoas?
Peti Yoas
Yoas fikir dan fikir, lalu dia mendapat satu idea yang baik. Dia memberitahu pakciknya: “Pakcik, apa kata kita mengumumkan kepada semua orang untuk membuat persembahan dan mengumpul wang untuk membaiki Bait Suci?” Lalu Yoas menyuruh orang membuat sebuah peti besar menggunakan kayu. Di bahagian atas peti itu ditebuk satu lubang (lukis bentuk peti persembahan besar di papan tulis secara ringkas), supaya mereka boleh memasukkan wang ke dalam peti itu. Peti ini akan diletakkan di depan pintu Bait Suci. Lalu Yoas memberitahu semua orang: “Wahai rakyat yang dikasihi! Marilah kita melakukan perintah Tuhan. Sama-sama kita mempersembahkan wang kepada Tuhan kerana Tuhan mengasihi dan melindungi kita. Kita harus berterima kasih kepada Tuhan dan membaiki Bait Suci Tuhan, supaya semua orang boleh datang ke Bait Suci untuk memberi persembahan korban dan menyembah kepada Tuhan.” Semua orang amat merindui Bait Suci dahulu yang indah. Oleh itu apabila mereka terdengar raja Yoas berkata sedemikian, mereka amat gembira! Maka mereka segera mengeluarkan wang, beratur seorang demi seorang untuk memasukkan wang ke dalam peti yang direka oleh Yoas.
Memperbaiki Bait Suci
Wah! Setiap hari ramai orang yang memasukkan wang ke dalam peti. Tidak kira bapa, ibu, datuk, nenek, anak-anak kecil, orang kaya atau orang miskin, mereka semua dengan sukacita memasukkan wang ke dalam peti yang direka oleh raja Yoas. Peti itu menjadi penuh dengan serta merta. Maka mereka pun mengeluarkan wang di dalam peti dan meletakan semula peti itu di depan pintu Bait Suci yang perlu diperbaiki. Tidak lama kemudian, peti tersebut menjadi penuh lagi. Oleh itu, hanya dalam masa beberapa hari sahaja mereka telah memperoleh banyak wang persembahan untuk memperbaiki Bait Suci. Raja Yoas menggunakan wang ini untuk membeli bahan, mengupah pekerja dan membina kembali bahagian yang rosak. Bahagian yang pecah dan retak diperbaiki dan barang-barang yang usang digantikan dengan yang baharu (guru membina bentuk gereja menggunakan puzzle sambil bercerita). Tidak lama kemudian, Bait Suci telah selesai diperbaiki. Ia menjadi indah dan bersih seperti bangunan baharu. Semua orang dengan sukacita berpegang tangan lalu pergi ke Bait Suci untuk menyembah kepada Tuhan. Apabila Tuhan Benar di syurga melihat raja Yoas dan seluruh bangsa amat mengasihi-Nya, hati Tuhan pun amatlah gembira. Oleh itu, Tuhan sangat memberkati negeri Yoas iaitu negeri Yehuda.
Kesimpulan
Adik-adik, tempat menyembah kepada Tuhan dahulu digelar sebagai Bait Suci. Sekarang apakah nama gereja kita? (keluarkan gambar Gereja Yesus Benar, tunjuk perkataan “Gereja Yesus Benar” dan minta kanak-kanak baca sebanyak dua kali dengan pimpinan guru). Ada siapa yang tahu di mana letaknya peti persembahan dalam gereja kita? (boleh membawa kanak-kanak untuk melihat peti persembahan dalam gereja dan beritahu mereka bahawa ini adalah peti persembahan ibu bapa. Manakala peti persembahan untuk kanak-kanak adalah dibuat khas untuk mereka, supaya mereka boleh membuat persembahan sejurus masuk ke dalam kelas dan memupuk tabiat untuk memberi persembahan kesyukuran). Sekarang cikgu mahu tanya, adakah kamu masih ingat apa yang cikgu katakan waktu kita mulakan kelas? Kenapa kita perlu memberi persembahan? (biar kanak-kanak menyuarakannya. Boleh beri hadiah kepada mereka yang jawab dengan betul). Betul! Papan tulis, meja, kerusi, piano, almari yang kita guna dalam kelas… semuanya perlu dibeli. Apa yang kita perlukan untuk membeli barang? (wang) Dari mana datangnya wang gereja? (biar kanak-kanak menyuarakannya). Betul! Wang persembahan daripada ibu, bapa, datuk, nenek, makcik, pakcik dan adik-adik sekalian. Adik-adik masih kecil, belum lagi bekerja menjana pendapatan. Tetapi ibu bapa ada memberi kita wang persembahan dan kita mesti memberi persembahan dengan jujur. Bolehkah kita bawa pulang wang persembahan secara diam-diam untuk membeli makanan atau mainan? (Tidak boleh). Mengapa tidak boleh? (Biar kanak-kanak mengulas alasannya). Betul, kerana itu adalah wang untuk Tuhan. Kita tidak boleh simpan secara senyap-senyap. Kalau tidak, kita menjadi seperti pencuri. Tuhan akan sedih dan tidak gembira. Syukur kepada Tuhan, adik-adik semua amat patuh dan bijak. Mari kita lihat siapa yang menjawab dengan betul pada minggu lepas. (semak jawapan betul yang tertulis di papan tulis minggu lepas “memperbaiki Bait Suci” dan cari orang untuk menjawabnya). Berikan tepukan kepada adik ini. Hebat sekali!
Minggu depan cikgu akan ceritakan “Ratu Yang Baik”. Wah! Ada seorang raja yang bakal memilih ratu. Ramai gadis yang cantik telah menyertai pemilihan ratu. Pada minggu seterusnya marilah kita sama-sama memilih ratu!