BAB 5: RAJA YANG TIDAK DAPAT TIDUR

Mesej Untuk Guru:

Guru-guru yang dikasihi, kisah dalam bab ini adalah suatu pengaturan Tuhan Benar yang sangat ajaib. Peristiwa ini berlaku selepas kali pertama dan sebelum kali kedua ratu Ester menjemput raja makan. Oleh kerana raja Ahasyweros tidak dapat tidur pada malam tersebut, maka dia memanggil orang untuk membacakannya catatan sejarah. Dan yang ajaib sekali, kebetulan pula bab yang dibaca adalah suatu perkara yang berlaku pada 5 tahun yang lalu. Ini telah membuat raja Ahasyweros tiba-tiba mempunyai tanggapan baik terhadap orang Yahudi yang pernah menyelamatkan nyawanya. Perkara ini sangat penting, kerana pada ketika itu raja Ahasyweros amat mempercayai dan memanjakan Haman. Jika bukan disebabkan peristiwa ini, apabila Ester memberitahu raja bahawa Haman mahu membunuhnya dan seluruh orang Yahudi, raja tidak semestinya akan berperintah serta merta untuk membunuh Haman. Jelas bahawa manusia tidak dapat mengelak dari kekuasaan Tuhan. Semuanya ada dalam perancangan Tuhan. Orang Yahudi yang telah terselamat daripada ancaman ini juga berjaya mengekalkan zuriat bangsa, dan menggenapkan nubuat kelahiran Yesus Kristus.


Nas Alkitab:
Ester 2:21-23; 6:1-13

 

Objektif Pengajaran dan Pembelajaran:

Dapat membezakan yang baik dan yang jahat, dan memilih untuk berbuat baik.

 

Ayat Hafalan:

Dan janganlah kamu lupa berbuat baik dan memberi bantuan, sebab korban-korban yang demikianlah yang berkenan kepada Allah. (Ibrani 13:16)

 

Persediaan  Prapengajaran dan Pembelajaran: 

Dua patung boneka, sebuah model kuda, Alkitab.

 

Doa:

Dalam nama Tuhan Yesus berdoa. Terima kasih Tuhan Yesus, kerana menjaga kami melalui satu minggu dengan selamat. Engkau harapkan kami jujur dan tidak menganiayai orang lain, maka Engkau akan melindungi dan membantu kami. Kerana Engkau akan menghukum orang yang jahat, supaya orang jahat tidak dapat menyakiti kami. Kami akan mengingati ajaran-Mu. Syukur kepada Tuhan, Amin.

 

Isi Pelajaran:

Pendahuluan

Adik-adik, minggu lalu kita telah menceritakan mengenai Ester,  seorang ratu yang baik. Dia menyembah kepada Tuhan, juga bersopan santun, tidak tamak, dan penuh kasih. Oleh itu, orang yang baik hati adalah yang paling cantik. Raja pun paling suka dia, lalu memilihnya menjadi ratu. Setelah Ester menjadi ratu seluruh negeri, semua pembesar dan rakyat pun sangat menyukainya. Tetapi, dalam istana itu bukan semua orang adalah orang yang baik. Ada orang yang sedang merancang sesuatu yang jahat untuk menganiaya raja! Mari, cepat kita dengar. 

 

Mordekhai Menyelamatkan Nyawa Raja

Pada suatu hari, ada dua orang sida-sida (Orang yang bekerja untuk raja di dalam istana) sangat benci (tidak suka) terhadap raja. Mereka sedang merancang untuk membunuh raja secara diam-diam. Kebetulan hal ini telah diketahui oleh bapa Ester. Siapakah bapanya? Betul, iaitu anak pak ciknya iaitu Mordekhai. Dengan segera Mordekhai memberitahu hal itu kepada ratu Ester. Ester pun berlari kepada raja untuk memberitahunya. Dengan segera raja mengutus pembesar untuk menyiasat hal itu benar atau tidak. Akhirnya raja telah menangkap dua orang sida-sida yang ingin membunuhnya lalu menjatuhkan hukuman mati ke atas kedua-dua sida yang jahat itu. Pada hari Mordekhai menyelamatkan raja, hal itu telah dicatatkan dalam buku diari istana raja. (Istana ketika itu ada orang khusus yang mencatatkan perbuatan dan perkataan raja yang disebut “kitab sejarah”).

 

Haman Yang Sombong

Pada ketika itu, dalam istana ada seorang lagi pembesar yang jahat bernama “Haman”. Dia sengaja membuat perkara yang menggembirakan raja dan mengucapkan kata-kata yang raja suka dengar. Maka raja sangat menyukai dia lalu memberikan dia pangkat yang besar. Haman berasa dirinya hebat, maka dia mahu semua orang yang melihatnya berlutut dan menyembah kepadanya. Namun hanya Mordekhai yang tidak sujud kepadanya kerana Mordekhai hanya menyembah kepada Tuhan. Maka Haman berasa sangat marah! Semakin hari Haman semakin membenci Mordekhai. Tambahan lagi telah terjadi suatu perkara yang menjatuhkan air muka Haman. Oleh itu, Haman berkeputusan mahu mencari jalan untuk menganiaya Mordekhai.

 

Raja Tidak Dapat Tidur

Begini peristiwanya: Pada suatu malam, raja baring di atas katilnya dan tidak dapat tidur. Maka dia pun menyuruh pembesar membacakan catatan dalam buku diari itu kepadanya. Dalam buku itu ada tercatat semua perkara yang telah berlaku dalam negeri setiap hari. Pembesar membacakan bab demi bab. Kebetulan dia terbaca  hal ketika Mordekhai sedang menjaga pintu istana dan mendapati ada dua orang sida-sida yang ingin membunuh raja. Maka dia memberitahu hal itu kepada ratu Ester dengan segera. Demikianlah dia telah menyelamatkan nyawa raja. Raja pun bertanya kepada pembesar, “Mordekhai telah menyelamatkan aku. Adakah dia mendapat apa-apa hadiah?” Pembesar menggelengkan kepala lalu berkata, “Tidak ada.” Setelah raja mendengar, dia berasa itu adalah sesuatu yang tidak betul jika tidak membalas budi Mordekhai. Maka dia berfikir, “Bagaimanakah mungkin aku tidak hadiahkan sesuatu kepada orang yang menyelamatkan aku?” Lalu dia pun berkata kepada pembesar, “Baik! Aku mahu membalas budi Mordekhai dengan sebaik-baiknya.”

 

Haman Berseru Dalam Perarakan Mordekhai 

Pada ketika itu, kebetulan Haman berlari ke istana pada awal pagi lagi kerana dia mahu mengatakan sesuatu yang buruk tentang Mordekhai kepada raja, tetapi raja tidak tahu tentang itu. Apabila dia melihat Haman telah sampai dengan gembiranya raja bertanya kepada Haman, “Ya Haman! Cepat beritahu beta, bagaimanakah harus beta melayan orang yang beta suka?” Sejurus Haman mendengar, dia berasa gembira sekali. Fikirnya, bukankah itu aku yang disukai raja? Maka dia pun berkata, “Ya, tuanku! Orang yang tuanku sukai haruslah mengenakan pakaian tuanku kepadanya, kemudian menunggang kuda tuanku (Guru bercerita sambil mengeluarkan boneka dan model kuda untuk menunjukkan aksi), lalu perintahkan pembesar yang terhormat dalam istana untuk membawa kuda yang ditunggang olehnya ke perarakkan, dan sambil berjalan sambil berseru, “Kalian marilah lihat! Inilah orang yang paling disukai raja!  Inilah orang yang paling disukai raja!” Maka raja berkata, “Baik, baik! Cara ini sungguh baik. Sekarang lekaslah engkau berikan pakaianku kepada Mordekhai untuk dipakainya dan biarkan Mordekhai menunggang kudaku.  Engkau pula Haman, bawakan kuda itu sambil berjalan sambil berseru menurut segala yang kaukatakan itu. Pergilah lakukan perarakan itu!” (Boleh minta seorang guru main peranan sebagai kuda. Kemudian suruh seorang kanak-kanak memainkan peranan Mordekhai dan menunggang di bahagian belakang guru. Seorang lagi kanak-kanak diminta memainkan peranan Haman membawa kuda di mana dia berjalan sambil berseru untuk memberikan gambaran yang lebih jelas lagi). Aiyah! Hari itu sesungguhnya adalah hari yang paling malang dan memalukan bagi Haman, dia berasa sangat tidak puas hati!

 

Kesimpulan

Adik-adik, Haman berasa dirinya sangat hebat dan sering kali mahu menganiaya Mordekhai. Tetapi sebaliknya dia teraniaya dirinya sendiri. Jadi, adakah kamu mahu menjadi seperti Haman atau seperti Mordekhai? Tentu sekali kita ingin menjadi seperti Mordekhai. (Keluarkan Alkitab) Dalam Alkitab ini, Tuhan memberitahu kita supaya jangan berdusta untuk menganiaya orang lain dan jangan sengaja merancang tipu muslihat untuk menganiaya orang. Ratu Ester dan Mordekhai menyembah kepada Tuhan, bersopan santun terhadap orang lain, dan tidak membuat perkara jahat untuk menganiaya orang lain. Oleh itu, Tuhan menyukai mereka dan melindungi mereka. Adik-adik, rakan sekelas cikgu dulu ada yang sengaja menarik kerusi orang lain, sehingga orang itu tidak terduduk di kerusinya dan terjatuh ke atas lantai; Ada juga rakan sekelas yang sengaja menyembunyikan kotak pensel orang lain, sehingga orang itu tidak dapat mencari penselnya. Ada lagi yang sengaja merentangkan kakinya supaya orang lain tersandung. Adakah perbuatan ini merupakan perbuatan yang baik? Betul! Bukan. Semua ini adalah perbuatan yang jahat, jadi jangan kita buat. Kita mestilah ingat, jangan sesekali membuat sesuatu yang mencelakakan orang lain. Dalam cerita minggu hadapan, Haman yang jahat telah mendapat suatu cara untuk menganiaya Mordekhai. Bukan sahaja dia mahu menganiaya Mordekhai, malah dia mahu membunuh semua orang Yahudi! Dahsyat sekali! Minggu depan datang tepat pada masanya untuk mendengar cerita ini.

 

*Notis untuk minggu hadapan: 

Ulangkaji