Mesej Untuk Guru:
Guru yang dikasihi, 1 Samuel 16:18 menggambarkan Daud sebagai “Seorang yang pandai main kecapi. Dia seorang pahlawan yang gagah perkasa, seorang prajurit, petah berbicara, elok perawakan; dan Tuhan menyertai dia.” Pada waktu itu, Roh Tuhan telah mundur daripada Saul, lalu dia diganggu oleh roh jahat yang daripada Tuhan. Daud diperkenalkan kepada Saul untuk memainkan kecapi baginya. Setiap kali Daud memainkan kecapi, Saul berasa lega dan nyaman, dan roh jahat itu undur daripadanya. Daud dapat menyatakan karunianya dengan bersandar kepada kuasa Tuhan kerana Tuhan menyertainya, manakala Saul menuju kepada kebinasaan kerana Tuhan tidak menyertainya.
Dalam bab ini, kita akan fokus kepada seorang gergasi – Goliat. Walaupun badannya begitu besar dan tegap, tetapi Daud lagi hebat daripadanya. Daud hanya menggunakan sebiji batu kecil untuk membunuh Goliat. Sungguh dramatik!
Selain daripada tanggapan ini, kita juga perlu mengajar kanak-kanak untuk melihat “tangan Tuhan yang tidak kelihatan”, kerana itulah tangan yang dapat menumpaskan segala musuh.
Nas Alkitab: 1 Samuel 17:1-58
Objektif Pengajaran dan Pembelajaran:
- Memahami bahawa Daud dapat menumpaskan Goliat kerana dia bersandar kepada Tuhan.
- Mengetahui bahawa Daud berperang bukan untuk dirinya sendiri melainkan untuk mempertahankan nama Tuhan agar tidak dicaci.
Ayat Hafalan:
Tetapi aku mendatangi engkau dengan nama Tuhan semesta alam. (1 Samuel 17:45)
Persediaan Prapengajaran dan Pembelajaran:
Umban (lastik) dan lima biji batu kecil. Gambar pakaian pahlawan zaman dahulu. Sekiranya dapat, jemput seorang saudara yang berbadan tinggi dan tegap agar adik-adik dapat membandingkan ketinggian Daud dengan gergasi.
Doa:
Dalam nama Tuhan Yesus kami berdoa: Tuhan semesta alam, Engkaulah Tuhan yang agung. Dengan bersandar kepada-Mu, kami tidak perlu takut akan sebarang musuh. Berikanlah kami hati yang berani seperti Daud. Kami tidak boleh membiarkan orang lain mencaci nama-Mu. Kami mesti menjaga nama-Mu selama-lamanya. Haleluya, Amin.
Isi Pelajaran:
Pendahuluan
Adik-adik, adakah kamu masih ingat akan kidung yang kita nyanyikan pada minggu lepas? Marilah kita ulang kaji sekali lagi!
Kidung kanak-kanak (boleh diulang beberapa kali)
Guru | : | “Tuhan gembalaku, aku gembala yang baik –” |
Domba | : | “Baa …… Baa ……” |
Guru | : | “Anak domba dengar kata tidak lari ke sana sini, ku bawa kamu makan rumput –” |
Domba | : | “Baa …… Baa ……” |
Guru | : | “Aku mengasihi anak – dombaku -, anak domba juga mengasihiku –” |
Domba | : | “Kami mengasihi Daud -, Daud juga mengasihi kami. Baa …… Baa ……” |
Penggembala yang muda, Daud yang berkasih sayang tetap menggembalakan kambing dombanya selepas diurapi oleh Samuel menjadi raja. Tidak kira singa atau beruang, atau apa sahaja yang berani datang untuk merampas kambing dombanya, dia akan membunuh mereka dengan bersandar kepada Tuhan. Anak kecil, Daud sememangnya sangat berani! Akan tetapi, jika berhadapan dengan seorang gergasi yang tinggi, adakah Daud akan berasa takut?
Goliat Mencaci Angkatan Tentera Tuhan
Pada suatu hari, bapa Daud, Isai menyuruh Daud membawakan makanan kepada abang-abangnya yang sedang berperang. Pada waktu itu, orang Filistin sedang berperang dengan angkatan tentera Raja Saul. Ketiga-tiga abang Daud juga merupakan tentera Israel! Namun apabila Daud tiba di khemah tentera, dia melihat pasukan tentera Israel sedang menggigil ketakutan, malahan ada yang melarikan diri! Apakah yang telah terjadi?
Rupa-rupanya seorang gergasi sedang berdiri di barisan hadapan tentera orang Filistin. (Jemput seorang saudara yang tinggi dan tegap untuk diperlihatkan kepada kanak-kanak. Lebih bagus jika saudara tersebut rela berlakon sebagai Goliat!) Gergasi ini bernama Goliat yang merupakan seorang pendekar terhandal dari antara tentera orang Filistin. Sebelah tangan Goliat mengambil senjata manakala sebelah lagi ditunjukkannya ke arah pasukan tentera Israel (Minta saudara atau guru yang berlakon sebagai Goliat) lalu mencaci dengan suara nyaring: “Hai, kamu tentera Israel yang tidak berguna! Bukankah kamu pasukan tentera Tuhan yang hidup? Hahaha… Mengapakah tiada seorang pun yang berani tampil keluar untuk bertempur dengan aku? Rupa-rupanya tentera Tuhan semua penakut. Hahaha… Lucu sekali!” “Cepatlah pilih bagimu seseorang. Jika dia dapat mengalahkan aku, maka orang Filistin akan menjadi hambamu!”
Adik-adik, jika kamu ialah seorang tentera Israel, adakah kamu takut akan Goliat? Adakah kamu akan takut sehingga melarikan diri seperti tentera Israel?
Goliat benar-benar tegap dan garang. Namun, bolehkah tentera Tuhan dicaci? Mencaci tentera Tuhan sama seperti mencaci Tuhan. Adakah kamu berani untuk mempertahankan nama Tuhan?
Daud Berani Melawan Goliat
Ketika Daud mendengar Goliat mencaci nama Tuhan, tambahan pula sememangnya pada masa itu semua tentera Israel ketakutan dan tiada seorang pun yang berani keluar untuk melawan. Maka, dia berkata kepada Raja Saul dengan berani: “Izinkanlah aku pergi melawan Goliat!” Raja Saul memandang Daud (Minta seorang adik berlakon sebagai Daud dan memandangnya dengan penuh kerisauan) dan hampir-hampir tertawa, katanya: “Tidak, tidak. Engkau terlalu muda sedangkan Goliat itu tinggi dan tegap. Malah, dia telah menjadi prajurit sejak masa mudanya. Kamu pasti akan kalah kerana dia sangat handal!”
Daud menjawab: “Walaupun aku seorang penggembala yang muda, namun Tuhan, Allah yang benar di syurga sering melepaskan aku dari cakar singa dan beruang. Aku percaya Tuhan juga pasti akan membantu dan melepaskan aku dari tangan Goliat. Aku mesti tunjukkan kehebatan Tuhan kepada orang Filistin!” Saul terkejut lalu berkata: “Ada pula budak yang seberani ini! Baiklah, aku akan berikan baju perangku kepadamu!”
Tidak disangka-sangka, selepas Daud mengenakan baju perang yang berat dan besar itu, dia langsung tidak dapat berjalan. Oleh itu, Daud terpaksa menanggalkan baju perang yang berfungsi untuk melindunginya. Kemudian, Daud memilih lima batu yang licin dari dasar sungai. Tangannya memegang umban dan tongkat, (Guru menunjukkan gambar kepada kanak-kanak dan menyediakan lima batu kecil yang licin supaya mereka boleh sentuh. Pada waktu yang sama, guru perlu memberitahu kanak-kanak agar tidak bermain umban/lastik dengan sembarangan bagi mengelakkan berlakunya kemalangan) lalu pergi melawan Goliat.
Membunuh Goliat Dengan Seketul Batu Kecil
Goliat dari jauh melihat seorang budak kecil keluar dari antara tentera Israel dengan membawa tongkat, lalu berkata: “Hahaha… Mengapakah kamu menghantar seorang kanak-kanak ke mari? Anjingkah aku? Maka engkau mendatangi aku dengan tongkat? Dengan sekelip mata saja aku boleh membunuhmu!” Namun Daud berkata: “Engkau berperang dengan senjata, tetapi aku berperang dengan bersandarkan Tuhan yang benar di syurga! Hari ini juga aku akan mengalahkan engkau!”
Adik-adik, Kitab Suci mencatatkan: (Guru membaca ayat Alkitab) “Tetapi aku mendatangi engkau dengan nama Tuhan semesta alam” (1 Samuel 17:45).
Selepas Daud selesai berbicara, diambilnyalah sebuah batu dan diumbannya, “shu…shu…” ke arah Goliat. “Dong!” Goliat rebah ke tanah lalu mati. Rupa-rupanya batu kecil itu terbenam ke dalam dahi Goliat. Oh, Tuhan! Gergasi yang mentertawakan Daud sebentar tadi kini telah meninggal dunia! Semua orang tergamam melihat keadaan ini! Bagaimanakah ini mungkin terjadi? Daud mengambil pedang Goliat dan memancung kepala Goliat. Apabila orang Filistin melihat pahlawan terhandal mereka telah mati dibunuh, maka larilah mereka sambil menjerit: “Tolong! Tolong!” Tentera Israel bangkit dan mengejar orang Filistin sehingga ramai orang Filistin yang mati dibunuh. Akhirnya, orang Israel berjaya menang ke atas orang Filistin. Daud telah membunuh musuh orang Israel serta mempertahankan nama Tuhan. Raja Saul berasa sangat gembira lalu meminta orang mencari Daud untuk menanyakan namanya. Daud berkata: “Aku anak hamba tuanku, Isai.” Sebenarnya, Daud pernah memainkan kecapi untuk Raja Saul, hanya Saul memandang rendah terhadap seorang budak kecil yang bermain kecapi pada waktu itu. Jadi dia tidak ambil peduli siapakah Daud pada waktu itu. Sekarang Daud telah berjasa besar, maka Saul membawa Daud di sisinya. Disebabkan Daud seorang yang pintar dan berkebolehan, dia telah diangkat menjadi kepala para prajurit tidak lama kemudian. Seluruh rakyat dan Raja Saul menyukai Daud.
Kesimpulan
Adik-adik, kita boleh menewaskan musuh yang kuat dengan bersandar kepada kuasa Tuhan. Oleh itu, kita harus bersandar kepada Tuhan dalam segala hal. Tidak kira apa saja masalah yang kita hadapi, asalkan kita disertai oleh Tuhan, kita pasti dapat mengharunginya. Adik-adik, Tuhan akan menyertai kita sekiranya kita sering menghadiri kebaktian, membaca Kitab Suci dan berdoa.
Pada minggu hadapan, kita akan menceritakan kisah Daud dan sahabat karibnya. Adakah kamu juga mempunyai sahabat karib? Ya, kamu boleh menjemput sahabat karib datang ke gereja untuk mendengar cerita ini!