BAB 4 : TUHAN YANG MAHA PENGASIH DAN ADIL

Mesej Untuk Guru :

Kepada guru yang dikasihi, bab ini merupakan kesinambungan dari bab yang lalu, menceritakan hukuman yang diterima oleh manusia yang dicipta setelah mereka berbuat dosa.

Namun, kita juga harus memahami di samping Tuhan menghukum manusia, Dia juga melindungi manusia. Sekiranya kita lihat dari perspektif Adam dan Hawa diusir dari Taman Eden, Tuhan takut mereka memakan buah kehidupan, sehingga mereka akan hidup selamanya-lamanya dan menanggung kesengsaraan hidup yang tidak berkesudahan. Justeru, Tuhan telah mengusir mereka keluar dari Taman Eden. Tuhan juga menempatkan beberapa kerub dengan pedang yang bernyala-nyala dan menyambar-nyambar untuk menjaga jalan ke pohon kehidupan itu. Oleh itu, kita seharusnya memberitahu kepada anak-anak agar tidak bersungut-sungut terhadap Tuhan ketika diajar. Akhir sekali, kita membiarkan anak-anak berfikir bagaimana menghadapi kesalahan sendiri, adakah tanpa disedari sendiri telah melakukan kesalahan yang sama seperti Adam dan Hawa?


Nas Alkitab :
Kejadian 3:14 – Kejadian 4


Objektif Pengajaran dan Pembelajaran :
 

Supaya anak-anak mengetahui bahawa apabila membuat kesalahan pasti akan menerima hukuman, tetapi hukuman itu berasal dari kasih Tuhan.


Ayat Hafalan :
 

Apakah mukamu tidak akan berseri, jika engkau berbuat baik? (Kejadian 4:7)


Persediaan Prapengajaran dan Pembelajaran :
 

Bahan pengajaran tambahan.


Doa :
 

Dalam nama Tuhan Yesus berdoa. Tuhan Yesus yang dikasihi, kami sering melupakan pesan ibu bapa, melakukan perkara yang tidak sepatutnya, kami memohon agar Engkau senantiasa mengingatkan kami, agar kami mempunyai minda yang bijaksana untuk mengetahui perkara yang betul dan yang salah. Terima kasih Tuhan Yesus, Haleluya, Amin.


Isi Pelajaran :

Pendahuluan 

Adik-adik, pada minggu lalu, kisah siapakah yang cikgu telah ceritakan? Betul, Adam dan Hawa. Mereka telah ditipu oleh ular yang mengatakan bahawa buah pengetahuan tentang yang baik dan yang jahat sangat enak, setelah mereka memakannya tidak semestinya mati. Sebab itu, semakin lama Hawa melihat buah tentang pengetahuan yang baik dan yang jahat, semakin dia merasa buah itu sedap, sehingga tidak dapat menahan diri, lalu dia memetik buah itu dan memakannya, dia juga memberikan buah itu kepada Adam. Setelah selesai memakan buah itu, mereka mendapati bahawa mereka telanjang. Mereka dengan segera mengambil daun untuk dijadikan pakaian, juga menyembunyikan diri mereka kerana takut Tuhan akan melihat mereka. Sebenarnya, dari awal lagi Tuhan sudah mengetahui hal itu, Tuhan sangat murka dan sedih. Tuhan berfikir, bagaimana dapat menghalang Adam dan Hawa daripada berbuat dosa lagi? Dan bagaimana memberi pengajaran kepada ular yang jahat itu agar ia tidak lagi mencelakakan manusia? Hari ini kita akan melihat apakah hukuman yang mereka terima dan apakah cara yang digunakan Tuhan supaya Adam dan Hawa tidak berbuat dosa lagi?


Tuhan Menghukum Ular, Adam dan Hawa

Tuhan berfirman kepada ular: “Ular yang jahat, engkau telah sengaja mencelakakan mereka, membuat mereka tidak menurut perintah-Ku dan berbuat dosa, Aku akan menghukum engkau agar engkau lebih malang daripada binatang yang lain. Mulai hari ini, engkau akan menjalar dengan perutmu, keturunan perempuan akan meremukkan kepalamu dan engkau akan meremukkan tumitnya.” Lalu Tuhan berfirman kepada Hawa: “Engkau tidak menurut firman-Ku, Aku akan membuat engkau sangat susah payah waktu engkau mengandung (mual, sakit perut, kerap membuang air kecil, ingin tidur, ada juga yang akan jatuh sakit), apabila melahirkan anak, perut akan sangat sangat sakit (sehingga ada yang meninggal dunia kerana melahirkan anak). 

Engkau akan sering berasa risau dan merindukan suamimu kerana engkau mengasihinya. Namun, suamimu akan berkuasa atasmu serta ingin engkau mendengar kata-katanya. Akhir sekali, Tuhan berfirman kepada Adam: “Adam, disebabkan engkau tidak mendengar perintah-Ku malah mendengar perkataan Hawa dan memakan buah pengetahuan tentang yang baik dan yang jahat yang Ku-larang engkau makan, aku akan membuat engkau bersusah payah seumur hidupmu untuk mencari makanan, walaupun engkau bersusah payah bercucuk tanam, tetapi semak duri dan rumput duri akan dihasilkan bagimu, membuatkan tanamanmu itu tidak baik, dengan banyak berpeluh baru engkau akan mendapat makanan, sampai engkau meninggal dan menjadi debu, kerana engkau diperbuat daripada debu.”


Tuhan Maha Pengasih

Tuhan murka kerana Adam dan Hawa tidak menurut perintah dan berdosa! Akan tetapi Tuhan melihat mereka telanjang, sungguh memalukan, mereka hanya menggunakan daun untuk menutup tubuh, namun tidak dapat tutup juga. Tuhan pun membuat pakaian dari kulit binatang untuk mereka. Bukankah Tuhan Maha Pengasih? Walaupun mereka tidak mendengar firman Tuhan, Tuhan masih tidak mengabaikan mereka, sebaliknya tetap menjagai mereka.


Diusir Keluar Dari Taman Eden

Tuhan berfikir lagi, Adam dan Hawa akan menjalani kehidupan yang sengsara. Sekiranya mereka masih tinggal di Taman Eden, suatu hari nanti mereka memakan lagi buah dari pohon kehidupan, maka mereka akan hidup selamanya-lamanya, bukankah sangat kasihan kalau mereka harus terus bersusah payah untuk bekerja? Oleh itu, Tuhan mengusir Adam dan Hawa keluar dari Taman Eden. Lalu mengutus malaikat dan pedang yang bernyala-nyala untuk mengawal pohon kehidupan, tidak membenarkan manusia mendekati pohon kehidupan dan memakan buah dari pohon itu.


Kain dan Habel

Kemudian Hawa melahirkan dua orang anak (Catatan 1), abang bernama Kain, manakala adik lelaki bernama Habel. Kain menjadi petani dan Habel menjadi gembala kambing domba. Pada suatu hari, Kain mempersembahkan tanamannya kepada Tuhan. Habel juga menangkap seekor anak domba yang terbaik dan mempersembahkan lemak domba kepada Tuhan, Tuhan berkenan kepada persembahan Habel, iaitu anak dombanya dan lemak dombanya, tetapi Tuhan tidak mengindahkan korban persembahan Kain. Tuhan berkenan kepada korban persembahan Habel kerana dia seorang yang baik. Tetapi Kain sangat marah disebabkan hal ini. Pada suatu hari, Kain memukul Habel untuk melepaskan kemarahannya sehingga terbunuhlah Habel. Setelah Tuhan mengetahui hal ini, Tuhan murka dan menghukum Kain dengan membiarkan tanah yang diusahakannya tidak ada hasil, Kain juga akan menjadi seorang pelarian dan pengembara di bumi, melalui kehidupan yang sengsara.


Kesimpulan 

Adik-adik, hari ini kalian sudah mendengar cikgu menceritakan kisah empat orang iaitu Adam, Hawa, Kain dan Habel. Apakah pandangan kamu terhadap mereka? (Membiarkan anak-anak menyuarakan pendapat) Keluarga mereka adalah keluarga yang pertama di dunia ini, namun mereka telah mula berbuat dosa. Cuba kalian lihat Kain, dia menyalahkan adiknya Habel kerana korban persembahannya tidak diindahkan Tuhan, lalu dia membunuh adik kandungnya, bukankah ini perbuatan yang sangat kejam? Jangan sekali-kali kita mencontohi perbuatan ini! Mari kita lihat, apakah yang akan berlaku pada minggu depan? Alamak! Teruk sekali. Tidak disangka, dunia ini semakin jahat bila bilangan manusia semakin bertambah. Mereka bukan saja tidak berdoa, tidak menyembah Tuhan, malahan melakukan banyak kejahatan! Adakah perbuatan ini akan membangkitkan murka Bapa kepada manusia iaitu Tuhan? Apakah yang akan terjadi? Cikgu akan ceritakan minggu depan.


(Catatan 1) Alkitab tidak mencatatkan Adam dan Hawa ada melahirkan banyak anak perempuan.