BAB 4 : RAHAB, PEREMPUAN YANG BERANI

Nas Alkitab : Yosua fasal 2.

 

Objektif Pengajaran dan Pembelajaran :

  1. Tahu bagaimana Rahab menyelamatkan dua orang pengintai.
  2. Dapat mencontohi Rahab dan sentiasa memberi bantuan kepada orang lain.

 

Ayat Hafalan :

Bantulah dalam kekurangan orang-orang kudus (Roma 12 : 13).

 

Persediaan sebelum kelas :

Gambar pengajaran dan pembelajaran ( Gambar yang berkaitan boleh disediakan oleh guru)

 

Doa :

Dalam nama Tuhan Yesus kami berdoa. Bapa di syurga yang maha pengasih, Engkau mengasihi kami dan senantiasa menghulurkan tangan-Mu untuk menolong kami dan menyelamatkan kami. Kami mahu berterima kasih kepada-Mu setiap hari. Kami juga mahu menolong orang lain seperti yang diperintahkan oleh-Mu. Kami memohon agar Engkau memberi kami lebih kekuatan supaya kami dapat senantiasa menolong dan mengasihi orang lain. Haleluya, amin.

 

Isi Pelajaran :

Tuhan Memilih Yosua Sebagai Pemimpin

Adik-adik, adakah kamu pernah melihat askar? Di manakah kamu melihat askar? (Minta adik-adik menjawab) Bagaimanakah rupa mereka ketika berdiri? Bukan sahaja badan mereka harus tegak, malahan mata mereka tidak boleh pandang ke sana sini. Mereka memikul senapang dan kelihatan begitu tegap dan megah. Mereka melindungi negara dengan berani tanpa menghiraukan keselamatan diri mereka sendiri.

Hari ini, kita akan menceritakan kisah seorang panglima yang mengutus askarnya untuk menjadi pengintai.

Apakah tugas “pengintai”? Mereka khususnya mencari maklumat tentang pihak musuh. Kadang-kala mereka juga perlu menyelinap ke dalam pasukan askar pihak musuh.

Setelah Musa, pemimpin orang Israel meninggal dunia, orang Israel sangat sedih. Siapakah yang akan memimpin mereka pada hari kelak? Tuhan telah memilih seorang pemuda yang berkebolehan dan takut akan Tuhan untuk meneruskan tugas Musa. Orang ini ialah “Yosua”. (Tuliskan pada papan tulis dan minta adik-adik sebut dua kali)

Yosua tahu bahawa Tuhan sentiasa menyertainya, maka dia menjadi tabah dan menguatkan hatinya untuk memimpin bangsa Israel seperti yang diperintahkan oleh Tuhan.

 

Pengintai Masuk Ke Kota Yerikho

Pada suatu hari, askar-askar Israel tiba di luar kota Yerikho di tanah Kanaan. Yosua berkata, “Siapakah di antara kamu yang sudi masuk ke dalam kota untuk menyelidik?” Mereka saling memandang dan berfikir, tugas mengintai kota Yerikho adalah suatu tugas yang sangat berbahaya! Jika tidak berhati-hati, mungkin mereka akan ditangkap. Tetapi itu merupakan suatu perkara yang sangat penting demi keselamatan semua orang, juga suatu perkara yang sangat mulia! Maka terdapat beberapa orang askar menampilkan diri dan berkata kepada Yosua dengan berani, “Kami sudi pergi, dan kami pasti akan menyempurnakan tugas ini.”

Dengan gembiranya Yosua berkata, “Bagus. Aku akan memilih dua orang antara kamu, Tuhan pasti akan menyertai kamu dan melindungi kamu sampai kamu kembali dengan selamat.”

Dua orang pengintai ini menerima perintah, lalu berpakaian seperti orang biasa dan pergi ke kota Yerikho dari sebelah barat sungai Yordan. Mereka bersembunyi di dalam kota sambil mencari suatu tempat yang selamat.

 

Rahab Menyembunyikan Pengintai

Tiba-tiba, mereka menemukan sebuah rumah, dan mereka pun mengetuk pintu.

“Siapa itu?” Seorang perempuan datang membuka pintu.

Dua orang pengintai menjawab dengan sopan, “Kami melalui tempat ini. Bolehkah kamu mengizinkan kami berehat satu malam di rumahmu?”

Rupa-rupanya nama perempuan ini ialah “Rahab” (minta adik-adik sebut dua kali). Dia ialah orang Kanaan. Walaupun dia tidak percaya kepada Tuhan, tetapi bertahun-tahun yang lalu, dia sudah pernah mendengar berita tentang pelbagai tanda mukjizat yang dilakukan oleh Tuhan bagi orang Israel. Oleh itu, dia berkata kepada dua pengintai itu dengan ikhlas, “Baiklah, aku sudi menolong kamu. Sila ikut saya ke mari.” Lalu dia membawa mereka ke sotoh rumah untuk bersembunyi.

Tetapi, semasa dua orang pengintai ini sampai di kota Yerikho dan memasuki rumah Rahab, hal ini telah dilihat oleh beberapa orang. Orang-orang ini pergi menemui raja Yerikho dan berkata, “Hari ini ada dua orang Israel masuk ke dalam kota kami. Pastinya mereka itu pengintai.” Setelah raja mendengarnya, dia berteriak dengan suara kuat, “Di manakah mereka sekarang?” Beberapa orang itu menjawab, “Kami nampak mereka masuk ke dalam rumah Rahab.” Maka dengan segera raja Yerikho mengarahkan askar-askarnya pergi ke rumah Rahab.

Askar-askar itu berteriak di luar rumah, “Buka pintu! Buka pintu sekarang!” Rahab bergegas datang untuk membuka pintu. Salah seorang askar berkata kepadanya dengan garang, “Rahab, serahkan dua orang pengintai Israel itu dengan segera.”

Adik-adik, cuba kamu teka, adakah Rahab menyerahkan dua orang pengintai itu kepada askar-askar? Tentulah tidak. Walaupun hati Rahab sangat ketakutan, tetapi dia berpura-pura tenang dan menjawab, “Pengintai Israel? Ah, sebentar tadi ada dua orang datang kepadaku, tetapi aku tidak tahu siapa mereka. Dua orang itu telah pergi sebelum hari gelap dan pintu gerbang ditutup. Aku tidak tahu ke mana mereka pergi. Tetapi jika kamu mengejar mereka sekarang, pasti kamu dapat menyusul mereka.”

Setelah askar-askar mendengar kata-kata Rahab, mereka segera pergi mengejar pengintai. Adakah mereka dapat mengejar pengintai itu? (Tentulah tidak. Mengapa?)

Rahab melihat askar-askar telah keluar dari kota, lalu dia lekas berlari ke atas sotoh rumah itu untuk memberitahu pengintai itu.

 

Pengintai Mendengar Permintaan Rahab

Rahab berkata kepada dua orang pengintai itu, “Aku tahu bahawa Tuhan telah memberikan tempat ini kepada kamu. Kami juga telah mendengar tanda mukjizat yang dilakukan oleh Tuhan. Sekarang kamu akan menawan kota Yerikho, aku percaya Tuhan kamu yang maha agung pasti akan memimpin kamu sampai berjaya. Askar-askar itu masih lagi mencari kamu di luar kota. Lekaslah kamu melarikan diri sekarang!”

Rahab memohon kepada pengintai itu lagi, “Sekarang aku telah menyelamatkan kamu berdua. Aku berharap pada hari kelak, apabila kamu menyerang kota Yerikho, selamatkanlah ayah dan ibuku, adik-beradikku, dan saudara-saudaraku.”

Dua orang pengintai itu menganggukkan kepala mereka, “Baiklah. Apabila kami kembali menyerang kota Yerikho, kamu harus mengikat seutas tali merah di jendelamu, supaya kami dapat melihat dengan jelas. Kamu juga harus mengumpulkan ayah, ibu dan saudara-saudaramu di dalam rumah. Kami pasti akan menjaga nyawa sekeluargamu. Tetapi kamu jangan sekali-kali memberitahu hal ini kepada sesiapa pun.”

 

Rahab Membantu Dua Orang Pengintai Melarikan Diri

Rumah Rahab terletak di tepi tembok kota, dia menolong dua orang pengintai itu turun dari jendela dengan menggunakan tali, supaya mereka dapat memanjat ke luar tembok secara diam-diam. (gambar 4 – 2) Rahab berkata kepada dua pengintai itu, “Pintu gerbang kota telah ditutup, kamu tidak dapat keluar. Sekarang aku menggunakan tali ini untuk menolong kamu turun ke bawah dari jendela. Kamu harus melarikan diri ke atas bukit dan bersembunyi selama tiga hari, kemudian pulang ke rumah, supaya tidak ditemui orang-orang yang mencari kamu.” Dengan bantuan Rahab, dua orang pengintai itu telah bersembunyi di atas bukit selama tiga hari, kemudian menyeberangi sungai Yordan dan pulang secara senyap.

 

Kota Yerikho Ditawan, Seisi Keluarga Rahab Terselamat

Ketika dua orang pengintai ini kembali kepada Yosua, mereka memberitahu Yosua segala yang telah mereka lihat dan dengar. Mereka juga memberitahu Yosua bagaimana Rahab telah menyelamatkan mereka, dan mereka telah berjanji untuk menyelamatkan sekeluarga Rahab.

Beberapa hari kemudian, Yosua mendapat pertolongan dari Tuhan dan telah menawan kota Yerikho. Askar-askar masuk ke dalam kota dan membunuh semua orang Yerikho, tetapi hanya satu keluarga yang tidak dibunuh. Adik-adik, adakah kamu tahu keluarga siapakah ini? Mengapakah mereka tidak dibunuh?

Yosua mengarahkan dua orang pengintai itu supaya membawa sekeluarga Rahab keluar dari kota Yerikho, dan menempatkan mereka di khemah orang Israel di luar kota. Oleh itu, sekeluarga Rahab telah tinggal bersama-sama orang Israel. Adik-adik, dalam cerita hari ini, bagaimanakah Tuhan menjaga keselamatan dua orang pengintai itu? (Dengan pertolongan Rahab) Pernahkah kamu menolong orang lain atau menerima pertolongan orang lain? (Biar kanak-kanak menjawab) Diminta adik-adik sekalian memberi pertolongan kepada orang lain sekurang-kurangnya sekali dalam minggu ini.

 

Sesi Aktiviti (1):

  1. Nama aktiviti: Pengintai Mencari Harta Karun
  2. Objektif aktiviti: Memperdalam tanggapan kanak-kanak terhadap pengintai dalam cerita.
  3. Persediaan sebelum aktiviti:
    1. Sediakan satu syiling 10 sen atau benda yang lebih kecil daripada tapak tangan. Benda ini tidak harus kelihatan apabila digenggam dalam tangan.
    2. Alihkan meja. Hanya kerusi diperlukan untuk disusun dalam bulatan.
    3. Atur seorang pianis dan runding terlebih dahulu dengan pemimpin tentang cara menjalankan aktiviti.
  4. Isi kandungan aktiviti:
    1. Pertama sekali, ajar kanak-kanak cara untuk mengedarkan syiling; Tapak tangan kiri menghadap ke atas, tapak tangan kanan menggenggam dengan erat. Semasa aktiviti dijalankan, jangan membiarkan orang lain nampak sama ada kamu telah mengedarkan syiling kepada orang lain.
    2. Permainan bermula. Minta seorang adik menjadi pengintai. Sebelum muzik dimainkan, pengintai harus berdiri di tepi dan menunggu syiling tersebut diletakkan dalam tapak tangan salah seorang adik dalam bulatan. Muzik dimainkan. Adik-adik dalam bulatan menyanyi kidung sambil membuat aksi mengedarkan syiling, manakala pengintai memerhatikan tangan siapakah yang mempunyai syiling.
    3. Muzik tiba-tiba diberhentikan, aksi mengedarkan syiling juga berhenti. Minta pengintai mencari kedudukan syiling yang tepat. Jika tekaan salah, teruskan aksi mengedarkan syiling dan muzik diteruskan. Boleh membuat tekaan sebanyak tiga kali. Jika tekaan salah sebanyak tiga kali, diminta pengintai menyanyi sebuah kidung kanak-kanak.
    4. Jika tekaan pengintai tepat, adik yang berjaya diteka harus bertukar tempat dengan pengintai. Pengintai boleh berehat, dan adik yang diteka menjadi pengintai.
    5. Sebelum bermula, pengintai baharu diminta berdiri di tepi dan menunggu syiling diletakkan dalam tapak tangan salah seorang adik. Kemudian beri isyarat kepada pianis, setelah muzik dimainkan, barulah pengintai yang baharu masuk ke dalam bulatan untuk mencari harta karun (syiling) dengan cara yang sama.
    6. Permainan tamat. Pulihkan kelas kepada keadaan asal.

 

Sesi Aktiviti (2):

  1. Nama aktiviti: Pengintai Mencari Harta Karun
  2. Objektif aktiviti: Mengajar kanak-kanak mencontohi semangat pengintai yang berani dan teliti dalam cerita.
  3. Persediaan sebelum aktiviti: Buku kerja murid-murid.
  4. Isi kandungan aktiviti:
    1. Edarkan buku aktiviti. Minta kanak-kanak berjalan secara dua orang dalam satu kumpulan.
    2. Boleh dikoyakkan dari buku kerja dan gulungkan. Seorang membuka gulungan kertas dengan perlahan-lahan, seorang lagi maju ke depan.