Mesej Untuk Guru:
Guru yang dikasihi, setelah Samuel menjadi tua, orang Israel meminta agar seorang raja diangkat untuk memerintah atas mereka. Tuhan tidak berkenan terhadap perkara ini dan berfirman kepada Samuel, “Dengarkanlah perkataan bangsa itu dalam segala hal yang dikatakan mereka kepadamu, sebab bukan engkau yang mereka tolak, tetapi Akulah yang mereka tolak, supaya jangan Aku menjadi raja atas mereka.” Demikianlah raja pertama Israel – Saul diangkat.
Riwayat Saul merupakan suatu peringatan yang besar untuk kita! Walaupun pada mulanya Tuhan mengubah hatinya menjadi lain (1 Samuel 10:9), namun dia tetap tidak melakukan kehendak Tuhan dalam segala hal sewaktu menjadi raja. Dia asyik mengikut kehendak sendiri. Akibatnya, Iblis masuk ke dalam hati Saul dan mengakibatkan kesudahan yang malang!
Bab ini bertujuan memberitahu adik-adik tentang proses Saul menjadi raja (bukanlah berasal dari kehendak Tuhan) dan Saul membelakangi firman Tuhan. Tidak kira betapa baiknya korban yang dipersembahkan kepada Tuhan, Tuhan tetap tidak berkenan terhadap korban tersebut kerana Dia berkenan kepada hati yang taat setia dan rendah hati! “Sesungguhnya, mendengarkan lebih baik dari pada korban sembelihan, memperhatikan lebih baik dari pada lemak domba-domba jantan.” (1 Samuel 15:22) Riwayat hidup Saul yang naik dan turun, daripada seorang rakyat biasa menjadi seorang raja, daripada seorang raja sehingga melakukan dosa, memanggil arwah dan membunuh diri. Adalah diharapkan agar guru-guru membaca dengan teliti sekali lagi dan merenungkannya dalam kehidupan masing-masing.
Nas Alkitab: 1 Samuel fasal 8, 10 dan 15
Objektif Pengajaran dan Pembelajaran:
- Mengetahui bahawa “korban” yang Tuhan berkenan adalah mendengar dan memerhati.
- Mengetahui bahawa raja kita yang sebenarnya ialah Tuhan yang di syurga.
Ayat Hafalan:
Sesungguhnya, mendengarkan lebih baik dari pada korban sembelihan, memperhatikan lebih baik dari pada lemak domba-domba jantan. (1 Sam 15:22)
Persediaan Prapengajaran dan Pembelajaran:
Peti persembahan, sedikit barang kemas, mainan atau kad berbentuk lembu dan domba.
Doa:
Dalam nama Tuhan Yesus berdoa. Bapa Syurga kami yang penyayang, kami bersyukur kepada-Mu kerana sekali lagi mengaruniakan damai sejahtera kepada kami supaya kami dapat datang menghadiri kebaktian. Hadiah yang paling Engkau sukai adalah anak yang hatinya mengasihi Engkau dan mendengar perkataan-Mu. Sebaliknya, Engkau paling tidak menyukai hati yang congkak. Kiranya Engkau membantu dan memelihara kami seumur hidup agar kami berpegang pada perintah-Mu untuk selama-lamanya. Haleluya, Amin.
Isi Pelajaran:
Pendahuluan
Adik-adik, adakah kamu membawa duit persembahan hari ini? Kepada siapakah duit ini dipersembahkan? (dipersembahkan kepada gereja untuk pekerjaan suci dan kepada Tuhan). Jikalau kamu berkelakuan baik, maka Tuhan akan berkenan kepada persembahan yang kamu persembahkan dan memberkati kamu. Tetapi jikalau kamu tidak berkelakuan baik, bergaduh dengan adik-beradik dan melawan cakap ibu bapa di rumah, maka Tuhan Yesus tidak akan suka akan persembahan yang kamu persembahkan! Cuba teka, apakah persembahan yang paling disukai oleh Tuhan? (keluarkan peralatan prapengajaran yang disediakan). Adakah duit dalam peti persembahan atau barang kemas yang cantik? Tidak! Yang Tuhan inginkan adalah hati yang taat dan mendengar cakap. Itulah kisah yang akan cikgu sampaikan pada hari ini, raja pertama Israel – Saul.
Umat Menghendaki Seorang Raja
Nabi Samuel semakin tua. Sayang sekali anak-anak lelakinya tidak setia melayani Tuhan sepertinya. Oleh itu, umat Israel hendak mengangkat seorang raja atas mereka untuk memerintah mereka. Adik-adik, pada pandangan kamu adakah umat Israel benar-benar tiada raja? (Kanak-kanak beri pandangan). Betul! Sebenarnya, raja mereka ialah Tuhan yang teragung. Tuhan memimpin mereka melalui perantaraan Musa dan Yosua sehingga mereka dapat tinggal di Tanah Kanaan yang begitu indah. Namun demikian, umat Israel tidak mendengar cakap seperti adik-adik sekalian. Adik-adik mengetahui bahawa Tuhan yang benar ialah raja yang memerintah atas kita. Tetapi mereka hanya inginkan seorang raja yang dapat dilihat dengan mata mereka, yang memakai pakaian mewah, yang memakai mahkota dan mempunyai banyak hamba. Tuhan Benar di syurga berasa sangat tidak gembira kerana orang Israel menolak Dia sebagai raja mereka, lalu menyuruh Samuel memberitahu mereka bahawa setelah seseorang raja diangkat, raja akan memaksa umat melakukan pelbagai kerja berat; mengambil anak-anak perempuan umat untuk bekerja dengannya; menetapkan cukai yang berat bagi umat dan akan merampas lembu, domba, tanah, rumah mereka, serta menjadikan semua umat sebagai hambanya. Pada waktu itu, semua orang akan berasa sangat menderita. Walaupun orang Israel telah mendengar kata-kata Samuel, mereka tetap menginginkan seorang raja atas mereka. Mereka berkata, “Kami pun akan sama seperti segala bangsa lain, ada raja atas kami.” Samuel tidak ada cara yang lain melainkan menyampaikan perkataan orang Israel kepada Tuhan Allah yang benar. Bangkitlah murka Tuhan dan berfirman kepada Samuel, “Memandangkan mereka tidak mendengarkannya, maka dengarkanlah permintaan mereka dan angkatlah seorang raja bagi mereka!” Oleh itu, Samuel benar-benar mencarikan seorang raja – Saul untuk memerintah atas orang Israel. Raja ini tinggi, tegap dan rupanya elok dipandang. Sejurus dipandang orang Israel, mereka berasa, “Wah, elok sekali rupa raja baharu kita!”. Lalu mereka bersorak-sorai, “Hidup Raja Saul!” “Hidup Raja Saul!” Pada mulanya, Saul sememangnya seorang raja yang baik, yang tahu menanyakan kehendak Tuhan sebelum melakukan setiap perkara. Namun, dia menjadi semakin sombong sehingga tidak lagi mendengarkan perintah Tuhan. Seterusnya, kita akan mempelajari dua kesalahan yang telah dilakukan oleh Saul.
Raja Saul Mempersembahkan Korban
Pada suatu kali, orang Filistin datang menyerang orang Israel. Raja Saul berasa sangat cemas kerana jumlah orang Filistin ramai sekali. Oleh itu, dia menunggu Nabi Samuel untuk mempersembahkan korban bakaran dan korban keselamatan. Adik-adik, pada zaman itu, Tuhan telah menetapkan bahawa hanya imam sahaja yang boleh melakukan kerja mempersembahkan korban. Saul menunggu tujuh hari lamanya, namun mengapakah Nabi Samuel belum tiba? Hatinya berasa takut, apa yang harus dibuat? (Kanak-kanak beri pandangan). Akhirnya, Raja Saul melanggar perintah Tuhan di mana dia sendiri mempersembahkan korban bakaran sama seperti yang dilakukan oleh Samuel. Baru sahaja dia selesai mempersembahkan korban bakaran, maka tampaklah Samuel datang. Samuel berkata kepadanya, “Saul, perbuatanmu itu bodoh. Tuhan tidak lagi menginginkanmu menjadi raja.” Kemudian berangkatlah Samuel meninggalkannya.
Raja Saul Menyembunyikan Lembu Dan Domba Yang Harus Ditumpaskan
Ada sekali lagi, Raja Saul memimpin orang Israel berperang dengan orang Amalek. Tuhan khususnya menyuruh Samuel memberitahu Saul, katanya, “Tumpaslah segala yang ada pada orang Amalek. Bunuhlah semua lembu mahupun domba serta ternakan yang lain tanpa meninggalkan satu pun daripada mereka. Beginilah firman Tuhan.”
Adik-adik, Tuhan memberikan kemenangan kepada Raja Saul. Namun, adakah Raja Saul menumpaskan semua orang Amalek, lembu dan domba serta segala ternakan mereka tanpa meninggalkan satu pun? (Kanak-kanak beri pandangan). Betul! Raja Saul tidak mendengar cakap. Dia telah menangkap raja orang Amalek tetapi tidak membunuhnya. Dia menumpaskan lembu dan domba yang kurus, tetapi menyembunyikan lembu dan domba yang baik dan tambun. Adik-adik, adakah Tuhan tidak mengetahui bahawa Raja Saul telah menyembunyikan raja orang Amalek, lembu dan domba yang baik dan tambun? Sememangnya Tuhan tahu! Maka, Tuhan mengutus Samuel pergi menegur Saul. Pada mulanya, Saul tidak mengakui perbuatannya. Malah, dia memberitahu Samuel, “Aku telah melaksanakan firman Tuhan dengan membunuh semua orang Amalek, lembu dan domba.” Namun, Samuel terdengar bunyi lembu menguak dan domba mengembek yang disembunyikan itu. Saul tahu bahawa dia tidak dapat lagi menipu Samuel, maka dia mengubah perkataannya, “Rakyat menyelamatkan kambing domba dan lembu-lembu yang terbaik dengan maksud untuk mempersembahkan korban kepada Tuhan.” Samuel menegur Raja Saul, katanya, “Sebab engkau telah menolak firman Tuhan; sebab itu Tuhan telah menolak engkau sebagai raja atas Israel.”
Saul Kesal Tetapi Sudah Terlambat
Setelah Saul mendengar bahawa Tuhan telah menolaknya menjadi raja, dia berasa bimbang. “Nabi Samuel! Aku telah berdosa. Aku takut terhadap rakyat jelata, mereka keberatan untuk membunuh kambing domba dan lembu-lembu yang baik dan tambun, maka aku terpaksa mendengarkan kata-kata mereka. Aku telah mengingkari kata-katamu dan perintah Tuhan. Tolonglah ampuni dosaku!” Samuel memberitahu Raja Saul, “Tuhan berkenan kepada orang yang mendengar dan memerhatikan. Engkau tidak mendengar cakap, maka Tuhan tidak akan berkenan terhadap korban sembelihanmu, juga menolak engkau sebagai raja.” Saul sedar bahawa dirinya salah, namun Tuhan telah membuat keputusan-Nya. Itulah akibat yang ditanggung Saul kerana tidak patuh. Selepas Samuel membunuh raja Amalek yang ditangkap itu, dia pun balik ke rumahnya. Sampai hari kematian Samuel, dia tidak melihat Saul lagi.
Adik-adik, jikalau kita melakukan kesalahan kecil dan bertaubat kepada Tuhan, mungkin Tuhan akan mengampuni kesalahan kita. Namun, jika Tuhan telah berulang kali mengingatkan kita agar jangan melakukan dosa tetapi kita tetap melakukannya, maka Tuhan tidak akan mengampuni kita lagi. Ingat! Janganlah sama seperti orang Israel, yang melihat keadaan bangsa-bangsa lain justeru mahu menjadi sama seperti mereka. Lebih-lebih lagi janganlah mencontohi anak-anak jahat yang melakukan kejahatan! Kita harus berjaga-jaga untuk memegang kata-kata Tuhan yang benar serta kata-kata ibu bapa. Seperti Raja Saul yang tidak mendengar kata-kata Tuhan, walaupun telah mengakui kesalahannya dan menyesalinya, namun sudah terlambat!
Kesimpulan
“Mendengarkan lebih baik daripada korban sembelihan.”
Adik-adik, adakah kamu masih ingat akan pertanyaan guru pada permulaan kelas, “Apakah persembahan yang paling disukai oleh Tuhan?” (Keluarkan peralatan prapengajaran) Apakah duit di dalam peti persembahan ataupun barang kemas yang cantik? Bukan kedua-duanya! Persembahan yang Tuhan paling sukai ialah “mendengar firman-Nya”. Hanyalah mereka yang mengasihi Tuhan akan rela memegang perintah-Nya. Ianya lebih bernilai berbanding dengan segala emas dan perak! Apakah yang kamu ingin persembahkan kepada Tuhan? (Kongsikan bersama).
Minggu hadapan, kita akan menceritakan kesudahan Raja Saul yang tidak mendengar cakap. Kemudian, kita akan menceritakan kisah seorang anak kecil penggembala yang comel. Anak kecil itu ialah raja kedua Israel, iaitu Raja Daud yang sangat terkenal. Kamu mesti datang untuk mendengar ya!