Nas Alkitab : Kitab Yosua 1 : 1 – 6, 5 : 13 – 15, 10; 6 – 14
Objektif Pengajaran dan Pembelajaran :
- Mengetahui Yosua dapat menghapuskan musuh kerana bersandar kepada bantuan Tuhan.
- Dapat bersandar kepada Tuhan dalam segala hal.
Ayat Hafalan :
Jika Allah di pihak kita, siapakah yang akan melawan kita? (Roma 8 : 31)
Persediaan Prapengajaran dan Pembelajaran :
Gambar pengajaran dan pembelajaran (Gambar yang berkaitan boleh disediakan oleh guru)
Doa :
Dalam nama Tuhan Yesus berdoa. Tuhan Yesus yang dikasihi, kami bersyukur kepada-Mu, kerana Engkau melindungi kami setiap hari, menjaga kami supaya beroleh damai sejahtera. Engkau memberikan segala keperluan kepada kami. Semoga Tuhan menambahkan iman kami, supaya kami dapat bersandar kepada-Mu dengan sepenuh hati. Haleluya, Amin.
Isi Pelajaran :
Adik-adik, adakah kamu masih ingat cerita minggu lalu? Semasa orang Israel tiba di kota Yerikho, hati mereka berfikir, adakah pasukan tentera kota ini sangat kuat? Adakah tembok kota mereka teguh? Kemudian, berapakah pengintai yang telah diutus oleh pemimpin mereka, Yosua, untuk masuk ke kota Yerikho? (Dua orang) Akhirnya, siapakah yang ditemui oleh dua orang pengintai itu? (Rahab) Seterusnya apa yang terjadi? (Minta adik-adik mengulas dengan ringkas.)
Pada hari ini, kita akan teruskan satu cerita lagi. Dalam cerita ini, terjadinya satu perkara yang ajaib. Adakah kamu ingin tahu apa yang terjadi?
Yosua Bertemu Dengan Utusan Tuhan
Selepas pengintai itu balik dari kota Yerikho, orang Israel pun bersiap sedia untuk menyerang kota Yerikho. Mereka menyeberangi Sungai Yordan dan kini kota Yerikho berada di depan mata mereka. Mereka berkhemah di dataran lalu menantikan arahan daripada Yosua untuk menyerang kota Yerikho.
Yosua adalah pemimpin pasukan Israel, dia harus mengkaji cara-cara berperang dan bukan sekadar mendengar laporan daripada dua pengintai itu. Jika dia menyerang dengan sewenang-wenangnya, berkemungkinan besar mereka akan mengalami kegagalan. Justeru, mereka harus berhati-hati.
Semasa Yosua sedang merancang hal peperangan, tiba-tiba dilihatnya seorang dari jauh dengan pedang terhunus di tangannya dan secara perlahan-lahan mendekatinya. Pada masa ini, Yosua sangat cemas, siapakah orang ini? Adakah Dia seorang kawan? Atau lawan? Orang ini mendapati Yosua berjalan menuju ke arah-Nya, maka Dia pun berhenti. Selangkah demi selangkah Yosua berjalan mendekati-Nya, Dia mengenakan pakaian perang, matanya yang hitam berkilauan mengamat-amati Yosua. Yosua mendapati orang yang berpakaian perang ini bukan berasal dari kota Yerikho, lalu bertanya kepada-Nya: “Kawankah Engkau atau lawan?” Orang itu menjawab: “Bukan, tetapi akulah panglima Balantentera Tuhan.” Rupa-rupanya orang ini ialah utusan Tuhan, Dia bukan sahaja datang untuk membantu orang Israel, bahkan Dia adalah panglima tentera, Dia akan berdiri di barisan paling depan untuk memberi arahan peperangan. Lalu sujudlah Yosua dan menyembah kepada-Nya dengan mukanya ke tanah: “Apakah yang akan dikatakan tuanku kepada hamba-Mu ini?”
Panglima Balantentera Tuhan berkata kepada Yosua: “Tanggalkanlah kasutmu dari kakimu, sebab tempat yang engkau berdiri itu kudus.” Lalu dengan segera Yosua menanggalkan kasutnya, dia tidak berani memakai kasut untuk menginjak tempat yang kudus itu. Lalu dia menundukkan kepalanya dan berdoa untuk bersyukur kepada Tuhan kerana membantu mereka.
Akhirnya, dengan bersandar kepada bantuan Tuhan, mereka telah memperoleh kemenangan dalam peperangan menyerang kota Yerikho.
Yosua Membantu Orang Gibeon Mengalahkan Lima Raja
Selepas Yosua memimpin pasukan tentera mengalahkan kota Yerikho, seterusnya mereka juga mengalahkan beberapa kota yang lain, dan mereka turut memperoleh kemenangan. Siapakah yang membantu mereka? (Tuhan)
Pada suatu hari, orang Gibeon datang berjumpa dengan Yosua, mereka memohon Yosua untuk mengutus pasukan besar untuk membantu mereka. Sebab lima raja yang berhampiran dengan mereka telah bersepakat untuk menyerang mereka. Tuhan berkata kepada Yosua: “Janganlah takut kepada mereka, sebab Aku menyerahkan mereka kepadamu.”
Pada waktu malam itu juga Yosua memimpin pasukannya menyerang musuh mereka secara tiba-tiba. Musuh belum bersedia semasa mereka menyerang masuk ke dalam perkhemahan musuh. Terkejutlah musuh mereka lalu lari bertempiaran, tiba-tiba terjadilah perkara yang ajaib, ‘Boom boom! Boom boom!’ Ketulan hujan batu ais yang besar jatuh dari langit, ada yang menghempas kepala dan badan musuh, mereka rebah satu demi satu, kumpulan-kumpulan musuh yang besar telah diserang hujan batu ais. Musuh yang tidak terkena pun melarikan diri. Akhirnya orang yang mati dihempas oleh hujan batu ais adalah lebih banyak daripada mereka yang dibunuh oleh pasukan tentera Yosua.
Matahari Dan Bulan Berhenti
Pasukan Israel meneruskan peperangan dengan pasukan musuh hingga matahari hampir terbenam. Adik-adik, jika matahari terbenam, waktu malam akan tiba. Bolehkah berperang dengan musuh pada waktu malam? Kadang-kadang kalau tersalah pandang, musuh akan dianggap sebagai kawan sendiri, atau kawan sendiri pula disangkakan musuh, bukankah keadaan ini sangat teruk? Yosua berfikir dalam hati, alangkah baiknya jika matahari tidak terbenam, bolehlah kami meneruskan peperangan dan mendapat kemenangan dengan secepat mungkin.
Iman Yosua sangat kuat, dia bersandar kepada Tuhan dengan sepenuh hatinya dan dia percaya bahawa Tuhan pasti mempunyai cara-Nya sendiri. Lalu berdoalah dia kepada Tuhan: “Ya Tuhan, bantulah kami! Kiranya Engkau menghentikan matahari di langit supaya tidak terbenam, dan menghentikan bulan supaya jangan muncul, agar kami dapat meneruskan peperangan sehingga kami beroleh kemenangan.” Oleh sebab iman Yosua, Tuhan telah mendengarkan doanya. Tuhan menghentikan matahari untuk satu hari lamanya. Sejak Tuhan menciptakan langit dan bumi, ini merupakan kali pertama matahari tidak terbenam pada petang itu. Orang Israel bersyukur atas pertolongan Tuhan, mereka terus mengejar dan membunuh musuh sehinggalah mereka memperoleh kemenangan dalam peperangan itu, kemudian barulah matahari mulai terbenam dan bulan perlahan-lahan muncul.
Adik-adik, sebelum ini kamu pernah dengar kisah tentang matahari tidak bergerak? (Memang tidak pernah). Mengapakah Yosua berdoa kepada Tuhan supaya matahari tidak terbenam? (Sebab mereka hendak meneruskan peperangan). Berapa lamakah matahari berhenti di langit? (Selama satu hari.) Mengapakah Tuhan mendengarkan doanya? (Sebab Yosua beriman, dan bersandar kepada Tuhan dengan sepenuh hati.) Kita memohon Tuhan Yesus membantu kita, supaya menjadi sama seperti Yosua yang beriman, dan berdoa memohon Tuhan sewaktu dalam kesukaran.
Syukur Kepada Tuhan, Sudah Hujan!
Syukur kepada Tuhan, hujan telah turun! Pada tanggal 14 Mei 1998, lebih kurang pukul 12 tengah hari, hujan renyai-renyai telah turun, seterusnya hujan turun dengan semakin kuat, hingga pada tanggal 15 tengah hari, barulah hujan beransur-ansur berhenti!
Syukur kepada Tuhan! Menurut rancangan asal, pembinaan bangunan baharu gereja ChengGuan di bandar FuQing, pada tanggal 10 Mei (Ahad) ialah kerja menuang konkrit tiang, dan pada tanggal 13 Mei ialah menuang konkrit lantai tingkat kedua. Demi menjayakan projek kerja suci besar ini dengan lancar, maka pada tanggal 8 Mei (Isnin), penguasa zon ChengGuan, saudara Wong XinRong telah mencadangkan agar semua saudara-saudari berpuasa dan berdoa setiap hari demi kerja menuang konkrit (iaitu berpuasa setiap hari dari pukul 12 tengah malam hingga pukul 12 tengah hari keesokannya). Saudara-saudari telah mengambil bahagian dengan giat dalam puasa dan doa setiap hari. Syukur kepada Tuhan! Tuhan telah berkenan dan mengabulkan doa mereka yang sehati sejiwa.
Pada tanggal 9 Mei (Sabtu), hujan renyai-renyai turun pada waktu petang, titisan hujan yang membasahi acuan kayu tiang pada hari Ahad itu telah berhenti, justeru tiang konkrit dapat dituang dengan sekali gus dan telah berjaya! Pertama kalinya mereka mengecapi anugerah Tuhan, hati mereka tidak henti-henti bersyukur kepada Tuhan. Namun, mereka lebih lagi mengharapkan Tuhan dapat memimpin projek kerja suci yang lebih besar iaitu menuang konkrit lantai pada hari Rabu nanti!
Pada tanggal 12 Mei, matahari bersinar terik, mereka tidak henti-henti berdoa memohon Tuhan agar jangan ‘terlalu menjemuri’ pekerja-pekerja yang sedang membina bangunan gereja. Pada tanggal 13 (Rabu) pukul 6:15 pagi, mesin pembancuh konkrit mula berbunyi, para pekerja memulakan kerja menuang konkrit. Pada waktu tengah hari, kadang-kadang matahari menunjukkan senyumannya, pada waktu petang pula hari menjadi mendung dan sejuk, para pekerja bekerja dengan gembira di bawah ‘peneduhan’ Tuhan. Lebih kurang pada pukul 5 petang, cuaca mula berubah, awan gelap muncul di langit bahagian selatan. Awan gelap telah tersebar dan kelihatan hujan akan turun. Pada waktu ini, hampir 1/3 konkrit belum dituang lagi, jadi bagaimana?
Syukur kepada Tuhan! Sekali lagi Roh Tuhan menggerakkan beberapa orang saudara-saudari, mereka menghentikan tugas-tugas mereka dan sehati sejiwa memohon kepada Tuhan, agar Tuhan menangguhkan hujan untuk seketika lagi (sebab menurut ramalan cuaca, hujan kuat akan turun sepanjang hari). Tuhan adalah Tuhan kita, Dia ada di sisi kita. Setelah mereka berdoa, awan gelap pun perlahan-lahan hilang, para pekerja menikmati cuaca yang mendung dan nyaman sambil bekerja dengan gembira. Mereka memuji bahawa benar-benar ada Tuhan di Gereja Yesus Benar, dan kerja pembinaan bangunan gereja ini memang sungguh ajaib. Syukur kepada Tuhan! Pada pukul 8.30 malam, kontrit lantai tingkat kedua telah berjaya dituang dengan sekali gus!
Pada keesokan hari (14 Mei) tengah hari, cuaca berubah menjadi mendung, hujan renyai-renyai telah turun. Hujan renyai-renyai perlahan-lahan berubah menjadi hujan lebat. Kami sangat gembira dan bersukacita, masing-masing menyebarkan khabar baik ini. Sebab air hujan ini sangat bermanfaat terhadap konkrit yang baru dituang. Sebab pertamanya ialah selang masa tuangan kali pertama hingga waktu hujan turun ialah setengah hari. Menurut keadaan normal, konkrit yang telah dituang itu telah menjadi keras. Sebab keduanya ialah setelah konkrit menjadi keras, air hujan yang turun ke lantai konkrit dapat menjaga kelembapannya. Sudah tentu kami berasa sangat gembira! Beberapa saudara tua yang menjaga tapak pembinaan itu memberitahu kami: Tuhan telah mengaturnya dengan sangat baik, seolah-olah disediakan khas untuk pembinaan gereja di ChengGuan. Jika cuaca pada tanggal 13 dan 14 bertukaran, maka keadaannya akan menjadi tidak sama! Mungkin akan membazirkan lebih banyak tenaga manusia dan kewangan.
Disebabkan hujan, pekerja tidak mudah untuk bekerja, penggunaan konkrit perlu ditambahkan, konkrit akan mengalir keluar mengikut air hujan, dan pasir tidak mudah bercampur gaul dengan konkrit. Tambahan lagi, konkrit lantai yang baru dituang perlu ditutupi, dan tempoh penyiapan projek pembinaan mungkin ditangguhkan dan sebagainya……Syukur kepada Tuhan kerana memberikan cuaca cerah dan hujan. Melalui kesaksian ini, kita lebih percaya akan kuasa Tuhan. Sewaktu kita mengalami kesukaran, kita harus bersandar kepada Tuhan dengan sepenuh hati dan banyak berdoa kepada Tuhan.
Sesi Aktiviti :
- Nama Aktiviti: Mewarna – Pada hari matahari tidak bergerak
- Objektif Aktiviti: Supaya kanak-kanak mengetahui keagungan Tuhan
- Persediaan sebelum aktiviti: Buku kerja murid-murid, pensel warna
- Isi kandungan aktiviti:
- Edarkan buku kerja murid-murid dan pensel warna.
- Pamerkan karya kanak-kanak selepas mewarna, saling mengamati karya-karya, guru memberikan dorongan.
- Pilih beberapa karya yang cantik untuk dijadikan perhiasan kelas.