BAB 6 : RAHSIA PELANGI

Mesej Untuk Guru :

Kepada guru yang dikasihi, pada zaman Nuh, hari kiamat yang pertama dalam sejarah akan tiba dengan segera. Ini membuktikan bahawa dosa manusia dan tamadun tidak mempunyai kaitan secara langsung, melainkan sifat dosa manusia masuk ke dalam hati manusia, sejak saat ular menggoda nenek moyang. Fokus utama dalam bab ini adalah untuk membuktikan bahawa Tuhan tidak ada ucapan seloroh. Nuh dan seisi keluarga kerana percaya terhadap firman Tuhan maka mereka sekeluarga telah diselamatkan. Oleh itu, harus meyakinkan kanak-kanak bahawa percaya dan mendengar firman Tuhan tidak merugikan kerana Tuhan itu yang setia dan adil. Selain itu, bab ini juga menegaskan keberhasilan pendidikan agama keluarga Nuh. Justeru, beritahulah kanak-kanak bahawa, jika percaya kepada Tuhan dan mendengar kata-kata ibu bapa serta melakukannya, pastilah mereka dan ibu bapa akan sama-sama mendapat berkat daripada Tuhan.

Nas Alkitab : Kejadian 7 – 9:17

Objektif Pengajaran dan Pembelajaran :

Agar kanak-kanak tahu bahawa segala yang difirmankan Tuhan pasti akan ditunaikan.

Ayat Hafalan : Busur-Ku Kutaruh di awan, supaya itu menjadi tanda perjanjian antara Aku dan bumi. (Kejadian 9:13)

Persediaan Prapengajaran dan Pembelajaran :

Bahan pengajaran tambahan.

Doa :

Dalam nama Tuhan Yesus berdoa. Bapa di syurga yang dikasihi, kami akan mendengar firman-Mu seperti Nuh, kerana Engkau akan menjaga kami dan membantu kami agar tidak melakukan hal yang jahat. Kami bersyukur kepada-Mu. Haleluya, Amin.

Isi Pelajaran :

Pendahuluan

Adik-adik, masih ingatkah tentang kisah yang diceritakan pada minggu lalu? Nuh menuruti firman Tuhan dan melukis bentuk rupa bahtera, kemudian bersama dengan anak-anaknya mengangkat banyak kayu dari merata tempat, lalu kayu-kayu itu digergaji menjadi kepingan, seterusnya, memaku kayu itu dengan paku secara perlahan-lahan. Mereka telah menggunakan masa 120 tahun untuk menyiapkan kerja pembinaan bahtera. Walaupun jiran-jiran Nuh mentertawakan Nuh dan seisi rumahnya itu berfikiran tidak waras, tetapi Nuh dan seisi keluarganya bukan saja tidak menghiraukan mereka, malahan tetap percaya kepada firman Tuhan dan membina bahtera dengan bersungguh-sungguh. Sekarang, bahtera telah pun siap dibina. Wah, betapa tinggi dan besar bahtera itu! Hari ini, mari kita lihat, adakah benar hujan akan turun?

Tuhan Memimpin Haiwan Masuk Ke Dalam Bahtera

Ketika Nuh selesai membina bahtera, Tuhan berfirman kepada Nuh: “Selepas tujuh hari, Aku akan menurunkan hujan ke atas bumi selama empat puluh hari empat puluh malam, untuk menghapuskan segala makhluk hidup yang Kuciptakan itu dari muka bumi.” Tuhan membiarkan semua haiwan seperti kura-kura, harimau, monyet, katak, burung merpati, burung gagak dan sebagainya, berkumpul di tempat bahtera secara berpasangan.  Nuh berbuat seperti yang difirmankan Tuhan agar seisi keluarganya 8 orang dan segala haiwan secara berpasangan beratur masuk ke dalam bahtera. Setelah itu, Tuhan menutup pintu bahtera, sehingga Nuh dan seisi keluarga serta semua haiwan pun ditutup dalam bahtera dan tidak dapat keluar lagi. Adik-adik, walaupun saiz bahtera sangat besar, namun banyak haiwan yang tinggal di dalam. Kalian rasa apakah yang akan terjadi? (Membenarkan kanak-kanak menyuarakan pendapat) Betul! Ia akan menjadi sangat bising, busuk, sempit dan gelap! Tetapi ia sangat selamat kerana akan terjadi satu perkara yang sangat menakutkan.

Hujan Yang Lebat Benar-Benar Turun

Wah, hujan turun, benar hujan lebat turun! Guruh dan kilat sabung-menyabung, bahtera itu terumbang-ambing. Nuh dan seisi keluarganya tidak berasa takut kerana mereka tahu bahawa Bapa di syurga akan menjagai mereka. Hujan turun lebat selama 40 hari, bumi dipenuhi air, rumah, pohon, gunung pun tidak kelihatan lagi kerana semua ditenggelam dalam air. Tuhan berfirman: “Baiklah, berhentilah hujan.” Maka hujan pun berhenti. Namun, sekeliling bahtera itu penuh dengan air. Tiada seorang pun yang dapat keluar, hanya boleh berada di dalam bahtera yang dibawa arus dan terapung di atas air. Adik-adik, jika sekeliling bahtera itu penuh dengan air, jadi apakah yang dimakan oleh haiwan, burung, Nuh dan seisi keluarga? (Membiarkan kanak-kanak menyuarakan pendapat) Betul!  Dari awal Tuhan telah menyuruh Nuh menyediakan banyak jenis makanan, contohnya, singa suka makan………(Guru memanjangkan suara, biarkan kanak-kanak sambung menjawab), anjing suka makan……(tulang), kambing suka makan……(rumput), Nuh dan seisi keluarganya suka makan….(roti, bubur, terima apa saja makanan yang dapat disebut kanak-kanak).

Air Surut Secara Perlahan-Lahan

Setelah beberapa bulan, makin surutlah air itu dari muka bumi, gunung tinggi keluar dari permukaan air, bukit juga dapat dilihat dan daun juga mula bertumbuh pada pohon besar. Nuh dan seisi keluarganya menunggu sangat lama, barulah muka bumi mula kering. Pada masa ini, Tuhan berfirman kepada Nuh: “Nuh, keluarlah dari bahtera itu! Semua haiwan dalam bahtera juga boleh dilepaskan!” Maka keluarlah Nuh dan seisi keluarganya serta semua haiwan. Ada haiwan yang kembali ke pergunungan dan ada juga yang kembali ke dalam hutan.

Nuh Bersyukur Kepada Tuhan

Ah! Ini merupakan hari kesyukuran! Nuh berkata: “Marilah kita berdoa bersama-sama dan bersyukur kepada Bapa di syurga kerana menjaga kita dan memberikan damai sejahtera.” Lalu Nuh dan seisi keluarga sujud berdoa dan mempersembahkan korban bakaran sebagai ucapan terima kasih kepada Tuhan. Tuhan mendengar doa Nuh dan seisi keluarganya, serta mencium persembahan yang harum itu, Tuhan berasa sangat gembira! Lalu berfirmanlah Tuhan kepada Nuh: “Aku tidak akan membinasakan bumi ini dengan air bah lagi. Lihat! Pelangi yang berwarna-warni ini merupakan tanda perjanjian di antara engkau dan Aku.” Sebab itu, setiap kali selepas hujan, apabila munculnya matahari, pelangi akan kelihatan di langit! Siapa pernah lihat pelangi sila angkat tangan?  Ya! Bukankah pelangi itu sangat cantik?  Sila turunkan tangan. Nanti bila kamu melihat pelangi, kamu boleh beritahukan kepada rakan-rakan kamu, bahawa Tuhan meletakkan pelangi di langit sebagai suatu tanda, sebab Tuhan telah berjanji kepada Nuh untuk tidak lagi memusnahkan dunia ini dengan air bah.

Kesimpulan

Adik-adik! Tuhan telah mencipta langit dan bumi yang indah demi kita, agar kita mempunyai keluarga yang bahagia. Namun, manusia akan melupakan Tuhan dan tidak mendengar firman Tuhan jika menjalani hari-hari dengan selesa. Akhirnya, orang yang mentertawakan Nuh semua mati lemas dalam air, kasihan sekali! Apakah yang harus kita buat supaya kita dapat dilindungi Tuhan seperti Nuh? Jika kamu adalah anak Nuh, adakah kamu akan mendengar kata bapa Nuh untuk membantu membina bahtera? (Biarkan kanak-kanak naik ke pentas mengatakan pendapat mereka, kemudian berikan hadiah).