BAB 5 : PUTERA MESIR

BAB 5 : PUTERA MESIR

 

Mesej Untuk Guru : 

Kepada guru yang dikasihi, cerita tentang Musa sudah sampai! Bermula dari bab ini, kita akan memasuki penyelamatan agung Tuhan, yang memimpin orang Israel keluar dari tanah Mesir. Bab ini membincangkan tentang kelahiran Musa dan persekitarannya semasa dia dibesarkan. Dia sangat bernasib baik kerana mendapat berkat walaupun berada dalam kesusahan. Di bawah perlindungan puteri Mesir, dia bukan sahaja boleh dijaga oleh ibu kandungnya sendiri, tetapi dia juga menikmati kehidupan dan pendidikan yang lebih baik daripada orang Israel, bahkan semua orang Mesir. Oleh sebab itu, “semuanya diatur oleh Tuhan” adalah apa yang ingin disampaikan dalam bab ini.

 

Nas Alkitab : Keluaran 1- 2:10

 

Objektif Pengajaran dan Pembelajaran : 

Memahami bahawa hidup kita berada di dalam tangan Tuhan.

 

Ayat Hafalan :

Serahkanlah segala kekuatiranmu kepada-Nya. (1 Petrus 5:7)

 

Persediaan Prapengajaran dan Pembelajaran :

Gambar (Gambar yang berkaitan disediakan oleh guru.)

 

Doa : 

Dalam nama Tuhan Yesus berdoa. Bapa Syurga yang dikasihi, kami bersyukur kepada Engkau kerana menjaga kami, supaya kami dapat mengikuti kebaktian dengan selamat. Saya ingin belajar daripada ibu bapa Musa, yang bersandar kepada Engkau ketika berada dalam bahaya, kerana Engkau mengasihi saya, saya ingin memuji dan mengucap syukur kepada Engkau dengan suara yang lantang. Haleluya, Amin!

 

Isi Pelajaran :

Pendahuluan

Adik-adik, dalam beberapa bab sebelum ini yang guru-guru sampaikan, siapakah yang telah dijual ke Mesir oleh abang-abangnya, yang kemudiannya menjadi penguasa? (Yusuf) Betul, setelah Yusuf dan abang-abangnya saling mengenali, Yusuf segera menjemput ayahnya sekeluarga tinggal di Mesir, dan menyediakan tempat tinggal yang terbaik dan terindah untuk ayahnya, Yakub, mentaatinya hingga ayahnya meninggal dunia. Ketika Yakub meninggal dunia, terdapat ramai orang yang menangis bersama Yusuf. Yusuf yang taat juga diberkati oleh Tuhan sehingga dia hidup sampai 110 tahun baru meninggal dunia.

 

Perintah Raja

Selepas itu, keluarga Yusuf tinggal di Mesir untuk satu jangka waktu yang lama. Keturunannya (anak kepada anak kepada anak) menjadi semakin ramai. Raja Mesir juga telah bertukar beberapa orang, bertukar sehingga tiada lagi yang mengenali Yusuf. Firaun yang baru menjadi takut akan keturunan Yusuf, iaitu orang Israel, ditakuti mereka akan menjadi semakin ramai dan kuat. Mereka bimbang kalau-kalau orang Israel menjadi lebih ramai daripada orang Mesir, teruklah kalau begitu keadaannya. Kalau begitu, raja mungkin akan digantikan dengan orang Israel. Oleh itu, Firaun yang jahat memerintah kepada bidan (orang yang membantu menyambut kelahiran bayi) untuk membunuh atau membuang bayi ke dalam sungai jika mereka mendapati orang Israel telah melahirkan anak lelaki, hanya anak perempuan yang dibiarkan hidup. Alamak, adik-adik! Perintah ini sungguh mengerikan.

 

Musa Dilahirkan

Pada masa inilah, seorang ibu Israel telah melahirkan seorang bayi lelaki yang sangat comel. Seisi keluarga berasa sangat gembira tetapi pada masa yang sama juga berasa bimbang, kerana betapa kasihannya jika bayi lelaki yang secomel ini dilemparkan ke dalam sungai dan mati lemas. Oleh itu, mereka berusaha untuk menyembunyikan bayi ini. Mereka tidak berani membiarkan bayi itu menangis, kerana jika bayi itu menangis, dia akan kedapatan oleh orang lain. Tetapi bayi itu semakin membesar dari sehari ke sehari, suara tangisannya juga semakin hari semakin kuat. Jika hal ini berlanjutan pasti akan kedapatan oleh orang lain. Ibu bapa bayi itu berasa bahawa bayi itu tidak dapat lagi disembunyikan di rumah, jadi apa yang harus mereka lakukan?

 

Bayi Diletakkan Ke Dalam Bakul

Kemudian ibunya terfikir suatu cara yang baik. Dia menenun bakul kecil dengan rumput, menyapu bahagian dalam dan luar bakul dengan gala-gala dan tar yang kalis air. Dia meletakkan selimut kecil di dalam bakul, kemudian memasukkan bayi lelaki itu ke dalam bakul. Ibu dan kakak bayi membawa bakul itu ke tepi sungai, dan meletakkan bakul tersebut perlahan-lahan di tengah-tengah rumpun rumput tepi sungai. Kakak bayi bersembunyi di tempat yang agak jauh untuk melihat bakul itu, dia berdoa kepada Tuhan dalam hatinya, memohon Tuhan menjaga adiknya yang comel, supaya adiknya dapat diselamatkan. Ini adalah kerana, bayi lelaki yang dibesarkan oleh orang Mesir boleh dibiarkan hidup dan tidak akan dibunuh.

 

Puteri Menyelamatkan Bayi

Bakul yang membawa bayi tersebut terapung-apung di sungai. Tidak lama kemudian, datanglah seorang puteri Firaun yang baik hati ke sungai untuk bermain air. Lalu dia terlihat bakul di tepi sungai itu dan berasa hairan, lalu disuruh hamba perempuannya (iaitu orang suruhan perempuan) untuk mengambil bakul itu. Amboi, seorang bayi yang sungguh comel rupanya! Puteri membuat keputusan untuk membawa bayi itu kembali ke istana dan menjaganya seperti bayi yang dilahirkan sendiri.

 

Kakak Yang Bijak

Pada masa ini, kakak yang telah mengikuti bakul dari jauh dan bersembunyi di sebalik rumput air itu bergegas keluar. Dia berkata kepada puteri, “Bolehkah saya mencari seorang pengasuh untuk menolong puteri membesarkan bayi kecil ini?” Puteri itu berkata dengan gembira, “Bagus, pergi carikan!” (Adik-adik, ini disebabkan susu tepung belum diciptakan pada masa itu, hanya ibu yang baru melahirkan bayi mempunyai susu untuk menyusu bayi. Jika tidak minum susu, bayi akan mati kelaparan) Oleh itu, ketika puteri itu sedang gelisah memikirkan bagaimana mencari pengasuh untuk menyusu bayi tersebut, dia berasa sungguh gembira dan segera bersetuju setelah mendengarkan kata-kata adik perempuan itu.

 

Bayi, Musa Kembali Ke Pangkuan Ibunya

Kakaknya sangat gembira sehingga dia melompat dan berlari balik ke rumah dan memberitahu ibunya bahawa dia harus bergegas pergi berjumpa dengan puteri, supaya dia boleh menjadi ibu pengasuh adiknya, bayi itu. Ketika dia berjumpa dengan puteri, puteri memintanya untuk membawa bayi itu pulang ke rumah dan membesarkannya supaya bayi menjadi putih dan gemuk, kemudian membawanya kembali ke istana untuk tinggal bersama puteri setelah bayi itu tidak perlu lagi minum susu. Oleh itu, bayi itu pulang kembali ke rumah lagi. Ibu, bapa, abang dan kakak berasa sangat gembira! Bayi kecil itu membesar dengan baik dan kuat di bawah jagaan ibunya, lalu ibunya membawanya ke istana untuk menjadi anak puteri. Puteri menamainya “Musa”, yang bermaksud: “Aku telah menariknya dari air”. Sejak itu, anak kecil Musa tinggal, makan dan hidup bersama-sama puteri di dalam istana.

 

Hidup Berada Di Dalam Tangan Tuhan

Adik-adik, walaupun Firaun yang jahat ingin membunuh bayi lelaki orang Israel, tetapi Tuhan telah melindungi anak kecil Musa dengan ajaibnya, supaya puteri yang baik hati menemuinya. Sehinggakan Musa bukan sahaja dapat kembali ke pangkuan ibunya, tetapi juga telah menjadi anak kepada puteri, menerima pendidikan terbaik di Mesir dan menjalani kehidupan yang selamat dan selesa. Oleh itu, Tuhanlah yang berkuasa atas hidup kita, segala sesuatu berada di dalam tangan Tuhan, dan kita tidak boleh membuat keputusan sendiri sama ada kita mahu hidup atau mati!

 

Kesimpulan

Adik-adik, hidup kita diberikan oleh Tuhan. Kita mesti menjadi orang yang baik, banyak melakukan perkara yang disukai oleh Tuhan dan menolong orang lain. Asalkan kita mengingati firman Tuhan, maka Tuhan akan menjadikan kita orang yang berguna dan memimpin kita ke jalan yang selamat. Sekiranya kita menghadapi kesukaran atau bahaya, contohnya semasa anda tidak dapat mencari ayah atau ibu anda, janganlah kita takut atau menangis. Asalkan kita berdoa, percaya dan bersandar kepada Tuhan, maka Tuhan akan membawa kita ke tempat yang selamat. Tuhan akan melindungi kita sama seperti Tuhan melindungi Musa yang kecil. Pada minggu depan, cikgu akan meneruskan cerita berkenaan Musa yang sudah dewasa. Jumpa lagi minggu depan!