Mesej Untuk Guru:
Guru-guru yang dikasihi, kini sampailah giliran Ester, ratu yang baik. Buku Ester merupakan sebuah gulungan yang mendekatkan kita kepada kisah romantik dalam istana pada zaman Perjanjian Lama. Cerita ini seperti penerbitan baharu Cinderella Ester. Dia adalah seorang perempuan bangsa Yahudi, seorang yatim piatu yang diambil sebagai anak angkat. Walaupun demikian, dia telah menyerlah dalam suatu pemilihan ratu terbuka dan menjadi ratu. Jika kita meneliti peristiwa ini, kita akan mendapati semua ini bukannya kebetulan semata-mata. Kalau tidak ada Wasti yang begitu sombong, maka tidak akan ada pemilihan ratu ini. Melalui beberapa rangkap huraian ayat Alkitab, kita juga dapati bahawa Ester tidak akan dapat menyempurnakan amanat penyelamatan bangsanya tanpa Mordekhai yang telah mendidik Ester dengan baik sekali dalam keperibadian (sahsiah) dan pegangan agamanya. Untuk bab hari ini, selain menjelaskan keadaan pemilihan ratu pada ketika itu kepada kanak-kanak, yang paling penting adalah supaya kanak-kanak tahu bahawa “kunci kepada kecantikan atau kehodohan adalah batiniah seseorang”.
Nas Alkitab: Ester fasal 1; 2:20
Objektif Pengajaran dan Pembelajaran:
Pelajari daripada ratu Ester yang tidak tamak dan menurut kata ibu bapa, barulah diperkenan oleh Tuhan.
Ayat Hafalan:
Seperti anting-anting emas di jungur babi, demikianlah perempuan cantik yang tidak susila (Amsal 11:22
Persediaan Prapengajaran dan Pembelajaran:
Patung yang memakai gaun perkahwinan atau gambar pengantin perempuan
Doa:
Dalam nama Tuhan Yesus berdoa. Bapa syurga yang dikasihi, kami berterima kasih kerana Engkau berikan kami hikmat untuk mengingati kata-kata-Mu, agar kami menjadi anak yang baik hati, yang tahu menolong orang lain, yang tidak tamak, dan yang disukai orang ramai. Haleluya, Amin
Isi Pelajaran:
Pendahuluan
Adik-adik, minggu lalu cikgu telah mengingatkan kamu untuk memberi persembahan. Kita memberi persembahan kerana kita berterima kasih atas perlindungan Tuhan, dan juga kerana kita mengasihi gereja. Jika kita mengasihi gereja, ia juga menunjukkan kita mengasihi Tuhan. Sudah kamu beri persembahan hari ini? Adik-adik yang lupa bawa wang persembahan sila angkat tangan. Tidak apa. Pulang rumah nanti kamu perlu ingat untuk beritahu ibu bapa supaya memberi kamu wang persembahan semasa kamu datang ke kelas tadika. Barulah kita dapat memupuk tabiat untuk beri persembahan kesyukuran. Oh! Cikgu ada soalan untuk kamu. Kamu rasa orang bagaimanakah yang paling cantik? (Tidak beri komen. Biar kanak-kanak menyuarakannya). Cikgu rasa pengantin perempuan (Keluarkan patung atau tunjukkan gambar pengantin perempuan) yang paling cantik! Adakah kamu suka pengantin perempuan? (Suka). Pernahkah kamu melihat majlis perkahwinan abang dan kakak di gereja? (Pernah). Hari ini cikgu akan menceritakan peristiwa seorang raja memilih pengantin perempuan.
Raja Memilih Pengantin Perempuan
Pada waktu dahulu, terdapat seorang raja yang ingin berkahwin. Oleh itu dia menghantar ramai orang untuk mencari pengantin perempuan di seluruh negeri. Cuba fikir gadis yang bagaimana boleh menjadi pengantin perempuan raja? Betul. Dia haruslah menurut kata, bersopan-santun, berbudi bahasa, baik hati, dan mestilah cantik! Pembesar-pembesar di istana pun keluar mencari pengantin perempuan di seluruh negeri. Oh! Bagaimana kita menggelar pengantin perempuan raja? Betul, ratu! Pembesar-pembesar cari dan cari. Tidak lama kemudian gadis-gadis cantik di seluruh negeri telah dibawa masuk ke dalam istana. Mereka disolek, didandan, dipakaikan baju-baju yang cantik, dilayan oleh dayang-dayang dan diberi makanan yang enak. Wah, bertuahnya gadis-gadis yang terpilih ini! Setelah gadis-gadis ini bersiap-sedia, mereka harus tampil di hadapan raja satu persatu, supaya raja boleh memilih seorang yang paling dia sukai daripada gadis-gadis ini untuk dijadikan pengantin perempuannya.
Latar Belakang Identiti Ester
Di kalangan mereka terdapat seorang gadis yang bernama Ester. Paras rupanya sangat cantik, maka dia juga telah dibawa ke istana. Tetapi Ester sangat kasihan. Sejak dari kecil dia tidak mempunyai ibu bapa, maka bapa saudaranya Mordekhai membawa dia pulang, lalu menjaganya, mengasihinya, mengajarnya dan melindunginya seperti menjaga anak sendiri. Ester menganggap Mordekhai sebagai bapa. Dia menurut kata Mordekhai dan menolongnya. Apa yang dipesan oleh Mordekhai akan dilakukan oleh Ester. Mordekhai juga sering bercerita kepada Ester dan mengajarnya menyembah kepada Tuhan. Ester ialah anak yang baik. Sejak dari kecil lagi Ester berdoa setiap hari bersama-sama Mordekhai. Dia tidak pernah bergaduh dengan orang lain dan pertuturannya juga amat sopan. Semua orang berkata Ester adalah anak yang baik hati dan disukai ramai. Maka apabila mereka tahu bahawa Ester telah dipilih masuk ke dalam istana, mereka berdoa bersama-sama Mordekhai dan mengucap syukur kepada Tuhan. Mereka juga memohon kepada Tuhan agar Tuhan membantu Ester menjadi ratu.
Ester Yang Rendah Hati Dan Taat
Di dalam istana, raja memerintah pembesar-pembesar untuk memberi semua barang yang diminta oleh “bakal ratu” ini (Maksudnya orang yang berpeluang menjadi ratu di masa akan datang). Ramai gadis yang sangat tamak. Mereka akan mengambil peluang baik ini untuk meminta banyak barang daripada para pembesar. Malah mereka akan mengarah-arah para pembesar untuk membuat sesuatu. Maka pembesar-pembesar yang menjaga gadis-gadis ini pun menggeleng kepala dan mengeluh, “Hai! Gadis-gadis ini terlalu tamak dan sombong”. Pada hari itu juga datanglah pembesar-pembesar kepada Ester dan bertanya, “Cik Ester, ada apa-apa yang engkau mahu? Beritahulah kami kerana raja bertitah bahawa apa yang diminta oleh engkau haruslah diberikan.” (Cikgu menunjuk kepada seorang adik perempuan dan bertanya: jika kamu berada di istana dan raja hendak memberi kamu sesuatu, apa yang kamu mahu? Ajukan lagi soalan ini kepada beberapa orang kanak-kanak). Mari kita teka. Apakah yang Ester minta daripada raja? (Biar kanak-kanak menyuarakannya). Bagus! Cikgu umumkan jawapannya sekarang. Ester berkata kepada para pembesar, “Terima kasih para pembesar. Sudah cukup baik barang-barang yang kamu sediakan untuk saya. Saya tidak perlukan apa-apa lagi.” Wah, para pembesar terharu sekali! Kerana tidak ada seorang pun gadis yang begitu lemah lembut dan sopan seperti Ester, yang tidak mengarahkan mereka untuk melakukan apa sahaja. Lebih-lebih lagi Ester tidak tamak dan tidak meminta banyak barang. Maka para pembesar menyediakan bilik yang terbaik untuk Ester dan memberinya banyak barang, serta menghantar “7” orang dayang (Suruh tujuh orang kanak-kanak keluar berdiri di sebelah guru dan berpura-pura memerintah mereka untuk bekerja) untuk melayan Ester. Semua orang di istana amat berharap Ester dapat menjadi ratu mereka.
Ester Dipilih Menjadi Ratu
“—Ta Ta Ti Ta Ta—” (Guru meniru aksi meniup trumpet) Cepatnya masa berlalu! Tibalah waktu untuk memilih ratu. Pada hari ini setiap gadis telah bersolek, berdandan, memakai baju yang paling cantik dan menyikat rambut secantik mungkin. Mereka beratur satu persatu untuk masuk menghadap raja. Ester juga berada dalam kalangan mereka. Dia sangat gelisah, kerana semua gadis pun cantik-cantik belaka. Adakah raja akan menyukainya? Kerana begitu ra~(tarik nada) -mai gadis-gadis yang cantik tetapi hanya “satu” orang saja yang boleh menjadi ratu. Lebih susah daripada menduduki peperiksaan. Gadis-gadis di hadapan masuk ke dalam satu persatu dan akhirnya tibalah giliran Ester. Semasa raja melihat Ester, Ester mengangkat hujung gaunnya dan memberi hormat kepada raja (Guru bercerita sambil beraksi). Dengan sukacitanya raja menghulurkan tangan dan memegang Ester supaya dia berdiri. Raja sangat menyukai Ester sebaik sahaja raja melihatnya. Maka dengan serta-merta raja membuat keputusan untuk memilih Ester sebagai ratunya. Wah! Para pembesar di istana, Mordekhai, kawan-kawan dan jiran Ester semua berasa sangat gembira! Dengan gembiranya mereka keluar menyanyi dan menari, “Ester telah menjadi ratu! Ester telah menjadi ratu!”
Kesimpulan
Adik-adik, mengapakah raja menyukai Ester? Kerana Ester menyembah kepada Tuhan, bersopan-santun terhadap orang lain, tidak mengarah-arah orang lain, tidak tamak dan baik hati. Orang yang baik hati adalah orang yang paling cantik. Maka Tuhan membuat raja berasa Ester lebih cantik, lebih berhikmat dan lebih baik daripada yang lain. Dengan gembiranya rakyat di seluruh negeri meraikan raja yang telah mengahwini seorang ratu yang cantik dan baik hati. Adik-adik, adakah kamu mahu menjadi anak yang disukai orang lain? Cikgu akan sebutkan beberapa ayat di sini. Cuba kamu perhatikan sama ada kamu tahu bagaimanakah sikap orang yang baik hati dan disukai orang lain.
- Si adik tidak tahu menghitung. Kata kakaknya, “Bodohnya kamu. Begitu senang pun kamu tidak pandai.” Adakah kakak ini baik hati? (Tidak). Adakah kamu menyukainya?
- Baru sahaja abang siap membaiki barang mainan tetapi si adik merosakkannya lagi. Kata si adik, “Minta maaf, abang.” Jawab abang, “Tidak mengapa. Saya boleh memperbaikinya lagi.” Adakah abang ini baik hati? (Ya). Adakah kamu menyukainya?
- Ada seorang adik yang memetik bunga di taman. Orang lain menasihatinya supaya jangan petik bunga. Kata adik itu, “Buat apa kamu ambil peduli? Kamu bukannya polis.” Adakah adik ini baik hati? (Tidak). Adakah kamu menyukainya?
- Ah Ming terlihat barangnya telah dirosakkan oleh orang lain, maka dia berteriak, “Siapakah orang jahat yang merosakkan barang saya?” Adakah Ah Ming baik hati? Adakah kamu menyukainya?
- Kasut Susan telah terkoyak. Ibu tidak mempunyai masa lapang untuk membawanya pergi membeli sepasang kasut baharu. Kata Susan, “Tidak mengapa, ibu. Tunggu ibu ada masa lapang nanti barulah kita pergi beli.” Adakah Susan baik hati? (Ya). Adakah kamu menyukainya?
Wah! Pandainya kamu. Semua pun tahu bagaimana untuk menjadi orang yang baik dan anak-anak yang disukai orang lain. Cikgu percaya adik-adik kita di kelas tadika pasti disukai setiap orang dan akan dipuji sebagai anak yang cantik-cantik dan comel-comel belaka. Minggu depan kita akan teruskan kisah ratu Ester.