BAB 4: API DARI SYURGA
Mesej Untuk Guru:
Guru yang dikasihi, “Api Dari Syurga” merupakan mukjizat yang sangat menggembirakan umat Kristian. Jikalau pada hari ini kita juga dapat melihat mukjizat ini dengan mata sendiri, pasti kita juga akan berseru “Tuhan Dialah Allah!” sama seperti umat pada ketika itu. Namun, pengaruh alam sekeliling pada ketika itu amatlah besar. Walaupun umat Israel ingin kembali kepada Tuhan, namun penganiayaan menimpa mereka sehingga mereka sukar untuk mempertahankan kebenaran kerana kuasa raja yang terlalu besar. Peristiwa ini umpama dunia pada hari ini kerana semasa kita ingin kembali kepada Tuhan, kita tidak dapat maju ke hadapan kerana godaan, halangan dan batasan keadaan sekeliling kita. Tambahan pula, pandangan dan kritikan orang dalam dunia sering mempengaruhi kita sehingga kita terpengaruh untuk mengejar nama, kedudukan dan kekayaan tanpa disedari. Ketika kita kehilangan hala tuju dan ketika kita mengalami bebanan hidup, barulah kita sedar dan mencari Tuhan. Ini merupakan sifat manusia dan umat kristian harus menjadikannya sebagai pengajaran dan sentiasa berjaga-jaga.
Nas Alkitab: 1 Raja-raja 18:1–40
Objektif Pengajaran dan Pembelajaran:
Mengetahui bahawa hanya Tuhan yang Maha Kuasa dan semua berhala adalah tuhan palsu.
Ayat Hafalan:
Bersorak-sorailah bagi Allah, kekuatan kita (Mazmur 81:2)
Doa:
Dalam nama Tuhan Yesus berdoa. Bapa syurga yang dikasihi, kami tahu bahawa manusia bukanlah Tuhan. Matahari, bulan dan bintang, juga bukan Tuhan. Hanya Engkaulah Tuhan yang benar, Tuhan yang agung. Oleh itu, kami hanya boleh menyembah kepada-Mu. Haleluya, Amin.
Isi Pelajaran:
Pendahuluan
Adik-adik, pada minggu lalu, cikgu telah menceritakan tentang dua mukjizat. Mukjizat ini terjadi kerana nabi Elia mendengar perintah Tuhan dan percaya Tuhan akan menjaganya. Maka Tuhan benar-benar telah menjaganya dan tidak membiarkan dia kelaparan. Mukjizat pertama ialah burung gagak menghantar daging dan roti kepada Elia. Mukjizat yang kedua ialah Tuhan membantu seorang ibu janda supaya tepung dan minyaknya tidak habis digunakan. Hal ini disebabkan ibu janda itu mempunyai iman. Dia tetap menyambut nabi Elia dengan baik dan percaya kepada kata-kata Elia walau pun pada mulanya dia memang tidak mempunyai makanan sudah. Maka Tuhan pun mengaruniakan dia tepung dan minyak yang tidak akan habis digunakan. Pada hari ini, cikgu akan menceritakan tentang seorang raja yang jahat iaitu Ahab. Dia menyembah kepada berhala lalu dihukum oleh Tuhan: hujan tidak lagi turun. Akhirnya apa yang terjadi?
Elia Menghadap Raja Ahab
Wah! Sesungguhnya negeri Israel benar-benar tiga tahun (menunjukkan tiga dengan jari) tidak pernah hujan dan akibatnya semua orang pun sangat menderita. Tuhan mengasihi orang Israel. Dia tidak sampai hati melihat orang Israel tidak ada air untuk diminum, tidak ada makanan untuk dimakan, sehingga menanggung kelaparan setiap hari. Lalu Tuhan menyuruh nabi Elia pergi menghadap raja Ahab. Nabi Elia berkata kepada raja Ahab, “Kerana engkau membawa orang Israel menyembah berhala, maka telah membangkitkan murka Tuhan. Sekarang suruhlah orang Israel dan nabi-nabi yang menyembah berhala itu menemui aku di gunung Karmel.”
Di Atas Gunung Karmel
Setelah bangsa Israel mengetahui berita ini, mereka masing-masing membawa seluruh anggota keluarga mereka pergi ke gunung Karmel mencari nabi Elia. Nabi Elia dengan suara nyaring berkata kepada semua orang, “Hai orang Israel ! Sehingga hari ini, apakah kalian tidak tahu siapakah Tuhan? Kalau Tuhan itu Allah, maka kalian haruslah menyembah Tuhan, kalau patung Baal itu allah, maka kalian haruslah menyembah patung Baal!” Umat Israel mengangguk-anggukkan kepala dan berasa apa yang dikatakan Elia itu benar juga. Kemudian Elia berkata lagi, “Lihatlah! Aku percaya Tuhan itu Allah, tetapi kamu pula tidak dapat membezakan siapakah Tuhan yang benar. Sekarang ini, yang menjadi nabi Tuhan tinggal aku seorang sahaja padahal nabi-nabi Baal ada empat ratus lima puluh orang. Mari kita lihat sekarang Tuhan siapakah yang benar, bolehkah? Semua umat berasa gembira sekali. Mereka ingin melihat manakah Tuhan yang benar dan lebih hebat. Maka Elia berkata, “Baiklah, di sini ada dua ekor lembu. Bilangan nabi Baal lebih ramai, jadi aku biarkan kamu memilih seekor lembu dahulu. Selepas ini, kita menyembelih lembu-lembu itu dan memotong-motongnya lalu meletakannya di atas kayu api. Tetapi api tidak dinyalakan melainkan mula berdoa. Kita akan melihat, Tuhan yang menurunkan api dari langit dan membakar habis lembu itu, dialah Tuhan yang benar. Apakah ini cara yang baik?” Orang Israel berasa ini adalah cara yang baik, lalu mereka berkata, “Baik! Baik!”
Nabi-nabi Baal Memohon Api Diturunkan
Elia memberi laluan kepada nabi-nabi Baal untuk mulakan dahulu. Nabi-nabi Baal memotong dulu lembu itu, lalu menaruhnya di atas kayu api. Kemudian mereka memohon dan berdoa dengan suara nyaring. Namun tidak kira bagaimana pun mereka menjerit dan menyembah dengan sungguh-sungguh, langit masih tidak menurunkan api. Elia pun berkata kepada mereka: “Kamu harus gunakan suara yang lebih kuat lagi kerana mungkin dewa Baal kamu telah pergi ke tempat lain dan belum lagi kembali. (Tinggikan nada, tunjukkan aksi tiba-tiba terfikir). Ah! Mungkin dia tertidur, segeralah kamu bangunkan dia!” Apabila nabi-nabi Baal mendengarkannya, mereka terus menjerit dengan lebih kuat lagi: “Ya dewa Baal, mohon engkau dengar doa kami” Lalu mereka juga menoreh-noreh diri dengan pedang dan tombak sehingga darah bercucuran daripada tubuh. Aduhai! Kesiannya! Empat ratus lima puluh orang nabi Baal ini memohon dengan bersungguh-sungguh daripada pagi hingga matahari hampir terbenam supaya Baal menurunkan api dari langit tetapi langit masih tidak menurunkan api.
Api Dari Langit / Syurga
Ketika itu, nabi Elia pun berkata, “Memandangkan kamu tidak dapat memohon api diturunkan, jadi sampailah giliran saya sekarang.” Pertama, Nabi Elia mengambil dua belas batu, dan setelah disusun untuk menjadi mezbah, dia meletakkan kayu api di atasnya. Lalu daging lembu dipotong-potong dan diletakkan di atas kayu api. Nabi Elia juga membuat parit di sekelilingnya dan menyuruh orang Israel mengambil dua belas buyung air serta menuangkan air itu di atas. Alamak! Adik-adik, apakah yang sedang Elia lakukan? Cikgu tanya kamu, kertas yang kering lebih senang dibakar atau kertas yang basah? (Boleh membuat eksperimen serta merta). Sekarang, mezbah nabi Elia ada lembu, kayu api, batu, semuanya telah basah, parit di sekeliling mezbah juga sudah dipenuhi air dan semua tanah pun menjadi basah. Pada ketika itu, barulah nabi Elia berkata, “Cukup!” Setelah semua disiapkan, nabi Elia berlutut berdoa. Dia berkata, “Ya Tuhan! Pada hari ini biarlah semua orang mengetahui bahawa Engkaulah Tuhan di tengah-tengah Israel dan bahawa aku ini hamba-Mu dan bahawa atas firman-Mulah aku melakukan segala perkara ini. Mohon Engkau menurunkan api, supaya mereka menyembah kepada-Mu, Amin!” Sejurus Elia selesai berdoa, turunlah api dari langit. Api ini kuat dan panas sekali! Ia bukan saja membakar habis daging lembu dan kayu api, malah air di parit juga terbakar sehingga kering. Wah! Bangsa Israel semua tergamam. Selain daripada melihat Tuhan melakukan mukjizat yang besar dengan mata sendiri, mereka juga sedar bahawa Tuhan adalah Allah yang Maha Kuasa. Mereka pun sujud dan berdoa dengan segera, “Tuhan, Dialah Allah! Tuhan, Dialah Allah !”
Kesimpulan
Adik-adik, Tuhan yang disembah oleh nabi Elia adalah Allah Bapa kita, iaitu Tuhan Yesus. Dia suka mendengar doa kita, sama seperti ayah dan ibu kita suka mendengar kita berkata-kata. Oleh itu, kita harus sentiasa berdoa dan memberitahukan hal-hal yang terjadi setiap hari kepada Allah Bapa kita, agar Dia menolong kita. Ini disebabkan hanya Tuhan yang boleh melakukan mukjizat besar, allah yang lain adalah yang palsu. Cuba kita fikirkan, hari ini, apa yang kita boleh beritahukan kepada Allah Bapa? (Mengajarkan anak berdoa, biarkan anak renungkan sejenak dahulu, kemudian baru kemukakan). Baiklah! Pada minggu hadapan, Elia akan menghadapi keberbahayaan disebabkan ada orang yang ingin membunuhnya! Siapakah orang itu? Mengapa? Datanglah minggu hadapan maka kamu akan tahu!