BAB 4 : AYAH, AKU SANGAT MERINDUIMU!

BAB 4 : AYAH, AKU SANGAT MERINDUIMU!

 

Mesej Untuk Guru : 

Kepada guru yang dikasihi, bermula dari bab pertama – Yusuf dijual. Bab kedua – Yusuf menjadi penguasa. Bab ketiga, Yusuf dan saudara-saudaranya saling mengenali. Sampailah bab ini – Yusuf menyara ayahnya, cerita berkenaan Yusuf akan berakhir di sini. Demikianlah Yusuf telah membawa orang Israel masuk ke dalam Mesir. Mereka diberkati oleh Tuhan dan berkembang maju sehingga jumlah mereka melebihi orang Mesir. Kemudian, orang Israel menetap di Mesir selama 354 tahun sehingga Tuhan memilih Musa untuk menyelamatkan orang Israel keluar dari Mesir. Setelah kehidupan empat puluh tahun di padang gurun, barulah mereka dapat kembali ke Tanah Kanaan yang Tuhan janjikan kepada Abraham. Mari kita cuba fikirkan, jika Adam dan Hawa tidak memakan buah dari pohon pengetahuan tentang yang baik dan yang jahat pada awalnya, maka manusia tidak akan mempunyai banyak niat pemikiran antara yang baik dan yang jahat, dan tidak akan mendatangkan malapetaka yang tidak putus-putus ini kepada manusia. Namun syukurnya, Tuhan tidak meninggalkan kita, Dia telah memilih kita dalam kalangan orang di dunia ini untuk menjadi umat-Nya. Oleh itu, kiranya kita dapat menjadi orang yang dikasihi-Nya dan layak mendapat penjagaan-Nya. Kongsikanlah ini kepada kanak-kanak sebagai dorongan bersama! 

 

Nas Alkitab : Kejadian 45:16 – 46

 

Objektif Pengajaran dan Pembelajaran : 

Mengasihi Tuhan dan mengasihi manusia, taat kepada ibu bapa selagi ada kesempatan.

 

Ayat Hafalan :

Biarlah ayahmu dan ibumu bersukacita, biarlah beria-ria dia yang melahirkan engkau (Amsal 23:25).

 

Persediaan Prapengajaran dan Pembelajaran :

Gambar (Gambar yang berkaitan disediakan oleh guru.)

 

Doa : 

Dalam nama Tuhan Yesus berdoa. Bapa Syurga yang dikasihi, terima kasih kerana menjaga dan melindungi kami. Kami ingin belajar untuk saling mengasihi antara ahli keluarga, tidak sembarangan merajuk sehingga menyedihkan ibu dan ayah, dan belajar menjadi anak yang taat dan baik. Inilah doa kami, kiranya Tuhan membantu. Haleluya, syukur kepada Tuhan, Amin!

 

Isi Pelajaran

Pendahuluan

Dalam beberapa minggu ini, guru telah menyampaikan cerita tentang seorang yang dibuli oleh abang-abangnya sejak kecil dan kemudiannya dijual, siapakah orang itu? (Yusuf) Setelah Yusuf menjadi penguasa, dia melihat bahawa abang-abangnya yang pernah membuli dia sedang bersujud dan meminta dia menjualkan makanan kepada mereka. Apakah yang dilakukan oleh Yusuf? Adakah dia membalas dendam? Tidak! Dia membiarkan abang-abangnya membawa banyak makanan balik ke rumah dan mengembalikan semua wang kepada mereka secara senyap-senyap. Pada kali kedua, abang-abang membawa adiknya, Benyamin, untuk membeli makanan seperti yang dijanjikan. Bagaimanakah Yusuf menguji sama ada abang-abangnya mengasihi adiknya? Ya, dia memasukkan cawan/piala perak ke dalam karung adiknya dengan sengaja untuk menuduh adiknya sebagai pencuri dengan tujuan agar adiknya ditinggalkan, dengan ini menguji sama ada abang-abang akan meninggalkan adiknya, Benyamin dan tidak mempedulikannya. Akhirnya, abang-abangnya bukan sahaja tidak meninggalkan adik mereka sendirian, malah mereka memohon kepada penguasa dan berkata, “Tuanku, penguasa! Ayah saya sangat menyukai adik ini. Sekiranya dia tidak melihatnya lagi, ayah saya pasti akan sangat sedih. Tolong benarkan saya tinggal di sini menggantikan adik saya, boleh?” Lihatlah adik-adik, abang-abangnya benar-benar telah berubah menjadi baik. Kemudiannya, Yusuf memperkenalkan dirinya kepada abang-abangnya lalu mereka saling mengenali, Yusuf rela memaafkan abang-abangnya, ini membuatkan abang-abangnya berasa sangat terharu!

 

Raja Melayan Keluarga Yusuf Dengan Murah Hati

Ketika Firaun dan orang-orang di istana tahu bahawa orang-orang yang datang membeli makanan ini adalah saudara-saudara penguasa Yusuf, semua orang berkata dengan gembira: “Akhirnya, penguasa Yusuf dapat bertemu dengan ahli keluarganya yang sudah lama tidak berjumpa.” Bahkan Firaun juga berkata kepada Yusuf: “Yusuf, panggil abang-abangmu segera kembali dan membawa sekali ayahmu dan semua orang dalam keluargamu ke Mesir! Aku ingin memberikan apa yang paling baik di Mesir kepada kamu semua.” Wah, baik sekali layanan Firaun kepada Yusuf! Lalu Yusuf menuruti kata-kata raja, menyediakan kereta, makanan dan hadiah yang banyak untuk dibawa balik kepada ayahnya. Harap-harap ayahnya dapat memimpin seluruh keluarga, dan membawa semua binatang seperti lembu, domba dan sebagainya datang ke Mesir.

 

Sekeluarga Pindah Ke Mesir

Ketika abang-abangnya sampai ke rumah, mereka segera berkata kepada ayah mereka, Yakub: “Ayah, kami ingin memberitahukan satu khabar baik, kami telah menemui Yusuf, adik kami. Dia adalah penguasa di Mesir!” Yakub, ayah mereka tidak dapat mempercayai mereka dan berkata, “Jangan menipu aku! Yusuf telah dimakan oleh binatang buas sejak dahulu lagi.” Abang-abang berkata lagi, “Ayah, apa yang kami katakan itu benar! Lihatlah semua ini, kereta ini dikirim oleh Yusuf untuk menjemput ayah dan hadiah ini adalah untuk ayah!” Pada masa inilah baru ayah mereka Yakub menjadi percaya dan berkata dengan sangat gembira: “Yusuf benar-benar hidup! Saya sangat gembira. Cepat, saya hendak melihatnya sekarang.” Demikianlah Yakub dengan senang hati membawa seluruh keluarga bersamanya, termasuk lembu, kambing dan ternakan berangkat ke Mesir. Pada waktu petang, Tuhan berfirman kepada Yakub: “Yakub! Yakub! Janganlah takut pergi ke Mesir, Aku sendiri akan menyertai engkau. Aku akan melindungi kalian dan tentulah Aku akan membawa kalian kembali pada waktu kelak.” Wah, dengan adanya jaminan daripada Tuhan, Yakub sekeluarga penuh dengan rasa syukur! Sebab mereka tahu bahawa tidak kira di mana pun mereka berada, Tuhan Allah yang benar akan bersama dengan mereka buat selama-lamanya.

 

Yusuf Yang Taat

Di Mesir, Yusuf berasa sangat gembira apabila mengetahui bahawa ayahnya hampir tiba! Dia segera menaiki kereta kuda untuk berjumpa dengan ayahnya. Ketika dia melihat ayahnya tiba bersama seluruh keluarga, Yusuf memeluk leher ayahnya dan menangis dengan gembira dan terharu, katanya: “Ayah, aku sangat merinduimu!” Ayahnya juga berkata, “Melihat kamu di sini dalam keadaan damai, saya sangat gembira!” Kemudian, Yusuf yang taat membawa ayahnya untuk berjumpa dengan raja Firaun. Firaun berkata kepada Yakub dengan gembira: “Tinggallah di sini dengan senang hati! Nikmatilah apa yang paling baik dalam Mesir.” Maka Yusuf pun menyediakan tempat yang terbaik dan terindah di Mesir untuk didiami oleh ayahnya dan menyediakan makanan yang terbaik untuk dinikmati oleh ayahnya, sehinggalah Yakub menjadi sangat tua dan meninggal dunia kembali kepada Bapa di syurga.

 

Kesimpulan

Adik-adik, fikirkanlah, mengapakah Firaun memperlakukan keluarga Yusuf dengan begitu baik? Meskipun kelaparan sedang berlaku di seluruh tanah itu, tetapi masih menjemput mereka sekeluarga berpindah ke Mesir, malah diberikan kepada mereka tanah yang terbaik di Mesir? (Biarkan adik-adik memberikan pendapat) Ya, selain daripada kerana Tuhan menyertai Yusuf dan menjadikannya bijak, cuba kamu fikirkan, adakah Yusuf berbuat baik kepada orang lain? Betul! Sudah tentu dia berlaku sangat baik dan sopan terhadap raja dan pegawainya, sehinggakan orang-orang di Mesir sangat menyukainya. 

   Oleh itu, apabila kita melayan orang lain dengan kasih, orang lain akan berasa sangat terharu dan akan membalas kita dengan kasih. Apatah lagi Tuhan, jika kita mengasihi Tuhan, tentulah Tuhan akan lebih mengasihi kita. Sekarang kita masih sangat muda, ayah dan ibu sangat menyayangi kita, kita ada rumah untuk didiami, pakaian untuk dipakai dan makanan yang enak untuk dimakan. Setelah kita mendewasa dan menjadi ayah dan ibu, ayah dan ibu kita pada waktu itu sudah menjadi tua, berjalan dengan lambat, kehilangan gigi dan tidak dapat melakukan banyak perkara. Pada waktu itu, kita haruslah mencontohi Yusuf, menjaga ayah dan ibu, mendengar kata-kata ayah dan ibu, jangan menimbulkan kemarahan ayah dan ibu, serta berusaha menjadi seorang anak yang taat. Pada minggu depan, cikgu akan memperkenalkan seorang tokoh yang sangat istimewa. Siapakah dia? Pada mulanya dia seorang yang pemalu, tetapi dia kemudiannya menjadi pemimpin yang hebat. Apakah sebabnya? Kamu akan tahu dalam kelas minggu seterusnya.