BAB 5 : NABI YANG MELARIKAN DIRI

Nas Alkitab : Kitab Yunus

 

Objektif Pengajaran dan Pembelajaran :

  1. Mengetahui bahawa Yunus melarikan diri daripada perintah Tuhan  dan dihukum oleh Tuhan.
  2. Dapat melakukan yang yang benar di mata Tuhan: (5)Dapat memaafkan kesalahan kawan.

 

Ayat Hafalan :

Kasihilah musuhmu. (Mat 5 :44)

 

Persediaan Prapengajaran dan Pembelajaran :

  1. Kad-kad tulisan

 

Doa :

Dalam nama Tuhan  Yesus berdoa. Ya,  Tuhan Yesus! Engkau mengasihi kami, memberikan kami damai sejahtera dan sukacita. Sekarang kami mahu menenangkan hati, bersungguh-sungguh mendengar cerita dan mempelajari firman-Mu. Mohon Tuhan Yesus membantu kami untuk menjadi seorang anak yang baik. Syukur kepada Tuhan  Yesus.  Amin.

 

Isi Pelajaran :

Adik-adik sekalian, adakah kamu dapat menelan sebiji ubat (atau gula-gula) tanpa dikunyah? (Kanak-kanak ceritakan pengalaman mereka). “Menelan” bermaksud menelan masuk tanpa dikunyah. Pada zaman dahulu, terdapat seorang yang ditelan oleh ikan yang sebesar ikan paus ke dalam perut ikan. Adakah kalian pernah melihat ikan yang sebesar itu? Tidak. Ini disebabkan mereka hidup di dalam lautan yang sangat jauh, sehingga kita tidak dapat melihatnya. Adik-adik sekalian, adakah kamu tahu mengapa orang ini ditelan oleh ikan besar? Hari ini, cikgu akan menceritakan kisah “seorang yang ditelan oleh ikan besar.”

 

Nabi Yang Tidak Mendengar Perintah Tuhan

Orang yang ditelan oleh ikan ini bernama Yunus. Adik-adik cuba baca 2 kali “Yunus” . (Tunjukkan tulisan). Dia adalah orang yang menyampaikan firman bagi Tuhan. Pada masa dahulu, orang yang melakukan pekerjaan ini disebut “Nabi”. (Tunjukkan kad tulisan). Maka, semua orang menggelarnya “Nabi Yunus.” Cuba baca 2 kali “Nabi Yunus.”

Pada suatu hari, Tuhan  berfirman kepadanya : “ Yunus! Pergilah ke kota Niniwe, dan beritahu kepada orang-orang di kota itu bahawa mereka telah melakukan banyak kejahatan dan harus bertaubat dengan segera. Jika tidak, Aku akan membinasakan mereka dengan kota itu sekali kerana mereka terlalu jahat”. (Membinasakan bermaksud memusnahkan semua rumah dan semua orang akan mati). Selepas nabi Yunus mendengar perkataan Tuhan, hatinya tidak rela pergi. Dia berfikir: Kota Niniwe begitu jauh, orang-orang di sana berani melakukan apa saja yang jahat seperti membunuh, merompak, dan sekarang pula mereka bersedia untuk menawan negara kita.

Mereka adalah musuh kita, sepatutnya Tuhan  yang harus menghukum mereka yang jahat ini.  Jika saya pergi dan menyuruh mereka untuk bertaubat, dan ternyata mereka bertaubat maka Tuhan akan mengampuni mereka. Bukankah ini membantu musuh datang menyerang kita?  Tidak! Saya tidak akan berbuat sedemikian. Biarlah Tuhan  yang membinasakan mereka! Dengan demikian kita akan dibantu untuk menghapuskan musuh yang besar. Disebabkan Yunus takut orang-orang Niniwei bertaubat, dan negaranya diancam kelak, maka dia enggan pergi ke kota Niniwe.

 

Yunus Melarikan Diri Daripada Tuhan 
Nabi Yunus segera menyiapkan beberapa helai pakaian dan barang-barangnya, lalu berlari, berlari! Apabila dia berlari sampai ke tepi laut, dia melihat sebuah kapal yang akan berangkat menuju ke Tarsis.  Dia segera lari ke sana dan menaiki kapal yang menuju ke Tarsis itu. Setelah membayar tiket kapal, dia mencari suatu tempat duduk untuk berehat. Kapal pun belayar dan hari ini cuaca sangat cerah! Tidak ada angin, tidak ada ombak, cuaca sebegini paling selesa untuk menaiki kapal. Kapal belayar dengan tenang. Oleh itu tidak ada orang yang mabuk laut. Yunus berasa lega kerana kapal ini akan membawanya ke tempat yang lebih jauh dari kota Niniwe. Setibanya di sana, Tuhan mungkin tidak akan menemuinya. Dia asyik berfikir sampai tertidur. Adik-adik sekalian, cuba kalian fikir apakah Tuhan dapat menemuinya? (Tentu dapat menemuinya kerana Tuhan tahu segala sesuatu). Apakah tindakan Tuhan  terhadap Yunus yang tidak mendengar perkataan Tuhan? (Bangkit amarah Tuhan).

 

Bangkit Amarah Tuhan (Tunjukkan kad tulisan)

Kapal telah lama belayar, tiba-tiba, “hu…..hu….” kedengaran bunyi angin yang sangat kuat,  tidak tahu datang dari mana. Angin bertiup dengan kencang sekali, air laut bergelora  sehingga kapal diombang-ambingkan dengan kuat sekali. Air laut masuk ke dalam kapal sehingga kapal hampir tenggelam. Semua penumpang dalam ketakutan dan keadaan menjadi kucar kacir.  Ada yang berseru “Tolong!”,  ada pula yang menangis sambil memanggil “Ibu!”. Ada juga yang berpaut pada tiang kapal sambil menggigil! Akhirnya, untuk meringankan beban kapal, nakhoda terpaksa menyuruh semua orang membuang barang-barang yang dibawa oleh mereka  ke dalam laut.  Sungguhpun demikian, masih tetap tidak ada gunanya.
Nakhoda terpaksa berkata lagi: “Mintalah perlindungan daripada Tuhan kamu masing-masing!” Lalu semua orang menangis sambil berseru kepada nama tuhan mereka. Tetapi semakin berseru, semakin besar pula badai itu. Pada masa itu, nakhoda mendapati seorang sedang tidur dengan nyenyak! Cuba kalian fikir, siapakah dia? (Yunus) Ya! Orang itu ialah Yunus. Berkemungkinan dia terlalu penat kerana bergegas meneruskan perjalanannya. Nakhoda  membangunkannya dengan sekuat tenaganya: “Hei! Hei! Bangunlah segera. Kapal hampir tenggelam tetapi engkau masih tidur!  Berserulah kepada Tuhanmu untuk menyelamatkan kita!”

 

Yunus Dilemparkan Ke Dalam Laut

Pada masa itu, semua orang pun mulai berbincang: Hairan sekali, pagi tadi cuaca masih baik, tidak juga diberi amaran taufan!  Mengapa terjadinya angin kencang dan badai yang besar?  Mereka berfikir, pasti ada orang yang berbuat salah terhadap Tuhan  dan membangkitkan murka Tuhan. Maka semua orang membuat keputusan untuk mencari orang yang membangkitkan murka Tuhan dengan cara membuang undi. Setiap orang mengambil undi dan ada seorang mendapat undian. Siapakah orang itu ? Yunus. Tuhan  yang membuat dia mendapat undian.

Yunus berasa sangat takut kerana Tuhan mengetahui apa yang difikirkannya. Semua orang bertanya kepadanya: “Apakah kesalahan yang telah engkau lakukan?” Dia terpaksa menjawab dengan jujur: “Tuhan  menyuruh aku pergi memberi amaran kepada orang-orang Niniwe, tetapi aku takut mereka tidak percaya perkataanku. Mereka akan memarahi dan memukulku.  Maka aku pun melarikan diri, agar Tuhan  tidak menemuiku.  Tetapi mereka berkata:  “Sekarang kapal hampir tenggelam dan kita akan mati lemas. Kamulah yang mencelakakan kami.”  Yunus melihat angin badai semakin besar dan dia tahu bahawa Tuhan sudah naik murka. Oleh itu dia berkata: “Lemparlah aku ke dalam laut”.

Walaupun dia berkata demikian, namun mereka masih tidak sampai hati melemparkannya ke dalam laut. Akan tetapi disebabkan angin badai terlalu besar, maka mereka terpaksa melemparkannya ke dalam laut.  Cuba kamu fikir, “Apakah yang berlaku?” Hairan sekali, angin badai menjadi reda, dan cuaca menjadi cerah. Semua orang segera berlutut dan berdoa, bersyukur kepada Tuhan benar Yunus yang telah menyelamatkan mereka. Mereka juga mengatakan akan menyembah Tuhan yang benar ini untuk selama-lamanya!

 

Doa Di Dalam Perut Ikan

Setelah Yunus dilemparkan ke dalam laut, dia berfikir : “Matilah!”  Dia terapung di atas  air  dan  terminum beberapa teguk air laut.  Adik-adik sekalian  apakah rasa air laut? (Masin). Tiba-tiba, dia melihat suatu bayangan hitam yang menuju ke arahnya. Sebelum dia sempat melihatnya dengan jelas, kedengaran suara “blum”. Dia ditolak masuk ke dalam sebuah lubang yang sangat gelap.  Ah! Mengapa tidak ada angin dan ombak? Badannya tidak dapat bergerak dan kepalanya tidak dapat diangkat lagi. Malahan terhidu pula bau hanyir ikan. Adik-adik sekalian, cuba teka  Yunus berada di mana?  Rupa-rupanya bayangan besar itu  adalah seekor ikan yang sangat besar. Besarnya hampir seperti ikan paus.

Ikan besar  itu membuka mulutnya lebar-lebar dan sekejap sahaja Yunus ditelan masuk ke dalam perutnya. Di dalam perut ikan  itu basah, bau dan gelap. Yunus terasa lapar tetapi tidak dapat bergerak. Dia merasa sangat sedih! Dia berfikir: “Mungkin aku akan mati!” Adik-adik sekalian, jika kamu ialah Yunus, apa yang akan kamu lakukan? Menangis dan berseru : “Ibu?” Berkesankah tidak ? Tidak  ada orang yang mendengarnya kalau dia berada di dalam perut ikan ,di lautan besar. Hanya ada satu cara saja. Apakah itu? (Berdoa). Ya! Yunus segera berdoa dan meminta pengampunan daripada Tuhan. Yunus berada dalam perut ikan tiga hari tiga malam. Tuhan  mendengarkan doa Yunus. Tuhan  menyuruh ikan besar itu berenang sampai ke tepi laut dan memuntahkan Yunus di tepi pantai. Yunus melihat langit yang biru, menyentuh pasir di tepinya, lalu dia berkata: “Oh! Aku belum mati!” Tuhan telah mengampuni aku! Aku mahu percaya kepada Tuhan  dan bersandar kepadaNya. Sekarang aku mahu pergi ke kota Niniwe!” Dia berlutut di tepi laut dan bersyukur kepada Tuhan  kerana telah mengampuninya.

 

Yunus Melaksanakan Perintah Tuhan  Dengan Berani

Kemudian Yunus berjalan ke Kota Niniwe. Dia berjalan dengan cepat dan bersemangat ! Setelah sampai di kota, dia berseru dengan nyaring: “Perhatian semua! Tuhan  mengatakan kamu semua telah melakukan banyak kejahatan. Maka 40 hari kemudian Tuhan  akan membinasakan kota ini!” Dia berjalan sambil berseru. Kota Niniwe terlalu besar.  Dia telah berjalan sambil berseru sepanjang hari sehingga suaranya menjadi serak dan terasa penat sekali. Namun hatinya sangat gembira kerana dia melakukan seperti yang dipesankan oleh Tuhan . Raja kota Niniwe telah mendengar perkataan Yunus. Dia sangat takut lalu berpesan kepada seluruh rakyatnya supaya mengetepikan pekerjaan mereka untuk berdoa sambil berpuasa dan memohon pengampunan daripada Tuhan. (Berpuasa bermaksud tidak minum dan tidak makan). Bahkan lembu sapi dan kambing domba pun tidak boleh makan rumput.  Demikianlah seluruh rakyat berdoa dengan sehati. Tidak lagi melakukan kejahatan dan mesti melakukan kebaikan mulai dari saat itu. Disamping itu juga, mereka menghapuskan segala berhala dan  menyembah Tuhan. Tuhan  melihat mereka benar-benar berubah lalu mengampuni mereka dan tidak menghukum mereka.

Pada suatu kali, adik-adik sedang mendengar cerita yang disampaikan oleh cikgu semasa kelas pendidikan agama. Tiba-tiba ada orang yang mengintai di depan pintu tetapi tidak berani masuk ke dalam kelas. Rupa-rupanya dia adalah Yapp Da Gang. Cikgu melihatnya lalu menyuruh adik-adik membawa dia masuk untuk mengikuti kelas. Tetapi adik-adik berkata: “Jangan, kami tidak mahu dia datang.” Cikgu berasa hairan lalu bertanya: “ Mengapa kamu tidak suka Yapp Da Gang datang mengikuti kelas?”  Adik-adik menjawab: “Yapp Da Gang selalu membuli kami.” Ada lagi yang menjawab: “Dia suka mengucapkan kata-kata yang kotor dan memarahi orang lain. Ya, benar! Kami tidak suka dia.” Nampaknya tidak ada orang yang  menyukainya. Setelah semuanya tenang, cikgu bertanya: “Mengapa kamu mahu datang berkebaktian?” (Kanak-kanak meluahkan pendapat). Kamu semua memang mengetahui bahawa datang berkebaktian adalah mendengar firman Tuhan .

Cikgu bertanya lagi: “Jika demikian, anda tahukah bagaimana Tuhan  akan mengambil tindakan terhadap mereka yang berbuat salah?”

“Adakah Tuhan Yesus tidak mempedulikan mereka ?”

“Jadi, bagaimanakah Tuhan Yesus melayani mereka? (Tiga soalan di atas dijawab oleh kanak-kanak satu per satu. Yesus bersahabat dengan mereka, mengasihi mereka dan memberitakan injil kepada mereka.

Maka cikgu berkata: “Kita telah banyak mendengar cerita dalam Alkitab dan mengetahui bahawa Tuhan  mengasihi setiap orang. Namun mengapa kamu hanya mendengar dan tidak melakukannya?”
Setelah semuanya mendengar perkataan cikgu, mereka pun menundukkan kepala. Tidak lama kemudian, Jian Kok berkata: “Cikgu, bolehkah saya pergi memanggil Yapp Da Gang masuk?”

Xiao Li juga mengangkat tangannya dan berkata: “Cikgu, saya pun ikut sama.” Jian Kok dan Xiao Li pergi bersama-sama untuk memanggil Yapp Da Gang masuk. Ramai kanak-kanak mengelilingi Yapp Da Gang dan membawanya ke tempat duduk serta membantunya untuk membelek Alkitab. Sejak Yapp Da Gang datang mengikuti kebaktian, lambat laun dia tidak lagi mengucapkan perkataan-perkataan yang kotor, memarahi orang atau memukul orang. Yapp Da Gang telah percaya kepada Tuhan dan menjadi seorang anak baik yang dikasihi oleh Tuhan  Yesus.

Dalam Kitab Matius 5:44 (Tunjukkan kad tulisan) Tuhan Yesus berkata: “Tetapi Aku berkata kepadamu: “Kasihilah musuhmu.”  Cuba adik-adik bacanya bersama-sama sebanyak tiga kali. Musuh ialah orang yang berlaku sesuatu yang tidak baik terhadap kita dan orang yang menindas kita. Akan tetapi Tuhan Yesus menyuruh kita supaya mengasihinya dan mendoakannya. Dengan demikian, barulah kita adalah anak  baik yang mendengar perintah Tuhan .