Nas Alkitab : 1 Samuel fasal 8 – 15
Ayat Bacaan : Ulangan 8 : 11-14, Amsal 16 : 20
Objektif Pengajaran dan Pembelajaran :
- Pada mulanya Saul mendapat kemenangan kerana bersandar dan taat kepada Tuhan, tetapi akhirnya dia ditolak kerana kedegilannya.
- Sedar apa yang harus dilakukan:
- Tidak kecewa sewaktu gagal, tidak angkuh sewaktu menang.
Ayat Hafalan :
Siapa memperhatikan firman akan mendapat kebaikan, dan berbahagialah orang yang percaya kepada Tuhan. (Ams 16 : 20)
Persediaan Prapengajaran dan Pembelajaran :
Gambar (Gambar berkaitan boleh disediakan oleh guru.)
Doa :
Dalam nama Tuhan Yesus berdoa, Bapa syurga yang dikasihi dan dihormati, kami berterima kasih kerana Engkau memberi pemahaman kepada kami tentang ‘tidak kecewa sewaktu gagal, tidak angkuh sewaktu menang’. Kami akan menjadi seorang anak baik yang dikenan oleh Engkau. Haleluya. Amin.
Isi Pelajaran :
Umat Menghendaki Seorang Raja
Sewaktu Samuel menjadi nabi, dia memimpin umat untuk menuruti firman Tuhan, maka negara pun menjadi aman damai. Apabila nabi Samuel semakin tua, umat Israel meminta nabi Samuel supaya memilih seorang raja untuk memerintah mereka. Nabi Samuel pun berdoa kepada Tuhan dan kemudian Tuhan telah menjawab permintaan orang Israel.
Saul Mencari Keldai
Ada seorang yang bernama Saul. Keluarganya ada banyak ternakan lembu, kambing dan keldai, serta hamba-hamba yang bekerja untuknya.Pada suatu hari, keldai keluarganya telah hilang dan ayah Saul menyuruh dia pergi mencari keldai tersebut bersama dengan seorang hamba. Walaupun Saul tidak mengetahui di mana keldainya, dia sangat taat dan menuruti pesanan ayahnya. Dia pergi mencari di merata tempat tetapi tidak menemukannya. Apakah yang harus dilakukannya?
Saul Memohon Kepada Samuel
Saul berkata kepada hamba: “Kita telah mencari di banyak tempat tetapi tidak menemukannya, marilah kita pulang. Jika tidak, nanti ayah bukan pula khuatir tentang keldai tetapi khuatir tentang kita.” Hamba berkata: “Di kota ini ada seorang abdi Allah (nabi), semua orang menghormatinya kerana semua yang dikatakannya pasti terjadi. Marilah kita pergi mencarinya dan meminta dia memberitahu kita di manakah harus kita cari keldai itu.” Selepas mendengar kata-kata hambanya, Saul menganggap pendapatnya sangat baik, maka dia pergi mencari nabi di kota itu.
Adik-adik, siapakah nabi di kota itu? Ya! Dialah nabi Samuel. Saul dan hambanya tidak pernah melihat dan tidak mengenali nabi Samuel. Ketika mereka naik ke bukit dan menuju ke kota itu, mereka bertemu dengan gadis-gadis muda yang keluar untuk menimba air dan bertanya kepada mereka: “Adakah seorang nabi yang tinggal di kota ini?” Jawab gadis-gadis itu kepada Saul: “Ya, ada seorang nabi di kota ini dan dia sedang pergi untuk mempersembahkan korban. cepat-cepatlah masuk ke dalam kota untuk menemuinya sebelum dia pergi ke mezbah korban.”
Saul dan hambanya berjalan sambil berlari dan semasa mereka hampir sampai ke kota itu mereka bertemu dengan seorang yang sedang keluar dari kota. Saul pun bertanya: “Di manakah tempat tinggal nabi kota ini?” Jawab orang itu: “Akulah nabi itu, ikutlah aku pergi ke mezbah dan makan bersama-sama. Esok aku akan menghantar engkau. Janganlah khuatir, keldai kamu yang hilang itu telah ditemui.” Sebab Tuhan telah memberitahu nabi Samuel sebelum itu bahawa dia akan memilih seorang raja iaitu Saul. Maka nabi Samuel memberitahu Saul, raja yang di nanti-nantikan umat Israel adalah engkau. Selepas mendengar kata-kata nabi Samuel, Saul berasa dirinya tidak layak menjadi raja, maka dia menjawab dengan sopan: “Bukankah aku seorang suku Benyamin yang terkecil di Israel? Kaumku adalah yang paling kecil dari segala kaum suku Benyamin, mengapa engkau berkata demikian kepadaku?” Apabila mereka sampai di tempat persembahan korban, ramai tetamu sudah datang. Samuel membawa Saul dan hambanya duduk di antara tetamu undangan, dan mereka diberi makan daging korban. Sesudah para tetamu pulang, Samuel menyuruh Saul dan hambanya tinggal satu malam di situ.
Samuel Mengurapi Saul
Pada keesokan hari, Samuel menghantar Saul pulang. Dalam perjalanan itu, Samuel menyuruh supaya hamba Saul pergi mendahului mereka, lalu Samuel menuang buli-buli yang berisi minyak ke atas kepala Saul dan mengurapinya sebagai raja Israel. Hal ini tidak diketahui orang kecuali nabi Samuel dan Saul.
Beberapa hari kemudian, nabi Samuel menyuruh semua orang Israel keluar berbaris dan mencabut undi untuk melihat siapakah raja yang dipilih oleh Tuhan. Apabila tercabut undian Saul, semua orang tidak menemuinya dan tidak mengetahui di manakah dia menyembunyikan diri. Mereka hanya boleh bertanya kepada Tuhan dan Tuhan menjawab bahawa Saul sedang bersembunyi di antara barang-barang. Kemudian mereka berlari ke sana dan menariknya keluar. Ketika mereka melihat badan Saul tinggi dan tegap, mereka bersorak dengan gembira dan memanggil dia Raja Saul.
Raja Saul Tidak Menuruti Perintah Tuhan
Pada mulanya, Raja Saul sangat menurut perkataan Tuhan. Oleh itu, Tuhan sentiasa membantu orang Israel menewaskan musuh. Tetapi lama-kelamaan Raja Saul menjadi angkuh dan tidak lagi mendengar perkataan Tuhan. Hati Samuel berasa sedih, begitu juga dengan Tuhan. Pada suatu kali, Tuhan menyuruh nabi Samuel berpesan kepada Raja Saul agar memimpin askar Israel untuk berperang dengan orang Amalek, dan dengan khususnya berpesan kepada Raja Saul untuk membunuh semua lembu dan kambing orang Amalek. Raja Saul memimpin pasukan askarnya menyerang orang Amalek dan Tuhan telah membantu mereka mendapat kemenangan.
Tetapi Raja Saul yang angkuh tidak menurut perintah Tuhan untuk membunuh semua lembu dan kambing orang Amalek. Raja Saul hanya membunuh lembu dan kambing yang kurus dan membiarkan yang tambun-tambun hidup. Nabi Samuel tidak mengetahui bahawa Raja Saul tidak mendengar perintah Tuhan, tetapi Tuhan tahu. Dengan murkanya Tuhan memberitahu hal ini kepada nabi Samuel. Apabila nabi Samuel mendengar bahawa Raja Saul telah berbuat salah, hatinya sedih sekali!
Maka nabi Samuel pergi mencari Raja Saul. Raja Saul berkata kepada nabi Samuel: “Aku telah menurut perintah Tuhan dengan membunuh semua orang Amalek sekali dengan lembu dan kambing mereka.” Dengan sedihnya Nabi Samuel berkata: “Aku terdengar bunyi mengembek!” Adik-adik, ini bunyi binatang apa? Ya! Ini adalah bunyi kambing. Nabi Samuel juga terdengar bunyi muu…muu… ini bunyi binatang apa? Ya! Ini bunyi lembu. Samuel sangat marah dan bertanya kepada Raja Saul: “Dari manakah datangnya lembu dan kambing ini?”
Raja Saul Membela Diri
Raja Saul tahu bahawa dia tidak dapat menipu nabi Samuel, tetapi dia enggan meminta maaf dan berkata: “Ah! Ini lembu dan kambing yang dibawa oleh umat Israel dari tempat orang Amalek! Sebab mereka sayang kepada lembu dan kambing yang tambun-tambun ini dan ingin mempersembahkannya kepada Tuhan.”
Tuhan Yang Benar Menolak Raja Saul
Dengan marahnya, nabi Samuel memberitahu Raja Saul: “Dari awal lagi Tuhan Allah sudah tahu bahawa engkau tidak menuruti perintah-Nya untuk membunuh semua orang Amalek sekali dengan lembu dan kambing mereka. Oleh itu, Tuhan tidak menyukai engkau dan menolak engkau menjadi raja. Tuhan menyukai orang yang menuruti perintah-Nya dan tidak berkenan kepada persembahan orang yang tidak mendengar perintah. Apabila Raja Saul mendengar nabi Samuel berkata bahawa Tuhan tidak menyukainya dan menolaknya sebagai raja, dia berkata: “Ah! Aku tidak bertindak menurut perkataan Tuhan, aku telah bersalah.” Nabi Samuel berpusing ke belakang dan ingin pergi, tetapi bajunya ditarik oleh Raja Saul sehingga baju nabi terkoyak.
Tidak Kecewa Sewaktu Gagal, Tidak Angkuh Sewaktu Menang
Adik-adik, kita tahu bahawa Tuhan suka kepada orang yang penurut, jadi haruslah kita berusaha melakukan apa yang diperintahkan Tuhan dalam Alkitab. Adik-adik sila buka Alkitab, Ulangan 8 : 11-14 dan baca bersama guru. Baik, kita baca lagi ayat 11 dua kali. Beberapa ayat Alkitab ini memberitahu kita: Janganlah kita menjadi sombong kerana keluarga kita kaya, ada baju yang cantik, dan rumah yang selesa. Janganlah pandang rendah terhadap orang lain kerana pelajaran kita lebih baik atau kita lebih pintar daripada orang lain, tetapi haruslah sentiasa ingat firman Tuhan dan melakukan apa yang dikenan oleh Tuhan. Diminta adik-adik hulurkan kedua-dua tangan dan ikut aksi guru. (Tapak tangan guru menghadap ke bawah, dan diangkat ke atas dengan perlahan-lahan sambil bercakap).
Apabila saya mendapat tempat pertama, menerima hadiah dan lebih baik daripada orang lain (letakkan tangan di atas kepala), saya tidak sombong dan rela prihatin dan membantu orang lain. (Tapak tangan menghadap atas dan perlahan-lahan diturunkan) Apabila pelajaran saya tidak baik, kurang sihat, tiada baju baharu dan tiada mainan baru, (jabatkan tangan) saya mahu selalu berdoa dan bersandar kepada Tuhan.
Sesi Aktiviti :
- Nama Aktiviti : Cuba Teka – Permainan Mendengar Suara
- Objektif Aktiviti :
- Melatih kepekaan telinga.
- Mendapat pengalaman mendengar suara sendiri melalui alat perakam dan mengenali perbezaan suara setiap individu.
- Persiapan sebelum aktiviti : Sebuah alat perakam, satu kaset kosong.
- Isi kandungan aktiviti :
(A)
-
- Guru menggalakkan adik-adik menyanyi sebuah lagu, melafazkan ayat hafalan atau membaca Alkitab, kemudian rakamkan suara mereka.
- Selepas persembahan setiap adik, mainkan rakaman tersebut, biarkan adik-adik mencari suara sendiri.
- Mainkan semula sebahagian rakaman yang singkat, biarkan adik-adik meneka suara masing-masing.
(B)
-
- Guru meminta seorang adik menutupkan matanya, kemudian menyuruh seorang adik bercakap.
- Biarkan adik yang matanya ditutup itu meneka siapakah yang sedang bercakap. Jika jawapannya tepat, bertukar dengan adik yang lain untuk menutupkan mata dan meneka.
- Perhatian: Kualiti rakaman janganlah terlalu rendah, ini akan menyebabkan hasil rakaman suara kurang baik sehingga susah untuk membezakan suara sendiri atau orang lain.