Nas Alkitab : I Samuel fasal 16 – 17
Ayat Bacaan : I Korintus 4 : 12 – 13
Objektif Pengajaran dan Pembelajaran :
- Tuhan berkenan kepada Daud kerana dia bersandar kepada Tuhan dalam segala hal, taat kepada Tuhan, dan suka membantu orang.
- Tahu apa yang patut dilakukan.
- Apabila bertemu dengan kawan yang tidak mesra.
Ayat Hafalan :
Kalau kami dimaki, kami memberkati, kalau kami dianiaya, kami sabar. (I Kor 4:12)
Persediaan Prapengajaran dan Pembelajaran :
Gambar pengajaran ,satu patung kain besar dan kecil, sepohon pokok tiga dimensi.
Doa :
Dalam nama Tuhan Yesus berdoa. Bapa syurga yang dikasihi, kami tahu bahawa engkau adalah Tuhan yang Maha Kuasa, tiada sesuatu yang mustahil bagi-Mu. Apabila kami memerlukan keberanian, kami berterima kasih kerana Engkau memberi iman dan kekuatan kepada kami, sehingga kami dapat melaluinya dengan damai sejahtera. Haleluya. Amin.
Isi Pelajaran :
Daud Menggembala Domba
Di negara Israel yang jauh, terdapat seorang adik kecil bernama Daud. Dia selalu menolong ayahnya membawa domba-domba untuk pergi makan rumput. Daud sangat menyayangi kawanan dombanya, jadi bukan sahaja ayah sukakan Daud, malah domba-domba pun suka kepadanya.
Daud yang kecil adalah seorang gembala yang baik. Dia menjaga kawanan dombanya dengan teliti dan selalu memainkan kecapi dengan gembira sambil menyanyi: “Tuhanlah gembalaku, akulah domba-Nya. Tuhanlah gembalaku, akulah domba-Nya.” Suara nyanyian Daud sangat merdu! Apabila domba-domba mendengar lagunya, domba-domba tertidur dengan cepat.
Samuel Memilih Raja Baharu
Tuhan yang di syurga melihat bahawa Raja Saul tidak menuruti perintah-Nya, maka Tuhan tidak ingin dia menjadi raja lagi. Tuhan menyuruh nabi Samuel supaya pergi mencari seorang yang penuh kasih, iman, dan menurut perintah untuk menjadi raja. Oleh itu, nabi Samuel menurut apa yang dipesankan oleh Tuhan dan pergi ke kota Betlehem iaitu tempat tinggal Daud untuk mempersembahkan korban. Walaupun tujuh abang Daud berbadan besar dan elok dipandang, tetapi mereka bukanlah raja baharu yang dipilih Tuhan! Nabi Samuel berasa hairan, tetapi Tuhan berfirman: “Tuhan melihat hati manusia itu baik atau tidak, bukannya melihat rupanya elok atau tidak!” Nabi Samuel menurut perintah Tuhan dan menuang minyak ke atas kepala Daud.
Oleh kerana Daud adalah seorang yang penuh kasih, beriman dan menuruti firman Tuhan, Tuhan sangat suka kepadanya dan ingin dia menjadi raja apabila dewasa nanti.
Selepas nabi Samuel mengurapi Daud dengan minyak yang dibawa, dia tidak memberitahu sesiapa pun tentang hal mengurapi raja baharu, kerana dia takut Raja Saul akan marah dan membalas dendam setelah mengetahui hal ini. Daud masih kecil, dia masih menggembalakan domba, memainkan kecapi, menyanyi kidung dan berdoa dengan gembira seperti biasa. Mulai saat itu, Tuhan lebih membantu dan menjaga dia supaya dia mempelajari lebih banyak firman.
Roh Jahat Mengganggu Raja Saul
Raja Saul tidak menuruti perintah Tuhan sewaktu berperang dengan orang Amalek dan tidak membunuh semua orang Amalek sekali dengan lembu dan domba mereka. Disebabkan hal ini, maka Tuhan tidak berkenan dan telah menolak dia sebagai raja. Tuhan tidak lagi membantunya dan membiarkan roh jahat mengganggunya. Emosi Raja Saul menjadi sangat teruk. Dia cepat naik marah, kurang sihat, dan tidak gembira setiap hari. Walaupun tukang masak menyediakan lauk pauk yang sedap, tetapi Raja Saul tidak berselera. Dia sangat menderita sehingga tidak tahu apa yang dapat dilakukan.
Daud Bermain Kecapi Untuk Raja
Apabila hamba Raja Saul melihat penderitaannya, dia terfikir suatu cara. Mereka mengutus orang ke rumah Isai di Betlehem dan berkata kepadanya: “Roh jahat datang mengganggu raja sehingga dia menderita dan jatuh sakit. Saya mendengar bahawa kamu ada seorang anak yang sangat pandai bermain kecapi, bolehkah dia bermain kecapi untuk raja?” Kemudian Isai menyediakan banyak barang untuk Daud dan juga hadiah untuk raja.
Apabila sampai di istana, Daud memberikan hadiah yang disediakan oleh Isai kepada Raja Saul. Apabila melihat Daud yang bersopan santun, Raja Saul sangat suka kepadanya. Apabila roh jahat datang dan mengganggu Raja Saul, Daud akan memainkan kecapinya . Bunyi kecapi yang dimainkan oleh Daud sangat merdu, Raja Saul berasa sangat lega apabila mendengarnya.
Cabaran Goliat
Pada suatu hari, seorang yang berbadan tinggi dan perkasa bernama Goliat memarahi orang-orang Israel: “Hoi! Orang Israel, baik kamu pilih seorang untuk bertempur dengan aku. Jika kamu dapat membunuh aku, orang Filistin akan menjadi hambamu, tetapi jika aku dapat membunuh dia, orang Israel akan menjadi hamba kami.”
Orang Israel menggigil ketakutan apabila mendengarnya dan tiada seorang pun yang berani keluar untuk bertempur dengan gergasi Goliat. Daud tidak senang hati apabila mengetahui hal ini dan berkata: “Bagaimana mungkin kita membiarkan orang gergasi ini memarahi pasukan tentera Tuhan?” Kemudian Daud memberitahu Raja Saul supaya jangan takut kerana dia ada cara untuk melawan gergasi Goliat.
Daud Bertempur Dengan Goliat
Raja Saul sangat bimbang lalu menyuruh Daud memakai baju perangnya, ketopong tembaga dan ikat pedangnya. Tetapi baju yang dipakai oleh Daud ini berat dan tidak selesa. Dia pun menanggalkan baju perang itu dan mengembalikannya kepada Raja Saul lalu dia memakai semula bajunya. (Guru tunjukkan dengan aksi)
Daud mengambil tongkat yang digunakannya untuk memukul singa sewaktu menggembala, memilih lima batu licin dari dasar sungai dan disimpannya di dalam kantung. Dia memegang pengumban batu di tangannya dan pergi ke medan peperangan dengan tidak takut. Goliat yang tinggi perkasa tertawa apabila melihat Raja Saul menghantar seorang budak kecil untuk berperang lalu dia pun menghina Daud. Goliat mendengar Daud berkata: “Engkau mendatangi aku dengan pedang dan tombak, tetapi aku mendatangi engkau dengan bersandarkan Tuhan. Hari ini juga aku akan mengalahkan engkau, biarlah semua orang mengetahui kebesaran Tuhan.” Dengan geramnya, Goliat bergerak maju untuk membunuh Daud. Daud mengambil batu dari kantungnya dan menghumbannya ke kepala Goliat dengan kuat…” Seketul batu melayang keluar. Tuhan telah menolong Daud dan menyebabkan batu itu terkena kepala Goliat. Goliat menjerit “Ahhh…” dan terus jatuh ke tanah.
Semua orang Israel terkejut apabila melihat Daud yang berani telah membunuh Goliat. Kemudian mereka bersorak-sorak dan dengan berani mengejar musuh dengan membawa pedang. Tuhan telah menolong orang Israel mendapat kemenangan besar.
Apabila Bertemu Dengan Kawan Yang Tidak Mesra
Babak Pertama
(Mainkan lakonan ringkas berikut dengan menggunakan anak patung kain)
Senario: | Di bawah sepohon pokok besar, adik kecil bernama Yuen Yuen sedang bermain bola, Ta Nyan keluar dari sebelah pokok. |
Ta: | Ah ! Bosannya hari ini, tiada orang yang bermain dengan saya. Hei! Bukankah itu si Yuen Yuen? (Berjalan ke depan Yuen Yuen) Wei! Bagi saya bola kamu. |
Yuen: | Bolehkah kita berdua bermain bersama? |
Ta: | (Merebut bola dari tangan Yuen Yuen) Siapa suka bermain dengan kamu. (Bermain bola dengan tangan, tiba-tiba baling bola dengan kuat, berundur sambil bercakap) Bola begini tidak seronok untuk dimainkan. |
Yuen: | Ah! Tapi… tapi… nenek yang belikan bola itu untuk saya. (Gosok mata dengan tangan, memungut bola, berundur). |
Ta: | Ah ! Bosannya hari ini, tiada orang yang bermain dengan saya. Hei! |
Babak Kedua
Senario: | Yuen Yuen memegang sebuah buku cerita, datang ke bawah pokok sambil bernyanyi. |
Yuen: | Cuaca sangat baik hari ini, terima kasih kepada Tuhan kerana mencipta pokok besar ini, saya boleh duduk di bawah pokok dan membaca buku. (Berkata sambil membuka buku dan duduk) |
Ta: | Bencinya, sudah cuti pun perlu buat kerja rumah. (Berjalan sambil menghentak lantai, sampai ke bawah pokok, berdiri sekejap, terlihat Yuen Yuen sedang membaca buku dengan penuh minat, kemudian merampas bukunya, buang ke lantai, memijak-mijak buku itu, melarikan diri) Ha..ha..ha! |
Yuen: | (Memungut buku, menangis sambil berundur). |
Adik-adik, selepas melihat lakonan ringkas ini, jika kamu adalah Yuen Yuen, apakah yang harus kamu lakukan? (Biar kanak-kanak mengemukakan pendapat, tuliskan pendapat kanak-kanak tetapi jangan memberi komen). Boleh dikatakan bahawa Ta Nyan adalah seorang anak yang tidak gembira dan tidak bersopan. Apabila bertemu dengan anak jenis ini, mari kita rujuk Alkitab dan lihat apakah yang harus dilakukan. Sila rujuk I Korintus fasal 4, baca bersama guru dari ayat 12 – 13. (Baca ayat 13 kalimat pertama.
Selepas itu, tuliskan pada papan tulis dan perhatikan sebutannya: Kalau kami dimaki, kami memberkati, kalau kami dianiaya, kami sabar, kalau kami difitnah, kami tetap menjawab dengan ramah. (Baca sebanyak dua kali). Beberapa ayat Alkitab ini memberitahu kita agar jangan membuli atau memarahi orang. Jika orang lain melayani kamu dengan tidak sopan seperti Goliat atau Ta Nyan, apakah yang harus kamu lakukan? (Selepas kanak-kanak mengemukakan pendapat, guru boleh buat penambahan berdasarkan ayat Alkitab)
Sesi Aktiviti:
- Nama Aktiviti : Orang Gergasi
- Objektif Aktiviti :
- Membimbing kanak-kanak supaya tahu bersyukur dan bersandar kepada Tuhan dalam kehidupan.
- Membangkitkan daya pemikiran dan daya ciptaan kanak-kanak.
- Persediaan Sebelum Aktiviti: Satu kotak besar dan satu kotak kecil, pelbagai jenis kertas warna, kertas kalendar, kertas bungkusan, gunting, gam dan pisau.
- Isi Kandungan Aktiviti:
-
- Biar murid-murid mengemukakan pendapat tentang rupa Daud dan Goliat dalam cerita.
- Mengajar murid-murid membuat rekaan bersama-sama dengan menggunakan kotak kertas – Orang Gergasi.
- Guru tolong guntingkan satu lubang pada kotak kecil yang cukup untuk memasukkan kepala, dan tebuk dua lubang di bahagian mata.
- Gunakan pelbagai kertas untuk menghiasi bahagian luar kotak seperti rambut, anggota deria dan lain-lain, supaya kotak tersebut kelihatan seperti kepala manusia.
- Buat lubang pada kotak yang lebih besar untuk memasukkan badan, buat dua lubang di kedua-dua sisi supaya tangan boleh dikeluarkan, kemudian gunakan pelbagai bahan warna atau kertas untuk menghiasinya.
- Guru memasang kotak-kotak yang telah disiapkan pada kepala dan badan untuk memainkan watak orang gergasi – Goliat.
- Kanak-kanak pula menjadi Daud, gunakan kertas buangan untuk membuat bola kertas kecil, seumpama batu licin kecil yang dilemparkan kepada Goliat.