BAB 6 : CERITA DI TEPI SUNGAI

BAB 6 : CERITA DI TEPI SUNGAI

 

Nas Alkitab : Keluaran 1:8 – 2 : 10

Ayat Bacaan : Keluaran 2:10

 

Objektif Pengajaran dan Pembelajaran : 

  1. Nyawa bayi Musa dipelihara oleh Tuhan kerana iman ibu bapanya.
  2. Bertekad bekerja demi Tuhan : Sentiasa berdoa dan bersandar kepada Tuhan.

 

Ayat Hafalan :

Jika Allah di pihak kita, siapakah yang akan melawan kita? (Roma 8:31) 

 

Persediaan Prapengajaran dan Pembelajaran :

Bakul rumput (bulrush), patung, selimut kecil

 

Cara membuat kotak rumput :

  1. Guntingkan kertas berwarna hijau menjadi bentuk segi tiga bagaikan rumput. (lebarnya bebas dan  digunting dengan panjang yang tidak sekata)
  2. Minta adik-adik melukis bulatan-bulatan kecil di bahagian hujung rumput dengan menggunakan pensel warna sebagai bunga.

 

Doa :

Dalam nama Tuhan Yesus berdoa. Ya Bapa Syurga yang dikasihi, kami bersyukur kepada-Mu kerana Engkau menjaga kami, Engkau memberikan masa yang gembira kepada kami, sehingga kami dapat datang ke gereja untuk beribadah, menyanyi dan bermain bersama-sama dengan guru-guru dan kawan-kawan,. Ya Tuhan, bantulah kami supaya kami dapat saling-mengasihi dan bersandar kepada-Mu dengan segenap hati.  Haleluya. Amin.

 

Isi Pelajaran :

Adik-adik, kita telah tahu bahawa Yusuf sejak kecil sangat mendengar cakap ibu dan bapanya, dia juga sentiasa berdoa, oleh itu Tuhan dan bapanya sangat suka akannya. Walaupun dia telah dijual oleh abang-abangnya ke Mesir, tetapi dia tidak benci pada abang-abangnya, sebaliknya dia telah memberikan banyak hadiah kepada abang-abangnya. Yusuf yang taat bukan sahaja telah menjemput bapanya untuk tinggal di Mesir, bahkan telah membawa bersama abang-abang dan adiknya, beserta seisi keluarga mereka berjumlah tujuh puluh orang ke Mesir. Pada kemudian hari, bapa menjadi tua dan kembali kepada Bapa di syurga. Abang-abang, Yusuf dan adik, Benyamin juga telah meninggal dunia, anak-anak mereka telah melahirkan banyak anak, dengan itu jumlah orang Israel semakin bertambah banyak.

 

Raja Baharu Menganiaya, Membunuh Bayi Laki-laki

Raja yang rapat dengan Yusuf juga telah meninggal dunia, setelah Mesir telah bertukar beberapa orang raja, raja yang baharu di Tanah Mesir tidak lagi mengenali Yusuf. Raja berfikir, bagaimanakah diperbolehkan jumlah bangsa Israel itu lebih banyak daripada bangsa kami dan lebih kuat daripada bangsa kami? Aku akan mencari jalan untuk mengendalikan orang Israel. Lalu raja mengutus orang Mesir untuk mentadbir orang Israel. Orang Israel disuruh menanam padi dan sayur di ladang untuk orang Mesir.  Orang Israel juga disuruh untuk mengangkat batu dan membuat batu bata. Selain itu, disuruh lagi mereka membina dua buah bangunan yang sangat besar untuk raja menyimpan barang-barangnya. Setiap hari, orang Israel membuat kerja, bila mereka berasa letih dan duduk berehat, orang Mesir memukul mereka dengan kayu, orang Israel berasa sangat sangat kesakitan akibat dipukul, maka mereka pun berdoa kepada Tuhan untuk memohon Tuhan menyelamatkan mereka. Kemudiannya, raja menurunkan perintah kepada orang Israel, bahawa mereka hanya dibenarkan melahirkan anak perempuan, jika melahirkan anak lelaki, maka anak itu harus dibuang ke dalam sungai.

 

Kelahiran Musa

Terdapat seorang ibu orang Israel yang telah melahirkan seorang anak lelaki yang sangat comel, seisi keluarganya berasa gembira tetapi juga khuatir. Betapa kasihannya jika anak lelaki yang comel ini perlu dibuang ke dalam sungai. Abang, kakak, ibu dan bapa anak lelaki ini sangat sayang akannya, mereka tidak sanggup membuang anak lelaki ke dalam sungai. Lalu mereka memikirkan satu cara untuk menyembunyikan anak kecil ini. Akan tetapi, mereka sangat takut kalau-kalau anak kecil ini menangis, apabila dia menangis, mereka akan segera mendukung, menghibur dan mengayunnya, supaya tidak kedapatan oleh orang lain.

Suara adik lelaki ini kecil bila dia masih kecil, suara tangisannya tidak kuat, oleh itu tidak akan kedengaran oleh jiran. Namun adik lelaki ini semakin membesar, tangisannya menjadi semakin kuat sehingga tidak dapat disembunyikan lagi, apakah yang harus dibuat? Mereka semua berusaha mendoakan adik kecil agar Tuhan menjaga dan melindunginya. Kemudian, ibunya terfikir satu cara yang baik, yang membolehkan dia meletakkan anak lelaki ini di sungai tetapi tidak akan mati lemas. Adik-adik, tahukah kamu apakah cara baik yang ibunya terfikir?

 

Bayi diletakkan ke dalam Bakul/peti yang Diperbuat daripada Rumput

Ibu adik kecil telah membuat satu bakul rumput (Keluarkan kotak kertas), disaluti dengan gala-gala (Minyak hitam tar), supaya air tidak dapat masuk ke dalam bakul, dengan itu, bakul tersebut akan terapung di atas air seperti sebuah perahu kecil. Dalam bakul peti itu diletakkan selimut kecil (Tunjukkan kepada adik-adik bahagian dalam kotak). Ibu terlebih dahulu menyusukan adik kecil, mengenakan pakaian yang cantik padanya lalu meletakkannya ke dalam bakul peti (Letakkan anak patung ke dalam kotak sambil menyampaikan cerita) supaya anak kecil lelaki itu dapat tidur di dalam bakul peti dengan tenang dan selesa bagaikan tidur di atas sebuah perahu. Ibu dan kakaknya mengangkat bakul peti itu ke tepi sungai. Di tepi sungai ada banyak rumput yang tinggi, ibu dan kakaknya meletakkan bakul peti tersebut di kawasan berumput dengan perlahan-lahan. (Cucukkan rumput secara jarang ke dalam peti yang berpasir di bahagian depan dan belakang kotak). Dengan demikian, anak kecil itu tidak akan hanyut  dibawa air ke tempat yang terlalu jauh. Selepas ibu meletakkan bakul peti tersebut, ibu mencium pipi adik kecil dan berkata dengan suara yang kecil: “Selamat tinggal anak kesayangan! Semoga Tuhan menjagamu.” Lalu pulanglah ibu ke rumah. Namun kakak anak kecil itu bersembunyi di tempat yang jauh sambil berdoa di dalam hati, memohon Tuhan menjaga adik kecil yang comel ini.

 

Puteri Menyelamatkan Bayi

Tidak lama kemudian, terdapat seorang puteri yang sangat cantik dan baik hati, iaitu anak perempuan raja Mesir, datang bermain air di tepi sungai. Dia berasa hairan bila terlihat peti di tepi sungat tersebut.  Apakah yang terdapat di dalam peti itu? Lalu dia menyuruh hamba perempuannya pergi mengambil bakul peti itu supaya dilihatnya.

Hamba perempuan mengangkat peti itu ke hadapan puteri, dan membuka peti itu dengan perlahan-lahan dan berhati-hati (bukakan kotak) Wah, comelnya bayi ini! Puteri mendukung anak kecil itu dan mencium pipinya yang comel. Pada ketika itu, anak kecil lelaki itu membuka matanya untuk mencari ibunya, Eh!  Ini bukan ibu! Lalu menangislah dia. Puteri yang baik hati amat suka pada adik lelaki yang comel ini,  dia mahu membawanya balik ke istana dan menganggapnya sebagai anak sendiri. Akan tetapi anak kecil tersebut menangis teresak-esak, apakah yang harus dilakukan?

 

Kembali ke Pangkuan Ibu

Dari jauh, kakak yang bersembunyi di belakang rumput segera lari menemukan puteri lalu berkata: “Baikkah aku memanggil seorang inang penyusu untuk menyusukan bayi ini bagi tuan puteri? Puteri berasa amat gembira dan berkata : “Baik, Baik! Cepatlah pergi, mungkin anak kecil lelaki ini sudah lapar.”

Kakak berasa amat gembira dia berlari sambil melompat, dia segera balik ke rumah dan memberitahu ibu : “Ibu, ibu, adik telah diselamatkan oleh puteri. Dia mahu mencari seorang inang penyusu, segeralah ibu pergi!” Ibu pun pergi bersama dengan kakak, puteri meminta si ibu membawa anak kecil lelaki kembali ke rumah untuk menyusuinya, supaya adik kecil dapat diasuh dengan sihat. Kakak dan ibu mendukung bayi kembali ke rumah dengan gembira. Bapa dan abang juga berasa sangat gembira apabila melihat adik  kecil mereka telah kembali ke rumah. Lalu mereka menyanyi kidung, berdoa dan bersyukur atas penjagaan Tuhan yang benar.

 

Menamainya “Musa”

Kini, mereka tidak lagi takut adik kecil mereka menangis, dan tidak lagi takut orang lain mengetahui ada seorang adik kecil lelaki di rumah mereka, kerana adik kecil ini adalah anak puteri. Setiap hari, ibu dan kakak menemani adik kecil ini untuk bermain, mengajar adik kecil berdoa dan menyanyi kidung memuji Tuhan. Adik kecil kian membesar dan sudah pandai berjalan. Dia tidak lagi perlu disusui oleh ibunya lagi, barulah ibu menghantarnya ke tempat puteri. Puteri sangat suka akan adik kecil ini kerana dialah yang menyelamatkan adik kecil ini di tepi sungai, maka puteri menamainya “Musa”. Sejak itu, Musa hidup bersama dengan puteri di dalam istana.

 

Selalu Berdoa dan Bersandar Kepada Tuhan

Kita seringkali melihat orang berdoa di gereja atau di rumah. Adik-adik, tahukah kamu mengapa mereka berdoa? (Jikalau ada adik-adik yang angkat tangan, minta mereka nyatakan pendapat mereka, cikgu hanya senyum dan mengangguk, tidak perlu memberi komen). Adik-adik, kita semua tahu setiap pagi setelah bangun, kita harus berdoa dan bersyukur kepada Tuhan kerana menjaga kita sepanjang malam.  Sebelum kita makan kita juga harus berdoa bersyukur kepada Tuhan Yesus kerana memberi kita makanan yang mencukupi. Kita juga harus berdoa sebelum tidur pada waktu malam, untuk bersyukur kepada Tuhan Yesus kerana melindungi kita sepanjang hari. Selain itu, ada juga orang yang berdoa demi pekerjaan atau masalah yang mereka hadapi, ada orang berdoa demi gereja dan ada yang mendoakan orang yang sakit. Tidak kira apa pun juga, kita boleh berdoa dan memohon kepada Tuhan. Adik-adik, adakah kamu rela melakukan kerja demi Tuhan? Marilah kita fikirkan Bersama-sama, apakah kerja yang boleh kita lakukan demi Tuhan? (Minta kanak-kanak memberikan pendapat, cikgu senaraikan di papan hitam). Wah, adik-adik semua sangat menghormati dan mengasihi Tuhan, kerana rela melakukan banyak kerja demi Tuhan. Demi melakukan kerja dengan lebih baik, kita haruslah selalu mendoakan perkara-perkara ini.

 

Sesi Aktiviti :

  1. Nama aktiviti: Adakah anda ingat untuk berdoa?
  2. Objektif aktiviti:  Supaya adik-adik selalu ingat untuk bersandar kepada Tuhan.
  3. Persediaan sebelum aktiviti: pen
  4. Isi kandungan aktiviti:
    1. Minta beberapa adik-adik menunjukkan pelbagai jenis ekspresi muka mengikut gambar, boleh memberi contoh yang nyata supaya dapat membantu mereka mengimaginasikannya, contohnya: semasa dirotan oleh ibu, apakah respon kamu? ( menangis), Adik lelaki telah merosakkan mainan kesayangan anda, apakah respon kamu? ( marah…dan sebagainya)
    2. Tanya adik-adik bilakah mereka ingat untuk berdoa? Minta adik-adik nyatakan dan tanya apakah sebabnya.
    3. Setelah beberapa orang adik-adik telah memberi pendapat mereka, guru membuat   penambahan, sekiranya berlaku pelbagai situasi atau masalah, bagaimanakah kita berdoa?  Berikan contoh dan terangkan.