Nas Alkitab : 2 Tawarikh Fasal 32 ; Yesaya Fasal 36-38
Objektif Pengajaran dan Pembelajaran :
- Mengetahui bahawa Hizkia menghormati dan mengasihi Tuhan maka dia dibantu oleh Tuhan.
- Melakukan apa yang benar di mata Tuhan: (4) Menghargai harta benda gereja.
Ayat Hafalan :
Tuhan, Allah kita yang membantu kita. (2 Tawarikh 32:8)
Persediaan Prapengajaran Dan Pembelajaran >:
- Kad tulisan
Doa :
Dalam nama Tuhan Yesus berdoa. Tuhan Yesus yang dikasihi , kami addalah orang yang berbahagia kerana Engkau telah menyelamatkan kami, supaya kami dapat mengenali-Mu. Kami mahu selalu datang berkebaktian untuk menyembah-Mu, mendengar perkataan-Mu dan menjadi anak baik yang dikasihi-Mu. Haleluya. Amin.
Isi Pelajaran :
Pada masa yang lalu, kita telah mendengar cerita tentang raja yang bagaimana? (Raja yang berpenyakit kusta). Mengapa dia begitu kasihan? Sungguh malang sekali! Pada mulanya diberkati Tuhan tetapi akhirnya menerima hukuman berat daripada Tuhan. Tuhan paling tidak menyukai orang yang bagaimana? Iaitu orang yang sudah tahu itu tidak boleh dilakukan tetapi sengaja melakukannya. Itulah yang paling dibenci Tuhan. Namun, jika kamu tidak tahu itu tidak boleh dilakukan namun kamu telah melakukannya dan selepas melakukannya baru tahu itu tidak boleh dilakukan, maka kamu harus segera berdoa dan memohon pengampunan daripada Tuhan . Memang Tuhan masih dapat mengampuni. Maka kita harus memegang perintah Tuhan dengan berhati-hati dan jangan membangkitkan murka Tuhan untuk selama-lamanya kerana adalah lebih baik untuk kita diberkati oleh Tuhan.
Putera Raja Hizkia Menaiki Takhta
Pada hari ini, cikgu akan menyampaikan cerita tentang seorang raja yang lain. Dia adalah cicit kepada Raja Uzia yang berpenyakit kusta (Tunjukkan kad tulisan), bernama Hizkia. (Tunjukkan kad tulisan). Cuba baca 3 kali. Sungguhpun ayah raja Hizkia adalah seorang raja yang tidak menyembah Tuhan, namun Hizkia berasa sangat susah hati ketika dia melihat Raja Ahas, ayahnya telah melakukan banyak perkara yang tidak disukai Tuhan seperti menyembah berhala dan tidak menurut perintah Tuhan. Tuhan membiarkan negara-negara di persekitarannya sering menyerang negara Yehuda (Tunjukkan kad tulisan). Setelah ayahnya, Raja Ahas meninggal dunia, Hizkia telah menjadi raja. Pada masa itu, dia berusia 25 tahun. Dia bertekad untuk menjadi seorang raja yang baik. Perintah Raja Hizkia yang pertama ialah membuka pintu Bait Suci yang sudah lama ditutup. Walaupun Raja Yoas, moyangnya pernah memperbaiki Bait Suci secara menyeluruh ; namun hal itu telah dilakukannya lebih seratus tahun yang lalu.
Salah satunya iaitu Raja Uzia pernah pergi ke Bait Suci dan bersungguh-sungguh menyembah Tuhan. Kemudian, datuknya dan ayahnya tidak lagi menyembah Tuhan di Bait Suci. Lama-kelamaan, Bait Suci menjadi usang dan rosak. Raja Hizkia menghantar orang membantu imam dan pekerja di Bait Suci untuk membersihkan dan memperbaiki Bait Suci. Mereka menjalankan pembersihan dari 1hb bulan hingga 6hb bulan pertama. Setelah kerja pembersihan selesai, Raja Hizkia menurunkan perintah untuk mempersiapkan upacara persembahan korban bakaran pada keesokkan hari. (Tunjukkan kad tulisan).
Upacara Mempersembahkan Korban Bakaran
>Pada keesokan paginya, raja membawa pegawai besar dengan menurut ketetapan Tuhan untuk menjalankan upacara mempersembahkan korban bakaran. Adik-adik sekalian, adakah upacara mempersembahkan korban bakaran ini dipimpin oleh raja? Bukan dipimpin oleh raja tetapi dipimpin oleh Imam Besar. Disebabkan Raja Uzia, iaitu datuk kepada Raja Hizkia tinggi hati, dia tidak mendengar nasihat imam lalu membuat persembahan korban bakaran sendiri. Akibatnya dia dihukum oleh Tuhan dan seketika itu juga dia mendapat penyakit kusta. Kasihan sekali! Sebenarnya dia adalah seorang raja yang sangat baik! Upacara mempersembahkan korban bakaran Raja Hizkia kali ini meriah sekali. Ini disebabkan sudah hampir seratus tahun korban bakaran tidak dipersembahkan. Kemudian raja memanggil ramai sekali umat pergi ke Bait Tuhan untuk merayakan Paskah. Ramai umat datang membawa kambing domba dan lembu sapi peliharaan sendiri yang paling gemuk dan baik untuk menyembah Tuhan di Bait Suci. Semuanya berjumlah dua ribu lebih lembu sapi dan tujuh belas ribu kambing domba. Yang datang menyembah Tuhan pula, begitu ramai sehingga tidak terhitung. Semua orang berdoa dan menyembah Tuhan. Sangat meriah dan sangat sukacita!
Memusnahkan Berhala
Perintah Raja Hizkia yang kedua ialah menghapuskan berhala. Ini disebabkan Raja Ahas, ayahnya tidak menurut perintah Tuhan dan menyembah berhala. Oleh itu banyak kuil berhala telah didirikan. Raja Hizkia meminta seluruh umat mengeluarkan semua berhala untuk dibakar dan dimusnahkan baik yang di rumah mahupun yang di kuil. Umat telah melakukannya menurut perintah raja. Bagaimanakah perasaan Tuhan setelah melihatnya? Tentulah sangat gembira. Tuhan memberkati Raja Hizkia dan negara Yehuda.
Negara Asyur Membawa Tentera Untuk Menyerang
Tidak lama kemudian, datanglah raja Asyur dengan tiba-tiba membawa tenteranya untuk mengepung Yerusalem (Tunjukkan kad tulisan). Raja Hizkia dengan segera memerintah seluruh umat bersiap sedia untuk berperang. Pada zaman Raja Ahas, Tuhan tidak melindungi negara Yehuda. Justeru itu, mereka sangat takut berperang sebab setiap kali mereka gagal dalam peperangan. Maka, Raja Hizkia menasihati umatnya dan berkata : “Kuatkanlah dan teguhkanlah hatimu…TUHAN, Allah kita pasti akan membantu kita.” (Tunjukkan kad tulisan) (Bimbing kanak-kanak baca sampai fasih). Setelah semua orang mendengar kata raja, mereka tidak lagi merasa takut dan menjadi beriman. Mereka percaya bahawa Tuhan akan melindungi mereka. Semua orang lebih tekun berdoa kepada Tuhan untuk hal ini.
Raja Asyur juga mendengar Raja Hizkia yang muda itu menyampaikan kata-kata yang beriman. Lalu dia mengutus orang pergi di luar kota dan berseru dalam bahasa Yahudi : “Hai! Orang Yahudi. Tuhan kamu tidak berdaya untuk menyelamatkan kamu, keluarlah untuk menyerahkan diri!” Dia juga mengeluarkan banyak kata-kata yang memarahi Tuhan. Setelah Raja Hizkia mendengar bahawa TUHAN Allah telah dihina, hatinya merasa sangat sedih lalu masuk ke Bait Suci untuk berdoa dan meminta pertolongan daripada Tuhan. Selain daripada itu, dia mengutus orang untuk berjumpa dengan nabi Yesaya. Nabi ialah orang yang menyampaikan perkataan Tuhan kepada umatNya. Orang yang diutus oleh Raja Hizkia berkata kepada Nabi Yesaya: “Musuh memarahi Tuhan yang kita sembah dan mengejek Tuhan kita tidak berdaya untuk menyelamatkan kita. Raja Hizkia meminta engkau berdoa kepada Tuhan demi negara Yehuda, memohon Tuhan mesti menyelamatkan kita!” Lalu, Nabi Yesaya pun berdoa demi negara Yehuda dan Tuhan mendengar doanya serta doa Raja Hizkia. Kemudian nabi memberitahu orang yang diutus oleh raja menurut perkataan Tuhan : “Demikianlah firman Tuhan: Janganlah engkau takut terhadap perkataan yang kau dengar dari orang Asyur. Aku akan menolong kamu.”
Pertolongan Dan Janji Tuhan
Pada waktu malam, Tuhan telah mengutus seorang malaikat membunuh semua panglima tentera dan ketua-ketua pasukan negara Asyur. Pada malam itu, tentera Asyur yang dibunuh berjumlah seratus lapan puluh ribu orang. Pada keesokan hari, sebaik sahaja Raja Asyur bangun, seorang askar menyampaikan laporan dengan suara yang menggigil ketakutan: “Celakalah kali ini! Semua ketua pasukan telah mati dibunuh!”
Bagaimana berperang kerana sekarang hanya tinggal berapa orang askar sahaja? Raja Asyur terpaksa menurunkan perintah untuk menarik balik tenteranya. Akhirnya, pada suatu hari, ketika Raja Asyur masuk ke dalam kuil untuk menyembah kepada tuhan palsu, dia dibunuh oleh anaknya sendiri. Maka, negara Asyur tidak berani menyerang negara Yehuda lagi. Sejak itu, negara Yehuda menjadi makmur dan sentosa di bawah perlindungan Tuhan.
Kemudian Raja Hizkia sakit tenat dan berbaring di atas katilnya. Nabi Yesaya setelah diberitahu oleh Tuhan telah pergi berjumpa dengan Raja Hizkia dan berkata: “Tuhan memberitahu kepadaku, bahawa penyakitmu tidak akan sembuh dan engkau pasti akan mati. Sampaikanlah pesanan terakhir kepada keluargamu.” Raja Hizkia yang kasihan berasa sangat sedih lalu memalingkan mukanya ke arah dinding sambil berdoa bersungguh-sungguh dengan berbaring di atas katil. Akhirnya, Tuhan mengutus Nabi Yesaya dan memberitahunya: “Beginilah firman Tuhan: Telah Kudengar doamu dan telah Kulihat air matamu. Sesungguhnya Aku akan memperpanjang hidupmu lima belas tahun lagi dan Aku akan melepaskan engkau dan memagari kota kudus ini.” Maka Raja Hizkia menjadi sembuh. Pada hari yang ketiga, raja pergi ke Bait Suci untuk berdoa dan bersyukur kepada Tuhan.
Tuhan memang sangat mengasihi Raja Hizkia kerana apa yang dimintanya dikabulkan oleh Tuhan. Adakah Tuhan pilih kasih? Apakah kelakuan baik Raja Hizkia? Dia takut akan Tuhan dan menuruti perintah Tuhan. Setelah dia menjadi raja, perintah pertamanya ialah membuka pintu Bait Suci, membersihkan dan memperbaiki Bait Suci. Ketika musuh menghina Tuhan, dia berasa sangat susah hati. Jadi, kita dapat lihat bahawa Raja Hizkia memang sangat mengutamakan Tuhan di dalam hatinya. Dia mementingkan perkara Tuhan lebih daripada perkaranya sendiri. Maka, Tuhan mengabulkan permintaannya.
Adik-adik sekalian, kita juga harus sama seperti raja Hizkia yang mementingkan rumah Tuhan daripada rumah sendiri. (Minta seorang kanak-kanak keluar untuk menunjukkannya). Lihat apa yang dilakukan oleh adik ini? Dia memindahkan kerusi dengan berhati-hati. Cuba kalian melihat adik ini (Tunjukkan gambar). Adakah baik menconteng meja dengan menggunakan pensil? Permukaan meja kelihatan tidak elok. Jika diconteng dengan menggunakan pen atau alat yang tajam, maka kotoran tersebut tidak akan hilang selama-lamanya. (Tunjukkan gambar). Kita lihat lagi adakah perbuatan adik ini menggulung buku nyanyian itu baik? Bagaimana kita harus memegang buku? (Guru menunjukkan cara memegang buku).
Adik-adik sekalian, barang-barang yang ada di dalam gereja milik siapa? (Tuhan Yesus). Maka, kita harus menjaga dan mengasihinya bersama-sama. Seperti kepala paip air harus ditutup selepas menggunakan air, padamkan lampu dan kipas ketika meninggalkan kelas, jangan dibiarkan begitu sahaja. Dengan itu, pasti Tuhan akan mengasihi kita sama seperti Tuhan Yesus mengasihi Raja Hizkia.