BAB 3 : TUJUH PULUH KALI TUJUH

Nas Alkitab :  Matius 18 : 21 – 35

 

Pembacaan Alkitab :  Kolose 3 : 13; Amsal 19 : 11; Matius 6 : 14 – 15

 

Objektif Pengajaran dan Pembelajaran :

  1. Memahami makna mengampuni orang tujuh puluh kali tujuh.
  2. Boleh menyebut tindakan konkrit untuk memaafkan orang lain.

 

Ayat Hafalan :

Tetapi hendaklah kamu ramah seorang terhadap yang lain, penuh kasih mesra dan saling mengampuni, sebagaimana Allah di dalam Kristus telah mengampuni kamu. (Efesus 4 :32).

 

Persediaan Prapengajaran dan Pembelajaran :

Kumpulkan contoh-contoh realiti dalam kehidupan tentang “pengampunan”.

Berbual dengan kanak-kanak tentang: jenis orang yang paling tidak disenangi? Bagaimana cara untuk memaafkannya?

 

Isi Pelajaran :

Dalam pelajaran yang lalu, cikgu telah bercerita tentang kisah “Seutas Tali Kasut & Seutas Benang” yang memberi dorongan kepada kita untuk tidak tamak dan bagaimana kita boleh mengatasi sifat tamak? (Bersyukur dengan apa yang kita miliki). Marilah kita ulangi ayat  hafalan pada minggu lalu: “Janganlah kamu menjadi hamba uang dan cukupkanlah dirimu dengan apa yang ada padamu. Kerana Allah telah berfirman: “Aku sekali-kali tidak akan membiarkan engkau dan Aku sekali-kali tidak akan meninggalkan engkau.” (Ibrani 13 : 5).

Tajuk cerita yang akan disampaikan oleh cikgu pada hari ini ialah “Tujuh Puluh Kali Tujuh”, Topik ini juga tercatat dalam Alkitab, memberitahu kita untuk memaafkan orang tujuh puluh kali tujuh. Adik-adik, sila kira, berapa banyak tujuh puluh kali tujuh? (Empat ratus sembilan puluh kali) Jika seseorang telah bersalah kepada kita, dan kita perlu memaafkannya empat ratus sembilan puluh kali, mungkinkah ya? (Tidak mungkin) Dalam setahun, terdapat tiga ratus enam puluh lima hari, jika kita memaafkan sekali sehari, bermakna pada akhir tahun itu  kita memaafkan tiga ratus enam puluh lima kali. Malahan, kita tidak dapat bersabar apabila orang lain berulang kali bersalah kepada kita. Jadi, apakah maksud perkataan Yesus ini? (Memaafkan orang lain dengan sepenuhnya ). Mengapa kita perlu memaafkan orang sepenuhnya? (Kanak-kanak memberi pandangan, guru menyimpan jawapan)

 

Tujuh puluh kali Tujuh

Pada suatu hari, Yesus dan para murid berkumpul lagi di Kapernaum untuk penyampaian khutbah. Para murid mendengarkan dan bertanya, kemudian Yesus memberitahu mereka, ‘Jika seseorang seiman bersalah padamu, pergilah dan tegur dia sendirian tentang kesalahannya.’ Mendengar hal ini, Petrus dengan cepat bertanya kepada Yesus, ‘Tuhan, jika saudaraku melakukan kesalahan terhadapku, berapa kali aku harus memaafkannya? Tujuh kali sudah cukup, bukan?’ Petrus beranggapan bahwa memaafkan seseorang hingga tujuh kali sudah menunjukkan kesabaran yang besar, namun Yesus menjawab, ‘Tidak hanya tujuh kali, tetapi tujuh puluh kali tujuh kali.’ Pernyataan ini membuat Petrus bingung. Dia tidak mengerti mengapa harus memaafkan orang begitu banyak kali. Maka Yesus menggunakan sebuah perumpamaan untuk memberi tunjuk ajar kepada mereka. Kita membuka Alkitab dan membaca bersama-sama Matius 18 : 23 – 35. Setelah habis membacakannya marilah kita ceritakan inti cerita ini (pendapat dari anak-anak, kemudian guru akan menyusun semula cerita).”

  1. Seorang raja mengadakan perhitungan hutang terhadap seorang hamba yang berjumlah sepuluh ribu talenta.
  2. Hamba tersebut tidak mampu melunaskannya sehingga raja memerintahkan agar semua harta milik hamba itu dijual untuk melunaskan hutangnya.
  3. Hamba itu memohon kepada raja untuk memberinya lebih banyak waktu. Raja berbelas kasihan padanya dan mengatakan tidak perlu lagi membayar hutang itu.
  4. Setelah hamba ini keluar dari sana, hamba tersebut bertemu dengan seorang teman yang hanya berhutang seratus dinar padanya. Walaupun temannya merayu dengan bersungguh-sungguh, hamba itu tetap menjatuhkannya ke dalam penjara. (Tulis angka sepuluh ribu talenta dan seratus dinar di papan hitam atau papan putih.)
  5. Ada orang yang memberitahukan peristiwa itu kepada raja. Raja sangat marah dan juga memenjarakan hamba tersebut.

“Mari kita lihat ayat 35: “Maka Bapa-Ku yang di sorga akan berbuat demikian juga terhadap kamu, apabila kamu masing-masing tidak mengampuni saudaramu dengan segenap hatimu.” Fikirkan dalam perumpamaan ini, si tuan rumah mewakili siapa? (Tuhan) Hamba mewakili siapa? (Kita manusia) Kawan hamba mewakili siapa? (Orang yang bersalah kepada kita)

Sekarang cikgu akan menerangkan perumpamaan ini dengan lebih jelas. Perumpamaan ini bermaksud:Ada seorang yang jahat, melakukan banyak perbuatan jahat. Kemudian, dia dibawa ke hadapan Tuhan.  Tuhan memperhitungkan berapa banyak perbuatan jahat yang telah dilakukannya. Perbuatan jahat ini adalah hutang dosa yang harus dibayar kepada Tuhan, seperti berhutang sepuluh ribu talenta kepada Tuhan. Manusia diciptakan oleh Tuhan dan seharusnya patuh kepada perintah Tuhan, menjadi anak yang baik. Tetapi si jahat ini bukan sahaja tidak patuh malah juga selalu berdosa kepada Tuhan, di mana sangat menyakitkan hati Tuhan. Oleh itu, Tuhan hendak memperhitungkan hutangnya tetapi dia tidak mampu membayar hutang itu. Dia terduduk menangis sambil berkata, “Mohon maafkan saya, saya akan melakukan banyak kebaikan untuk membayar hutang saya.”

Tuhan berbelas kasihan padanya dan berkata kepada orang di sekelilingnya , “Biarkan dia pergi! Saya tidak akan lagi menuntut perbuatan jahatnya.” Si jahat itu beredar dengan gembira. Tiba-tiba dia bertemu dengan seseorang yang pernah bersalah kepadanya. Dia segera mencekik leher orang itu, “Akhirnya saya menangkapmu! Tengoklah, awak memang tidak dapat melarikan diri. Kamu sudah menipu saya sebelum ini dan menyebabkan saya ditangkap. Sekarang lihatlah bagaimana kamu  menjelaskan hutang ini.” Orang itu memohon, “Mohon maafkan saya, saya tidak akan mengulangi lagi!”

Namun si jahat tidak mahu memaafkannya. Tuhan mengetahui kejadian itu, lalu memanggil si jahat dan berkata: “Kamu ini orang jahat, kamu memohon kepada-Ku, dan Aku mengampuni kamu, tidak menuntutnya lagi. Bukankah awak seharusnya memaafkan dia seperti Aku memaafkan kamu?” Lalu Tuhan menghukumnya dengan menjatuhkannya ke dalam penjara. Kemudian Tuhan berkata, “ Apabila kamu masing-masing tidak mengampuni saudaramu dengan segenap hatimu, maka Bapa-Ku yang di sorga akan berbuat demikian juga terhadap kamu.” Perumpamaan ini serupa dengan kata doa : “Ampunilah kami akan kesalahan kami seperti kami juga mengampuni orang yang bersalah kepada kami.” Ini bukan disebabkan kita telah melakukan banyak kebajikan melainkan  kasih Tuhan yang dicurah kepada kita lalu memaafkan kita dengan percuma. Kita seharusnya juga seperti-Nya, sering memaafkan orang yang bersalah kepada kita. Fikirkanlah, adakah  masih ada seseorang yang kita tidak dapat kita memaafkannya di hati kita?  Bagaimana kita menunjukkan bahawa kita telah memaafkannya? (Kanak-kanak boleh memberi pendapat atau menggunakan contoh kehidupan seharian yang dikumpulkan sebelum kelas, membincangkan sikap yang perlu diberi perhatian dalam kata-kata dan tindakan).”

 

Bacaan Alkitab :

Tetapi hendaklah kamu ramah seorang terhadap yang lain, penuh kasih mesra dan saling mengampuni, sebagaimana Allah di dalam Kristus telah mengampuni kamu. (Efesus 4 : 32)

 

Kasih Adalah Memaafkan Orang Lain.

Dahulu kala, terdapat seorang pemilik kapal layar yang sangat kejam terhadap pembantunya. Pembantu ini sangat miskin dan sering kali tidak mendapat makanan yang mencukupi. Jika dia tidak mampu mengangkat tong besar atau kotak, majikannya akan menendangnya dengan kaki. Walaupun pembantu ini bekerja keras dan menderita banyak, dia tidak disimpati majikannya. Oleh itu, pembantu tersebut meninggalkannya dan mencari pekerjaan lain. Kemudian, dia percaya Yesus dan menghadiri kebaktian di gereja. Dia mendengar banyak kisah tentang kasih Yesus yang dicurah untuk manusia. Bertahun-tahun kemudian, dia menjadi seorang hakim.

“Seseorang telah mendakwa pemilik kapal layar atas penipuan. Pemilik itu dihadapkan kepada hakim untuk diadili. Hakim duduk di atas kerusi yang tinggi, dan iblis berkata dalam hati hakim, ‘Sekarang masanya untuk kamu balas dendam. Dahulu dia sangat kejam terhadapmu, sekarang balaslah dendam dengan sepenuhnya. Lagipun, dia telah melanggar undang-undang,  jatuhkanlah hukuman yang paling berat padanya menurut hukuman undang-undang.’

Hakim itu menahan perasaannya yang konflik tetapi akhirnya menolak godaan iblis. Katanya, Enyahlah, iblis ! Saya tidak akan mendengar kata-katamu. Saya akan memaafkannya dan berharap dia bertaubat.’ Bagaimanakah hakim ini memberikan hukuman? Beliau pertama-tama memberikan keputusan yang adil di sisi undang-undang di mana mendapati orang tersebut telah bersalah dan memberitahunya, ‘Kamu mesti mengembalikan semua wang yang kamu tipu, kalau tidak, kamu akan dipenjarakan.’ Orang itu memohon kepada hakim, ‘Saya tidak mampu membayarnya, saya benar-benar tidak ada cara yang lain lagi, mohon agar saya tidak dijatuhkan ke dalam penjara.’

Orang itu masih tidak mengenali hakim yang muda ini. Tidak lama kemudian, hakim itu  membantu pesalah ini melunaskan hutangnya secara peribadi  kemudian membebaskannya. Orang tersebut terharu dengan belas kasihan yang dihulur oleh hakim. Akhirnya, dengan tergagap-gagap dia berkata, ‘Awak bertindak sedemikian……! Awak terlalu baik padaku!’ Pada masa itu, hakim berkata, ‘Kamu masih tidak mengenali saya? Perhatikan dengan teliti, saya adalah si pemuda yang bekerja di kapal kamu dahulu, yang dulu pernah kau perlakukan dengan kejam!’ Orang itu menundukkan kepala dengan malu serta akhirnya mengaku kesalahannya. Kemudian, pemilik kapal layar  ini menjadi seseorang yang sering membantu orang miskin.

 

Soalan perbincangan:

  1. Mengapa pemilik kapal layar ini yang pada awalnya kejam tetapi akhirnya menjadi seorang yang baik hati ?

△ Hakim bukan sahaja memaafkannya, tetapi juga membantu dia melunaskan hutang. Ini yang membuatnya terharu.

  1. Jika kamu adalah hakim itu, apa yang akan kamu lakukan? (Kanak-kanak berkongsi)
  2. Jika pada suatu hari, adik lelaki atau adik perempuan kamu secara tidak sengajanya telah mengoyak buku latihanmu atau membongkar laci meja  kamu sesuka hati, apa yang akan kamu lakukan?
  3. Di sekolah, jika ada kawan menumbuk kamu, apa yang akan kamu lakukan?
  4. Fikirkanlah, siapakah yang boleh memberi contoh bagaimana untuk memaafkan orang yang bersalah kepada kita ?