Nas Alkitab : I Samuel fasal 18 – 20
Ayat Bacaan : Matius 14 : 30-31
Objektif Pengajaran dan Pembelajaran :
- Yonatan sentiasa mengambil berat tentang keselamatan Daud.
- Tahu apa yang perlu dibuat.
- Semasa dalam keadaan bahaya.
Ayat Hafalan :
Tuhan! Tolonglah aku. (Mat 14:30)
Persediaan Prapengajaran dan Pembelajaran :
Gambar pengajaran.
Doa :
Dalam nama Tuhan Yesus berdoa. Syukur kepada Bapa di sorga yang menjagai kami melalui satu minggu dengan damai sejahtera. Pada hari ini, kami berkebaktian di sini bersama saudara-saudari. Kami suka kepada kawan-kawan kami di sini. Terima kasih kepada Tuhan kerana membantu kami menyayangi kawan-kawan. Kami juga berterima kasih kepada-Mu kerana memberi lebih banyak kawan-kawan kepada kami. Haleluya. Amin.
Isi Pelajaran :
Siapa yang tiada kawan, sila angkat tangan. Em! (Guru melihat sekeliling, mengangguk kepala, buat yang sama untuk perkara berikut). Siapa yang ada kawan baik sila angkat tangan. Em! Hari ini guru akan menyampaikan satu cerita pendek terlebih dahulu, kemudian baru menyampaikan cerita dalam Alkitab.
Cerita Tentang Zhen Zhen dan Mei Mei
Zhen Zhen dan Mei Mei adalah dua orang kawan yang sangat baik seperti kakak dan adik. Sewaktu Zhen Zhen berusia enam tahun, dia telah berpindah ke sebelah rumah Mei Mei, sejak itu mereka sangat baik sehingga tidak dapat dipisahkan.
Ayah Zhen Zhen telah pulang ke rumah Bapa di syurga. Kakaknya pula telah berkahwin dan berpindah ke tempat lain. Cuma tinggal Zhen Zhen dan ibunya di rumah dan mereka menjalani kehidupan bersama. Bagi Mei Mei pula, walaupun dia ada ibu dan ayah yang mengasihinya, tetapi dia tidak mempunyai abang, kakak atau adik.
Pada suatu hari, Zhen Zhen pulang dari perpustakaan di tempat kerjanya dengan memandu keretanya. Apabila hampir sampai ke rumah, tiba-tiba ada sebuah lori besar yang mengangkut kayu telah melanggar kereta Zhen Zhen. Kereta itu hancur dilanggar tetapi Zhen Zhen masih hidup. Dia dalam keadaan tidak sedarkan diri sepanjang perjalanan ke hospital di dalam ambulan.
Apabila tiba di hospital, doktor mengambil lampu untuk menyuluh matanya tetapi ia tidak berkelip. Doktor juga menggunakan loceng dan membunyikannya ting ting tong tong di telinga Zhen Zhen tetapi dia tidak mendengarnya. Mei Mei tidak percaya bahawa kawan baiknya yang masih muda ini akan pulang ke rumah Bapa di syurga. Oleh itu, dia tidak berhenti-henti berdoa: “Bapa Syurga yang Pengasih, janganlah membiarkan Zhen Zhen mati.”
Dua minggu telah berlalu, namun Zhen Zhen masih tidak sedarkan diri. Setiap hari selepas Mei Mei pulang dari sekolah, dia terus pergi ke hospital dan duduk di sebelah katil Zhen Zhen. Dia memegang tangan Zhen Zhen dan bercakap dengannya. Dia memberitahu Zhen Zhen hal-hal yang pernah mereka lakukan bersama, tempat-tempat yang pernah mereka lalui, kawan-kawan yang mereka kenali, hal-hal yang dilakukannya setiap hari, dan juga betapa rindunya dia kepada Zhen Zhen. Mei Mei berasa Zhen Zhen dapat memahami segala yang dikatakannya walaupun Zhen Zhen tidak menunjukkan sebarang tindak balas. Apabila doktor dan jururawat melihat perbuatan Mei Mei, mereka tidak menertawakan Mei Mei. Mereka berfikir: Mungkin kasih seorang kawan baik akan membangunkan Zhen Zhen daripada tidurnya yang panjang ini.
Pada hari kelapan belas selepas kemalangan tersebut, akhirnya Zhen Zhen membuka matanya. Dengan sukacita Mei Mei memegang tangan Zhen Zhen. Dia tidak berkata apa-apa, hanya menangis sambil berulang-ulang mengucapkan: Ah.. terima kasih Bapa Syurga..ah.. terima kasih Bapa Syurga.
Adik-adik, selepas mendengar cerita ini, adakah kamu juga ingin menjadi kawan baik orang lain? Dalam Alkitab terdapat juga sepasang kawan baik, mereka ialah raja Daud dan putera Yonatan.
Pada minggu yang lalu, kita tahu bahawa Daud yang berani dan bersandar kepada perlindungan Tuhan telah membunuh Gol…Gol… (biarkan adik-adik menyambung) Ya! Goliat, jadi orang Israel telah mendapat kemenangan yang besar. Semua orang pun bersyukur atas pertolongan Tuhan.
Daud Menjadi Kawan Baik Yonatan
Raja Saul sangat gembira apabila melihat Daud menang dalam peperangan. Anak raja Saul, Yonatan, melihat bahawa Daud sungguh berani, maka dia mahu menjadi kawan baiknya. Yonatan sangat suka kepada Daud sehingga jubah perangnya yang paling cantik, pedangnya yang berkilau-kilau, busur yang paling kukuh, anak panah yang paling baik, dan tali pinggangnya semua itu diberikan kepada Daud.
Raja Saul Dengki Terhadap Daud
Daud mendapat kemenangan yang besar dalam peperangan. Apabila mereka pulang dari medan peperangan, ada ramai perempuan keluar dari rumah mereka untuk menyongsong raja Saul dan Daud. Mereka menyanyi sambil menari dengan berkata: “Saul mengalahkan beribu-ribu tetapi Daud berlaksa-laksa.”
Adik-adik, adakah “ribu” lebih banyak atau “laksa”? (Biarkan kanak-kanak mengemukakan pendapat). Ya! Sepuluh ribu bersamaan dengan satu laksa, pastilah laksa lebih banyak! Jadi nyanyian perempuan-perempuan itu bermaksud musuh yang dibunuh oleh Daud adalah lebih banyak daripada raja dan dia juga lebih berani daripada raja.
Daud bukan saja pandai berperang tetapi dia juga seorang yang cekap. Apa saja kerja yang disuruh oleh raja Saul, semuanya telah dilakukan oleh Daud dengan baik. Oleh itu, ramai orang suka dan kagum kepada Daud. Raja Saul berasa tidak sedap hati apabila mendengar nyanyian perempuan-perempuan yang memuji Daud dan melihat ramai orang suka kepadanya. Oleh itu dia ingin Daud pergi berperang dengan musuh supaya dia dibunuh oleh musuh. Tetapi Tuhan melindungi Daud sehingga dia mendapat kemenangan dalam setiap peperangan. Ini menyebabkan hati raja Saul berasa benci. Tuhan tahu bahawa raja Saul membenci Daud, lalu membiarkan roh jahat mengganggunya sehingga dia bercakap-cakap sembarangan dan orang lain tidak memahami apa yang dikatakannya. Apabila Daud melihat raja Saul sakit tenat, dia cepat-cepat memainkan kecapi untuk raja Saul.
Raja Saul Ingin Membunuh Daud
Raja Saul tidak berterima kasih kepada Daud yang memainkan kecapi untuknya, malah mengambil tombak dan melontarkannya ke arah Daud. Mujurlah Tuhan melindungi Daud dan dia dapat mengelak tombak yang dilontar ke arahnya. Raja Saul tahu bahawa Tuhan melindungi Daud, maka dia lebih membenci Daud. Dia berkata kepada putera Yonatan dan para pegawai: “Aku benci Daud, aku hendak membunuh Daud.” Apabila Yonatan mendengar hal ini, dia dengan cemas dan segera menyuruh Daud supaya menyembunyikan diri.
Pada keesokan pagi, Yonatan menemani raja Saul bersiar-siar di ladang dan berkata kepadanya: “Bapa! Daud adalah hamba Tuhan, engkau tidak boleh membunuhnya.” Yonatan telah banyak menceritakan kebaikan Daud, lalu raja Saul pun berkata: “Baiklah! Aku tidak akan membunuh Daud.” Dengan gembiranya Yonatan berlari kepada Daud untuk memberitahunya. Barulah Daud berani kembali semula ke istana dan bekerja untuk raja Saul.
Yonatan Ingin Menyelamatkan Daud
Setiap kali Raja Saul diganggu oleh roh jahat dan berasa tidak sihat, Daud akan segera memainkan kecapi untuknya supaya dia berasa lega. Tetapi raja Saul selalu lupa bahawa dia pernah berkata tidak akan membunuh Daud. Malah dia ingin membunuh Daud lagi dengan tombak. Oleh itu, Daud melarikan diri dan menyembunyikan diri ke tempat yang sangat jauh. Daud berkata kepada Yonatan: “Tolonglah aku. Aku akan pergi dari istana selama tiga hari. Jika raja Saul mendapati aku telah pergi tetapi tidak naik marah, maka aku akan pulang, jika tidak, aku akan melarikan diri.” Kata Yonatan: “Baiklah! Setelah aku mengetahui pemikiran bapaku, tiga hari kemudian aku akan datang ke ladang ini untuk memanah. Engkau bersembunyi di belakang batu besar yang di depan itu. Jika aku berkata kepada bujangku “anak panah ada di belakangmu, pergilah ambil”, bermaksud engkau boleh pulang dengan selamat. Jika aku berkata “anak panah ada di depanmu, pergilah ambil”, bermaksud ayahku ingin membunuh engkau, maka pergilah engkau melarikan diri!”
Apabila raja Saul mendapati Daud tidak makan di tempatnya selama tiga hari, dia bertanya kepada Yonatan dengan marah sekali: “Mengapa Daud tidak datang makan?” Yonatan segera menjawab: “Daud sudah pulang ke rumah sebab ada hal”. Raja Saul menyuruh Yonatan segera pergi menangkap Daud. Apabila Yonatan mendengar hal ini, dia sangat sedih dan tidak lalu makan dan tidur.
Berpisah Dengan Sahabat Baik
Pada waktu pagi, Yonatan datang ke ladang dengan pasukan prajurit dan memanah seperti yang dijanjikannya. Dia berkata dengan suara kuat: “Pergilah, anak panah ada di depanmu.” Daud yang bersembunyi di belakang batu besar sangat sedih apabila mendengarnya! Dia tahu bahawa raja Saul ingin membunuhnya dan dia harus melarikan diri secepat mungkin. Selepas parajurit pergi, Daud keluar dari belakang batu besar. Dua sahabat baik ini berpeluk sambil menangis, lalu mereka berpisah dengan sedihnya. Walaupun Daud sudah pergi, hatinya berasa sangat gembira kerana mempunyai seorang sahabat baik yang memegang janji dan sanggup berkorban deminya.
Apabila Dalam Keadaan Bahaya
Dalam dua cerita yang telah disampaikan oleh guru, apakah peringatan bagi kita? (Biarkan kanak-kanak menjawab). Ya! Ia memberitahu kita siapakah sahabat kita yang terbaik. Sahabat baik bukan saja menemani kita semasa bermain, mengulangkaji kerja rumah, malah akan menolong kita sewaktu kita memerlukan pertolongan. Dia juga akan mengingatkan kita apabila kita memerlukan peringatan. Dia akan menyelamatkan kita sewaktu kita dalam keadaan bahaya dan tidak akan meninggalkan kita.
Apabila Tuhan Yesus hidup di dunia, Dialah sahabat baik umat manusia. Manusia akan pergi mencari sahabat baik iaitu Yesus apabila ditimpa kesusahan atau penderitaan. Pda hari ini, walaupun kita tidak dapat melihat Tuhan Yesus, tetapi Dia mengutus Roh Kudus untuk menghiburkan kita dan membantu kita menyelesaikan segala masalah. Jadi, apabila kita atau kawan-kawan mempunyai masalah atau bahaya, apakah yang harus kita lakukan? (Biarkan kanak-kanak mengemukakan pendapat). Mari kita baca satu ayat Alkitab, sila rujuk (Mat 14: 30-31), kita baca bersama. Apabila kita dalam keadaan bahaya, janganlah cemas dan takut, serulah dengan kuat “Tuhan, tolonglah aku ”, kemudian barulah mencari cara penyelesaian. Bapa Syurga yang Pengasih pasti menjaga kita dan memberi kita damai sejahtera untuk mengharungi segala keberbahayaan.
Minggu depan adalah ulang kaji, sampai giliran siapakah untuk memimpin doa? Nanti semasa kita berdoa, kita bantu doa untuk adik *** (sebutkan nama adik yang memimpin doa), mohon Tuhan Yesus menambahkan imannya. (Guru jangan lupa untuk menghubungi ibu bapa supaya menolong kanak-kanak merangka teks).