BAB 4: DAUD, ANAK PENGGEMBALA

Mesej Untuk Guru:

Guru yang dikasihi, bab ini akan memperkenalkan riwayat Daud. Dalam Kitab Suci, Tuhan menyebut Daud sebagai seorang raja yang berkenan di hati-Nya. Kita akan menceritakan beberapa cerita yang terkenal mengenai Daud dan sesuai dengan kanak-kanak dalam lima bab yang seterusnya, termasuklah zaman Daud menggembala semasa muda (Bab Empat), Daud membunuh Goliat (Bab Lima), persahabatan antara Daud dan Yonatan (Bab Enam), Daud yang berkenan di hati Tuhan (Bab Tujuh), Daud dan Nabal serta Daud menjadi raja (Bab Lapan), Daud menunjukkan kasih kepada anak Yonatan – Mefiboset (Bab Sembilan) dan cerita anak durhaka – Absalom (Bab Sepuluh). Guru-guru boleh mengkaji kembali riwayat Daud melalui bab-bab ini. Kitab Suci jarang memperkenalkan seseorang tokoh melalui gulungan kitab secara panjang lebar iaitu daripada kitab I Samuel dan II Samuel dan diteruskan lagi di I Raja-raja fasal 2. Tambahan pula, kalau kita sekaligus membaca kitab Mazmur sehingga habis, maka seumur hidup Daud boleh dipaparkan semula di hati kita. Sekali lagi kita dapat mengetahui bahawa jejak langkah manusia, selain kesia-siaan dan keluhan, turut mendapat ketenangan dalam kasih Tuhan, penderitaan ketika meninggalkan Tuhan dan kepahitan air mata yang lahir daripada kekesalan. Riwayat Daud jelas di depan mata kita, termasuklah daripada seorang kanak-kanak penggembala sehingga menjadi pahlawan yang membunuh Goliat, dicemburui oleh Saul, dikejar dan melarikan diri, diurapi menjadi raja, ingin membina Bait Suci namun tidak dibenarkan oleh Tuhan, menewaskan musuh, melakukan keadilan ke atas rakyat, berdosa dan bersalah terhadap Tuhan, bertaubat dan mengaku dosa, pemberontakan dalam keluarganya, mewariskan takhta raja kepada Salomo pada masa tuanya dan banyak lagi peristiwa yang lain. Dengan meninjau seumur hidup Daud, barulah kita boleh mengetahui, manakah peringkat yang sedang kita ceritakan, dan mengetahui sikap Daud yang dikenan oleh Tuhan, iaitu “menyembah Tuhan dalam roh dan kebenaran”, “mengasihi dan mendekati Tuhan”.

 

Nas Alkitab: 1 Samuel fasal 15 dan 16

 

Objektif Pengajaran dan Pembelajaran:

  1. Mengetahui bahawa Daud ialah seorang kanak-kanak penggembala yang berkasih sayang.
  2. Memahami bahawa Tuhan mengutamakan batiniah lebih daripada luaran.

 

Ayat Hafalan:

TUHAN adalah gembalaku, takkan kekurangan aku. (Mazmur 23:1)

 

Persediaan Prapengajaran dan Pembelajaran:

Topeng muka bercorak singa dan beruang, gambar-gambar (gambar yang berkaitan disediakan oleh guru.)

 

Doa:

Dalam nama Tuhan Yesus kami berdoa: Bapa syurga yang dikasihi , Engkaulah gembala kami dan kami domba-domba-Mu. Engkau mengelilingi kami dengan pagar dan memerintah menggunakan tongkat. Engkau membawa kami ke padang rumput hijau, dan membimbing kami berehat di tepi air. Kebajikan dan kemurahan akan mengikuti kami seumur hidup kami. Syukur atas anugerah-Mu ya Tuhan. Haleluya, Amin.

 

Isi Pelajaran:

Pendahuluan

Adik-adik, siapakah raja pertama Israel? Apakah yang telah dilakukannya sehingga Tuhan tidak berkenan kepadanya dan menolaknya menjadi raja? (Minta kanak-kanak beri pandangan). Memandangkan raja pertama itu tidak mendengar kata Tuhan, maka Tuhan ingin menukar orang yang lain menjadi raja. Bagaimanakah Tuhan mencari orang untuk menjadi raja kedua Israel?

Cuba adik-adik fikirkan. Tuhan berkenan kepada orang yang bagaimana untuk menjadi raja? (Dengarkan pandangan kanak-kanak, sama ada mereka mengutamakan luaran ataupun batiniah). Pada hari ini, kita akan mendengar cerita “raja kedua Israel” dan cerita ini bermula daripada seorang penggembala yang muda.

 

Daud, Anak Penggembala

Di negara Israel, terdapat seorang yang bernama Isai yang mempunyai lapan orang anak laki-laki. Bapa Isai mempunyai banyak anak domba. Anak laki-lakinya akan menggembalakan anak domba dengan memberi anak domba makan rumput dan minum air setiap hari. Daud merupakan anak bongsunya dan merupakan seorang kanak-kanak penggembala.

Adik-adik, apakah tugasan seorang kanak-kanak penggembala? (Minta kanak-kanak berikan pandangan, termasuk membawa anak domba makan rumput, minum air, menarik anak domba yang jatuh dalam jerat kembali ke darat, menuntun kawanan domba pulang ke kandang pada waktu malam ……). Jikalau semua anak domba Daud dalam keadaan baik dan tambun, apakah yang harus dilakukannya ketika singa dan beruang datang menerkam anak domba? (Kanak-kanak beri pandangan). Adik-adik, jangan kamu pandang ringan terhadap penggembala yang berusia paling muda ini! Apabila dia ternampak singa atau beruang ingin datang menerkam dombanya, dia tidak akan menyembunyikan dirinya atau menangis tanpa mengambil sebarang tindakan. Sebaliknya, dia akan mengejar dan memukul singa dan beruang itu lalu melepaskan domba itu daripada mulutnya. Sekiranya singa dan beruang tersebut ingin menyerangnya, maka dia akan menangkap janggutnya lalu memukul dan membunuhnya. (Boleh minta guru lain memakai topeng muka singa dan beruang untuk berlakon adegan ingin menangkap kanak-kanak, manakala guru yang memimpin berlakon sebagai Daud yang mengejar mereka) (1 Samuel 17:34-35). Wah, Daud sungguh berani! Hal ini demikian kerana Daud ialah seorang kanak-kanak penggembala yang tahu berdoa kepada Tuhan. Maka Tuhan menolong Daud supaya anak dombanya dapat pulang ke rumah dengan selamat. Daud juga memainkan kecapi bagi anak dombanya. Dia mainkan kecapi sambil menyanyikan kidung:

(Minta guru-guru membuat persembahan dengan menyebut lirik kidung kanak-kanak berikut, manakala kanak-kanak dianggap sebagai anak-anak domba yang sandar pada guru-guru sambil menyebut: baa …… baa …… )

  • Kidung kanak-kanak (bacaan boleh diulang beberapa kali)
Guru : “Tuhan gembalaku, aku gembala yang baik –”
Domba : “Baa …… Baa ……”
Guru : “Anak domba dengar kata tidak lari ke sana sini, ku bawa kamu makan rumput –”
Domba : “Baa …… Baa ……”
Guru : “Aku mengasihi anak – dombaku -, anak domba juga mengasihiku –”
Domba : “Kami mengasihi Daud -, Daud juga mengasihi kami. Baa …… Baa ……”

 

Samuel Mengurapi Raja Baharu

Tuhan benar yang di syurga membuat keputusan tidak ingin Saul menjadi raja, maka mengutus Nabi Samuel pergi ke rumah Isai. Tuhan berfirman kepada Samuel: “Samuel! Aku telah memilih seorang dari antara anak-anak Isai sebagai raja. Tuangkanlah minyak ke atas kepalanya dan urapilah dia menjadi raja.” Pada zaman dahulu, orang akan menyapukan minyak zaitun bercampur rempah wangi dalam satu peralatan mereka. Ianya bukan sahaja wangi, malah peralatan itu dapat bertahan lebih lama. Minyak demikian disebut sebagai minyak urapan. Samuel membawa tabung tanduk yang berisi minyak ke rumah Isai untuk mengundang Isai dan anak-anaknya ke upacara pengorbanan untuk makan daging korban persembahan. (Dalam Perjanjian Lama, hanya imam sahaja yang boleh makan daging korban persembahan. Namun dalam fasal ini, Isai dan keluarganya mendapat rahmat kerana Daud diurapi. Oleh itu, mereka sekeluarga boleh makan daging korban persembahan). Sebaik sahaja Samuel melihat anak sulung Isai – Eliab, dalam hatinya berfikir: “Sungguh, orang ini tinggi dan tampan, pasti dia dipilih Tuhan menjadi raja.” Tuhan tahu apa yang difikirkan oleh Samuel, maka Tuhan berfirman kepadanya: “Samuel, jangan melihat dia tinggi dan tampan. Bukan yang dilihat manusia yang dilihat Tuhan; manusia melihat apa yang di depan mata, tetapi TUHAN melihat hati.”

Samuel berfikir: siapakah yang bakal diurapi menjadi raja jika bukan anak sulung? Isai mendapat tahu bahawa Samuel ingin mencari raja yang baharu dari antara anak-anaknya, maka dia menyuruh anak-anaknya lalu di depan Samuel seorang demi seorang. Kesemua anak Isai tinggi dan tampan, tetapi Samuel masih berkata: “Orang ini pun tidak dipilih TUHAN.” Setelah melihat ketujuh orang anak Isai, maka Samuel bertanya kepadanya: “Isai, adakah kamu masih mempunyai anak yang lain?” Isai mengira bilangan anak-anaknya yang di rumah: “Satu, dua, tiga, empat, lima, enam, tujuh. Eh! Di manakah Daud? Di manakah anak bongsu aku? Oh, rupa-rupanya dia sedang menggembalakan kambing domba! Lekas panggilkan Daud!”

 

Samuel Mengurapi Daud Dengan Minyak

Daud sudah pulang! Mukanya kemerah-merahan, matanya indah dan parasnya elok. Tuhan berfirman kepada Samuel: “Bangkitlah, urapilah dia, sebab inilah dia.” Maka Samuel bangkit mengambil tabung tanduk yang berisi minyak itu lalu menuangkannya ke atas kepala Daud (bermaksud Tuhan telah memilih Daud menjadi raja). Samuel berangkat balik selepas mengurapi Daud. Sejak hari itu, berkuasalah Roh Tuhan ke atas Daud. Daud mempersiapkan dirinya untuk kegunaan Tuhan. Siapakah yang dapat menjangka seorang kanak-kanak penggembala dipilih menjadi raja? Tuhan berkenan pada hati Daud. Hati Daud itu macam mana? Marilah kita bersama-sama mengenali Daud dalam bab-bab seterusnya!

 

Kesimpulan

“Daud seorang penggembala yang baik”

Barangsiapa setia dalam perkara-perkara kecil, ia setia juga dalam perkara-perkara besar. Dalam tempoh penggembalaan, Daud, penggembala yang muda bersandar kepada pertolongan Tuhan, mengasihi dan melindungi anak dombanya dengan sepenuh hati. Hal ini membuatkan Tuhan amat berkenan kepadanya. Siapakah yang dapat menjaga umat Israel? Siapakah yang dapat memimpin umat Israel dengan bersandar kepada Tuhan? Ya, pastinya Daud!

Adik-adik, kita mesti bersandar kepada Tuhan sejak kecil dan menyembah-Nya dengan hati yang tulus ikhlas. Dengan itu, barulah kita dipandang berat oleh Tuhan sama seperti Daud! Mari kita mengulang kaji sekali lagi!

Pada minggu hadapan, kita akan mempelajari kisah berkenaan pertempuran Daud dengan seorang gergasi. Orang gergasi ini sangat hebat! Adakah Daud berasa takut? Adik-adik mestilah datang berkebaktian untuk mendengar cerita ini!